Browsing Tag

aqidah

bulan_safar
Aqidah,

Tiada ‘SIAL’ dalam bulan Safar, kepercayaan mengarut boleh merosakkan aqidah

Safar bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Dalam bahasa Arab Safar bermaksud kosong.

Dalam lipatan sejarah Islam, bulan Safar mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting yang sewajarnya menjadi bahan renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian.

Walaupun begitu, masih terdapat sebahagian umat Islam terutama yang lemah akidah keimanan mempercayai kepada prasangka buruk atau nahas terhadap bulan Safar ini, khususnya pada hari Rabu akhir bulan.

Perkara ini demikian dikongsi oleh Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi mengenai kepercayaan mengarut sesetengah masyarakat akan sial di bulan Safar ini.

Baca Juga Benarkah akan berlaku ‘kekacauan’, ‘kesialan’ pada 13 September?

Ujarnya, malang sekali apabila mereka percaya dalam bulan Safar ini ALLAH SWT akan turunkan puluhan ribu bala ke atas umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki ALLAH.

“Justeru, berdasarkan kepercayaan karut tersebut, ada umat Islam menulis ayat-ayat tersebut iaitu ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletak dalam tempayan atau kolam atau perigi atau seumpamanya untuk diminum atau bermandi-manda dengan air tersebut kononnya untuk mendapatkan perlindungan daripada bala buruk pada hari tersebut.

peristiwa Safar

BULAN Safar dianggap sebagai bulan yang membawa sial bagi masyarakat Arab Jahiliyyah dahulu. Foto: 123RF

“Perlu ditegaskan kepercayaan karut itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam.

“Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tiada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis. (Hadis Riwayat Bukhari)

“Maksud hadis Rasulullah jelas menegaskan jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial majal atau nahas bulan Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia,”.

Artikel Berkaitan 

“Sebaliknya apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit itu semuanya daripada kekuasaan dan kehendak ALLAH,” Katanya.

Setiap Muslim perlu ambil langkah berwaspada

Tambahnya lagi, dalam yang masa sama, Rasulullah berpesan kepada setiap Muslim agar mengambil langkah berwaspada semasa berhadapan musibah dengan memerintahkan supaya melarikan diri daripada pesakit kusta dan jangan menghampiri mereka.

“Ini bukan bererti penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan tersebut menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga dan berusaha memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.

KEPERCAYAAN bulan Safar adalah bulan sial, jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. 

“Bukankah ALLAH sudah berfirman yang bermaksud “Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama ALLAH dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah Al-Baqarah ayat 195)

“Berdasarkan keterangan nas-nas tersebut, nyatalah bahawa apa yang dipercayai dan diamalkan sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan bulan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah suatu kepercayaan yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Begitu juga upacara atau pesta mandi laut, bersuka ria dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas dan sebagainya kononnya untuk mengelak daripada bala bulan Safar bertukar wajah sebagai pesta menambah dosa dan mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri, malah ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk di sisi syarak semasa pesta tersebut.

Turut Disyorkan Tak boleh bunuh semut, tetapi bagaimana jika serangga itu bawa mudarat?

“Selain itu, terdapat juga orang tua di negara ini yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian pada bulan Safar kerana dikhuatiri pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia.

“Kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah sehingga boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa ALLAH,” ujarnya.