Browsing Tag

buah terlarang

Nabi Adam
Aqidah,

Sebenarnya bukan Hawa pujuk Nabi Adam AS makan buah terlarang, itu cerita mitos

SELAMA ini, kita sering mendengar kisah Nabi Adam AS makan buah terlarang di dalam syurga gara-gara pujukan isterinya, Hawa.

Dek kerana permintaan insan kesayangannya, maka akhirnya nabi pertama itu akhirnya ‘tunduk’ dan menunaikannya.

Ketahuilah bahawa versi cerita sebegitu sebenarnya adalah mitos semata-mata! Bukan Hawa yang memujuk Nabi Adam memakan buah terlarang yang dipanggil buah khuldi yang akhirnya perbuatan itu menyebabkan kedua-duanya terkeluar dari syurga.

Menjelaskan tentang hal itu, pendakwah Ustaz Adnin Roslan mengupas panjang mengenainya menerusi bebenang di Twitter miliknya.

Jelas beliau, mitos sejak zaman-berzaman itu wujud daripada Bible yang telah diseleweng.

USTAZ ADNIN

“Orang Barat yang kononnya mengaku mengangkat martabat wanita, memperjuangkan hak asasi mereka, namun mereka sendirilah yang menyeleweng Bible dan mendiskriminasi wanita dengan menuduh bahawa Hawa yang menggoda Nabi Adam untuk memakan buah khuldi,” katanya.

Baca juga Benarkah wanita tercipta daripada tulang rusuk lelaki, berikut perinciannya

Antara petikan Bible yang dimaksudkan berbunyi: “Perempuan itu melihat, bahawa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagi pula pohon itu menarik hati kerana memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia, dan suaminya pun memakannya. Maka terbukalah mata mereka berdua dan mereka tahu, bahawa mereka telanjang, lalu mereka menyemat daun pohon ara dan membuat cawat. Ketika mereka mendengar bunyi langkah Tuhan ALLAH, yang berjalan-jalan dalam taman itu pada waktu hari sejuk, bersembunyilah manusia dan isterinya itu terhadap Tuhan ALLAH di antara pohon-pohonan dalam taman…” (Bible. Kejadian 3. 6-8)

Melihat kepada pernyataan itu, ujar Ustaz Adnin, Bible yang terseleweng itu dengan jelas mengatakan, punca kepada malapetaka ialah Hawa yang kononnya beliau telah menipu suaminya dengan memberi buah dari pohon terlarang tersebut tanpa memberitahu bahawa ia dilarang.

Hakikatnya, jelas pendakwah itu, iblis merupakan punca kepada malapetaka berkenaan.

Nabi Adam

AL-QURAN sangat jelas menerangkan bahawa iblis menipu daya dan menggoda Nabi Adam dan Hawa hingga kedua-duanya tertipu dengan kelicikannya. -Foto: Canva

Godaan iblis

Jelas beliau, al-Quran sangat jelas memberitahu bahawa iblis menipu daya dan menggoda Adam serta Hawa. Malah, kedua-dua mereka tertipu dengan kelicikan makhluk ALLAH yang terkutuk itu.

Baca juga ENAM cara syaitan sesatkan manusia

ALLAH SWT berfirman: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana IA tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).”

“Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka berdua memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah AKU telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan AKU katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” (Surah al-A’raf, ayat 20)

Berdasarkan ayat itu, Ustaz Adnin berkata, ALLAH menyatakan jelas bahawa iblis yang menghasut Nabi Adam AS dan Hawa sehingga terjatuh dalam tipu dayanya.

“Malah, iblis juga yang menggoda dengan bersumpah kepada kedua-dua mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Adnin mengingatkan agar umat Islam tidak menyalahkan manusia pertama itu dan isteri baginda AS.

Ketahuilah bahawa sangat jijik tuduhan yang mengatakan Nabi Adam dan Hawa sebagai punca bagi segala masalah, sedangkan apa yang berlaku itu adalah sesuatu yang mereka tidak menduganya, ungkapnya.

Baca juga Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

“Para ulama mengatakan, Adam dan Hawa ialah manusia pertama yang digoda oleh iblis dan ia sangatlah licik sehinggakan mereka tidak sedar terhadap tipu daya tersebut.

