Browsing Tag

Didikan anak-anak

jaga ibu sakit
Gaya Hidup,

Pemuda ini korbankan impian dan kerja demi menjaga ibu yang sakit

IBU bapa merupakan insan yang telah menjaga dan membesarkan anak-anak dengan pelbagai karenah tanpa mengeluh penat dan lelah.

Seorang ibu sanggup berkorban menanggung kesakitan saat melahirkan anak manakala ayah berpenat lelah bekerja demi menyara keluarga.

Justeru setiap anak wajib memuliakan ibu bapa mereka kerana ALLAH SWT meletakkan darjat kedua-dua ibu bapa sangat istimewa dalam kehidupan seorang anak.

Namun sebagai anak adakah kita tidak mampu melihat segala jasa seterusnya menghargai pengorbanan mereka?

Sesungguhnya anak yang rela memperuntukkan waktu merawat, memuliakan, berbakti dan menjaga ibu bapa akan dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat.

Baca Juga Pemungut sampah juga mulia di sisi Islam, kisah kegigihan Wan demi adik-adik raih pujian

Seperti yang tular di laman media sosial TikTok baru-baru ini, seorang pemuda telah berkongsi kehidupannya selepas berhenti kerja demi menjaga ibunya yang sakit.

Menerusi perkongsian pemilik akaun @alifr0z, dia berkongsi rutin hariannya sepanjang hari ketika menjaga ibunya yang sakit.

Menurut Alif, dia berpuas hati dengan keputusannya meninggalkan kerjaya korporatnya demi menjaga ibunya sepenuh masa.

TULAR di laman media sosial TikTok baru-baru ini, seorang pemuda telah berkongsi kehidupannya selepas berhenti kerja demi menjaga ibunya yang sakit.

“Kehidupan selepas berhenti kerja untuk jadi penjaga sepenuh masa mak saya.

”Tinggalkan kerjaya korporat 9 pagi hingga 5 petang saya untuk jaga ibu saya yang sakit terlantar dan itu merupakan keputusan terbaik yang pernah saya buat. Sumpah lagi best jaga sendiri,” tulisnya.

Artikel Berkaitan 

Kagum dengan pemuda itu, perkongsian tersebut telah meraih pelbagai respons positif dalam kalangan warganet menerusi ruangan komen.

Semaikan perasaan ihsan

ALLAH SWT memerintahkan agar manusia menyembah dan mentauhidkan-NYA disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa terutama ketika mereka diuji dengan kesakitan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah RA, “Aku bertanya Nabi SAW apakah amal yang paling disukai oleh ALLAH?” Nabi menjawab: “Solat dalam waktunya.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?”. Nabi menjawab: “Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?” Nabi menjawab: “Berjihad fi sabilillah.”

Pengasuh anak

JIKA memerlukan bantuan ibu bapa untuk menjaga anak kita, berbincanglah secara baik dengan mereka. -GAMBAR HIASAN/FOTO: FREEPIK

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua orang tua sehingga Nabi SAW menjadikan ‘birrul walidaini’ iaitu berbuat baik kepada ibu bapa adalah amalan paling afdal selepas solat.

Menurut Kaunselor Keluarga, Haji Hushim Salleh, anak-anak perlu semaikan sikap ihsan dalam diri selain sentiasa rasional dalam menghadapi karenah ibu bapa yang sakit.

“Penting apabila anak-anak berhadapan ibu bapa yang sakit mereka perlu ada ‘mindset’ termasuk sematkan dalam diri sifat ‘ihsan’ iaitu sifat kasih sayang pada orang tua.

“Jadi apabila mereka berdepan dengan pelbagai kerenah ibu bapa, mereka kena ‘recalled’ sikap itu adalah pantulan kerenah zaman kanak-kanak yang mana ibu bapanya pernah lalui ketika menjaga dirinya.

Turut Disyorkan Jasad penghafaz al-Quran dijaga hingga akhir hayat

Baca Juga Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

“Biasanya anak -anak akan berdepan isu seperti ibu bapa mereka membuat perbandingan dengan anak-anak lain selain faktor persekitaran iaitu keadaan rumah yang kurang selesa menyebabkan adakalanya anak itu tertekan.

“Naturalkan kembali rasa negatif dengan pemikiran rasional selain dibantu dengan jalani kaunseling atau berbincang dengan saudara lain untuk mendapatkan sokongan emosi,” katanya.

Didikan anak-anak
Panduan,

Jangan abaikan didikan anak-anak, ini tanggungjawab suami isteri

Oleh DR NAEMAH HAMZAH

SEJAK pandemik Covid-19 mula dikesan pada hujung tahun lalu, kesannya dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia. Ia masih belum berakhir sehingga kini.

Bukan sahaja memberi kesan kepada kegawatan ekonomi, tetapi tempias pandemik turut terkena juga dalam hal keluarga.

Bercakap mengenai famili, dalam meniti suasana yang begitu mencabar kini, suami isteri perlu mengukuhkan hubungan kekeluargaan dengan menjalankan hak dan tanggungjawab secara bersama.

Secara teori, suami dan isteri menjalankan fungsi yang berbeza. Suami misalnya, bertanggungjawab menyediakan mas kahwin, mencari nafkah keluarga dan berbuat baik kepada ahli keluarga, manakala isteri wajib mentaati suami serta menjaga dan menguruskan kebajikan rumah tangga.

