Browsing Tag

Cemburu

Cemburu
Gaya Hidup,

Benarkah kita tak dibenarkan cemburu?

LUMRAH kehidupan berumah tangga, adakalanya pasangan suami atau isteri menyimpan perasaan cemburu. Sememangnya itulah fitrah setiap insan.

Sikap itu tidak terkecuali hadir dalam diri Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW.

Antaranya hadis diriwayatkan daripada Abu Hisyam RA bahawa Khaulah binti Hakim merupakan antara wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, melihatkan keadaan itu maka Aisyah RA pun berkata: “Adakah wanita-wanita ini tidak berasa malu dalam menawarkan diri kepada lelaki untuk dikahwini?” Maka apabila turunnya ayat al-Quran (Surah al-Ahzab, ayat 50-51), Aisyah pun berkata: “Wahai Rasulullah, aku melihat Tuhanmu (ALLAH SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.” (Sahih al-Bukhari)

Dalam lafaz yang lain diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa: “Aku merasa cemburu kepada wanita-wanita yang menawarkan diri untuk dikahwini oleh Nabi Muhammad SAW, dan aku berkata; “Patutkah seorang wanita menawarkan dirinya kepada lelaki untuk dikahwini?” Tatkala ALLAH SWT menurunkan ayat 50 dan 51, Surah al-Ahzab, aku berkata; “Demi ALLAH aku melihat Tuhanmu (ALLAH SWT) begitu cepat sekali memenuhi kehendak dan keinginanmu.” (Sahih Muslim)

Baca juga Gara-gara cemburu, ilmuan hebat Islam, Ibnu Rusyd dipinggirkan. Kecemburuan itu kerana kehebatan dan sumbangan perdananya dalam banyak bidang

Bagaimanapun, memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-428: Hadith Aisyah Cemburu Kerana Ramai Wanita Ingin Mengahwini Nabi yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kata-kata yang diungkapkan oleh Aisyah dalam hadis berkenaan perlu difahami dengan baik agar kita tidak berburuk sangka terhadap keperibadian Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda itu.

Cemburu

JANGAN terlalu cemburu dengan pasangan secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan situasi ketegangan. -FOTO: 123RF

“Menurut Imam al-Nawawi, ungkapan Aisyah itu bermaksud ALLAH SWT memberi keringanan, keluasan dan pilihan kepada baginda dalam banyak perkara.

“Pada pandangan Imam al-Qurtubi pula, ucapan Aisyah itu muncul disebabkan oleh rasa cemburu (al-ghirah) dan rasa ingin bermanja dan dipujuk oleh Nabi Muhammad SAW (al-dallal) dan hal ini dapat dilihat dalam keadaan lain berdasarkan hadis-hadis yang pernah diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Bukhari,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel tersebut.

Sifat tersebut bagaimanapun ada baik dan buruknya dalam situasi-situasi tertentu.

Memetik laporan portal berita berpengaruh Indonesia, Republika, kitab Tuhfah al-Arusain karangan Majdi bin Manshur bin Sayyid ash-Syuri menjelaskan, cemburu merupakan antara ciri fitrah seorang isteri.

“Oleh sebab itu, lelaki atau para suami harus memahami pasangan mereka apabila dilanda perasaan tersebut.

“Namun, sifat curiga berlebihan juga merupakan perbuatan tercela,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Republika.co.id.

Antara sifat cemburu yang disenangi oleh ALLAH SWT adalah ‘hasad’ dalam perkara syubhat, manakala hasad yang dibenci-NYA adalah hasad kepada perkara tidak syak.

Cemburu yang dibenarkan

Dari perspektif agama, sifat cemburu itu dibolehkan dalam hal-hal tertentu.

Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, kita dibolehkan bersikap demikian jika sifat itu diuruskan untuk tujuan yang positif tanpa menjatuhkan seseorang.

Cemburu

CEMBURU hanya dibenarkan untuk tujuan yang positif tanpa menjatuhkan seseorang seperti bersifat sedemikian untuk menjadi orang yang mempunyai banyak wang untuk bersedekah. -FOTO: 123RF

“Umpamanya, kita cemburu untuk menjadi orang yang pandai atau mempunyai wang yang banyak untuk kita bersedekah dan berqiamullail.

Baca juga Indahnya pemergian sang hamba, bila husnul khatimah miliknya dicemburui seisi dunia

“Ia dipanggil al-hibtoh, cemburu yang positif. Adapun, cemburu yang hendak menjatuhkan orang pula, ia diharamkan oleh syarak,” katanya.

Dalam perihal mencemburui pasangan, Imam al-Ghazali menyenaraikan beberapa riwayat dan mutiara kata sebagai pedoman kita bersama sebagaimana dipetik menerusi portal islam.nu.or.id.

Antaranya daripada Jabir bin Atik, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Cemburu yang disukai Allah ialah kecemburuan berisi keraguan (bertempat, tidak melulu) sedangkan yang dibenci Allah ialah kecemburuan yang tidak ragu-ragu lagi (tidak bertempat, melulu).” (Riwayat Abu Daud)

Imam al-Ghazali turut memetik bait mutiara yang pernah dibutirkan oleh Saidina Ali bin Abu Talib RA agar pasangan suami isteri jangan sering curiga atau cemburu antara satu sama lain.

“Ini kerana ia tidak baik dalam hubungan pasangan yang berumah tangga,” katanya dipetik dalam artikel disiarkan laman web islam.nu.or.id.

Kata khalifah Islam keempat itu turut menitipkan pesan agar: “Jangan banyak cemburu kepada keluargamu sehingga kamu menuduh buruk. Adapun mencemburui sesuatu tempat, sudah tentu ia harus dan terpuji.”