Browsing Tag

Buat kebaikan

Buat kebaikan
Gaya Hidup,

Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

RAMAI yang menganggap sukar untuk buat kebaikan. Kebanyakan orang melihat sedekah beratus-ratus, berpuasa dan mendirikan solat sunat sebagai suatu amalan yang tidak ternilai.

Hakikatnya, ia bukanlah ukuran sebenar kebaikan tersebut. Malah, Islam sendiri merupakan agama yang tidak membebankan umatnya.

Ketahuilah bahawa buat kebaikan tidak semestinya dengan sesuatu yang grand.

Demikian kata pendakwah tersohor, Dr Fauzi Deraman ketika ditemui Sinar Islam Plus baru-baru ini di kediamannya di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, terlalu banyak kebaikan yang boleh dilakukan walaupun ia hanyalah kecil pada pandangan mata kasar.

Figura yang faqih dalam ilmu hadis itu kemudian mengambil beberapa contoh mudah yang boleh kita jadikan amalan sebagaimana disebut dalam kitab rujukan terkemuka, Riyadus Solihin.

DR FAUZI

“Terdapat 25 hadis yang disenaraikan di dalamnya. Semuanya bukan perkara-perkara berat pun. Malah, ada perbuatan yang sangat simple,” ungkapnya.

Baca juga Lakukan apa sahaja kebaikan kerana ALLAH SWT. Rugi jika beramal, tetapi tak dapat pahala…

Salah satu hadis yang begitu masyhur Riwayat Imam Muslim iaitu Nabi Muhammad SAW terlihat seorang lelaki bersenang-lenang di dalam syurga kerana dia mengalihkan sebatang dahan yang mengganggu perjalanan orang ramai.

“Ada riwayat mengatakan sebatang pokok. Itu sahaja kebaikannya pun boleh membawanya ke syurga. Masya-ALLAH, benda yang sangat simple,” tuturnya.

Selain itu, dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdalnya adalah ucapan Lailaha illallah dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan…” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Dr Fauzi menjelaskan, buang sampah yang ada di atas jalan pun berpahala.

“Malah, ia tidak semestinya dilakukan dengan tangan. Kadangkala tendang (sampah) dengan kaki pun boleh.

“Saya hendak nyatakan di sini, betapa mudahnya buat kebaikan. Tidak semestinya kena sesuatu yang besar,” katanya.

Satu lagi perkara yang tidak ramai orang terfikir adalah dengan memberi minum kepada anjing yang kehausan, ungkapnya.

Dalam sebuah hadis, kata Dr Fauzi, ada diceritakan tentang seorang lelaki sedang haus dan melalui di tempat perigi. Dia lantas turun ke bawah ambil air.

Buat kebaikan

MEMBERI anjing yang kehausan minum juga dikira sebagai satu bentuk kebaikan juga. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

“Apabila sudah naik ke tebing, dia melihat pula ada anjing mengelilingi pergi dan jilat tebing itu kerana kehausan. Tanpa berfikir panjang, dia turun semula untuk mengambil air dan bubuh di dalam kasutnya, lalu naik ke tebing dan memberi anjing tadi minum.

“Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa perbuatan mulianya itu menyebabkan ALLAH SWT mengampunkan dosanya.

“Begitu juga halnya dengan seorang wanita pelacur yang memberi anjing kehausan minum, ALLAH SWT mengampunkan dosanya,” terangnya panjang lebar.

Baca juga Ini maksud sebenar hadis tentang wanita pelacur beri anjing dahaga minum…

Bagaimana pula andai seseorang tidak berharta boleh melakukan kebaikan dan bersedekah?

Ketika menjawab tanda tanya itu, Dr Fauzi yang juga Naib Yang Dipertua 1 Persatuan Ulama Malaysia menjelaskan, perkara tersebut pernah disebutkan ketika Abu Dzar mengadu bahawa orang miskin tidak dapat bersedekah kerana tiada harta benda.

Daripada Abu Dzar RA: “Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.”

Baginda SAW bersabda: “Bukankah ALLAH SWT telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar makruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Buat kebaikan

BUAT kebaikan mudah walaupun hanya dengan bertasbih. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bukan itu sahaja, ujar Dr Fauzi lagi, senyum juga satu sedekah sebagaimana disebutkan dalam hadis lain.

Baca juga Besarnya kuasa sedekah hingga boleh panjangkan umur, terlindung daripada bahaya

“Jelaslah betapa mudahnya untuk kita berbuat kebaikan,” ungkapnya.

Sempena tibanya tahun baharu Maal Hijrah bermula waktu Maghrib ini, apa kata sama-sama kita semai azam untuk buat kebaikan walaupun tidak sebesar mana.

Semoga semua amalan yang kita lakukan dengan ikhlas kerana ALLAH SWT boleh dituai di akhirat kelak.