Browsing Tag

cecair

cecair wanita
Ibadah,

Kenali 10 cecair yang keluar dari wanita, ada yang membatalkan solat

Kenali 10 cecair yang keluar dari wanita, ada yang membatalkan solat

“EH, semalam ‘check’ macam sudah tak ada kesan darah. Tetapi masuk tengahari tiba-tiba ada pula kesan kekuningan. Ini keputihan atau masih darah haid? Kelirulah.”

Ramai wanita memang keliru apabila timbul isu sebegini. Apalagi perkara ini tidak boleh dibawa main kerana agama melarang kita melakukan ibadah tertentu jika mengalami hadas besar.

Dalam hal ini, kaum Muslimah terutamanya perlu lebih prihatin memandangkan ada pelbagai cairan selain darah haid yang boleh keluar daripada faraj dek proses biologi semulajadi.

Baca juga Rupanya sudah 15 tahun ibadah tidak sah gara-gara tidak sempurna mandi wajib

cecair wanita

MUSLIMAH perlu ambil tahu tentang perkara ini untuk memastikan ibadah sah dan diterima oleh ALLAH. Foto: Pexels

Sebagaimana dikongsikan oleh seorang warga maya, Husna Ghani di Instagram, ada 10 jenis cecair yang boleh keluar daripada faraj wanita.

Tambahan, setiap daripada cecair tersebut mempunyai hukum berbeza dari sudut najis dan bagaimana ia boleh dikategorikan sebagai hadas besar atau hadas kecil.

ARTIKEL BERKAITAN

Proses semulajadi wanita
1. Air kencing.
Cecair yang pertama adalah air kencing. Air kencing dikira sebagai najis yang berhadas kecil. Jadi jika ia terkena pada badan, pakaian ataupun tempat solat, maka solat yang didirikan menjadi tidak sah.

Oleh itu, cecair ini perlu dicuci sehingga bersih, kemudian barulah boleh menunaikan ibadah seperti biasa.

2. Air mazi.
Manakala kedua pula ialah air mazi. Warnanya putih, halus dan melekit. Kebiasaannya, cecair ini akan keluar ketika mula-mula wanita naik syahwat.

Dari segi hukum, air mazi adalah najis tetapi tidak dianggap berhadas besar. Oleh itu, tidak perlu melakukan mandi wajib untuk menunaikan ibadah. Sebaliknya, hanya perlu membersihkan kemaluan dan seterusnya mengambil wuduk seperti biasa.

cecair wanita

KELUARNYA cecair daripada wanita merupakan suatu fenomena biologi normal. Foto: Pexels

3. Air mani.
Yang ketiga pula ialah air mani. Air mani ini biasanya keluar dengan cara memancut. Warnanya pula putih dan pekat serta akan keluar apabila seorang wanita berada pada tahap syahwat paling kemuncak.

Untuk pengetahuan, air mani dianggap suci namun keluarnya cecair ini adalah hadas besar. Maka, wanita itu perlu melaksanakan mandi wajib terlebih dahulu sebelum hendak beribadat.

4. Air wadi.
Seterusnya, air wadi merupakan sejenis cairan yang keruh dan pekat. Kepekatannya hampir sama dengan air mani. Yang berbeza adalah dari sudut kekeruhan warna air wadi yang tidak berwarna.

Air wadi biasanya keluar selepas kencing ataupun apabila kita mengangkat benda berat. Tidak semua wanita alami air wadi. Selain itu, hukum bersuci bagi cecair ini adalah sama seperti air kencing.

5. Keputihan.
Yang kelima ialah keputihan. Keputihan ini biasanya warna putih ataupun kadang-kadang warna kuning cair yang keluar daripada batin faraj. Kalau warna kuning cair itu keluar dalam tempoh haid, maka ia dihukumkan sebagai haid.

Tetapi jika ia keluar di luar waktu haid maka keputihan itu dikira suci. Selain itu, keputihan adalah najis dan ia perlu bersihkan dahulu sebelum beribadat.

ILMU itu dikongsikan oleh seorang wanita bernama Husna Ghani di laman Instagram miliknya. Foto: husnaghani_/Instagram

6. Darah haid.
Kemudian, yang keenam adalah darah haid. Darah haid adalah darah semulajadi yang keluar daripada rahim wanita dalam tempoh tertentu.

Hukum darah haid adalah najis yang berhadas besar. Ketika haid, wanita dihalang daripada melakukan ibadah tertentu seperti solat dan melafazkan ayat suci al-Quran.

Umum mengetahui bahawa sebaik sahaja seorang wanita selesai daripada kitaran haidnya, dia perlu melakukan mandi wajib sebelum boleh menunaikan ibadah semula.

7. Darah nifas.
Cecair ketujuh ialah darah nifas. Darah nifas keluar setelah kosongnya rahim selepas kehamilan.

Dalam pada itu, tidak semestinya perlu keluar bayi baru berlaku darah nifas. Sekalipun ia hanya segumpal darah ataupun seketul daging, namun jika telah disahkan sebagai janin oleh doktor, maka darah yang keluar selepas itu turut dihukumkan sebagai darah nifas.

Hukum bersuci adalah sama seperti darah haid.

8. Darah istihadah.
Yang kelapan, darah istihadah ataupun darah fasad. Secara ringkas, ia adalah darah yang keluar bukan dalam tempoh haid ataupun nifas.

Dari segi hukum, wanita yang mengalami darah istihadah boleh menunaikan ibadat seperti biasa sebagaimana dilakukan ketika dalam keadaan suci.

9. Darah at-Talaq.
Darah jenis ini keluar ketika wanita sakit hendak bersalin (contraction). Jika darah itu keluar bersambung dengan haid maka ia dikira haid.

Namun, andai darah itu keluar dan tidak bersambung dengan haid sebelumnya, maka ia dihukumkan sebagai istihadah dan wajib solat seperti biasa.

10. Darah wiladah.
Yang terakhir adalah darah wiladah. Darah ini keluar bersama ketika melahirnya seorang bayi. Sama juga dengan situasi darah yang keluar bersama segumpal darah ataupun seketul daging bagi wanita yang keguguran.

Kalau wanita itu periksa dan tidak ada darah nifas yang keluar selepas dia bersalin, maka dia hendaklah mandi wajib kerana darah wiladah serupa dengan keadaan janabah.

Justeru, kaum Muslimah harus ambil tahu 10 jenis cecair ini untuk memastikan ibadah anda sah dan diterima ALLAH.

Sumber: Instagram Husna Ghani

Foto: Pexels & Instagram