Browsing Tag

antarabangsa

burkini
Antarabangsa, Berita Semasa,

Perdebatan tercetus di Perancis gara-gara kebenaran pemakaian burkini

WANITA Islam di Grenoble, Perancis, kini dibenarkan memakai burkini atau pakaian renang Muslimah di kolam-kolam renang bandar itu selepas mendapat kelulusan Majlis Perbandaran tempatan.

Dalam suatu sesi undian sengit dengan keputusan 29-27 beserta dua undi terkecuali, ahli-ahli Majlis Perbandaran Grenoble bersetuju untuk membuat perubahan dalam peraturan pakaian renang di bandar itu.

burkini

ERIC PIOLLE

Kata Datuk Bandar Grenoble, Eric Piolle, langkah diambil untuk mewujudkan peraturan renang yang lebih permisif, terutamanya bagi para wanita.

“Kami berhasrat untuk menghapuskan sekatan yang tidak masuk akal. Ini termasuk larangan mendedahkan payudara dan pakaian renang yang memberi perlindungan tambahan daripada matahari atau berkaitan kepercayaan.

“Ia bukan mengenai menyokong atau menentang pemakaian burkini secara khusus,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita, France 24.

Baca juga Siasatan menyeluruh loji sembelihan Australia didakwa langgar prosedur halal

Burkini adalah sejenis pakaian renang yang menutupi seluruh badan dan hanya menampakkan bahagian muka, tangan dan kaki.

Mula dipasarkan pada tahun 2004, pereka fesyen Muslim dari Australia, Aheda Zanetti telah mencipta pakaian tersebut khas buat para Muslimah dan mereka yang mencari pakaian renang yang lebih menutupi badan.

burkini

RAMAI wanita Muslim yang menerima denda kerana mengenakan burkini di pantai sepanjang musim panas tahun 2016.

Namun, di Perancis, burkini dilihat sebagai suatu simbol ekstremisme Islam dan penindasan ke atas wanita.

Sejak tahun 2009, pakaian ini menjadi isu hangat yang sering diperdebatkan oleh masyarakat tempatan, terutamanya ahli-ahli politik.

Pada 2016 pula, lebih daripada 20 bandar di Perancis mengenakan denda terhadap wanita yang memakai burkini di pantai.

Begitu pun, larangan ini ditarik balik setelah ia dianggap sebagai suatu bentuk diskriminasi oleh badan kerajaan, Le Conseil d’État.

Keputusan Grenoble untuk membenarkan pemakaian burkini ditentang pelbagai pihak yang menegaskan bahawa langkah itu menggugat nilai sekularisme yang termasuk dalam perlembagaan Perancis.

burkini

GÉRALD DARMANIN

Menteri Dalam Negeri, Gérald Darmanin menganggap langkah tersebut sebagai suatu bentuk provokasi yang bertentangan dengan budaya Perancis.

Tambahnya, beliau akan membawa isu itu ke mahkamah bagi menghalang peraturan baharu berkenaan daripada terus berkuat kuasa.

Dalam masa sama, Presiden Majlis Negeri Auvergne-Rhône-Alpes, Laurent Wauquiez mengugut untuk menarik semula peruntukan kewangan bandar terbabit dalam sebuah ciapan di laman sosial Twitter.

Selain itu, suatu tinjauan yang dilakukan oleh saluran berita, Cnews mendapati 73 peratus rakyat Perancis setuju larangan terhadap pemakaian burkini di kolam renang dikekalkan.

burkini

GRENOBLE dianggarkan mempunyai 15 peratus daripada keseluruhan tiga juta Muslim yang tinggal di Perancis.

Walau bagaimanapun, Grenoble bukan bandar pertama yang membenarkan pemakaian burkini di kolam renang.

Penduduk Rennes di kawasan barat laut Perancis sudah dibolehkan memakai sebarang jenis pakaian renang sejak tahun 2019.

“Kami hanya ingin memberikan kebebasan buat orang ramai untuk berpakaian mengikut kehendak mereka,” Eric memberitahu RMC Radio melalui sebuah laporan berita dari The Guardian.

Foto: Pexels & Le Dauphiné Libéré

islamofobia
Antarabangsa, Berita Semasa,

90 peratus platform media sosial mengandungi unsur islamofobia

IBN QAYYIM AL JAWZIYYAH, seorang ulama sufi agung pernah berkata, “Islam adalah rahmat. Jika kamu melihat yang berlawanan dengan itu, maka ketahuilah bahawa itu bukanlah Islam.”

Pada era globalisasi ini, Islam terus memahat nama di seluruh pelusuk dunia. Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini merupakan agama yang lengkap dan menyeluruh untuk setiap aspek kehidupan masyarakat dunia.

Namun baru-baru ini, satu laporan daripada Nonprofit Center for Countering Digital Hate (CCDH) mengeluarkan kenyataan bahawa 90 peratus syarikat media sosial gagal menghapuskan kandungan anti-Muslim atau Islamofobia di laman media sosial.

IMRAN AHMED, CEO nonprofit Center for Countering Digital Hate (CCDH).

Ketua pegawai eksekutif dan pengasas CCDH Imran Ahmed berkata, apabila syarikat media sosial gagal bertindak ke atas kandungan anti-Islam ancaman islamophobia akan lebih berbahaya dan meluas.

