Browsing Tag

balasan Tuhan

Cabaran ketika hijrah
Isu,

Kafarah bukan balasan Tuhan, tapi satu bentuk rahmat ALLAH

Kafarah bukan balasan Tuhan, tapi satu bentuk rahmat ALLAH

“SAMPAI hati engkau fitnah aku sana-sini, mengata macam-macam, mengadu domba perkara tak betul. Engkau tunggulah ‘kifarah’ nanti, pasti ada balasannya!”

Dialog tersebut acap kali didengari. Tiada apa yang canggung dengan pernyataan itu, cuma istilah ‘kifarah’ itu seakan-akan sama maksud dengan ‘karma’.

Jika diteliti, perkataan kifarat dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud denda yang dikenakan terhadap seseorang kerana melanggar hukum atau peraturan agama yang tertentu.

Sementara itu, definisi kafarah pula adalah penutup kesalahan (dosa).

Melihat kepada fakta tersebut, ia jelas berbeza dengan makna karma iaitu ‘konsep timbal-balik’ atau ‘sebab-akibat’ daripada perbuatan seseorang di dunia.

Apakah definisi sebenar kafarah menurut Islam? Benarkah ia sebenarnya satu bentuk rahmat ALLAH, bukannya pembalasan Tuhan?

Baca juga Perasan hebat, lupa diri tujuan hidup di dunia ni…tunggulah balasan Tuhan!

Gugurkan dosa

Ketika tanda tanya itu dilontarkan kepada Guru Bahasa, Program Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Ustazah Nur Syazwina Mustapa, kalimah kifarat atau kafarah merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab, kaffarah.

USTAZAH NUR SYAZWINA

Kedua-duanya membawa maksud sebagaimana dijelaskan di atas.

Menurut perspektif Islam, jelas beliau, kaffarah dari segi syarak adalah menunaikan kewajipan berbentuk harta ataupun badan kerana meninggalkan suatu hukum syarak.

“Kita boleh katakan ia sebagai hukuman atau denda daripada ALLAH kepada pelaku dengan tujuan menggugurkan dosa mereka.

“Caranya dengan membebaskan hamba, bersedekah iaitu memberi makan kepada fakir miskin atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu,” terangnya kepada Sinar Islam Plus.

Bagaimanapun, dalam konteks yang lebih luas, Ustazah Nur Syazwina menjelaskan, kafarah bukan sahaja berbentuk hukuman.

“Sebaliknya, ia satu kaedah penghapusan dosa. Sebagai manusia yang tidak maksum, sudah tentu ada jalan bagaimana ‘cela’ tadi boleh dihapuskan,” ujarnya.

Baca juga 5 cara ALLAH SWT menghapuskan dosa hamba-NYA. Cara yang kelima sangat sukar dilalui manusia, namun besar ganjaran menanti

Begitupun, bukan semua perbuatan yang melanggar hukum Islam dikenakan kaffarah.

Tegas ahli akademik itu, hanya kesalahan tertentu yang ada hukuman atau denda sebagaimana disebutkan dalam dalil.

“Benar, ada yang menganggap ujian yang mereka terima adalah balasan ALLAH akibat keengganan melaksanakan suruhan-NYA.

“Tidak kurang juga yang menyangka ujian tersebut merupakan tanda amarah dan betapa ‘murkanya’ ALLAH terhadap mereka.

“Akan tetapi mengertilah bahawa di sebalik ujian itu tidak kiralah sama ada berupa kesakitan, kekurangan dan kehilangan harta benda, kematian dan seumpamanya, tersirat hikmah serta rahmat (kasih sayang) ALLAH kepada kita. Salah satunya bertujuan menghapuskan dosa dan kesalahan silam,” ungkapnya.

Beza dengan karma

Menyambung hujah, Ustazah Nur Syazwina menegaskan, kafarah dan karma tiada persamaan sama sekali.

Kafarah

ANDAI diri ditimpa kafarah ataupun hukuman daripada ALLAH SWT, bersabar dan reda atas ketentuan-NYA serta bertaubat, di samping memperbaiki diri menjadi insan yang lebih dekat kepada-NYA. -Foto: 123rf

“Ya, ramai yang menggunakan istilah karma is real di media sosial, seolah-olah mengatakan nasib menimpa mereka dikaitkan dengan ALLAH, seakan wujud karma daripada perspektif agama.

Baca juga 15 perkara salah faham masyarakat berkaitan perihal agama. Ini penjelasan pendakwah yang wajib kita baca

“Suka saya ingatkan, karma merupakan kepercayaan agama Hindu bermaksud ‘perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan’.

“Misalnya, andai seseorang melakukan perbuatan baik seperti membantu orang lain atau berlaku adil, maka ia akan menghasilkan balasan sama pada kemudian hari,” katanya.

Bagaimanapun, Ustazah Nur Syazwina berhujah, agama Islam pula mengiktiraf konsep iaitu setiap tindak-tanduk dilakukan sama ada baik atau buruk akan dibalas oleh ALLAH waima di dunia mahupun di akhirat.