Nabi Adam

IBLIS menamakan pohon terlarang dengan nama ‘Syajaratul Khuld’ yang bermaksud pohon keabadian, sedangkan ALLAH SWT langsung tidak pernah membubuh nama pada pokok berkenaan. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

“Antara lain, makhluk ALLAH yang terkutuk itu menggoda Adam dan Hawa dengan sesuatu yang ALLAH tidak sebutkan kepada mereka iaitu tentang hidup abadi di dalam syurga jika makan buah dari pohon terlarang.

“Dalam Surah Taha, ayat 118 hingga 120 jelas memperlihatkan, iblis menggoda Adam dan Hawa dengan tiga janji palsu iaitu kehidupan yang kekal, kerajaan syurga yang kekal dan menjadi penguasa, raja serta pemilik syurga,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, jelas penulis buku kerohanian itu, iblis turut menamakan pohon terlarang dengan nama ‘Syajaratul khuld’ yang bermaksud ‘pohon keabadian’.

“Ini satu pendustaan! ALLAH tidak pernah namakan pohon tersebut sebagai pokok khuldi dan satu lagi DIA juga tidak pernah menyatakan andai makan buah dari pohon berkenaan, mereka akan hidup kekal. Bahkan jikalau buah tersebut dimakan, ia tidaklah mendatangkan keabadian.

“Seperkara lagi, iblis ‘menghias’ tipu dayanya dengan bersumpah kononnya berniat baik kepada Adam dan Hawa. Namun, sebagaimana yang disebut oleh sebahagian ulama, Nabi Adam dan Hawa bersangka baik pada iblis dan akhirnya terikut hasutannya.

“Ini kerana Adam ialah manusia pertama yang menghadapi godaan iblis yang membinasakan. Baginda bukan digoda oleh syaitan biasa, tetapi dihasut oleh raja sang penggoda iaitu iblis laknatullah,” ujarnya.

Disebabkan peristiwa itu, kedua-dua pasangan suami isteri itu akhirnya telah diturunkan ke dunia dan memohon taubat kepada-NYA.

ALLAH SWT yang MAHA PENGAMPUN telah mengampunkan segala dosa mereka.

Nabi Adam

-Foto: Freepik

Ujian buat Nabi Adam dan Hawa

Apabila diteliti pada ayat 30, Surah al-Baqarah, bait kalam suci itu ALLAH SWT berfirman tentang penciptaan Adam di muka bumi sebagai khalifah.

Menurut laman web tanwir.id, proses penciptaan nabi pertama itu telah diatur cantik aturannya oleh Sang Pencipta.

Malah, ia menjadi bukti bahawa Adam bukanlah al-Basyar purba, tetapi al-Basyar yang telah disempurnakan menjadi manusia.

“Akal dan ilmu yang dimiliki oleh Adam membuktikan bahawa Baginda seorang manusia moden yang bertamadun,” katanya dipetik menerusi laman web berkenaan.

Artikel berkenaan turut menyebut, ALLAH SWT sebenarnya menguji Nabi Adam dan Hawa saat mereka diperintahkan untuk tinggal di syurga dengan segala macam kemudahan.

“Ia sama ada kesenangan itu akan membuatkan mereka berdua lupa atau tidak dengan salah satu larangan ALLAH tersebut. Boleh dikatakan pohon yang diharamkan itu sebenarnya adalah ujian ketaatan mereka.

“Pohon berkenaan menjadi ujian untuk Adam bahawa Baginda ialah manusia moden dan beradab, bukan lagi al-Basyar kuno. Meskipun Baginda AS diperdaya oleh syaitan, namun ia sebenarnya membuktikan bahawa Nabi Adam seorang insan yang bertakwa.

“Masakan tidak, apabila melakukan dosa, Baginda segera mengingati ALLAH SWT. Malah, Nabi Adam AS mengakui kesilapannya, menyesal dan memohon ampun kepada ALLAH SWT dan berjanji untuk tidak mengulanginya,” katanya.

Berdasarkan kisah benar bersumberkan al-Quran itu, tanwir.id menjelaskan, dapat disimpulkan Nabi Adam dan Hawa serta keturunan mereka mendiami bumi itu bukan disebabkan kedua-duanya makan buah dari pohon terlarang.

Sebaliknya, ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang. DIALAH yang merancang manusia untuk mendiami planet itu.

“Lantaran itu, buah khuldi bukanlah penyebab pengusiran Adam dan Hawa, tetapi sebahagian daripada proses kematangan Baginda dan khalifah di muka bumi ini,” terangnya.

***Foto: Freepik