Browsing Tag

baca doa sepentas dengan bukan Islam

Muslim berdoa bersama bukan Islam
Hukum,

Muslim berdoa bersama bukan Islam dalam satu majlis, apa hukumnya?

SUSULAN timbul isu Muslim berdoa sepentas bersama bukan Islam dalam satu majlis, ia menimbulkan tanda tanya.

Dalam insiden terbaharu, tular satu video memaparkan seorang lelaki yang membaca dilihat membaca Surah al-Fatihah, diikuti bacaan doa dalam sebuah majlis di ibu kota yang dihadiri oleh majoriti orang bukan Islam.

Di samping itu, ia turut membabitkan upacara ritual agama lain. Ia sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen dan perdebatan ramai.

Baca juga Video bacaan doa disulami ritual agama lain di majlis pecah tanah tular, JAWI buat siasatan lanjut

Muslim berdoa bersama bukan Islam

VIDEO tular seorang lelaki yang membaca Surah al-Fatihah dan berdoa dalam sebuah majlis yang dihadiri majoriti oleh orang bukan Islam. -Foto: Facebook Makkal Osai

Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel yang pernah disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Pejabat mufti berkenaan menjelaskan, berdoa termasuk dalam kategori ibadah dan ia merupakan salah satu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya.

“Oleh itu, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna, doa tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada ALLAH SWT.

“Justeru sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, suasana yang baik dan di tempat yang sepatutnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-156: Doa Bersama Dengan Bukan Islam Dalam Satu Majlis di laman web https://www.muftiwp.gov.my/.

Seperkara lagi, artikel tersebut menyebut, dalam Islam, doa juga satu ibadah untuk melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada ALLAH SWT sambil menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki.

Baca juga Berdoa tidak perlukan lafaz khusus dan skrip

Ia sama sekali berbeza dengan doa orang kafir yang pada hakikatnya tidak mempunyai nilai di sisi ALLAH SWT, terangnya.

“Selain itu, terdapat ayat-ayat yang menyuruh supaya kita berlepas diri daripada peribadatan atau agama orang kafir,” katanya.

Muslim berdoa bersama bukan Islam

MESYUARAT Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 memutuskan larangan bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai yang dianjurkan oleh bukan Islam atau dalam acara yang dibacakan doa tidak difahami maksudnya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 berkenaan penglibatan orang bukan Islam dalam solat istisqa’ (solat dan doa memohon hujan ketika kemarau).

Jawatankuasa itu memutuskan larangan bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai yang dianjurkan oleh non-Muslim atau dalam majlis yang dibacakan doa tidak difahami maksudnya.

“(Keputusan itu dicapai) atas dasar sadd al-zara’i (menutup jalan-jalan kerosakan) untuk mengekang fahaman pluralisme agama yang bertentangan dengan kebanyakan agama, selain membendung penyebaran agama lain kepada penganut Islam berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Walaupun Islam memperakui kewujudan pelbagai agama dan meraikan kepelbagaian, namun tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ia bukanlah bermaksud keabsahan agama lain diiktiraf.

Apatah lagi hingga sanggup berkompromi dalam hal-hal yang bersifat prinsip, ungkapnya.

“Dalam hal yang berkaitan dengan prinsip-prinsip akidah, ibadah dan syariah, Islam akan kekal eksklusif sampai bila-bila. 

“Namun, dalam perkara yang melibatkan keamanan sejagat dan perpaduan nasional, kita boleh bersama-sama merealisasikannya sebagai warganegara Malaysia.

“Moga ALLAH SWT kurniakan kepada kita kekuatan untuk terus istiqamah dan jujur dalam mempertahankan kesucian agama ini,” ungkapnya.

***Foto: Pexels