Browsing Tag

bercakap

Bercakap ketika berwuduk
Ibadah,

Walaupun sah, tapi elakkan bercakap ketika berwuduk

Walaupun sah, tapi elakkan bercakap ketika berwuduk

KETIKA sedang berwuduk, ada orang bertanyakan sesuatu kepada kita. Mahu atau tidak, kita membalas ringkas pertanyaan berkenaan sambil meneruskan ambil air sembahyang tersebut.

Rasanya ramai yang pernah berbuat demikian sebelum ini. Kadangkala perkara itu bukan disengajakan pun kerana tiba-tiba sahaja orang mengajukan pertanyaan pada masa itu.

Namun begitu, ada juga individu yang bercakap-cakap ketika mengambil wuduk. Pelik juga apabila difikirkan, seolah-olah tiada waktu lain pula untuk bersembang.

Baca juga Usah melampau ketika berwuduk

Bolehkah kita bercakap ketika sedang berwuduk? Apa pandangan Islam mengenainya?

Bagi menjawab tanda tanya itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus mengemukakan pandangan Mufti Mesir, Dr Syauqi Ibrahim ‘Alam tentang perkara tersebut.

USTAZ AZHAR IDRUS. Foto: Google

Dalam Darul Ifta Misr, Dr Syauqi Ibrahim menyatakan: “Bercakap-cakap di pertengahan wuduk tanpa hajat itu dikira meninggalkan adab-adab berwuduk di sisi Mazhab Hanafi dan makruh di sisi Mazhab Maliki dan khilaful awla di sisi Mazhab Syafie dan Hanbali.”

Menjelaskan maksud khilaful awla, Ustaz Azhar Idrus berkata, ia bermakna menyalahi yang lebih utama.

“Maksudnya, jika seseorang itu tidak bercakap, maka ia lebih elok, tetapi jika bercakap kerana hajat, maka hakumnya adalah harus,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang disiarkan di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, agamawan itu menegaskan, makruh bercakap ketika sedang mengambil wuduk jika tiada hajat, tetapi wuduknya tetap sah.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

“Maka disunatkan seseorang itu meninggalkan perbuatan bercakap dan berbual ketika mengambil air sembahyang.

“Adapun, jika bercakap kerana hajat, maka hukumnya adalah harus, tidak makruh,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Hujah itu dikuatkan lagi dengan pernyataan yang dikeluarkan oleh Syeikh Ibn Hajar dalam Kitab Minhajul Qawwim: “Dan sunat bahawa tidak berkata-kata pada sekalian wuduknya.”

Bercakap ketika berwuduk

JIKA ada keperluan bercakap ketika berwuduk, diharuskan untuk berbuat demikian. -Foto: 123rf

Begitu juga dalam Kitab I’anah at-Talibin yang menyatakan: “Maksud meninggalkan berkata-kata itu adalah disunatkan meninggalkan bercakap pada ketika sedang mengambil wuduk.”

Ustaz Azhar Idrus turut mengingatkan bahawa biarlah bercakap kerana keperluan itu melibatkan perkara makruf dan mencegah kemungkaran.

“Kadangkala wajib seperti dalam situasi orang berwuduk melihat orang buta yang berjalan menuju ke perigi.

Baca juga Wuduk gugurkan dosa kecil, perhati setiap anggota sunat ketika bersuci

“Meskipun bercakap atau berbual ketika berwuduk itu hanya makruh dan tidak haram, tetapi meninggalkan perbuatan itu adalah adab yang baik,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.