Browsing Tag

awal muharam

awal muharam
Gaya Hidup,

Awal Muharam, simbol pengertian hijrah sebenar

SABAN tahun apabila masuk Muharam Hijriah, kita sering menceritakan sebuah peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah.

Walaupun pada hakikatnya, penghijrahan Nabi SAW ke kota Madinah berlaku pada Safar, bukan pada Muharam.

Namun, sesetengah pendapat mengatakan keazaman Rasulullah SAW untuk berhijrah itu bermula sejak Muharam selepas berbaiat pada Zulhijah.

Seperti dikongsi oleh penceramah bebas, Ustaz Hanzalah Azman, antara kisah masyhur pada awal Muharam ialah wujudnya sistem takwim ‘standard’ untuk kegunaan umat Islam.

Baca Juga Pengembaraan epik ikut laluan hijrah Nabi, lelaki ini berjalan 500km dari Mekah Ke Madinah

“Ia dibangunkan oleh Khalifah kedua, Saidina Umar al-Khattab sebagai satu pemantapan pentadbiran setelah gabenor di Basrah tidak mendapat sepucuk surat tidak bertarikh.

“Perkara tersebut dimesyuaratkan oleh para sahabat untuk menentukan permulaan takwim Islam dan diputuskan oleh Saidina Umar memulakan takwim Islam pada Muharam.

Hati

HAYATI ibrah daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan serta menyebarkan Islam.

“Hijrah pada asalnya ialah merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah iaitu sebagai satu inisiatif jalan keluar setelah penyeksaan yang dihadapi mereka.

“Penghijrahan tersebut tidak hanya melibatkan perpindah, namun ia juga salah satu insiatif Rasulullah SAW memperluaskan dakwah ke seluruh tanah Arab.

Hijrah batiniah dan lahiriah

“Rasulullah SAW memberi definisi atau makna sebenar hijrah iaitu bukan sekadar penghijrahan melibatkan perpindahan fizikal, tetapi dari sudut dalam jiwa seseorang, amal ibadahnya serta menjauhkan diri daripada melakukan larangan ALLAH SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa-apa yang ALLAH larang. (Hadis Riwayat Bukhari)

“Bahkan menurut Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari syarah kepada Sahih Bukhari, hijrah itu ada dua, pertama lahiriah dan kedua batiniah.

Syaitan

HIJRAH bukan untuk golongan pendosa, tetapi ia sememangnya suatu tuntutan ke atas setiap umat Islam supaya berubah menjadi insan yang lebih baik.

“Hijrah batiniah ialah meninggalkan apa-apa sahaja yang diperintahkan oleh hawa nafsu yang selalu memerintahkan keburukan dan syaitan.

“Manakala, lahiriah pula menghindarkan diri dengan memelihara agama daripada fitnah.

“Sekiranya kita menelusuri makna hijrah, ia amat berkait rapat dengan kehidupan sejagat manusia iaitu sentiasa melakukan perubahan terhadap diri sendiri.

“Dan inilah perjalanan kehidupan sebenar manusia iaitu sentiasa ada fasa tertentu untuk berusaha melakukan perubahan pada dirinya sama ada luaran atau dalaman,” ungkapnya.

Bertepatan dengan hadis sebagaimana Baginda SAW bersabda: “Muslim itu ialah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat daripada lisan dan tangannya serta al-muhajir (orang yang berhijrah) ialah orang meninggalkan apa-apa sahaja yang ALLAH larang.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Artikel Berkaitan