Browsing Tag

bidaah

beraya sebulan
Berita Semasa,

Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

SETELAH sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga, maka pada Hari Raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira sebagai tanda kemenangan.

Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa ketika Nabi SAW sampai ke Madinah dan baginda mendapati penduduk di situ mempunyai dua hari yang mereka bergembira padanya. Lalu baginda bertanya: “Apakah dua hari ini?”. Jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”

“Kemudian, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya ALLAH telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga “Asyik-asyik balik kampung awak saja…”, ketahui pandangan agama tentang ‘perang’ pulang beraya

Manakala, dalam riwayat yang lain, Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dan terlihat dua orang hamba perempuan dari kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as. Lalu Abu Bakar berkata: “Mengapa seruling Syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?” Lalu baginda bersabda, “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW

beraya sebulan

Baca juga Ziarah kubur di hari raya, kenapa Islam anggap Bidaah?

Hari Raya adalah hari bergembira

Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan bahawa menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah antara syiar agama.

Malah cendekiawan Islam, Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, agama mengalakkan umat Islam untuk saling memberi dan menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan daripada kepenatan ibadat.

Justeru, para Muslim sangat dianjurkan agar ziarah-menziarahi dan menyambung silaturahim sebagaimana dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi SAW.

beraya sebulan

HARI Raya Aidilfitri bertujuan untuk meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Foto: Unsplash

Raya hanya sehari
Pun begitu, keraian Aidilfitri yang diamalkan masyarakat Islam di Malaysia kini tidaklah serupa dengan sambutan Hari Raya sepertimana diraikan zaman Rasulullah.

Umum mengetahui bahawa sambutan Hari Raya di Malaysia boleh dikatakan dirai hampir sebulan penuh Syawal. Sepanjang bulan tersebut, rata-rata umat Islam akan melakukan aktiviti ziarah menziarahi, rumah terbuka dan sebagainya.

Maka tidak hairanlah ada segelintir pihak menganggap amalan itu agak keterlaluan padahal sambutan hari raya yang disyariatkan agama hanyalah sehari sahaja, iaitu pada 1 Syawal.

Baca juga Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah

beraya sebulan

DI sebalik kemeriahan beraya,usah lupa tentang puasa enam Syawal yang sangat dituntut oleh agama. Foto: 123RF

Baca juga Ucapan maaf zahir dan batin bukan budaya bulan Syawal, tetapi ia adalah tuntutan Islam. Masih ramai salah faham tentang perkara ini

Bolehkah raya sebulan?

Dalam portalnya, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hari raya yang disyariatkan sebenarnya hanya pada 1 Syawal.

Namun begitu, pihaknya berkata, tidak salah menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi sepanjang Syawal sebagaimana suasana kebiasaan di Malaysia.

Malah, amalan itu diharuskan dalam Islam kerana menziarahi dan memuliakan tetamu sememangnya dianjurkan oleh Nabi SAW.

Walau bagaimanapun, di sebalik kesibukan meraikan hari istimewa itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melupakan tentang puasa sunat 6 Syawal.

Portal berkenaan turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & Unsplash

Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

ziarah kubur
Hukum,

Ziarah kubur di hari raya, kenapa Islam anggap Bidaah?

Ziarah kubur di hari raya, kenapa Islam anggap Bidaah?

BOLEH dikatakan setiap kali tibanya Hari Raya, kawasan persekitaran tanah perkuburan Islam pasti sesak dengan manusia. Malah aktiviti menziarahi kubur sudah menjadi rutin bagi sesetengah keluarga sejurus selepas selesai solat sunat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal.

Masakan tidak, ramai mengambil kesempatan pada waktu itu untuk mengingatkan sanak saudara kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Jika diikutkan, Islam menggalakkan umat Islam menziarahi tanah pusara sebagai peringatan betapa singkatnya hidup kita di dunia. Hakikatnya setiap yang bernyawa pasti akan kembali ke sisi Pencipta-nya suatu hari nanti.

Sabda Rasulullah SAW, “Aku meminta izin daripada TUHAN-ku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka DIA (ALLAH) tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka DIA membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pun begitu, apakah pandangan Islam tentang amalan menziarahi kubur pada setiap kali hari raya sepertimana yang dipraktikkan masyarakat kita?

Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan (W.P) di portal miliknya, terdapat dua pandangan terhadap perbuatan menziarahi perkuburan pada hari raya iaitu makruh dan harus.

Bagi pendapat pertama, hukum menziarahi kubur pada hari pertama hari raya dikira sebagai makruh serta tidak digalakkan kerana perbuatan itu dianggap bidaah.

Hal ini kerana tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya. Sebaliknya baginda melayani tetamu dan saling kunjung berkunjung di antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.

Namun, ada juga ulama yang menetapkan amalan menziarahi tanah perkuburan ketika hari raya sebagai harus. Perkara itu disebabkan tiada larangan secara khusus di samping mengambil pendapat umum berkenaan perintah ziarah kubur.

Bagi pejabat Mufti W.P, pihaknya tidak menafikan bahawa perbuatan menziarahi kubur selepas solat sunat raya adalah termasuk perkara bidaah. Namun, perbuatan itu dibolehkan sekiranya ingin mengambil kesempatan ketika pulang ke kampung atau masa cuti.

Apa yang lebih utama, amalan itu dibolehkan supaya dijadikan peringatan terhadap mati serta untuk mengingati mereka yang terlebih dahulu meninggal dunia di samping memohon doa dan rahmat ALLAH.

Dalam pada itu, portal tersebut menegaskan bahawa perlakuan melawat pusara untuk memperbaharui kesedihan atau menerima takziah di atas kubur mahupun membangunkan bangsal adalah ditegah.

