Browsing Tag

Bacaan doa

MAGHRIBI
Antarabangsa,

Stadium bergema, bacaan al-Fatihah penyokong Maghribi untuk mangsa gempa bumi

PERTEMUAN Maghribi menentang Burkina Faso dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Perancis Selasa lalu bertukar ‘hening’ seketika apabila bacaan surah al-Fatihah bergema di stadium.

Demikian situasi yang terjadi semasa pembukaan perlawanan persahabatan tersebut yang berlangsung di Stadium Lens’ Bollaert-Delelis di Perancis yang dihadiri ribuan penyokong kedua-dua negara berkenaan.

Lapor Agensi Anadolu, difahamkan bacaan surah al-Fatihah oleh penyokong Maghribi itu adalah ditujukan buat mangsa-mangsa gempa bumi di Maghribi serta banjir di Libya yang terjejas teruk sejak beberapa hari lalu.

Baca Juga Masjid bersejarah Maghribi runtuh akibat gempa bumi

Meskipun hanya beberapa saat, namun rakaman kejadian itu tersebar ke serata dunia maya dan meraih pelbagai reaksi yang cukup hangat daripada segenap masyarakat.

Rata-rata warga maya memuji tindakan penyokong Maghribi yang majoritinya Muslim atas jasa baik bacaan surah pembuka al-Quran itu, selain turut bersimpati dengan mangsa bencana berkenaan.

Dalam pada itu, perlawanan persahabatan tersebut menyaksikan Maghribi menang 1-0 ke atas Burkina Faso hasil jaringan oleh Azzedine Ounahi pada minit ke-36.

 

 

Keadaan terkini Maghribi

Sementara itu, meninjau keadaan terkini di Maghribi, mangsa yang terselamat daripada gempa bumi paling dahsyat dalam tempoh lebih enam dekad telah diberikan bekalan makanan dan juga tempat perlindungan oleh pasukan keselamatan.

Memetik portal France24, jumlah korban pada Selasa melaporkan sekurang-kurangnya 2,901 terbunuh dan seramai 5,530 cedera dalam gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda lewat Jumaat lepas.

Artikel Berkaitan

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dilapor masih berada di tempat-tempat runtuhan untuk mencari mangsa di kawasan tersebut.

Khemah kuning kerajaan telah diletakkan di tapak perkhemahan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di kawasan paling teruk, iaitu di selatan Marrakesh, dengan banyak kampung di pergunungan High Atlas musnah sepenuhnya.

MENURUT World Health Organization (WHO), lebih 300,000 penduduk terjejas di Marrakesh dan kawasan sekitarnya juga telah banyak merosakkan tempat bersejarah.

“Satu-satunya yang tinggal di kampung itu ialah nama mereka,” kata Fatima Benhamoud, 39, berhampiran pusat pengedaran untuk tempat perlindungan sementara.

Keluarganya tinggal di salah sebuah khemah yang diletakkan di sebuah taman di Amizmiz, yang menjadi pusat bantuan untuk kampung pergunungan, kerana rumah mereka tidak lagi selamat.

Turut Disyorkan ‘Lelaki kucing Aleppo’, adiwira menyelamatkan lebih 40 ekor kucing selepas tragedi gempa bumi Turkiye-Syria

Ketibaan pusat perlindungan adalah petunjuk bahawa bantuan mula mengalir tetapi ia bertujuan sementara dan tidak akan mencukupi sama sekali terhadap musim sejuk dan hujan yang semakin hampir.

Di hab pelancongan Marrakesh, di mana pusat bersejarahnya yang tersenarai UNESCO mengalami keretakan dan kerosakan lain, ramai keluarga masih tidur di tempat terbuka, berselimut di dataran awam kerana takut akan gegaran susulan.

Muslim berdoa bersama bukan Islam
Berita Semasa,

Video bacaan doa disulami ritual agama lain di majlis pecah tanah tular, JAWI buat siasatan lanjut

KECOH isu bacaan doa kemudian disusuli oleh ritual agama lain dalam satu majlis di Kuala Lumpur. Difahamkan, kejadian itu berlaku dalam majlis pecah tanah yang berlangsung di ibu pejabat sebuah parti baru-baru ini menerusi video yang tular di media sosial.

Ramai yang mempersoalkan mengapa ‘ustaz’ dijemput untuk membaca Surah al-Fatihah dan doa dalam majlis yang ramai disertai oleh orang bukan Islam.

Lebih-lebih lagi acara berkenaan dilihat turut melibatkan upacara ritual agama lain selepas doa tadi dibacakan.

Baca juga “Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

Situasi itu mengundang tanda tanya dalam kalangan warganet. Malah, ada yang meminta polis dan pihak berkuasa agama melakukan siasatan.

Menjengah pada ruangan komen siaran langsung Facebook (FB Live) majlis itu, netizen, M Zek Aiman meninggalkan komen: “YB (Yang Berhormat) Menteri Agama dan Majlis Agama Islam WP (Wilayah Persekutuan mohon siasat dan beri pencerahan berkenaan majlis tersebut. Terima kasih.”

Bacaan doa

SEORANG lelaki dilihat membaca doa ketika majlis pecah tanah dalam video yang tular baru-baru ini. -Foto: Facebook Makkal Osai

Sementara itu, seorang lagi pengguna akaun Facebook, Noor Hayati menggesa agar Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam mengambil tindakan susulan.

Bagi Hazimitaib MieyTurbo, seorang lagi warganet, beliau meninggalkan komen: “Subhanallah…semoga ALLAH bagi hidayah pada semua yang ada dalam tu…Aminnn.”

Ketika sesi siaran FB Live berkenaan, seorang individu menggunakan akaun Facebook Jeyaraj Shankar menyatakan, bacaan doa tersebut dibuat kerana ada dalam kalangan ahli parti berkenaan beragama Islam.

“Sebabnya adalah ada members (ahli) yang (beragama) Hindu, Kristian, Sikh, Jain, Baha’i & Islam. Parti majmuk yang menghormati setiap agama.

“Bukan macam setengah-setengah parti lain yang mementingkan satu agama sahaja walaupun memerlukan sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam ruangan komen di laman sosial berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat isu bacaan doa oleh orang Islam yang disertai oleh majoriti non-Muslim pada program berkenaan.

DR MOHD NA’IM

Dalam satu kenyataan pada Rabu, JAWI berkata, ia bagi memastikan amalan tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi pandangan hukum atau fatwa berkaitan yang sedang berkuat kuasa.

“Sebarang kesalahan berhubung dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataan media pada Rabu.

Dalam pada itu, JAWI menasihatkan agar semua pihak sentiasa merujuk kepada badan autoriti agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang telah ditentukan.

“Keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam, lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum,” katanya.