Browsing Tag

Bergosip

Bergosip
Gaya Hidup,

Mulai hari ini pesan pada diri, ‘STOP’ bergosip, tiada faedah sebaliknya celaka menanti

BERGOSIP, bercakap buruk atau mengumpat perihal orang lain memang dilarang dalam Islam. Tidak kiralah kepada saudara seagama sendiri mahupun orang bukan Muslim.

Namun, entah mengapa perkara yang satu itu sukar benar dikikis. Bukannya sekali dua bibir mengungkapkan enggan bergosip tentang orang lain, apalagi mengata atau mencela mereka.

Bagaimanapun, lidah pula seakan tidak selari dan ‘derhaka’ dengan bibir. Tetap juga meluncurkan bahasa yang tidak enak bunyinya. Dalam erti kata lain, ‘membawang’.

Mengapa masih suka bercakap buruk tentang orang lain walaupun tahu ia dilarang sama sekali?

Menurut pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dai Fuad, antara sebab utama orang bercerita tidak baik tentang diri kita adalah kerana dirinya berada di belakang kita.

DA’I FUAD

“Dia berasa cemburu dengan apa yang kita sudah capai dalam hidup. Mereka yang mengumpat ini juga sebenarnya bercakap tentang perkara yang orang tersebut tidak suka.

Baca juga Hati-hati bila berbicara, ini 3 jenis kaki sembang dibenci Rasulullah SAW

“Mereka yang mengata di belakang itu juga pada hakikatnya seorang yang lemah jati dirinya. Masakan tidak, dirinya tidak mempunyai banyak perkara yang bagus untuk diceritakan.

“Lantaran itu, habis semua benda buruk orang lain dijaja supaya dirinya kelihatan bagus dan orang lain pula yang nampak buruk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman Instagram miliknya.

Kepada mangsa umpatan, Da’i Fuad menitipkan pesan agar mereka bersabar jika menghadapi gosip berkenaan.

“Senyum sahaja, janganlah gundah-gulana, yakin dan percaya jika kita jaga maruah dan kualiti diri, kita tetap akan diangkat oleh ALLAH SWT sekiranya tetap bertawaduk,” ungkapnya.

Bergosip

JAGALAH kata-kata dan apa yang dituturkan agar tidak mengguriskan hati orang lain dan elakkan diri daripada bergosip. -Foto: 123rf

Andai khuatir diri merasa sakit hati dengan kata-kata dan perbuatan seseorang individu, kita dibenarkan untuk menjauhi mereka.

Ia sebagaimana yang dijelaskan menerusi artikel al-Kafi #1698: Hukum Menjauhkan Diri Dari Kawan Bagi Mengelakkan Sakit Hati Dengan Perbuatan dan Kata-Katanya yang disiarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel tersebut menyebut, tindakan itu bagi mengelakkan sebarang keburukan yang lebih teruk berlaku kepada kedua-dua belah pihak.

Baca juga Bebaskan diri daripada sertai aktiviti ‘membawang’. Ini caranya

“Bahkan, menjauhkan diri daripada bermajlis bersama seseorang yang menyakiti kita sama ada dalam hal agama ataupun urusan keduniaan merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak.

“Bagaimanapun, dicadangkan supaya pada masa sama, hendaklah menegur dengan cara terbaik supaya individu tadi menghentikan perkataan yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati orang lain,” katanya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.