Browsing Tag

batal puasa

Ganti puasa
Ibadah,

Perhatikan enam golongan yang tetap tidak boleh makan, minum walaupun puasa Ramadannya telah batal

Perhatikan enam golongan yang tetap tidak boleh makan minum walaupun puasa Ramadannya telah batal

TIDAK boleh makan dan minum. Bunyinya seakan berpuasa, tetapi hakikatnya bukan ibadah berkenaan yang dikerjakan.

Sebaliknya, demikianlah perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang berbuka puasa tanpa keuzuran atau gara-gara tersilap!

Ia sebagaimana yang disebut dalam artikel Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadan Siri ke-214: Enam Keadaan yang Mewajibkan Seseorang untuk Imsak (Menahan Diri Dari Makan dan Minum) Ketika Siang Ramadan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Merujuk artikel berkenaan, Mazhab Syafie menetapkan beberapa keadaan yang apabila dilakukan oleh seseorang, maka dia perlu menggantikan puasanya di samping menahan dirinya daripada makan dan minum sepanjang waktu siang Ramadan.

Ia sebagai cara untuk menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

Baca juga Usah jadi golongan yang berpuasa, tapi tidak dapat pahala. Hanya kelaparan, kehausan dan keletihan saja diraihnya

Perkara itu selari dengan pendapat Imam al-Malibari bahawa: “Seseorang itu wajib menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa ketika puasa Ramadan sahaja – tidak pada puasa nazar atau qada’ – jika dia berbuka puasa tanpa keuzuran seperti keuzuran sakit atau musafir atau berbuka puasa dengan sebab tersilap.”

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan pandangan yang disebutkan dalam Matn Safinah al-Najah tentang enam keadaan yang mewajibkan seseorang untuk melakukan imsak (menahan diri daripada makan dan minum).

Tidak makan minum

INDIVIDU yang terlupa berniat puasa Ramadan pada waktu malam tidak boleh makan dan minum walaupun status puasanya tidak sah. -Foto: 123rf

Berikut butirannya:

1. Orang yang sengaja berbuka puasa pada siang bulan Ramadan.

2. Tidak berniat puasa pada waktu malam.

3. Individu yang bersahur dengan menyangka waktu Subuh belum masuk, tetapi kemudian mendapati bahawa ternyata sudah masuk waktu.

4. Orang yang menyangka bahawa waktu berbuka (Maghrib) sudah masuk, namun ternyata dia tersalah.

5. Ketika siang 30 Syaaban, dia mengetahui bahawa bulan Ramadan telah masuk.

6. Orang yang tertelan air dengan sebab melampau ketika berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

Baca juga Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Meskipun pada hari itu, individu-individu berkenaan dianggap tidak berpuasa, namun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, golongan tersebut tetap wajib menahan diri mereka daripada makan dan minum (imsak) sebagai menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

“Menurut ulama Syafi’iyyah, pada asalnya seseorang Muslim diharamkan untuk makan atau minum pada siang Ramadan.

“Oleh sebab dia terlepas untuk berpuasa sama ada disebabkan oleh kecuaian atau tidak, pengharaman itu masih kekal dan dia tetap perlu menahan diri daripada makan dan minum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel tersebut.

Tidak boleh makan minum

MESKIPUN enam golongan berkenaan  dianggap tidak berpuasa, namun mereka tetap wajib menahan diri daripada makan dan minum (imsak) sebagai menghormati kemuliaan bulan Ramadan.-Foto: Pexels

Seperkara lagi, walaupun individu tersebut sudah pun menahan dirinya daripada melakukan segala perkara yang membatalkan puasa, namun dia tetap tidak dianggap telah melakukan ibadah puasa fardu.

“Malah, individu berkenaan wajib menggantikan puasa pada hari tersebut.

“Andai dia melakukan jimak pada hari tersebut, ia tetap berdosa meskipun dia tidak wajib untuk melakukan kafarah di samping dimakruhkan untuk menghidu bauan yang wangi dan bersiwak selepas tenggelamnya matahari, mengikut pandangan yang muktamad,” katanya.

Baca juga Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

Sementara itu, bagi golongan yang sakit, kemudian sembuh; musafir yang tidak berpuasa dan tiba di rumahnya pada waktu siang Ramadan dan wanita datang bulan yang suci ketika siang Ramadan, kelompok berkenaan pula hanya disunatkan melakukan imsak, bukan wajib.

Mudah kata, ulama Syafi’iyyah merumuskan: “Setiap orang yang tidak memiliki keuzuran untuk berbuka puasa, sedangkan dia mengetahui pada waktu itu ialah bulan Ramadan, maka dia wajib melakukan insak iaitu menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.”

Justeru, kepada mereka yang menghadapi enam situasi disebutkan, jangan makan dan minum walaupun tidak boleh berpuasa.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.