Titip portal tersebut, hari raya seharusnya disambut dengan gembira dan berseronok. Oleh itu tidak sepatutnya ditimbulkan perasaan sedih pada waktu itu.

Semoga pencerahan ini dapat mengelakkan kita daripada melakukan perkara yang dilarang mahupun bertentangan dengan ajaran Islam.

Amalan bulan Syaaban
Ibadah,

Amalan bulan Syaaban bukan bidaah, tapi jangan lakukannya khusus untuk bulan atau hari tertentu sahaja

Amalan bulan Syaaban bukan bidaah, tapi jangan lakukannya khusus untuk bulan atau hari tertentu sahaja

AHLAN wa sahlan Syaaban yang mula membuka tirainya selepas Maghrib ini. Ia menandakan bulan Ramadan kian hampir iaitu tinggal sepurnama lagi.

Ketika ini, ramai mula membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan puasa berkenaan. Ada yang meningkatkan puasa sunat, membaca Surah Yasin pada malam Nisfu Syaaban, solat sunat dan sebagainya.

Meskipun demikian, masih ada suara-suara sumbang yang ‘berbunyi’ apabila terdapat segelintir individu melakukan amalan sunat berkenaan.

Baca juga Tak puasa sunat Rejab ‘tidak mengikut sunah’?

Kelompok berkenaan dengan lantang mengatakan ia merupakan perbuatan bidaah kerana tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, bakal menjebakkan diri ke dalam neraka kerana amalan bidaah dhalalah itu adalah menyesatkan.

Malah, sebilangan mereka pula berhujah bahawa semua amalan tersebut tiada nas yang jelas dalam hadis.

Bagaimanapun harus diingat, semua perkara tersebut sememangnya amalan sunat yang biasa dilakukan meskipun bukan dalam bulan Syaaban.

Mantan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abd Majid Omar pernah memberikan ulasan panjang lebar tentang perkara itu sebelum ini.

ABD MAJID

Merujuk kepada artikel bertajuk Amalan Bulan Syaaban: Sunnah Atau Bidaah yang disiarkan di laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor, Abd Majid menjelaskan, sebahagian besar umat Islam di Malaysia menerima pakai saranan dan pengajaran daripada guru-guru serta orang tua mereka supaya memperbanyakkan amalan dalam bulan Syaaban.

Ia bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bulan Rejab adalah bulan ALLAH dan ALLAH telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Syaaban itu bulanku dan ALLAH telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala nabi-nabi, dan Ramadan pula adalah bulan umatku dan ALLAH melebihkan atas segala umat.”

Baca juga Syaaban: Jambatan ke Ramadan

Berdasarkan ungkapan hadis tadi, beliau berkata, jelaslah bahawa masyarakat Islam di negara ini membanyakkan amalan pada tiga bulan berkenaan termasuk Syaaban dengan pelbagai jenis ibadah bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Amalan bulan Syaaban

MASYARAKAT Islam di negara ini membanyakkan amalan pada tiga bulan berkenaan termasuk Syaaban dengan pelbagai jenis ibadah bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. -Foto: Freepik

“Mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut melakukannya kerana melihat pengisian ibadah pada bulan atau hari berkenaan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

“Ketahuilah, semua amalan yang diyakini baik untuk bertaqarrub kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.

Agamawan itu kemudiannya menyenaraikan contoh amalan yang dianggap dan sememangnya menjadi sunnah Rasulullah SAW.

Berikut perinciannya:

1. Berpuasa sunat.

Banyakkan berpuasa sunat sebenarnya mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang melakukan sedemikian pada bulan Syaaban.

Baca juga Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

2. Membaca Surah Yasin.

Baginda SAW turut menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Surah Yasin merupakan salah satu surah dalam kitabullah tersebut. Malah, setiap huruf yang dialunkan semasa mengaji itu akan diberikan ganjaran pahala berganda.

3. Berdoa.

Sesungguhnya, berdoa itu senjata orang mukmin. Bahkan, ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA supaya berdoa untuk DIA memperkenannya.

Amalan bulan Syaaban

SENTIASA berdoa memohon keampunan dan keredaan ALLAH SWT. -Foto: 123RF

4. Bertahlil.

Walaupun terdapat sebilangan individu yang melabelkan tahlil sebagai bidaah, namun segala bacaan di dalamnya terdiri daripada ayat al-Quran, zikir Lailaha illallah, doa dan beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT terhadap ahli keluarga yang sudah meninggal dunia agar rohnya dicucuri rahmat.

5. Mengadakan majlis kenduri.

Usahlah memandang ia hanya semata-mata sebagai satu majlis sahaja. Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturahim. Malah, kenduri berkenaan merupakan satu perhimpunan sanak saudara untuk mengeratkan hubungan.

Baca juga Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban

Melihat betapa baiknya amalan tersebut, Abd Majid menegaskan, tiada larangan untuk umat Islam melakukannya dalam bulan Syaaban.

“Suatu perkara yang harus diingati, amalan-amalan tersebut juga tidak disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi yang disunatkan adalah kerana ‘kesunnahan’ ibadah berkenaan.

“Menghidupkan bulan Syaaban dengan amalan yang disebutkan tadi adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri ke hadrat ALLAH SWT.

“Apa yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu hanyalah pengkhususan bulan atau hari untuk satu-satu ibadah, bukannya pada pengisian mahupun aktiviti amalan yang dilakukan,” katanya sambil menukilkan pandangan Imam Syafie bahawa amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah adalah bidaah hasanah.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva