Browsing Tag

Arasy

Talak menggegarkan Arasy
Isu,

Rupanya hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ tidak sahih

FRASA talak menggegarkan Arasy kedengaran tidak asing kepada kebanyakan kita. ‘Hadis’ yang selama ini menjadi sebutan ramai rupa-rupanya adalah tidak sahih!

Demikian fakta yang tidak boleh disangkal lagi kebenarannya.

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Addien Abdul Kadir, ungkapan ‘talak menggegarkan Arasy’ dinilai palsu oleh ramai ulama hadis.

USTAZ ADDIEN

Antaranya termasuklah Imam Ibn al-Jauzi, al-Saghani, as-Syaukani dan lain-lain.

“Dalam kitab Fawaid al-Majmu’ah ada dinyatakan, yang sahih, bercerai itu syariat Islam dan dibolehkan jika ada keperluan mendesak,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Baca juga Isteri yang diceraikan tanpa sebab boleh tuntut mutaah daripada bekas suami

Bukan pendakwah itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut cenderung mengatakan bahawa hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ adalah tidak sahih.

“Malah, kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi Muhammad SAW dan meriwayatkannya kepada orang lain melainkan bagi menyatakan kepalsuannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-256: Talak Menggegarkan Arasy dan Dimurkai ALLAH di laman web pejabat mufti berkenaan.

Mengulas tentang sebuah lagi hadis masyhur yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai ALLAH adalah talak.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah), ini jawapan pejabat mufti tersebut:

“Hadis itu telah menjadi perselisifan dalam kalangan ulama dari sudut penentuan hukumnya. Terdapat sebahagian ulama mensahihkan hadis itu dengan mengatakan bahawa sanadnya bersambung.

Talak menggegarkan Arasy

JADIKAN penceraian sebagai jalan yang terakhir, sebaiknya carilah solusi terlebih dahulu. -Foto: Freepik

“Ada pula sebahagian ulama lain mendaifkannya disebabkan gugurnya nama sahabat dalam hadis berkenaan dengan mengatakan bahawa hadis itu adalah mursal.”

Baca juga Jangan ikutkan hati dan amarah. Ingat, penceraian bukan satu permainan

Walaupun syarak membenarkan seorang suami melafazkan talak atau dengan kata lain, menceraikan isteri atas sebab-sebab tertentu, namun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, apa yang terbaik adalah mencari dahulu jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.

“Jadikan talak sebagai jalan yang terakhir.

“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kita suami atau isteri yang soleh dan solehah agar rumah tangga yang dibina terus berkekalan hingga akhir hayat,” ungkapnya.

***Foto: Freepik