Browsing Tag

Buru lailatulqadar

Buru lailatulqadar
Berita Semasa,

Lebih baik fokus buru lailatulqadar, jangan terlalu sibuk dengan tarikh hari raya

Lebih baik fokus buru lailatulqadar, jangan terlalu sibuk dengan tarikh hari raya

BERBAKI lebih kurang lapan hari lagi bulan Ramadan, sewajarnya kita memberi tumpuan kepada lailatulqadar. Itulah malam yang digambarkan sebagai penuh limpahan keberkatan dan menakjubkan.

Malah, ia sering disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan sebagaimana firman ALLAH SWT: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 5)

Sayangnya, saat ini masih ada lagi individu yang terlalu sibuk dengan urusan tarikh Hari Raya Aidilfitri berbanding memburu lailatulqadar.

Meskipun sudah dijelaskan oleh beberapa mufti di negeri masing-masing dan para agamawan, malangnya isu berkenaan masih lagi bertebaran luas.

Baca juga Kita Raya awal lagi ke tahun ni? Hadam perbandingan data JUPEM tentang hilal Syawal

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS), Datuk Zamri Hashim turut menegur perkara itu.

ZAMRI

Jelas beliau, umat Islam sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada memburu malam al-Qadr daripada menyibukkan diri dengan meneka-neka tarikh Hari Raya Aidilfitri sama ada jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu depan.

“Sewajarnya kita patut mencontohi amalan dan semangat para salafussoleh yang sangat mengharapkan mereka hidup dalam bulan Ramadan sepanjang tahun.

“Ini kerana mereka tahu betapa besarnya nilai waktu malam dan siang dalam bulan Ramadan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook MUIS.

Dalam pada itu, Zamri yang juga Timbalan Mufti Perak itu mengingatkan agar umat Islam akur dengan ketetapan Majlis Raja-Raja dalam menentukan permulaan Syawal melalui rukyah dan hisab (kebolehmungkinan untuk melihat anak bulan) sebagai kaedah penting.

“Jangan terpengaruh dengan jangkaan tarikh Aidilfitri di negara lain. Ini disebabkan perbezaan matla’ dan metodologi yang berlainan dalam penentuan awal bulan hijrah di negara masing-masing.

“Malah, Islam memberikan hak kepada pihak beraotoriti dalam menentukan tarikh hari raya dan kalendar puasa bagi menjaga kesatuan umat Islam dalam menyambut musim ibadah dan perayaan bagi mencapai maqasid perayaan itu sendiri iaitu meraikan kebesaran dan syiar agama secara bersama dalam kalangan Muslim,” ujarnya.

Tanda-tanda lailatulqadar

Meskipun tidak diketahui bilakah tarikh dan waktu sebenar malam al-Qadr, namun pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid menjelaskan, terdapat banyak riwayat dan pandangan ulama mengenainya.

USTAZ BAKHTIAR FITRI

Bahkan Rasulullah SAW, katanya, memberi beberapa isyarat bahawa lailatulqadar berlaku pada 10 akhir Ramadan daripada malam-malam yang ganjil.

Baginda SAW bersabda: “Carilah malam al-Qadr pada 10 malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jelas pendakwah itu, antara tanda-tanda malam al-Qadr yang disebut dalam hadis adalah bulan terbit seperti potongan bekas simpanan air, suasananya sangat tenang, nyaman dan tenteram, tidak panas serta tidak sejuk.

“Pada keesokan harinya selepas berlaku lailatulqadar, disebutkan bahawa matahari terbit dengan sinaran yang tidak terlalu silau atau panas terik.

“Hanya ALLAH SWT sahajalah yang MAHA MENGETAHUI bilakah secara tepat berlakunya malam penuh rahmat itu” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Agamawan itu menambah, tarikh sebenar malam al-Qadr disembunyikan daripada pengetahuan hamba-NYA dengan hikmah-hikmah tertentu iaitu supaya manusia lebih gigih dan bersungguh-sungguh beribadah pada setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Bukan itu sahaja, manusia juga akan lebih menghargai pertemuan dengan malam itu. Sesuatu yang sukar dimiliki, pasti lebih disayangi dan dihargai.

“Begitu juga dengan lailatulqadar yang menjadi satu kenangan indah buat pemburunya,” ungkapnya.