Browsing Tag

bapa tunggal urus empat anak

Bapa tunggal
Isu,

Cekalnya bapa tunggal urus empat anak sambil bekerja. Ini ganjaran bila kita didik anak dan penat cari rezeki halal

CERITA seorang bapa tunggal mengurus empat anak sambil bekerja di Johor Bahru, Johor yang tular baru-baru ini begitu meruntun jiwa ramai.

Kecekalan dan ketabahan Muhammad Khairul Nizam Mohd Tamyis, 24, yang bekerja sebagai tukang kasut itu wajar dipuji.

Bukan mudah mengendalikan empat cahaya mata sendirian saat diri bergelumang dengan pekerjaan yang tidak pernah habis.

Ya, semua pengalaman itu pernah kita rasai saat seluruh dunia diarah lockdown akibat dibadai Covid-19 hampir tiga tahun lalu. Mahu atau tidak, kita terpaksa bekerja di rumah dan pada masa sama mengurus anak-anak ketika sesi kelas online, di samping kerja rumah lain bagaikan tiada hari esok.

Kisah pemuda tersebut seperti mengimbas kembali kelelahan yang pernah dihadapi. Namun, ujian lelaki itu lebih berat kerana dirinya terpaksa menjaga anak-anak berusia satu hingga lapan tahun di kaki lima!

Bapa tunggal

KISAH Muhammad Khairul Nizam turut mendapat perhatian daripada Econsave Cash & Carry Sdn Bhd yang menyumbang pelbagai barang keperluan asas.

Bukan di pejabat yang sejuk ada pendingin hawa mahupun premis yang lengkap dengan kemudahan serba-serbi.

“Jika anak-anak lapar atau mahu minum susu, saya akan berhenti membaiki kasut sekejap dan pergi ke kedai makan berhampiran untuk membeli makanan dan membuat susu, kemudian saya sambung semula kerja-kerja membaiki (kasut).”

Demikian antara bait-bait kata bapa tunggal berkenaan yang membuatkan sesiapa sahaja sebak mendengarnya.

Meskipun dihimpit kesukaran, namun lelaki berhati waja itu tidak mudah goyah. Tanggungjawab sebagai bapa dan ketua keluarga tetap dilunaskan dengan kudratnya sendiri.

Baca juga Bapa tetap perlu sediakan nafkah anak sekalipun sudah bercerai dengan pasangan

Ketahuilah bahawa begitu besarnya imbalan yang bakal diraih apabila kita mendidik anak-anak dengan sebaiknya dan berusaha mencari rezeki yang halal.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, pahala mendidik anak merupakan ganjaran yang tidak mungkin terputus sekalipun kita sudah meninggal dunia.

DR AHMAD SANUSI

“Ibu bapa yang mendidik anak dengan perkara kebaikan dan anak tadi mengamalkan ilmu berkenaan, maka mereka akan mendapat ganjaran pahala yang mengalir selagi mana cahaya mata itu beramal dengan didikan tersebut.

“Bagi orang tua yang mendidik anak dengan ilmu al-Quran pula, ALLAH SWT akan menganugerahkan mereka satu perhiasan yang tidak boleh dihitung nilainya dengan isi dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Rasulullah SAW bersabda: “Dan dipakaikan kedua ibu bapanya dengan perhiasan yang tidak boleh dinilai dengan isi dunia.” Lalu kedua ibu bapanya bertanya: “Wahai Tuhan, mengapa kami diberikan nikmat ini?” Lalu dijawab kepada mereka: “Kerana engkau mengajar anakmu al-Quran.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Baca juga Pernah Buat Silap Ketika Didik Anak, Masih Belum Terlambat Untuk Bapa Perbetulkannya

Bukan itu sahaja, mereka yang kelelahan mencari rezeki halal begitu disukai oleh ALLAH SWT.

Malah, mereka juga bakal diberikan ganjaran pahala mencari nafkah buat keluarga dan pada masa sama dosa-dosanya pada hari tersebut akan diampunkan oleh ALLAH SWT.

Kenyataan itu bukan omongan kosong kerana ada hadis yang memerihalkan sedemikian.

Bapa tunggal

BEGITU besarnya imbalan yang bakal diraih apabila kita mendidik anak-anak dengan sebaiknya dan berusaha mencari rezeki yang halal.

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Riwayat at-Tabarani)

Memetik nukilan Muhd Nasruddin Dasuki dalam karyanya bertajuk Seindah Sabda Rasul, terdapat satu kisah tentang seorang lelaki yang sangat rajain bekerja ketika zaman Rasulullah SAW.

Baca juga ‘Cari rezeki halal lagi berkat, sekalipun badan dan otak kita penat‘

Baginda dan sahabat melihat kerajinan lelaki ini bekerja, lalu seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah kerajinannya bekerja itu digunakan ke jalan ALLAH?”

Rasulullah SAW menjawab: “Apabila dia keluar mencari rezeki kerana anaknya yang masih kecil, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana kedua orang tuanya yang sudah berusia lanjut, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana dirinya sendiri supaya terjaga harga dirinya, maka dia di jalan ALLAH. Apabila dia keluar mencari rezeki kerana riak dan kesombongan, maka dia di jalan syaitan.” (Riwayat al-Mundziri, at-Targhib wa at-Tarhib)

Justeru, usahlah kita mengomel apalagi mengeluh dengan bebanan tanggungjawab yang dipikul. Percayalah setiap apa yang dikerjakan, pasti ada nilai disisi-NYA.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.