Browsing Tag

bangun tidur

Bangun tidur
Gaya Hidup,

Bangun tidur terus tengok telefon, sebab itu penting media sosial jadi medan dakwah

APABILA bangun tidur, laju sahaja tangan menggagau mencari telefon bimbit. Dengan rasa kantuk yang tersisa, bebola mata yang masih terbuka kecil memicing pandangan pada skrin gajet berkenaan.

Begitulah realiti yang berlaku pada era digital kini. Masing-masing terlalu bergantung kepada telefon. Hendak tengok jam berapa pun peranti kecil itu juga yang dicarinya, apatah lagi mengunci jam untuk bangun tidur.

Pendakwah dan pempengaruh media sosial, Asyraf Hakimi Abdul Jalil atau lebih dikenali sebagai Cikgu Acap berkata, disebabkan itulah peri pentingnya dakwah era digital untuk melebarkan sayapnya.

Bangun tidur

    CIKGU ACAP menjelaskan, betapa pentingnya dakwah menerusi platform media sosial kerana ramai yang mempunyai akaun berkenaan, selain telefon menjadi keutamaan ketika bangun tidur.

“Tanyalah mana-mana anak muda atau sesiapa sahaja, masing-masing mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan TitkTok. Amat mudah sebenarnya untuk menyebarkan dakwah (menerusi medan tersebut).

“Jika tidak sempat sertai (majlis ilmu), boleh dengar di Facebook, telefon dan sebagainya. Kita hendak isi masa lapang dengan dakwah kebaikan dan perkongsian ilmu.

Baca juga Demi sebar dakwah, ustazah Asma’ Harun gigih dapatkan tauliah setiap negeri

“Sebagai umat Islam waima muda atau tua, masing-masing dituntut untuk menuntut ilmu. Meskipun ada yang merasakan dirinya sudah pandai, memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan seumpamanya, tetapi kefahaman lilmu agama perlu diteruskan kerana Islam mengajar umatnya untuk terus menggalinya sehingga ke liang lahad,” terangnya panjang lebar dalam siri Podcast POV Sinar Islam Plus (SI+) bertajuk ‘Dakwah Era Digital, Peranan Anak Muda’ yang dipancarkan secara langsung di semua platform media sosial SI+ baru-baru ini.

Program itu dihoskan oleh Editor SI+, Muhd Azman Mohd Nawi.

Ketika ditanya tentang ciri-ciri yang patut ada kepada seorang pendakwah media sosial, Cikgu Acap menjelaskan, paling utama adalah seseorang itu perlu memahami ilmu bagi memudahkannya berdakwah, menyampaikan dan berkongsi pengetahuan yang sahih.

Tidak lengkap jika orang yang berilmu itu tidak beramal kerana kedua-duanya merupakan ‘sahabat baik’, ungkapnya.

“Jika diri sendiri tidak beramal, bagaimana kita sendiri mahu merasakan kemanisannya?,” soalnya.

Mengulas lanjut, pempengaruh yang mempunyai lebih 300,000 pengikut di laman sosial TikTok itu menjelaskan, kriteria seterusnya adalah para da’i perlu menjadi qudwah hasanah (teladan yang baik).

Bangun tidur

PROGRAM Podcast POV SI+ bersama Cikgu Acap dihoskan oleh Muhd Azman.

Maka, contohilah akhlak Rasulullah SAW yang memang tidak boleh disangkal lagi kemuliaan dan terpujinya sikap ditonjolkan oleh Baginda SAW.

Baca juga ‘Jadi pendakwah, besar cabaran, besar juga ganjaran menanti’ – Dr Fauzi Deraman

“Dalam sebuah hadis, dinyakan bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran. Kalau kita hendak ALLAH sayang, contohilah Baginda SAW.

“Seperkara lagi, banyakkan bersabar kerana berdakwah penuh dengan ujian dan cabaran. Jadikan sifat sabar dan solat sebagai penolong kita,” titipnya.

