Browsing Tag

audit diri

Balik haji
Gaya Hidup,

Refleksi diri selepas balik haji, ini cara-caranya

Refleksi diri selepas balik haji, ini cara-caranya

IBADAH haji tahun 1444H sudah sampai ke penghujungnya dengan kepulangan para jemaah ke negara masing-masing. Bersyukurlah bagi mereka yang sudah diberi peluang untuk mengerjakan kemuncak rukun Islam yang lima. Lebih beruntung lagi apabila status haji mabrur diperoleh menerusi perubahan diri yang lebih berkualiti.

Nas syarak tidak sedikit menyatakan tentang ganjaran kepada setiap Muslim yang berkemampuan melaksanakan ibadah haji. Antaranya, ganjaran syurga di akhirat kelak bagi mereka yang memperolehi haji mabrur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umrah adalah penebusan dosa-dosa yang dilakukan antara yang sebelumnya dan yang selepasnya. Dan pahala haji mabrur (yang diterima oleh ALLAH) tidak lain adalah Syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab: Al-‘Umrah, Bab: Wujub al-‘umrah wa fadliha, no: 1773)

Dalam kehidupan di dunia, jemaah haji yang pulang daripada melaksanakan ibadah tersebut digambarkan telah bersih daripada dosa seperti baharu sahaja dilahirkan ke dunia.

Balik haji

TERUSKAN istiqamah dengan amalan yang dilazimkan di Tanah Suci selepas balik haji. -Foto: 123rf

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan haji untuk keredaan ALLAH dan tidak melakukan hubungan seks dengan isterinya dan tidak melakukan kejahatan atau dosa maka dia akan kembali (setelah haji bebas daripada semua dosa) seolah-olah dia dilahirkan kembali.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Kitab: al-Hajj, Bab: fadl al-hajj al-mabrur)

Baca juga

Audit diri, audit ilmu

Setiap ibadah khusus dalam Islam menjanjikan matlamat akhir (output) untuk dicapai oleh setiap Muslim. Jika solat digandingkan dengan matlamat pencegahan daripada mungkar, puasa meletakkan takwa, maka haji yang mabrur merupakan matlamat pensyariatan ibadah haji tersebut.

Setiap jemaah haji menempuh pelbagai ujian, cabaran dan pengorbanan sepanjang pelaksanaan ibadah. Tidak hairanlah haji juga disifatkan sebagai salah satu jihad yang dituntut dalam Islam.

Jemaah haji yang melakukan sendiri ibadah tersebut dan melihat sendiri kawasan ibadah seharusnya menjadi contoh tauladan kepada umat Islam yang lain. Mereka berkorban untuk melakukan ibadah yang tidak berlaku di tempat asal masing-masing. Bahkan mereka didedahkan dengan pelbagai kisah sejarah pengorbanan yang setidaknya menjadi ibrah (pengajaran) sebagai Muslim sejati.

Rasulullah SAW sering mengajarkan untuk berdoa usai solat subuh dengan lafaz yang bermaksud: “Ya ALLAH, aku bermohon daripada-MU untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat, rezeki yang yang luas (baik) dan amalan yang diterima.” (Hadis riwayat Ibn Majah, Kitab: Iqamat al-Salat wa al-Sunnah fiha)

Rutinkan diri dengan ibadah

Balik haji

BANYAK amalan yang boleh kita lakukan dan istiqamah dalam ibadah selepas balik haji. -Foto: 123rf

Tiga perkara penting yang menjadi ukuran untuk setiap Muslim perbaiki menurut hadis ini ialah rezeki, ilmu dan amalan yang boleh disingkatkan dengan kata R-I-A. Ketiga-tiga perkara ini juga sangat berkait rapat dengan jemaah haji yang baharu kembali dari Tanah Suci. Setiap jemaah yang pulang seharusnya memastikan ketiga perkara ini diperbaiki sesudah ibadah haji dilaksanakan.

Suatu ketika jemaah haji bertungkus-lumus untuk mengumpul rezeki mahupun kos perbelanjaan semata-mata untuk ke tanah suci kerana belanja haji bukanlah sedikit kadarnya. Seharusnya, dengan bergelar haji dan hajjah, soal rezeki yang halal perlu dititik beratkan. Hindari rezeki yang jelas haram dan elakkan yang meragukan (syubhah).

Dari sudut audit ilmu, jemaah haji perlu memantapkan diri dengan pelbagai ilmu sama ada bersifat keagamaan atau keduniaan. Keduanya sangat penting demi kelangsungan hidup selepas haji dilakukan. Jika sebelum ke tanah suci, jemaah aktif menghadiri kursus haji bersiri, maka selepas haji luangkan masa untuk pelbagai kursus yang boleh memperbaiki kualiti hidup masing-masing. Ada kursus yang memantapkan rumahtangga, pemantapan kerjaya dan pembangunan diri. Secara tidak langsung, budaya iqra’ (bacalah) yang dianjurkan Islam dapat diterapkan sepanjang masa usai ibadah haji.

Jemaah haji juga diingatkan untuk memastikan amalan selepas haji sentiasa dijaga atau lebih konsisten. Paling tidak, solat awal waktu perlu diterapkan kerana budaya itulah yang berlaku di Tanah Suci. Setiap kali seruan azan dikumandangkan, semua jemaah berbondong-bondong ke Masjidil Haram.

Justeru, jadikan rutin solat awal waktu sebagai agenda utama dalam diari kehidupan sekembali ke tempat masing-masing. Hakikat berakhirnya manasik haji memberi peringatan kepada semua umat Islam sama ada yang diberi kesempatan ke tanah suci atau tidak untuk melakukan muhasabah diri atau audit diri masing-masing. Ini kerana Zulhijah yang sinonim dengan bulan haji merupakan bulan terakhir dalam kalendar Islam untuk mendepani tahun baharu iaitu awal Muharam yang bakal menjelang.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa