Browsing Tag

cara sambut Israk dan Mikraj

Israk dan Mikraj
Gaya Hidup,

Ini cara terbaik sambut peristiwa Israk dan Mikraj

MENGIKUT kalendar Hijrah, Israk dan Mikraj pada tahun ini jatuh pada 18 Februari. Ia merupakan detik penting dalam sejarah Islam.

Masakan tidak, tanggal 27 Rejab menjadi saksi kepada satu lagi mukjizat agung yang dikurniakan ALLAH SWT kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW.

Secara ringkasnya, Israk merupakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menaiki buraq, manakala Mikraj pula bermula daripada Masjid al-Aqsa hingga ke Sidratulmuntaha.

Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, Ustaz Che Muhammad Amin Che Soh menjelaskan, perjalanan agung itu berlaku ketika tahun kesedihan Rasulullah SAW selepas kehilangan dua insan tersayang iaitu isteri baginda, Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib.

USTAZ CHE MUHAMMAD AMIN

Sepanjang ‘kembara’ tersebut, baginda diperlihatkan dengan beberapa kaum yang mendapat balasan akibat dosa yang dilakukan, ungkapnya.

Baca juga 7 perkara luar biasa yang dilihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj

“Istimewanya, baginda menaiki buraq ketika perjalanan tersebut. Ada riwayat menyatakan, buraq merupakan antara kenderaan syurga. Orang Islam yang bakal ke jannah kelak akan merasai tunggangan itu nanti.

“Dalam perjalanan Mikraj pula, baginda bertemu dengan para nabi di setiap lapisan langit sehingga ‘bertemu’ ALLAH di Sidratulmuntaha,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika itulah, ujar Ustaz Che Muhammad Amin, Nabi Muhammad SAW menerima pensyariatan solat sebanyak 50 waktu sebelum akhirnya menjadi lima waktu sahaja.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Bumbung rumahku terbuka ketika aku berada di Makkah, lalu turun Malaikat Jibril. Kemudian dia memegang tanganku lalu membawaku naik ke langit. Maka ALLAH telah memfardukan 50 solat ke atas umatku. Lalu aku berulang-alik menemui-NYA, maka ALLAH menyatakan bahawa lima solat menyamai 50 solat, tidak diubah lagi pernyataan itu untukku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lantaran itu, peristiwa Israk dan Mikraj begitu signifikan terhadap umat Islam. Ini kerana ia menyaksikan perintah solat difardukan ke atas setiap umatnya.

Baca juga Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj

Meskipun ada pandangan lantang menyatakan, tiada sambutan Israk dan Mikraj ketika zaman nabi mahupun para ulama generasi salafussoleh, namun Ustaz Che Muhammad Amin mempunyai perspektifnya yang tersendiri.

Israk dan Mikraj

PENSYARIATAN kefarduan solat berlaku ketika peristiwa Israk dan Mikraj. -FOTO: 123RF

Jelas beliau, wajar untuk umat Islam menyambutnya sebagai tanda ingatan dan manifestasi untuk kita mengagungkan kefarduan solat berkenaan.

“Bayangkan Rasulullah SAW ‘berjumpa’ ALLAH dalam peristiwa berkenaan untuk membawakan solat kepada kita,” katanya.

Justeru, ujar beliau, tidak salah untuk kita mengadakan sambutan Israk dan Mikraj dengan cara mengadakan ceramah mahupun tazkirah yang membutirkan tentang kisah penting itu kepada umat Islam.

“Ia sebagai mengingatkan kepada Muslim tentang asal usul solat, maksud sembahyang dan sebab apa kita wajib tunaikannya. Itulah yang sebaik-baiknya.

“Tidaklah nanti kita melaksanakan perintah ALLAH itu hanya sekadar mengikut-ngikut orang saja.

Baca juga Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…

“Lebih-lebih lagi pada zaman masyarakat sekarang yang terdedah dengan pelbagai cabaran. Jadi perlu diterapkan dengan budaya Islam yang unggul tentang perayaan peristiwa penting ini,” ungkapnya.

Israk dan Mikraj

SAMBUTAN Israk dan Mikraj boleh dilakukan dengan cara mengadakan ceramah mahupun tazkirah yang membutirkan tentang kisah penting itu kepada umat Islam.-FOTO: UNSPLASH

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva