Browsing Tag

berdiri

Tunaikan solat fardu dua kali
Ibadah,

Tertinggal tahiyat awal, perlu duduk semula atau terus berdiri?

WALAUPUN seseorang itu tertinggal tahiyat awal, namun ia tidaklah sampai membatalkan solat seseorang.

Ini kerana ia merupakan sunat ab’adh dalam ibadah berkenaan. Boleh sahaja kita melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Bagaimanapun dalam satu situasi, mungkin ada orang tercicir untuk melakukan tahiyat awal. Namun, tiba-tiba sahaja dia teringat untuk melakukannya sebelum dirinya sempat berdiri, lalu kembali duduk untuk mengerjakannya.

Bagaimanakah status solat individu berkenaan? Adakah ia dikira menjejaskan kesempurnaan solatnya?

Menjawab persoalan itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, individu tersebut boleh duduk semula untuk melakukan tahiyat awal.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Beliau berhujah dengan pandangan yang dinukilkan oleh Syaikh Nawawi Banten yang menyatakan: “Adapun jika seseorang itu kembali kepada tasyahud awal sebelum dia berdiri tegak, maka ini tidak memudaratkan (tidak membatalkan solat). Kerana dia belum masuk ke dalam yang wajib (berdiri tegak). Bahkan dia disunatkan untuk kembali duduk tasyahud.” (Rujuk Sullam al-Munajaah Syarah Safinah al-Solah)

Baca juga Apa nak buat kalau makmum terkentut pada tahiyat akhir solat Jumaat, adakah perlu solat Zuhur?

Begitupun, situasi berbeza andai seseorang sudah bangkit untuk meneruskan rakaat seterusnya, tetapi kemudian baru tersedar tentang tahiyat awal menyebabkan dia duduk semula.

Dalam keadaan itu, pendakwah tersebut menegaskan, keadaan berkenaan tidak dibolehkan kerana ia merupakan antara perkara yang membatalkan solat.

“Antara perkara yang membuatkan solat batal adalah disebabkan seseorang meninggalkan yang wajib untuk berpatah balik kepada yang sunat secara sengaja. Demikian fakta yang terkandung dalam kitab Safinah al-Solah.

Baca juga Terasa seperti terkentut tapi ragu, perhatikan dua perkara ini sebelum membatalkan solat

“Mudah kata, ia membatalkan solat seseorang sekiranya dia sengaja melakukannya dan tahu hukum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya.

Sewajarnya, jelas Ustaz Muhammad Fahmi, individu berkenaan sepatutnya kekal berkeadaan qiam sedemikian pada rakaat ketiga dan meneruskan solatnya.

Tahiyat awal

ANDAI seseorang sudah bangkit untuk meneruskan rakaat seterusnya dan kemudian baru teringat dirinya terlupa tahiyat awal dan duduk semula, jangan berbuat demikian kerana ia boleh membatalkan solat. -Foto: Pexels

“Cuma sebelum salam, disunatkan pada dirinya untuk melakukan sujud sahwi,” terangnya panjang lebar.

Bagi mereka yang mendirikan solat berjemaah pula, laman web Media Permata mengingatkan agar makmum jangan duduk menunggu imam dengan andaian bahawa ‘ketua solat’ mereka akan duduk kembali untuk mengerjakan tahiyat awal yang tertinggal.

Sebaliknya, mereka wajib bangkit mengikut imam untuk melakukan qiam.

Baca juga Elakkan lipat pakaian ketika tunaikan solat, ini sebab-sebabnya

“Ini kerana perbuatan seumpama itu akan membatalkan solat makmum tersebut kerana melakukan perilaku yang sangat bersalahan (fahsy al-mukhalafah) dengan perbuatan imam.

“Andai makmum tersebut tetap sahaja sengaja menunggu imam dengan andaian bahawa imam akan kembali duduk mengerjakan tahiyat awal, sedangkan dirinya mengetahui bahawa perbuatannya itu akan membatalkan solatnya, maka batallah sembahyangnya jika tidak berniat mufaraqah (berpisah daripada imam).

“Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullah, dalam perkara seumpama ini (imam terlupa atau sengaja meninggalkan tahiyat awal), mufaraqah daripada imam itu adalah lebih utama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi mediapermata.com.bn.

Andai kata, imam tadi sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiam pada rakaat seterusnya selepas meninggalkan tahiyat awal, lalu dia duduk kembali sebelum makmum mula bangkit untuk berdiri, maka haram bagi para jemaah untuk duduk mengerjakan tahiyat awal bersama ‘pemimpin solat’ tadi.

Tahiyat awal

BAGI mereka yang mendirikan solat berjemaah pula, jika imam terlupa tasyahud awal, makmum jangan duduk menunggu imam dengan andaian bahawa ‘ketua solat’ mereka akan duduk kembali bagi mengerjakan tahiyat awal yang tertinggal.-Foto: 123rf

Baca juga Makmum jangan mendahului imam bila solat berjemaah

“Ketahuilah, wajib ke atas makmum untuk bangkit serta-merta bagi mengerjakan qiam kerana ia wajib ke atas mereka dengan bangkitnya imam itu tadi untuk mengerjakan qiam.

“Jika berlaku perkara seumpama ini, mufaraqah adalah lebih utama daripada menunggu imam tersebut dalam qiam,” ungkapnya.