Browsing Tag

cara bersyukur

syukur kepada ALLAH
Gaya Hidup,

Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

ANDAI kata kita menerima hadiah daripada seseorang, pasti ada rasa syukur yang terbit di hati. Dalam masa sama, mulut turut menuturkan terima kasih atas tanda penghargaan terhadap pemberian tersebut.

Jika hanya dengan menerima hadiah tidak seberapa sudah mampu membuatkan kita rasa bahagia, bayangkan segala nikmat kecil dan besar yang ALLAH SWT telah kurniakan kepada kita setiap hari tanpa kita sedari.

Misalnya, udara segar untuk dihirup, kesihatan yang baik dan makanan yang dijamah waktu tengahari tadi, semuanya adalah ‘hadiah’ ALLAH ke atas hamba-hambaNYA. Jadi, sudahkah kita berterima kasih menzahirkan kesyukuran tertinggi kepada-NYA?

Baca juga Sahkah sujud syukur pemain bola Piala Dunia sedangkan kepala lututnya terjojol?

Turut disyorkan Dua nikmat yang sering kita lupa… 

Kata ulama terkemuka Imam al-Ghazali, syukur merupakan salah satu maqam (darjat) yang paling tinggi daripada sabar dan khauf (takut kepada ALLAH Taala).

Dengan rasa syukur yang hadir di jiwa, kita sebenarnya menjunjung tinggi nikmat yang diperolehi sambil mengagungkan Tuhan Yang Maha Pemberi.

Tetapi bagaimana caranya untuk kita menzahirkan kesyukuran kepada ALLAH SWT atas segala nikmat-NYA?

syukur kepada ALLAH

SUDAHKAH anda berterima kasih kepada ALLAH atas nikmat-NYA hari ini? Foto: 123RF

1. Bersyukur dengan hati.
Iaitu dengan mengakui dan mempercayai bahawa segala nikmat yang kita perolehi ini sama ada kecil, besar, banyak atau sedikit adalah daripada ALLAH SWT bukan yang lain. Walaupun, secara mata kasarnya kita melihat bahawa segala kenikmatan yang kita perolehi itu kadang datangnya dari manusia. Namun, perlu disedari bahawasanya manusia itu hanyalah sebagai perantara sahaja.

Firman ALLAH, “Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari ALLAH lah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-NYA lah kamu meminta pertolongan.” (Surah an-Nahl, ayat 53)

ARTIKEL BERKAITAN:

2. Bersyukur dengan lisan.
Iaitu dengan mengucapkan secara jelas ungkapan syukur itu berupa hamdalah; puji-pujian kepada ALLAH SWT dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ yang bermaksud ‘Segala Pujian bagi ALLAH’. .

Semakin banyak dan kerap kita panjatkan kesyukuran, maka semakin banyaklah nikmat lain yang akan kita perolehi kelak. Hal ini sepertimana janji ALLAH SWT dalam al-Quran:

Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memberitahu, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih’.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

syukur kepada ALLAH

ANTARA cara bersyukur kepada nikmat ALLAH adalah dengan mentaati segala perintah-NYA. Foto: 123RF

3. Bersyukur dengan amal perbuatan.
Iaitu dengan menggunakan nikmat tubuh badan seperti nikmat mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan dan kaki untuk hal-hal yang baik. Mata disyukuri dengan cara melihat setiap satu ciptaan ALLAH SWT serta merasai keagungan-NYA juga tidak melihat perkara-perkara yang diharamkan.

Telinga disyukuri dengan cara mendengar perkara yang baik-baik seperti bacaan al-Quran mahupun tazkirah. Lidah pula disyukuri dengan cara memperbanyakkan zikrullah ataupun ucapan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Seterusnya, tangan disyukuri dengan cara menggunakannya untuk tujuan yang baik seperti membantu orang lain yang memerlukan. Nikmat perut disyukuri dengan cara memakan makanan yang halal dan tidak membazir.

Manakala nikmat seksual pula disyukuri dengan cara menggunakannya hanya pada yang halal sahaja iaitu antara suami dan isteri yang telah sah diijab kabulkan. Dan, kaki pula disyukuri dengan cara menggunakannya ke tempat yang baik seperti majlis ilmu atau masjid.

Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

Turut disyorkan Ucaplah terima kasih kepada ALLAH dengan bersujud syukur. Berikut perinciannya.

4. Bersyukur dengan nikmat pemberian.
Iaitu dengan cara memanfaatkan segala nikmat yang dikurniakannya berupa harta benda, wang ringgit, masa mahupun ilmu, ke jalan yang diredai oleh ALLAH SWT.

Harta yang banyak boleh diinfakkan untuk mereka yang memerlukan. Nikmat ilmu yang diperolehi pula boleh dikongsi dan diajarkan kepada orang lain. Manakala nikmat masa pula digunakan dengan cara yang sebaiknya dan tidak sia-sia.

Begitulah antara beberapa perkara yang boleh kita laksanakan dalam mensyukuri segala nikmat pemberian ALLAH SWT ini. Syukur itu bukan hanya dizahirkan melalui harta benda, bahkan melalui rukuk dan sujud kita kepada ALLAH juga sudah membuktikan syukur serta taat kita kepada-NYA.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF