Browsing Tag

Bau makanan

Bau makanan
Ibadah,

Boleh cium tapi jangan lebih-lebih, khuatir nanti bau makanan sebabkan puasa jadi makruh

Boleh cium tapi jangan lebih-lebih, khuatir nanti bau makanan sebabkan puasa jadi makruh

TERHIDU bau makanan memang sukar untuk dielakkan. Begitu juga dengan asap makanan. Apatah lagi jika kita yang memasaknya atau keluar ke tempat yang menjual makanan.

Namun, ketika berpuasa, lebih baik seandainya kita dapat mengurangkan bau-bauan tersebut. Bukan apa, bimbang nanti ibadah dilakukan jadi ‘lain’ pula.

Walaupun perbuatan itu tidak membatalkan puasa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberi amaran agar kita tidak berlebih-lebihan terdedah dengan bau tersebut.

Dalam artikel terbaharunya bertajuk Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadan Siri ke-211: Hukum Menghidu Bau atau Asap Makanan Ketika Puasa, pejabat mufti berkenaan menegaskan, andai seseorang itu sengaja berlebihan menghidu bau tersebut, maka hukumnya adalah makruh kerana berlawanan dengan hikmah puasa.

Bau makanan

MENCIUM bau atau menghidu bau-bauan ketika puasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa seseorang.-Foto: Freepik

Mengulas lanjut tentang ibadah puasa, seorang Muslim yang mukalaf dituntut untuk mengerjakan Rukun Islam keempat dengan menahan diri daripada melalukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari kerana ALLAH SWT.

Baca juga Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perkara yang boleh menyebabkan puasa tidak sah termasuklah memasukkan ain (sesuatu jirim) ke dalam rongga melalui saluran terbuka seperti mulut, hidung, qubul dan dubur sama ada lelaki atau wanita.

Dalam hal itu, al-Imam al-Syirbini menerusi kitab Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj menyebut: “Sesuatu yang terkeluar daripada (maksud) ain iaitu kesan (suatu perkara) seperti bau atau angin disebabkan menghidu (sesuatu) dan juga kepanasan atau kesejukan sesuatu dengan sebab merasa.”

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami turut berkata: “Masuknya asap yang mengandungi bauan bukhor (kayu gaharu) atau selain daripadanya ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa, sekalipun ia dilakukan dengan sengaja.” (Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj)

Begitupun, al-Imam al-Syirbini ada menyatakan bahawa: “Dan sunat ke atas orang yang berpuasa untuk memelihara dirinya, daripada segala bentuk syahwat yang tidak membatalkan puasa sama ada melalui perbuatan menghidu, melihat, memegang atau mendengar seperti menghidu bunga yang berbau harum dan melihat kepadanya serta memegangnya, atau mendengar nyanyian. Hal ini kerana pada demikian itu terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa iaitu membangkitkan nafsu dan membuatkan ia (nafsu) menandingi ketakwaan. Oleh yang demikian, perbuatan itu dimakruhkan ke atasnya.”

Baca juga Penjelasan mengenai niat puasa terutama kepada golongan yang puasanya terputus di pertengahan

Melihat ungkapan dan perbahasan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum mencium bau atau menghidu bau-bauan ketika puasa adalah harus dan tidak membatalkan puasa seseorang.

“Namun begitu, andai seseorang itu dengan sengaja menghidu bau tersebut secara berlebih-lebihan, maka makruh hukumnya.

Bau makanan

PELIHARALAH ibadah puasa masing-masing dengan tidak melakukan perkara yang boleh mengurangkan pahala atau dilarang sepanjang menyempurnakan ibadah berkenaan. -Foto: 123rf

“Ini kerana seseorang individu Muslim yang berpuasa dituntut untuk menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu dan syahwat pada bulan Ramadan,” katanya sebagaimana dipetik daripada laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Jika boleh, elakkan diri daripada menghidu mahupun mencium bau-bauan makanan ketika sedang menunaikan Rukun Islam keempat itu.

Semoga kita dapat memelihara pahala puasa kita daripada menyusut gara-gara tindak-tanduk yang dilakukan.

***Foto: Freepik