Browsing Tag

anugerah BISA

MADAD
Berita Semasa,

Enam anugerah bernuansakan Islam ungguli anugerah BISA

BISNES Sinar Harian Awards (BISA) yang julung kalinya dianjurkan tidak meminggirkan anugerah bernuansakan Islam meliputi pelbagai bidang.

Ia menyaksikan enam syarikat berunsurkan Islamik mengungguli pencapaian dalam lapangan masing-masing.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Al Kautsar EduQids, Datuk Dr Kapten Bakhtiar Aliff diangkat sebagai pemenang Anugerah Montessori Islamik Pilihan 2023, manakala Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra Mohd Yusof yang juga Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) pula merangkul Anugerah Usahawan Islam Moden 2023.

DARI kanan, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli menyampaikan Anugerah Montessori Islamik Pilihan 2023 kepada Dr Kapten Bakhtiar pada anugerah BISA di Shah Alam pada Khamis.

Turut menerima pengiktirafan BISA, Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours, Muhammad Mursyid Abu Hassan (Anugerah Agensi Pelancongan Muslim Pilihan 2023) dan Pengarah yang juga Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris (Anugerah Agensi Umrah dan Haji Pilihan 2023).

Baca juga Sembahyang di masjid Quba’ sama pahalanya seperti mengerjakan umrah

Di samping itu, Anugerah Produk Halal 2023 Global dimenangi oleh Wardah Beauty Malaysia yang diwakili oleh Naib Presiden (Pembangunan & Penyelidikan), Dr Sari Chairunnisa manakala Anugerah Rangkaian Edutaintment Islamik 2023 menjadi milik Durioo Sdn Bhd yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sinan Ismail.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam program itu, Penerbit yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, anugerah BISA menjadi satu permulaan kepada Sinar Harian untuk menyokong dan membantu usahawan-usahawan Malaysia terus bangkit serta berkembang selepas berhadapan situasi getir ketika Covid-19 melanda.

BISA Awards

FARAH

Bukan sekadar platform anugerah semata-mata, jelas beliau, BISA turut direka untuk mengiktiraf usahawan di Malaysia terutama pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Malah, katanya, Sinar Harian akan memainkan peranan sebagai penghubung komuniti bisnes Malaysia dengan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

“Lebih banyak pertukaran idea, masterclass, bengkel dan kerjasama dapat dilakukan bersama untuk meneroka segala kemungkinan dalam era digitalisasi teknologi hari ini.

“Dalam usaha menjadi penghubung komuniti bisnes, kami berharap kita dapat bersama-sama menyebar luas dan menerapkan kepentingan integriti dan kejujuran dalam perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada Khamis.