Browsing Tag

Berlengah-lengah

Berlengah-lengah
Gaya Hidup,

Jangan suka berlengah-lengah, sikap itu tiada dalam Islam

KADANGKALA kita suka berlengah-lengah dalam melakukan suatu perkara. Tidak kiralah dalam urusan rutin mahupun pekerjaan.

Selepas ini, jauhkanlah sifat itu jauh-jauh daripada diri kita. Ini kerana sikap tersebut tidak diajar dalam Islam.

Fakta itu dijelaskan oleh seorang pengguna akaun Twitter @Muzuzxck menerusi bebenang di laman sosial miliknya.

Jelas beliau, disebabkan itu agama Islam mengajar kita melawan sifat tidak baik berkenaan dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Al-Kitab misalnya, ada satu surah masyhur iaitu al-’Asr yang membawa erti perahan, ungkapnya.

“Sebab itu dalam bahasa Arab, jus dipanggil ‘asir kerana perkataan tu berasal daripada perahan buah,” katanya.

Menjelaskan maksud ‘perahan’ dalam Surah al-’Asr itu, Muzuza yang juga penulis buku kerohanian menjelaskan, ia bererti kita menggunakan semua zat buah berkenaan.

Pendek kata, pengertian al-’Asr adalah kita menggunakan waktu dengan sebaiknya tanpa mensia-siakannya walaupun sedikit.

Baca juga Jangan sia-siakan umur yang dikurniakan ALLAH SWT, ini sebabnya kenapa

“Maka sepatutnya orang yang menghargai dan menggunakan waktu sebaiknya tidak akan berlengah-lengah dalam menyiapkan kerja!” terangnya.

Berlengah-lengah

HARGAILAH masa dan waktu yang ada, jangan kita suka berlengah-lengah dalam melakukan suatu perkara. -Foto: Freepik

Bukan itu sahaja, dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sekiranya berlaku kiamat dan di tanganmu benih tamar, kamu berupaya menanamnya, maka hendaklah kamu menanamnya dan dia mendapat pahala.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Melihat ungkapan hadis tersebut, Muzuza berkata, jelas bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita untuk melakukan kebaikan setiap masa.

“Hatta akan berlaku kiamat sekalipun, jangan hentikan kerja baik kita. Jangan bertangguh, buat sesegera mungkin.

“Begitu juga dengan pesanan para guru kami iaitu ‘racun kepada penuntut ilmu adalah kalimah sekejap atau nanti’,” terangnya panjang lebar.

Jika mahu disingkap satu persatu, terlalu banyak perkara yang sepatutnya boleh disiapkan, tetapi tidak terlaksana gara-gara sifat suka berlengah-lengah atau bertangguh itu, ungkapnya.

Dalam pada itu, Muzuza turut berkongsikan tip supaya kita tidak bersikap sedemikian.

Perinciannya seperti berikut:

1. Susun keutamaan.

Proses penurunan al-Quran mengajarkan kita tentang hal itu. Sebagai contoh, surah dalam al-Quran yang bersifat makkiy lebih berfokus kepada isu akidah.

Sementara itu, surah bersifat madaniy pula bersifat hukum-hakam dan interaksi. Hikmahnya adalah untuk mengutamakan apa yang utama.

Berlengah-lengah

SUSUN keutamaan kerja atau urusan yang mahu dilakukan bagi mengelakkan diri bertangguh-tangguh. -Foto: Freepik

Justeru, kita perlu bijak membezakan manakah yang perlu diutamakan dan dikemudiankan supaya tidak bertangguh atau berlengah.

2. Bijak uruskan diri dengan masa.

Baca juga Kaitan solat dan pengurusan masa, ini penjelasannya

Setiap orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam, tetapi yang perlu diuruskan adalah diri sendiri dan sikap kita dalam ‘melayan’ waktu.

Maka kita perlu susun rutin yang terbaik supaya tidak berlaku penangguhan.

3. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Letakkanlah slogan itu di depan supaya kita akan rasa menyesal jika tidak melakukan tugasan dan tanggungjawab pada masanya.

4. Anggap semua kerja dalam hidup itu umpama kerja yang terakhir.

Baca juga Bukan semata-mata dapatkan gaji, ketahui konsep sebenar bekerja dalam Islam

Ketahuilah, itu sikap mukmin yang selalu ingat bahawa kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Maka, kerja kita perlu disiapkan sepantas mungkin dengan cara yang terbaik.

Bertangguh-tangguh

INGAT kematian antara satu tip yang diamalkan untuk mengelakkan diri daripada sikap suka bertangguh-tangguh. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Jika tidak, kalimah ‘nantilah’ akan menjadi mantera yang merugikan kita.

“Ingatlah, menjadi Muslim itu bukan sebatas hebat di tikar sejadah, tetapi juga unggul dalam produktiviti serta kemajuan duniawi. Al-Quran mengajar kita supaya menjadi orang yang maju dalam apa sahaja perkara yang kita lakukan.

“Maka jangan berputus asa, teruskan menjadi orang yang lebih baik setiap hari. Al-Quran sebagai bekal utama kita, kita berjaya,” ungkapnya.

***Foto: Freepik