Browsing Tag

bacaan doa disulami ritual agama lain

Muslim berdoa bersama bukan Islam
Berita Semasa,

Video bacaan doa disulami ritual agama lain di majlis pecah tanah tular, JAWI buat siasatan lanjut

KECOH isu bacaan doa kemudian disusuli oleh ritual agama lain dalam satu majlis di Kuala Lumpur. Difahamkan, kejadian itu berlaku dalam majlis pecah tanah yang berlangsung di ibu pejabat sebuah parti baru-baru ini menerusi video yang tular di media sosial.

Ramai yang mempersoalkan mengapa ‘ustaz’ dijemput untuk membaca Surah al-Fatihah dan doa dalam majlis yang ramai disertai oleh orang bukan Islam.

Lebih-lebih lagi acara berkenaan dilihat turut melibatkan upacara ritual agama lain selepas doa tadi dibacakan.

Baca juga “Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

Situasi itu mengundang tanda tanya dalam kalangan warganet. Malah, ada yang meminta polis dan pihak berkuasa agama melakukan siasatan.

Menjengah pada ruangan komen siaran langsung Facebook (FB Live) majlis itu, netizen, M Zek Aiman meninggalkan komen: “YB (Yang Berhormat) Menteri Agama dan Majlis Agama Islam WP (Wilayah Persekutuan mohon siasat dan beri pencerahan berkenaan majlis tersebut. Terima kasih.”

Bacaan doa

SEORANG lelaki dilihat membaca doa ketika majlis pecah tanah dalam video yang tular baru-baru ini. -Foto: Facebook Makkal Osai

Sementara itu, seorang lagi pengguna akaun Facebook, Noor Hayati menggesa agar Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam mengambil tindakan susulan.

Bagi Hazimitaib MieyTurbo, seorang lagi warganet, beliau meninggalkan komen: “Subhanallah…semoga ALLAH bagi hidayah pada semua yang ada dalam tu…Aminnn.”

Ketika sesi siaran FB Live berkenaan, seorang individu menggunakan akaun Facebook Jeyaraj Shankar menyatakan, bacaan doa tersebut dibuat kerana ada dalam kalangan ahli parti berkenaan beragama Islam.

“Sebabnya adalah ada members (ahli) yang (beragama) Hindu, Kristian, Sikh, Jain, Baha’i & Islam. Parti majmuk yang menghormati setiap agama.

“Bukan macam setengah-setengah parti lain yang mementingkan satu agama sahaja walaupun memerlukan sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam ruangan komen di laman sosial berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat isu bacaan doa oleh orang Islam yang disertai oleh majoriti non-Muslim pada program berkenaan.

DR MOHD NA’IM

Dalam satu kenyataan pada Rabu, JAWI berkata, ia bagi memastikan amalan tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi pandangan hukum atau fatwa berkaitan yang sedang berkuat kuasa.

“Sebarang kesalahan berhubung dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataan media pada Rabu.

Dalam pada itu, JAWI menasihatkan agar semua pihak sentiasa merujuk kepada badan autoriti agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang telah ditentukan.

“Keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan oleh ajaran Islam, lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum,” katanya.