Browsing Tag

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

Berpuasa tapi tidak dapat pahala
Ibadah,

Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

TERDAPAT golongan yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh pahala puasa, sebaliknya hanya kelaparan, kehausan dan keletihan semata-mata.

Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom berkata, perkara itu ada disebutkan secara jelas dalam hadis Rasulullah SAW.

Baginda SAW bersabda: “Ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak memperoleh apa-apa dari puasanya kecuali lapar.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Dalam satu riwayat yang lain, Nabi Muhammad SAW turut menerangkan tentang perkara yang dilarang ketika berpuasa. Baginda bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai. (Ketika berpuasa) jangan mencela (kata-kata kotor), jangan melakukan perbuatan bodoh. Sekiranya ada seseorang yang ingin bergaduh atau membulinya, maka katakanlah ‘aku berpuasa’ dua kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

DR MOHD NASIR

Berdasarkan dua hadis berkenaan, ahli akademik berkenaan menjelaskan, merekalah sebenarnya orang yang berpuasa, tetapi tidak menjaga kualiti puasa masing-masing dengan mengerjakan perkara-perkara yang dilarang ketika melaksanakan kewajipan berkenaan.

Baca juga Semua orang puasa, tapi pahala kita berbeza. Ini sebab-sebabnya

Ketahuilah bahawa, puasa tidak sama dengan ibadah-ibadah lain. Ini kerana berpuasa tidak perlu menzahirkan perbuatan atau perkataan sepertimana solat dan membaca al-Quran.

Itulah keistimewaan yang terdapat pada ibadah berkenaan.

Menurut Dr Mohd Nasir, amalan puasa yang dikerjakan oleh setiap mukmin adalah milik ALLAH SWT.

Baca juga Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Bahkan, pemilik kerajaan langit dan bumi itu juga akan membalas dengan pahala yang tidak terhitung banyaknya.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis qudsi yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH SWT berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik AKU (ALLAH) dan AKULAH yang akan membalasnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Pendakwah itu menambah, kewajiban yang satu itu sangat mementingkan niat ikhlas. Hanya ALLAH SWT sahaja Yang MAHA MENGETAHUINYA, selain individu berkenaan.

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

NIAT keikhlasan menjadi syarat terpenting dalam menentukan kualiti ibadah puasa yang dikerjakan. -Foto: 123rf

“Niat keikhlasan inilah yang menjadi syarat terpenting dalam menentukan kualiti puasa dikerjakan.

“Hanya ALLAH SWT sahaja yang layak membalas pahala orang yang ikhlas berpuasa dengan ganjaran besar,” katanya.

Oleh sebab itu, ujar penceramah tersebut, tidak hairanlah apabila setiap ujian, dugaan, musibah, kesusahan dan cabaran yang dilalui setiap mukmin akan dinilai tahap iman dan keikhlasan mereka dalam ketaatan kepada Sang Pencipta.

Baca juga Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan

Ia termasuklah dalam perihal pelaksanaan ibadah termasuk ketika menunaikan Rukun Islam keempat itu, terangnya.

“Dalam keadaan (menghadapi cabaran) ini, orang yang berpuasa akan menghadapi berbagai kesukaran dan kepayahan. Semua cabaran ini sudah pasti diberi ganjaran yang setimpal oleh ALLAH SWT.

“Namun demikian, Islam juga memberi kelonggaran dengan mengharuskan berbuka puasa kepada golongan-golongan yang tidak mampu untuk berpuasa supaya berbuka dengan syarat-syarat tertentu,” katanya.

Pelihara pancaindera

Menyambung hujahnya, Dr Mohd Nasir menjelaskan, pahala setiap orang yang berpuasa berbeza disebabkan kualiti ibadah masing-masing.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

SELAIN menahan diri daripada lapar dan dahaga, peliharalah pancaindera masing-masing ketika berpuasa. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Melihat ungkapan berkenaan, ujar beliau, jelaslah bahawa dua syarat utama bagi orang berpuasa untuk mendapat keampunan dosa-dosa lalu iaitu melaksanakan ibadah berkenaan dengan penuh keimanan dan pengharapan agar puasanya diterima oleh ALLAH SWT.

Baca juga Agar ibadah dilakukan diterima ALLAH, pastikan penuhi syarat-syarat ini

Dalam pada itu, penceramah tersebut turut mengingatkan bahawa amalan tersebut bukan sekadar tidak makan dan minum sepanjang berpuasa, tetapi juga menjaga pancaindera masing-masing daripada berbuat maksiat.

Beliau kemudian menukilkan pesanan Imam al-Ghazali tentang perkara yang harus dijaga sepanjang menunaikan kewajiban berkenaan iaitu;

i. Menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang dilarang.

ii. Menjaga percakapan daripada menuturkan perkara yang sia-sia, berbohong, mengumpat dan mencela.

iii. Menjaga pendengaran daripada perkara yang dilarang.

iv. Menjaga diri daripada melakukan perkara yang syubhat ketika berbuka puasa seperti membazir dan bersifat tamak.

“Semua indikator itu akan dinilai oleh ALLAH SWT. Oleh sebab itu, perbezaan nilai pahala berpuasa adalah tertakluk kepada perkara-perkara ini.

“Andai seseorang dapat menjaga puasanya daripada melakukan apa yang disebutkan tadi, maka dia akan memperoleh ganjaran yang besar.

Berpuasa tapi tidak dapat pahala

SEPANJANG bulan Ramadan ini, jagalah kualiti puasa masing-masing agar imbalan pahala tidak berkurangan dengan menghindari diri daripada melakukan maksiat pancaindera. -Foto: Canva

“Sebaliknya, jika dia melakukan perkara yang ditegah, maka berkuranganlah pahalanya,” hurainya panjang lebar.

Sebelum menoktahkan bicaranya, pendakwah itu mengingatkan agar semua umat Islam menjaga kualiti puasa masing-masing agar imbalan pahala tidak berkurangan dengan menghindari diri daripada melakukan maksiat pancaindera.

“Selain itu, marilah kita merebut peluang untuk memperbanyakkan amalan dan ibadah pada bulan Ramadan ini kerana sepanjang bulan mulia inilah ganjaran pahala kita akan digandakan oleh ALLAH SWT,” titipnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.