Browsing Tag

Berkempen

Berpolitik
Berita Semasa,

Haram menjatuhkan orang lain ketika berkempen?

TEMPOH berkempen Pilihan Raya Negeri membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu akan tamat pada tengah malam hari Jumaat ini.

Dalam kerancakan suasana tersebut, adakalanya calon-calon mahupun parti yang bakal bertanding membuka segala cela dan noda yang ada pada pihak lawan masing-masing.

Walaupun tujuan utamanya sekadar untuk meraih sokongan dan undian, namun pendekatan itu tetap kurang manis dipandang.

Masakan tidak, cara itu seolah-olah mahu menjatuhkan pihak lawan atau orang lain secara terang-terangan.

Sedangkan dalam Islam, membuka aib sendiri lagikan tidak boleh, apatah lagi jika melibatkan pekung orang lain.

Namun, bagaimana pula pendekatan tersebut digunakan ketika berkempen? Adakah boleh menjatuhkan orang lain pada masa itu?

Menjawab persoalan itu menerusi slot Hukum-Hakam Pilihan Raya menerusi laman sosial Facebook Majlis Ulama Isma (MUIS), Pengarah Sekretariat Majlis itu, Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa menjelaskan, secara asasnya, Islam tidak membenarkan perbuatan saling menjatuhkan sesama Muslim.

USTAZ AHMAD SYAMIL

Perkara itu dapat dilihat menerusi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hal politik, Ustaz Syamil menjelaskan, ia bukan sekadar soal pergaulan sesama Muslim sahaja, tetapi lebih besar daripada itu kerana berkait rapat dengan pemilihan pemimpin terbaik yang dapat menjaga kemaslahatan agama Islam.

“Begitu juga soal pemimpin yang bebas daripada fitnah seperti salah guna kuasa, perbuatan khianat, pemikiran liberal dan sebagainya.

“Oleh itu, menjadi keperluan untuk memberitahu masyarakat sekadar untuk faham siapakah yang sepatutnya dipilih dan siapa yang sepatutnya ditolak,” terangnya.

Begitupun, ujar pendakwah itu, terdapat batas-batas tertentu yang ditetapkan oleh syariat.

Sekiranya ia merupakan hal peribadi atau keluarga yang tiada kaitan, maka ia tidak dibolehkan, ungkapnya.

“Sepatutnya seseorang itu ‘naik’ dengan kelebihan atau kemampuan yang dia boleh tawarkan kepada masyarakat dan bukannya dengan menjatuhkan pihak lawan,” tegas beliau.

Berkempen

BERKEMPEN dengan cara sewajarnya dan tidak menjatuhkan pihak lawan dengan cara begitu mengaibkan. Seorang pemimpin itu sepatutnya ‘naik’ dengan kelebihan dan kemampuan yang boleh ditawarkan kepada masyarakat dan bukannya dengan menjatuhkan pohak lawan. -Foto: 123rf

Seandainya sesuatu berita atau peristiwa yang dibangkitkan itu sudah diketahui umum seperti kes jenayah, pemikiran yang berlawanan dengan Islam atau pendirian yang memusuhi Islam dan sebagainya, maka Ustaz Syamil menjelaskan, ia dibolehkan.

“Tujuannya adalah sebagai bentuk kewaspadaan (tahzir) kepada masyarakat agar lebih peka dalam memilih pemimpin,” katanya.

Larangan mencari kesalahan orang lain

Sememangnya manusia biasa membuat kesilapan. Tiada insan yang selama-lamanya benar dan salah. Demikianlah fitrah penciptaan kita di muka bumi ini.

Meskipun kita semua adalah sama, namun terdapat sebilangan orang yang gemar mencari kesalahan dan menjatuhkan orang lain sama ada sengaja ataupun tidak.

Hakikatnya, ALLAH SWT menutup aib hamba-hamba-NYA sehingga pada hari perhitungan kelak. Malangnya, ada orang yang tergamak membuka aib sendiri mahupun orang lain tanpa segan silu.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menyukai memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT, lagi MAHA PENYAYANG.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Berkempen

JAUHI sikap suka mengumpat, mencari kesalahan orang lain atau membuka aib seseorang bukan sahaja ketika berkempen untuk pilihan raya, tetapi pada bila-bila masa sahaja. -Foto: Freepik

Berdasarkan kalamullah tersebut, jelaslah perbuatan mencari salah orang lain itu sama seperti memakan bangkai saudaranya sendiri. Ia wajib dihindari.

Memetik artikel disiarkan portal Kumparan.com, Islam begitu menjunjung tinggi rasa perdamaian kerana ia sifat agama suci itu sendiri.

Perkara tersebut dapat dilihat menerusi firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Tetapi jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya, DIA MAHA MENDENGAR, lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Anfal, ayat 61)

Sebagai umat Islam yang bertakwa, jangan sesekali mencetuskan konflik dan memutuskan hubungan sesama saudara di muka bumi ini.

“Sentiasalah bertolak ansur dengan menghormati hak peribadi orang di sekeliling.

“Seperkara lagi, jangan campuri perkara yang bukan urusan kita terutama perbuatan yang merenggut hak peribadi dan aib setiap manusia. Salah satunya adalah tajassus atau mencari kesalahan orang lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Kumparan.com.

***Foto: Freepik