Perkara itu selari dengan sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim yang lain, dia tidak boleh menganiaya dan tidak boleh dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, ALLAH akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan saudara Muslim, maka ALLAH akan melapangkan kesukarannya pada hari akhirat. Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, maka ALLAH akan menutup aibnya pada hari kiamat nanti.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelas pensyarah itu, umat Islam perlu sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan diri daripada berbuat kejahatan.

Baca juga Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH

“Paling penting, setiap Muslim perlu meyakini apa sahaja yang berlaku di dunia merupakan kehendak dan kuasa daripada ALLAH. Tiada satu pun kejadian di alam ini berlaku dengan sendirinya atau secara semula jadi.

Kafarah

MUSLIM wajib meyakini bahawa setiap qada dan qadar yang ditetapkan, ada balasannya sama ada baik atau buruk. -Foto: 123rf

“Ingatlah, meyakini ‘sebab dan akibat’ tanpa adanya campur tangan daripada ALLAH merupakan satu bentuk kekufuran. Sebaliknya sebagai Muslim, kita wajib meyakini bahawa setiap qada dan qadar yang ditetapkan, ada balasannya sama ada baik atau buruk. Semuanya daripada-Nya. Jelas di situ bahawa tiada konsep karma dalam Islam,” tegas beliau.

Sesungguhnya, pensyariatan kafarah atau hukuman itu bertujuan memberi peluang kepada hamba-NYA untuk bertaubat atas kekhilafan yang dilakukan.

Perkara tersebut turut diakui oleh Ustazah Nur Syazwina.

Di samping itu, katanya, ia juga dapat meringankan bebanan rasa bersalah atas sebab perbuatan maksiat dan dosa yang dilakukan.

“Pada masa sama sebagai peringatan agar umat Islam tidak mengambil mudah segala peraturan dan hukum-hakam dalam agama suci itu,” katanya.

Bersyukur dan usah merungut

Kepada satu soalan, ahli akademik itu menjawab: “Memang tidak dinafikan ada merasakan kifarat sebagai hukuman yang menjadi beban kepada mereka sehinggakan ada segelintir daripada kelompok itu yang merugut dan bersifat tidak sabar.

Baca juga Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas

“Sebenarnya sebagai umat Islam, kita sewajarnya bersyukur dan berterima kasih kepada YANG MAHA ESA kerana DIA masih memberi peluang untuk kita mensucikan diri daripada dosa dan noda.

“Ini kerana terdapat juga perbuatan yang dilakukan oleh manusia tidak dinyatakan hukumannya. Kemungkinan pembalasannya di akhirat kelak. Maknanya, ALLAH meringankan pesalah itu atas maksiat yang dilakukan.

“Ini menunjukkan adanya rahmah ALLAH kepada kita sebagai umat Islam kerana diberi kesempatan menyucikan diri. Sepatutnya kita melihatnya sebagai tanda kasih sayang ALLAH kepada hamba-hamba-NYA.

“Bayangkan, tatkala kita ingkar dengan suruhan-NYA, tetapi masih diberi peluang untuk bertaubat dan kembali kepada-NYA.”

Kafarah

KAFARAH merupakan satu medium taubat Muslim andai kita bersabar dan reda dengan ketentuan-NYA. -Foto: 123rf

ANEKDOT

Hikmah di sebalik kafarah

1. Mendekatkan hamba-NYA lebih hampir lagi kepada Sang Pencipta.

2. Kafarah tidak diturunkan kepada semua hamba-NYA, tetapi kepada orang yang tidak melakukan perintah dan menyimpang daripada suruhan-NYA.

Sebaiknya, kita memandangnya dari sudut positif dan menerima dengan reda ke atas ketentuan-NYA. Setidak-tidaknya, fikirkanlah hikmah dan kebaikan yang ALLAH SWT datangkan kepada kita.

3. Kafarah sebenarnya memberi latihan kepada diri untuk bersabar apabila berhadapan dengan hukuman yang dikenakan. Misalnya, kaffarah dengan berpuasa yang mana ia bertujuan untuk mendekatkan diri mereka kepada ALLAH, di samping mendidik diri patuh kepada perintah-NYA untuk mendidik peribadi sabar.

Bahkan, seseorang yang berpuasa juga berupaya melatih diri menahan godaan nafsu, selain melahirkan rasa syukur kepada-NYA.

Begitu juga dengan bersedekah yang antara lain menguatkan keimanan kepada ALLAH, di samping menjadi amalan menggugurkan dosa sebagaimana air memadamkan api.

4. Mengakhiri majlis dengan bacaan tasbih kaffarah akan diampunkan dosanya sepanjang program berkenaan.

Selalu sahaja kita mendengar penyampai mahupun penceramah meminta kita membaca tasbih kaffarah usai majlis selesai. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut ‘MAHA SUCI ENGKAU ya ALLAH dan segala puji bagi-MU, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan ENGKAU, aku memohon keampunan dan taubat daripada ENGKAU’, melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.