Browsing Tag

baca Yasin

Amalan bulan Syaaban
Ibadah,

Amalan bulan Syaaban bukan bidaah, tapi jangan lakukannya khusus untuk bulan atau hari tertentu sahaja

Amalan bulan Syaaban bukan bidaah, tapi jangan lakukannya khusus untuk bulan atau hari tertentu sahaja

AHLAN wa sahlan Syaaban yang mula membuka tirainya selepas Maghrib ini. Ia menandakan bulan Ramadan kian hampir iaitu tinggal sepurnama lagi.

Ketika ini, ramai mula membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan puasa berkenaan. Ada yang meningkatkan puasa sunat, membaca Surah Yasin pada malam Nisfu Syaaban, solat sunat dan sebagainya.

Meskipun demikian, masih ada suara-suara sumbang yang ‘berbunyi’ apabila terdapat segelintir individu melakukan amalan sunat berkenaan.

Baca juga Tak puasa sunat Rejab ‘tidak mengikut sunah’?

Kelompok berkenaan dengan lantang mengatakan ia merupakan perbuatan bidaah kerana tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, bakal menjebakkan diri ke dalam neraka kerana amalan bidaah dhalalah itu adalah menyesatkan.

Malah, sebilangan mereka pula berhujah bahawa semua amalan tersebut tiada nas yang jelas dalam hadis.

Bagaimanapun harus diingat, semua perkara tersebut sememangnya amalan sunat yang biasa dilakukan meskipun bukan dalam bulan Syaaban.

Mantan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abd Majid Omar pernah memberikan ulasan panjang lebar tentang perkara itu sebelum ini.

ABD MAJID

Merujuk kepada artikel bertajuk Amalan Bulan Syaaban: Sunnah Atau Bidaah yang disiarkan di laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor, Abd Majid menjelaskan, sebahagian besar umat Islam di Malaysia menerima pakai saranan dan pengajaran daripada guru-guru serta orang tua mereka supaya memperbanyakkan amalan dalam bulan Syaaban.

Ia bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bulan Rejab adalah bulan ALLAH dan ALLAH telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Syaaban itu bulanku dan ALLAH telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala nabi-nabi, dan Ramadan pula adalah bulan umatku dan ALLAH melebihkan atas segala umat.”

Baca juga Syaaban: Jambatan ke Ramadan

Berdasarkan ungkapan hadis tadi, beliau berkata, jelaslah bahawa masyarakat Islam di negara ini membanyakkan amalan pada tiga bulan berkenaan termasuk Syaaban dengan pelbagai jenis ibadah bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Amalan bulan Syaaban

MASYARAKAT Islam di negara ini membanyakkan amalan pada tiga bulan berkenaan termasuk Syaaban dengan pelbagai jenis ibadah bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. -Foto: Freepik

“Mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut melakukannya kerana melihat pengisian ibadah pada bulan atau hari berkenaan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

“Ketahuilah, semua amalan yang diyakini baik untuk bertaqarrub kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.

Agamawan itu kemudiannya menyenaraikan contoh amalan yang dianggap dan sememangnya menjadi sunnah Rasulullah SAW.

Berikut perinciannya:

1. Berpuasa sunat.

Banyakkan berpuasa sunat sebenarnya mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang melakukan sedemikian pada bulan Syaaban.

Baca juga Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

2. Membaca Surah Yasin.

Baginda SAW turut menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Surah Yasin merupakan salah satu surah dalam kitabullah tersebut. Malah, setiap huruf yang dialunkan semasa mengaji itu akan diberikan ganjaran pahala berganda.

3. Berdoa.

Sesungguhnya, berdoa itu senjata orang mukmin. Bahkan, ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA supaya berdoa untuk DIA memperkenannya.

Amalan bulan Syaaban

SENTIASA berdoa memohon keampunan dan keredaan ALLAH SWT. -Foto: 123RF

4. Bertahlil.

Walaupun terdapat sebilangan individu yang melabelkan tahlil sebagai bidaah, namun segala bacaan di dalamnya terdiri daripada ayat al-Quran, zikir Lailaha illallah, doa dan beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT terhadap ahli keluarga yang sudah meninggal dunia agar rohnya dicucuri rahmat.

5. Mengadakan majlis kenduri.

Usahlah memandang ia hanya semata-mata sebagai satu majlis sahaja. Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturahim. Malah, kenduri berkenaan merupakan satu perhimpunan sanak saudara untuk mengeratkan hubungan.

Baca juga Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban

Melihat betapa baiknya amalan tersebut, Abd Majid menegaskan, tiada larangan untuk umat Islam melakukannya dalam bulan Syaaban.

“Suatu perkara yang harus diingati, amalan-amalan tersebut juga tidak disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi yang disunatkan adalah kerana ‘kesunnahan’ ibadah berkenaan.

“Menghidupkan bulan Syaaban dengan amalan yang disebutkan tadi adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri ke hadrat ALLAH SWT.

“Apa yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu hanyalah pengkhususan bulan atau hari untuk satu-satu ibadah, bukannya pada pengisian mahupun aktiviti amalan yang dilakukan,” katanya sambil menukilkan pandangan Imam Syafie bahawa amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah adalah bidaah hasanah.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva