Browsing Tag

cuai

Amanah
Isu,

Abaikan amanah dilabel munafik dan tidak sempurna iman

SIFAT amanah sememangnya tidak dapat lari daripada kehidupan manusia. Boleh dikatakan setiap insan menanggung bebanan tugas saban hari termasuk kewajipan sebagai seorang Muslim terhadap Sang Pencipta, tanggungjawab sebagai seorang ibu, bapa, nenek, datuk, anak, cucu, masyarakat dan sebagainya.

Begitu juga dalam hal pekerjaan sama ada sebagai majikan mahupun pekerja. Semua orang mempunyai peranan dan fungsi masing-masing yang perlu dilunaskan dengan sebaik-baiknya serta tidak sesekali mengabaikannya.

Penulis teringat tentang insiden kekecohan pada minggu lalu apabila wang bantuan awal persekolahan lebih RM100,000 lesap dilarikan penjenayah. Dalam kejadian yang berlaku di Beranang, Selangor itu, guru besar sebuah sekolah mengeluarkan duit dari sebuah bank di Semenyih.

Baca juga Bolehkah guna wang bantuan pihak sekolah untuk beli telefon?

Wang tunai yang diletakkan dalam sebuah beg itu kemudian ditinggalkan dalam kereta, sementara guru besar tersebut singgah membeli minuman.

Selang 10 minit, beliau mendapati cermin kereta di bahagian kanan kerusi penumpang belakang pecah dan beg berisi wang tunai tersebut hilang.

Insiden itu menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet lantaran kecuaian menjalankan amanah. Bukan mahu menuding jari kepada sesiapa, tetapi kejadian itu memberikan iktibar buat semua betapa besar dan berat sebuah amanah.

Bahkan, Islam juga begitu menitik beratkan sifat tersebut dalam apa jua perkara yang makruf termasuk ketika bekerja.

Adakah amanah itu cukup sekadar melunaskan tugasan yang dipertanggungjawabkan sahaja? Bagaimana jika berlaku kecuaian hingga menyebabkan kejadian tidak diingini?

Jauhi sikap sambil lewa

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ustaz Muhidin Mokter untuk mengupas lanjut tentang topik berkenaan.

USTAZ MUHIDIN

Beliau menjelaskan, amanah merupakan suatu keperibadian penting dalam proses membentuk masyarakat madani.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Malah katanya, sifat luhur itu berupaya melahirkan budaya kerja yang efektif dalam melaksanakan suatu tanggungjawab dan mendorong kepada kejayaan sesuatu kerja.

“Andai sikap itu tidak dipasakkan dalam diri, maka akan berlaku ketirisan, penyelewengan atau sebarang penyalahgunaan yang akhirnya akan menyebabkan kegagalan satu tanggungjawab yang sepatutnya disempurnakan.

“Misalnya, projek yang dipertanggungjawabkan tidak berjaya disempurnakan pada waktu ditetapkan, kualiti hasil kerja tidak menepati spesifi kasi sepatutnya dan lebih parah lagi apabila gagal menyerahkan hak orang yang sepatutnya menerimanya,” katanya baru-baru ini.

Ujar penceramah itu, begitu besarnya darjah sebuah kejujuran kerana ia banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya ALLAH SWT berfi rman: “Sungguh, ALLAH menyuruhmu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sungguh, ALLAH sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sungguh, ALLAH MAHA MENDENGAR,MAHA MELIHAT.” (Surah an-Nisa, ayat 58)

Bukan itu sahaja, dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada iman yang sempurna bagi orang yang tidak memiliki sifat amanah, dan tidak ada agama yang sempurna bagi orang yang tidak menepati janji.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menyambung hujahnya, Ustaz Muhidin memperbetulkan persepsi segelintir orang yang menganggap bahawa ‘asal kerja siap dikira cukup baik’, tetapi mengabaikan aspek lain seperti ‘mengular’ ketika waktu bekerja, bersembang dan sebagainya.

Baca juga Lakukan 3 Perkara Ini Agar Kita Tak Khianati Amanah Ketika Bekerja Dari Rumah

“Ketahuilah bahawa Islam begitu menekankan sikap bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam melaksakan tugasan dan tanggungjawab.

“Ini kerana semua itu akan dipertanggungjawabkan, bukan hanya ketika hidup di dunia ini, malah di akhirat nanti.

Amanah

RANCANG pekerjaan yang diamanahkan dengan sebaiknya agar memenuhi spesifikasi dan waktu ditetapkan. -FOTO: FREEPIK

“Justeru, tidak sepatutnya seorang pekerja bersikap sambil lewa, tidak serius, bersembang sehingga mengabaikan tugasan,” terangnya.

Berusaha sebaiknya

Adakalanya ketika bekerja berlaku kecuaian hingga menyebabkan perkara tidak diingini terjadi. Adakah perbuatan itu dianggap sebagai tidak amanah?

Menjawab persoalan itu, Ustaz Muhidin menjelaskan, seandainya seseorang sudah melaksanakan tugasan dengan cara terbaik mengikut peraturan ditetapkan tanpa sebarang kecuaian dan salah laku, maka syariat Islam tidak meletakkan kesalahan kepadanya.

Ini kerana, jelas beliau, individu berkenaan sudah pun melakukan pekerjaan sebagaimana sepatutnya.

“Kegagalan seperti faktor kejatuhan ekonomi di luar jangkaan, bencana Covid-19 dan seumpamanya tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kekandasan suatu tugasan.

“Jika ia disebabkan kecuaian, salah laku, ketidakpatuhan kepada peraturan, penyelewengan dan sebagainya, maka pihak tersebut dipertanggungjawabkan atas ‘kerosakan’ yang berlaku.

Baca juga Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

“Ingatlah, dalam melaksanakan amanah, ia mesti dilakukan dengan cara terbaik dan bertanggungjawab bagi memastikan kewajipan tersebut dapat disempurnakan. Namun begitu, kita harus sedar dan faham, manusia hanya mampu berusaha dengan sebaik-baiknya, selebihnya kejayaan dan kegagalan adalah dalam kuasa qada dan qadar ALLAH SWT,” katanya.

Sebelum menutup perkongsian ilmunya, agamawan itu mengingatkan agar kita tidak mensia-siakan amanah yang diberikan kerana ia merupakan satu kepercayaan seseorang untuk dilaksanakan sehabis daya.

Amanah

APA jua pekerjaan halal dilakukan, laksanakanlah dengan tekun dan bersungguh-sungguh kerana ada ganjarannya di sisi ALLAH SWT. -FOTO: FREEPIK

Bahkan, jelas beliau, Rasulullah SAW dalam satu riwayat masyhur memberi amaran bahawa mereka yang mengabaikan tanggungjawab tersebut bukan setakat melakukan satu kesalahan

besar dan perbuatan haram bahkan dilabel sebagai orang munafik.

“Baginda juga menyifatkan orang yang tidak amanah sebagai tidak beriman. Demikian sabda baginda dalam sebuah hadis lain,” katanya.

Tuntasnya, jelas beliau, perbuatan tidak amanah merupakan satu pengkhiatan dan ia adalah haram serta berdosa.

Baca juga Apabila amanah disia-siakan, petanda kiamat kian hampir

“Malah, ia satu bentuk kezaliman kerana menyebabkan pihak tidak sepatutnya mendapat khidmat atau dinafi kan hak mereka dengan pengkhianatan dilakukan.

“Tidak berlaku amanah adalah satu tindakan yang membawa kehancuran sistem keadilan dalam masyarakat apabila berlaku penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” tegas beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

***Foto: Pexels