Browsing Tag

Cara sambut Aidilfitri

Cara sambut Aidilfitri
Gaya Hidup,

Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW

Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW

AIDILFITRI bakal menyusul tidak lama lagi. Sama ada hari Jumaat atau Sabtu ini, sama-samalah kita nantikan pengumuman rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam ini.

Apa yang pasti, kedatangan Syawal itu menandakan bulan Ramadan akan pergi meninggalkan kita.

Jauh dari hati yang paling dalam, terselit perasaan sayu apabila bulan yang sering dinanti-nantikan itu akan berlalu.

Pun demikian, Syawal tetap perlu dirayakan dengan kegembiraan dan penuh kesyukuran sebagai tanda meraikan kemenangan selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa sepurnama lamanya.

Baca juga Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat

Bagi kanak-kanak, lebaran inilah saat yang dinanti-nantikan. Ini kerana mereka dapat memakai pakaian baharu, bertemu sanak saudara dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang bermain mercun dan bunga api sebagai tanda kegembiraan merayakan Aidilfitri.

Meskipun tidak salah berbuat demikian, namun apalah kiranya andai tindak-tanduk atau sambutan yang dibuat itu mendatangkan tambahan ‘saham’ buat kita pada hari akhirat kelak.

Caranya adalah dengan mencontohi atau meneladani sunnah Rasulullah SAW.

Berikut Sinar Islam Plus menyenaraikan cara menyambut Aidilfitri mengikut sunnah Baginda SAW sebagaimana dipetik menerusi laman web iium.edu.my:

1. Bertakbir.

Cara sambut Aidilfitri

SEBAIK sahaja terlihatnya anak bulan dan pengumuman Aidilfitri dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, laungkanlah takbir hari raya. -Foto: Bernama

Laungkanlah takbir pada tarikh 1 Syawal bersempena dengan Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya iaitu ketika imam selesai berkhutbah.

Baca juga Jangan tinggalkan amalan sunah Aidilfitri walau hanya beraya di rumah

Disunatkan juga untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri.

2. Mengucapkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Demikianlah yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam dengan ungkapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’.

Namun, yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi Muhammad SAW adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani Rahimahullah yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair RA, katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalanmu).” (Fath al-Bari)

3. Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah seperti qiam Ramadan, seharusnya ia juga diteruskan pada hari-hari berikutnya.

4. Mandi pada pagi hari raya.

Kita disunatkan berbuat demikian sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Cara sambut Aidilfitri

JAMAHLAH walaupun sedikit makanan sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. -Foto: 123rf

Perkara itu juga sunnah dilakukan. Ia bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.

Kebiasaannya, Rasulullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, kita bebas memakan apa sahaja, cuma mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya.

6. Memakai pakaian yang indah.

Baca juga Usah Bermewah-mewah, Melaram Dan Berlebih-lebihan Ketika Sambut Aidilfitri

Umat Islam disunatkan menghiasi diri dnegan pakaian yang indah-indah pada Aidilfitri mengikut kemampuan diri.

7. Berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri.

Jika rumah jauh dengan surau atau masjid, dibolehkan untuk menggunakan kenderaan, cuma lebiuh afdal jika berjalan kaki.

8. Mengikut jalan berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat Aidilfitri.

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Nabi Muhammad SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Cara sambut Aidilfitri

JIKA berkemampuan, berjalan kakilah ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. -Gambar hiasan/Foto: Unsplash

9. Tempat pelaksanaan solat Hari Raya Aidilfitri.

Sunnah untuk mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin).

10. Mengerjakan solat Aidilfitri.

Ia merupakan antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri.

Baca juga Solat sunat Aidilfitri di rumah? Ketahui hukum-hakam dan panduan mudah untuk tunaikannya

11. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri.

Islam agama yang begitu praktikal dan munasabah. Selepas sebulan menumpukan ibadah kepada ALLAH, maka inilah masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.

Oleh sebab itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan dalam keluarga masing-masing pada Syawal adalah sebahagian daripada syiar Islam.

Cara sambut Aidilfitri

KETAHUILAH, apa jua usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan dalam keluarga masing-masing pada Syawal adalah sebahagian daripada syiar Islam. -Foto: 123rf

12. Mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Baca juga Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, lalu diiringi dengan puasa ena hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ayuh semarakkan Syawal kita dengan amalan-amalan sunnah tersebut. Semoga raya kita nanti akan diberkati oleh-NYA.