***Foto: Freepik

bangun tidur sunnah
Gaya Hidup,

Bangun tidur pun boleh dapat pahala jika kita ikut sunnah Nabi

Bangun tidur pun boleh dapat pahala jika kita ikut sunnah Nabi

TIDUR ialah kerehatan bagi manusia. Ia masa untuk badan dan minda yang penat mendapat rehat yang secukupnya sebelum melalui lagi hari yang baru keesokannya.

Kadang-kala, walau tidur sudah lama, tetapi cara bangun tidur yang tidak betul boleh memberi kesan kepada diri sepanjang hari. Ada yang bangun tergopoh-gapah sehingga kepala pula pening, ada yang tidak menjaga kebersihan diri sebelum menunaikan solat Subuh dan sebagainya.

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

bangun tidur sunnah

WALAUPUN nampak ringan, namun dengan mengamalkan beberapa sunah Nabi SAW ini kita boleh meraih pahala. Foto: 123RF

Sebagaimana dipetik daripada laman tzkrh.com, berikut adalah enam tatacara bangun tidur yang menjadi amalan Rasulullah SAW.

1.Duduk sebentar & mengusap wajah bagi menghilangkan mengantuk.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA dalam satu hadis tentang amalan mengusap sisa rasa mengantuk yang dilakukan oleh Rasulullah SAW:

…Rasulullah SAW bangun dari tidur, kemudian baginda duduk, lalu mengusap sisa rasa mengantuk yang ada di wajah dengan tangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

ARTIKEL BERKAITAN

bangun tidur sunnah

CARA bangun tidur yang tidak betul boleh memberi kesan kepada diri sepanjang hari. Foto: 123RF

2. Membaca doa bangun tidur.
Kebiasaan Nabi SAW juga akan membaca doa bangun daripada tidur yang berbunyi:

Dari Huzaifah, ia berkata: “Apabila Nabi SAW hendak tidur, beliau mengucapkan: ‘Bismika amuutu wa ahya’ (Dengan nama-MU, Ya ALLAH aku mati dan aku hidup). Dan apabila bangun tidur beliau mengucapkan: ‘Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amaatana wa ilaihinnusyuur (Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-NYA lah kami kembali).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

3. Membaca 10 ayat terakhir daripada Surah Ali-Imran.

… baginda duduk lalu mengusap sisa rasa mengantuk yang ada di wajah dengan tangannya, kemudian baginda membaca 10 ayat terakhir Surah Ali-Imran.”(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

MULAKAN pagi anda dengan berdoa sebagaimana diajarkan oleh Nabi SAW. Foto: Pexels

4. Mencuci kedua tangan sebanyak tiga kali.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Apabila kalian bangun tidur maka janganlah dia mencelupkan tanggannya ke dalam bekas air sebelum dia mencucinya tiga kali, kerana dia tidak mengetahui di mana tangannya semalam berada.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. Menggosok gigi.

Sahabat Nabi SAW, Huzaifah menceritakan bahawa;

Nabi SAW apabila bangun malam, beliau membersihkan mulutnya dengan bersiwak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Samakah memberus gigi dan bersiwak?

bangun tidur sunnah

BERSIWAK antara cara kebersihan diri yang dianjurkan Rasulullah SAW. Foto: 123RF

Baca juga Istinsyaq, sunnah cuci rongga hidung yang dapat mencegah penyakit

6. Membersihkan hidung.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Apabila kalian bangun tidur maka bersihkan bahagian dalam hidung tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidungnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW sangat menekankan disiplin dalam kehidupan seharian sehingga bangun tidur pun ada aturannya. Kita ingin mulakan hari yang baru dengan keberkatan dan kebaikan, maka seharusnya amalan Rasulullah SAW ini dicontohi.

Sumber: Tzkrh

Foto: 123RF

Bangun tidur pun boleh dapat pahala jika kita ikut sunnah Nabi