Namun begitu, berdasarkan ilmu fiqh Islam, terdapat hak dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan secara bersama bagi memastikan perjalanan rumah tangga yang baik dan seimbang. Ia merangkumi tiga perkara yang perlu dititikberatkan.

Pertama, hak dan tanggungjawab untuk saling menyayangi antara satu sama lain.

Dalam hidup berumah tangga, ia semestinya didasari perasaan kasih sayang bersesuaian dengan hikmah perkahwinan.

Menurut Imam al-Ghazali, suami isteri hendaklah memperelok akhlak dan hubungan bersama iaitu antara ibu, bapa dan anak atau suami dan isteri.

Semuanya mestilah disatukan dengan hubungan cinta yang istimewa iaitu sifat ar-Rahim.

Justeru, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini yang mana kebanyakan urusan kerja dilakukan di rumah, perlu dijadikan sandaran terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama.

Antaranya menganjurkan aktiviti dan program yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan bersama.

Selain itu, suntiklah keceriaan seperti mengajar anak di rumah, solat berjemaah, membaca al-Quran dan perkara lain yang mendatangkan manfaat bersama-sama.

Didikan anak-anak

Kedua, merujuk kepada hak mendapatkan kepercayaan dan menjaga maruah rumah tangga.

Dalam hal ini, untuk memperoleh kebahagian, suami dan isteri harus mempunyai sikap saling mempercayai antara satu sama lain, hormat-menghormati dan sentiasa berbaik sangka dalam urusan kehidupan.

Bermuhasabah

Janganlah membuat tuduhan membuta tuli sehingga menyebabkan pertengkaran yang akhirnya membawa kepada perceraian gara-gara sifat cemburu yang keterlaluan.

Ketiga, hak menjaga dan mendidik anak-anak. Setiap pasangan yang berkahwin berharap agar dikurniakan cahaya mata sebagai penyambung zuriat dan pengikat kasih antara mereka. Malah, salah satu daripada fungsi perkahwinan adalah untuk melahirkan generasi yang soleh.

(Artikel berkaitan: Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah)

Pendidikan anak-anak, menurut Mohd Hamid dan Khaulah (1994)termasuklah dari aspek jasmani, rohani, agama, akhlak, masyarakat dan akal.

Lantaran itu, Islam mewajibkan ibu bapa memberi nafkah dan mendidik anak-anak supaya taat kepada perintah ALLAH SWT dan berakhlak mulia.

Menurut al-Buty, pendidikan utama anak-anak sebenarnya bermula dari rumah. Al-Qardawi juga menegaskan bahawa pekerjaan yang lebih utama bagi wanita adalah mendidik dan menyiapkan generasi muda pada masa hadapan.

Walaupun secara teorinya tanggungjawab menjaga dan mendidik anak kelihatan diletakkan sepenuhnya kepada ibu, namun Rasulullah SAW menggalakkan tugasan itu dilaksanakan secara bersama.

Tanggungjawab mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan seorang diri terutama dalam era pandemik ini.

Perkara itulah yang mencabar kreativiti suami isteri untuk mendidik anak-anak di rumah, di samping menjalankan tugasan kerja.

Didikan anak-anak

Anak-anak memang tidak boleh dilekakan dengan gajet untuk menonton video atau bermain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya anakmu mempunyai hak terhadap dirimu.” (Riwayat Muslim)

Sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW kasih kepada anak-anak baginda dan turut sama mendidik mereka dengan akhlak yang mulia.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang dekat darimu.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan berkenaan, jelaslah bahawa pasangan suami isteri perlu menggalas tugas berat itu secara bersama. Didiklah anak dengan berkesan bagi mengembangkan potensi diri mereka.

Sedar atau tidak, kehadiran suami sebenarnya membantu menyalurkan pendidikan psikologi kepada anak terutamanya anak lelaki.

Ketegasan suami sebagai bapa juga mampu mengurangkan masalah keruntuhan akhlak anak remaja melalui pemerhatian dan pemantauan yang berterusan.

Oleh itu, suami isteri mestilah meluangkan masa khusus untuk bersama keluarga, memantau perkembangan anak dan mencurahkan kasih sayang.

Hakikatnya, tugasan dalam mendidik generasi soleh tidak boleh berjaya sekiranya dilakukan secara berseorangan oleh wanita.

Apatah lagi, ramai wanita kini yang bekerja dan sebahagian besar masa dihabiskan untuk memikirkan urusan di pejabat.

Fenomena itu boleh merencatkan perkembangan anak yang sihat jika tidak mempunyai gandingan yang mantap antara kedua-duanya.

Justeru, suami isteri diseru agar terus menjalankan hak dan tanggungjawab secara bersama tanpa saling menyalahkan antara satu sama lain apabila terdapat masalah dan kekurangan yang berlaku.

Duduklah bersama dan bermuhasabah tentang tanggungajwab yang perlu dijalankan.
​​​​​​​
Rumah tangga yang penuh mawaddah dan rahmah adalah impian semua. Banyakkan berdoa agar diberikan rumah tangga yang bahagia di dunia dan akhirat.

***Dr Naemah Hamzah ialah Penolong Pengarah, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia

Foto: 123rf dan Freepik