Browsing Tag

Bersihkan kelemumur

Bersihkan kelemumur
Hukum,

Bersihkan kelemumur sebelum mandi wajib, bimbang air tidak sampai kulit kepala menyebabkan kita masih berhadas besar

Bersihkan kelemumur sebelum mandi wajib, bimbang air tidak sampai kulit kepala menyebabkan kita masih berhadas besar

PERIHAL tentang mandi wajib jarang sekali dibincangkan. Barangkali kerana ia hanya melibatkan soal mandi yang memang menjadi kebiasaan kita.

Meskipun demikian, kita tidak boleh memandangnya begitu remeh. Ini kerana jika tidak betul caranya, boleh jadi tidak sah dan kita masih lagi dianggap berhadas besar.

Ia sekali gus mengganggu kesahan ibadah yang kita kerjakan. Na’uzubillah, semoga dijauhkanlah daripada kita.

Salah satu daripada kefarduan ketika mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh anggota badan.

Andai kata, kita mempunyai masalah kelemumur pula bagaimana? Ini kerana ada yang bimbang air tidak sampai ke kulit kepala.

Baca juga 2 masalah berkaitan air yang sering berlaku yang wajib kita ambil tahu…

Bagi mereka yang mengalami masalah kelemumur dan sangat jelas seperti berkeping keadaannya hingga menghalang sampainya air pada kulit kepala, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menasihatkan agar individu berkenaan wajib membuangnya terlebih dahulu sebelum mandi wajib.

Bersihkan kelemumur

BUANG atau bersihkan kelemumur terlebih dahulu agar air boleh diratakan dan mengenai kulit kepala ketika mandi wajib. -Foto: Canva

“Boleh juga dengan menggosok-gosokkan kulit kepala untuk menghilangkan kelemumur hingga yakin air sudah diratakan ke seluruh bahagian kepada semasa mandi,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi portal kemusykilan agama jabatan mufti berkenaan.

Dalam satu situasi lain, andai kita sudah meratakan air pada satu bahagian anggota badan dan ketika melakukan perkara sama pada anggota tubuh lain, tempat yang awal tadi sudah kering, apakah perlu untuk kita membasuhnya semula pada bahagian tersebut?

Menjawab persoalan itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, terdapat tiga syarat fardu ketika mandi wajib sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama.

“Dalam Kitab Matan Ghoyah wa al-Taqrib, tiga syarat fardu itu termasuklah berniat, menghilangkan najis terlebih dahulu sekiranya terdapat pada badan dan meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) serta badan.

Baca juga Rupanya sudah 15 tahun ibadah tidak sah gara-gara tidak sempurna mandi wajib

“Apabila dilihat kepada syarat berkenaan, seseorag hanya perlu untuk menghilangkan najis pada badannya sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh tubuh dengan disertakan niat untuk mengangkat hadas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal kemusykilan agama jabatan mufti berkenaan.

Seandainya semua syarat fardu mandi wajib telah sempurna dilaksanakan dengan yakin, ujar Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, mandinya itu telah sah.

“Jadi, memadailah hanya dengan sekali sahaja kita meratakan air ke seluruh anggota dengan yakin.

“Tidak perlulah kita mengulanginya lagi sekiranya didapati ada bahagian anggota yang telah kering kecuali kita yakin bahawa kawasan tersebut belum disampaikan air kepadanya,” terangnya.

Ia selari dengan kaedah fiqh yang menyebut ‘Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan)’.