Browsing Tag

bahagikan muka surat atau juzuk

Khatam al-Quran
Berita Semasa,

Bahagikan muka surat atau juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran

Bahagikan muka surat atau juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran

RAMAI yang mengimpikan untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadan. Masakan tidak, banyak kebaikan dan ganjaran yang diraih andai kita beramal dalam bulan agung itu.

Ketika ini, sudah pasti ramai yang sedang berusaha untuk menyempurnakan usaha mereka itu sama ada secara sendirian atau berkumpulan.

Malah, ada yang menubuhkan kumpulan tadarus sendiri bagi tujuan tersebut.

Terdapat segelintir orang pula membahagikan juzuk al-Quran kepada individu-individu tertentu sebagai cara mudah untuk khatam beramai-ramai.

Tidak salah berbuat demikian, cuma ada suatu perkara yang kita perlu tahu sebagaimana dikongsikan oleh pengguna akaun Twitter @Muzuzxck dalam bebenangnya.

Khatam al-Quran

PENDEKATAN sama ada membaca secara bergilir-gilir atau membahagikan muka surat/ juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran. -Foto: BERNAMA

Jelas beliau, pendekatan sebegitu sama ada membaca secara bergilir-gilir atau membahagikan muka surat/ juzuk sebenarnya tidak dikira sebagai khatam al-Quran.

Sebaliknya, Muzuza menjelaskan, hakikat khatam al-Quran adalah kita membaca dari awal Surah al-Fatihah hinggalah surah terakhir, an-Nas dengan lengkap.

Baca juga Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya

“Akan tetapi, setiap pembaca akan mendapat pahala bagi apa yang telah dibacakan.

“Ia sebagaimana disebutkan oleh ulama semisal al-Imam al-Suyuthi bahawa: ‘Apa yang lebih banyak perbuatan, akan lebih banyak ganjaran’,” tulisnya.

Bagi memudahkan warganet memahaminya, Muzuza yang juga penulis buku kerohanian membuat kesimpulan mudah bahawa sama ada kita membaca al-Quran dengan membahagikan surah/ juzuk atau tidak, perbuatan itu tetap berpahala.

“Namun andai ditanya sama ada cara itu khatam atau tidak? Jawapannya adalah tidak.

“Ini kerana untuk mendapat pahala, bacalah walau dengan apa cara sekalipun, tetapi untuk mendapat kelebihan khatam al-Quran, (tidak boleh tidak, ia) perlu dibaca dari awal.

Baca al-Quran

UNTUK mendapat kebaikan berkhatam, kita perlu membacanya dari awal hingga habis. -Foto: 123rf

“Bagaimanapun, membahagikan juzuk dan membaca serta mendengar bacaan dalam kumpulan secara bergilir-gilir adalah diharuskan dan tidak dilarang,” katanya.

Galakan untuk khatam al-Quran

Sementara itu, memetik artikel Irsyad Fatwa Khas Ramadan Siri ke-178: Adakah Tuntutan untuk Mengkhatamkan Al-Quran di Bulan Ramadan?, umat Islam sememangnya digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah dalam bulan mulia berkenaan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, ia termasuklah membaca al-Quran.

“Disebabkan itu, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

“Ini kerana ia merupakan sunnah Rasulullah SAW dan para salafussoleh,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel berkenaan.

Khatam al-Quran

MESKIPUN tiada perintah khusus yang mewajibkan kita mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan, tetapi kita disunatkan untuk berbuat demikian. -Foto: 123rf

Bagaimanapun, pejabat mufti itu menegaskan, tiada perintah atau arahan khusus daripada syarak yang berbentuk wajib untuk kita mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan.

“Galakan dan saranan tersebut berbentuk sunat dan bukannya wajib.

“Justeru andai seseorang tidak mengkhatamkan al-Quran pada bulan berkenaan dalam keadaan dia mampu, maka ia tidaklah dikira berdosa.

“Namun, dia telah terlepas kebaikan dan kelebihan yang banyak. Jadi marilah kita berusaha untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan mulia ini dan mengkhatamkannya lebih daripada sekali jika mampu,” pesannya.