Browsing Tag

baca al-quran melalui telefon

Kuwait
Antarabangsa,

Kuwait larang imam baca al-Quran guna telefon bimbit semasa solat berjemaah, ini tatacara sebenar melihat mushaf ketika solat

KUWAIT melarang imam di negara berkenaan menggunakan telefon bimbit untuk membaca al-Quran semasa melaksanakan solat berjemaah, lapor akhbar al-Rai.

Sebaliknya, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait menyarankan imam menyemak dahulu bacaan ayat suci al-Quran dan hanya bergantung kepada hafazan semasa mengetuai solat Tarawih.

Kenyataan itu dibuat oleh Penolong Setiausaha Hal Ehwal Masjid, Salah al-Shilahi melalui sebuah pekeliling yang turut menekankan peranan serta tanggungjawab imam sebagai pembimbing ummah dan pemelihara kesucian masjid.

Baca juga Solat Tarawih Perdana di Times Square, New York kali ke-2 lebih meriah

Kuwait

Baca juga Lambat baca al-Fatihah ketika solat berjemaah. Perlu ‘kejar’ imam atau tidak?

Jelas pengumuman itu lagi, jumlah minimum bacaan al-Quran yang disyorkan semasa Tarawih ialah sekurang-kurangnya satu pertiga daripada teks al-Quran. Namun, dalam masa sama imam juga perlu mengambil kira keadaan para jemaah dengan tidak melebihi had tersebut sehingga membebankan makmum untuk mengikuti solat.

Selain itu, imam diingatkan agar berhati-hati dan mengelak sebarang bacaan atau doa yang terlalu agresif, kuat dan panjang melampaui kadar intonasi biasa.

Turut disyorkan Makmum jangan sengaja lambat mengikut imam dalam solat berjemaah, ia boleh menyebabkan solat tidak sah

IMAM di Kuwait turut diingatkan untuk mengelakkan doa yang terlalu agresif atau lewah. Foto: 123RF

Melihat mushaf al-Quran ketika solat
Menurut portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mazhab Syafie membenarkan melihat dan membaca ayat al-Quran daripada mushaf atau telefon bimbit ketika solat fardu dan solat sunat.

Pun begitu, pendapat ini hanya disarankan bagi imam dan mereka yang solat bersendirian dengan tujuan memanjangkan tempoh berdiri atau menambahkan kekhusyukan dalam solat.

Makmum, bagaimanapun tidak digalakkan kerana perbuatan seperti memegang mushaf atau melihat telefon bimbing dibimbangi menyebabkan jemaah terlepas untuk melakukan perkara sunat dalam solat yang lebih utama seperti menumpukan pandangan ke tempat sujud.

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Dalam pada itu, pihaknya menegaskan bahawa perkara yang lebih baik adalah untuk membaca ayat al-Quran tanpa melihat mushaf ketika solat.

Sebaik-baiknya umat Islam tidak bergantung kepada bacaan al-Quran melalui mushaf ketika solat jika tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian. Namun jika tetap perlu merujuknya, lebih baik memegang al-Quran daripada melihatnya daripada telefon.

Baca juga Sama ke pahala baca al-Quran guna telefon dengan mushaf? Jom baca penjelasan ini…

Kuwait

AMBIL tahu tatacara yang betul membaca serta memegang mushaf al-Quran baik fizikal mahupun menerusi telefon bimbit, ketika solat.

Baca juga Bolehkah membaca surah yang sama dalam solat?

Cara merujuk mushaf al-Quran ketika solat
Menerusi satu video disiarkan di laman sosial miliknya, pendakwah Indonesia, Ustaz Firanda Andirja ada menggariskan cara memegang mushaf al-Quran ketika solat. Berikut adalah ringkasannya:

1. Jika ada pemegang mushaf, al-Quran diletakkan di atas pemegang itu sambil menghadap imam atau orang yang bersolat.

2. Mushaf juga boleh dipegang menggunakan tangan. Ketika hendak rukuk atau sujud, kitab suci itu boleh diletakkan di atas meja atau sebagainya. Ini berdasarkan perbuatan Nabi Muhammad SAW yang pernah mendukung cucunya Umamah ketika solat yang mana apabila baginda ingin sujud, baginda meletakkan anak kecil itu di bawah.

3. Ambil semula mushaf ketika berdiri dan boleh menyelak helaian al-Quran tersebut. Namun, berhati-hati dengan tiga kali pergerakan besar secara berturut-turut yang boleh membatalkan solat.

4. Sekiranya menggunakan telefon, pergerakan jari menatal (scroll) skrin telefon tidak membatalkan solat. Sebelum turun rukuk dan sujud, simpan telefon di kocek baju.

Turut disyorkan Umpama qiam sepanjang malam, ini cara sebenar tunaikan solat tarawih untuk raih ganjaran itu

Semoga perkongsian kali ini memberi kefahaman tentang bagaimana merujuk ayat suci al-Quran menerusi mushaf atau telefon bimbit ketika solat.

Sumber: Gulf News, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Youtube Ustaz Firanda Andirja

Foto: Pexels & 123RF