Penyelidik CCDH melaporkan lebih 530 juta siaran media sosial yang mengandungi kebencian anti-Muslim. Secara koletifnya, siaran ini dilihat sekurang-kurangnya 25.5 juta kali.

Baca Juga Pelarian Syria: Cerita kita dan kisah mereka

Pada Februari dan Mac 2022, syarikat media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok, Twitter dan YouTube membenarkan kandungan anti-Muslim disiarkan tanpa mengambil sebarang tindakan.

Antara kandungan yang disiarkan adalah teori konspirasi anti-muslim, gambaran yang tidak berperikemanusian, karakter kartun tentang perkauman dan ucapan yang keras daripada anti-Islam.

Menurut CCDH lagi, mengapa kandungan anti-islam ini cepat berkembang adalah kerana kandungan tanda pagar (hashtag) yang kerap digunakan seperti #deathofislam #islamiscancer #raghead disebarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa tindak balas daripada syarikat media sosial.

KEGANASAN terhadap masyarakat Islam di Myanmar dan Sri Lanka tiada penghujungnya.

Tahun lalu, seorang pemberi maklumat mengeluarkan satu kenyataan yang menunjukkan bagaimana Facebook tidak menghentikan ucapan kebencian dan keganasan terhadap masyarakat Islam di Myanmar dan Sri Lanka.

Laporan awal oleh CCDH juga telah menunjukkan platform media sosial gagal bertindak ke atas anti semitisme (anti Yahudi), perkauman anti kulit hitam, penyalahgunaan misoginis (penyebaran kebencian kepada kaum wanita ) dan maklumat salah vaksin berbahaya.

Apabila syarikat media sosial gagal bertindak ke atas kandungan anti-Islam ancaman islamofobia akan lebih berbahaya dan meluas. Namun perkara ini tidak dibiarkan berleluasa begitu sahaja.

Pelbagai langkah yang diambil oleh CCDH antaranya adalah dengan menggesa orang ramai menandatangani petisyen dalam menuntut tindakan pantas dan berhenti menularkan kebencian anti-Muslim di platform media sosial.

Anda sebagai muslim yang cintakan Islam boleh menaikkan sokongan kepada petisyen di pautan berikut :
https://act.counterhate.com/page/104723/petition/1?ea.tracking.id=Internal_link

Antarabangsa, Berita Semasa,

Manisnya Ramadan di Asia Selatan

KETIBAAN Ramadan sesungguhnya membawa sejuta kemanisan. Kadangkala, kemanisan itu boleh dipegang dan dirasai dengan lidah.

Di Asia Selatan, ruang masjid dan pejalan kaki di bazar-bazar Ramadan dipenuhi orang ramai pada waktu petang yang tertarik dengan haruman manisan tempatan dan longokan pinggan yang ditimbuni pelbagai jenis nasi.

Lebih daripada setengah billion umat Islam di sana sudah tidak sabar untuk berbuka puasa.

PASAR Chawkbazar di Bangladesh dipenuhi umat Islam yang mencari juadah berbuka puasa.

Sememangnya tujuan berpuasa pada bulan suci Ramadan ini adalah untuk menahan diri daripada nafsu-nafsu duniawi seperti makan minum untuk meningkat ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Namun begitu, tradisi berbuka puasa bagi umat Islam Asia Selatan bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu makan yang ditahan sepanjang siang, bahkan ia juga menjadi aktiviti sosial bertujuan mengeratkan silaturahim sesama keluarga.

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Pasar Chawkbazar di Bangladesh yang berabad-abad usianya menjadi tempat tumpuan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Pasar itu sarat dengan ratusan gerai makan yang menjual pelbagai makanan tradisional.

Seperti yang dilaporkan oleh Arab News, pasar itu kembali sibuk setelah menyepi seketika akibat penularan Covid-19 yang menghalang perjumpaan besar-besaran.

Ramzan Ali yang telah menjual puyuh barbeku hampir empat dekad di pasar berkenaan berkata dia gembira melihat ramai pengunjung di pasar itu. Pengalaman semenjak dua tahun lalu, baginya, sangat memeritkan.

WARGA Bangladesh sedang membeli kuih-muih tradisional di pasar Chawkbazar untuk berbuka puasa.

Makanan tradisional seperti cucur pakora dan sup lentil antara makanan yang boleh dibeli di pasar tersebut.

“Gembira rasanya dapat datang semula ke sini. Tidak lengkap Ramadan saya tanpa juadah berbuka puasa dari Chawkbazar,” ujar Mohammad Asrafuddin, seorang ahli perniagaan,.

MAKANAN disediakan untuk para Muslimin berbuka puasa pada hari pertama Ramadan yang lalu di Lahore, Pakistan.

Di Pakistan pula, umat Islam berpeluang untuk kembali berbuka puasa beramai-ramai apabila pihak kerajaan menarik balik sekatan terhadap perhimpunan awam beberapa minggu sebelumnya.

Kebanyakan masjid dihiasi dengan lampu-lampu manakala kawasan bazar pula sibuk dengan orang ramai yang singgah untuk membeli juadah berbuka puasa atau diagihkan kepada golongan miskin.

Antara sajian iftar yang digemari umat Islam di sana termasuk samosa, pakora, kebab shami dan salad buah-buahan.

PINGGAN-PINGGAN berisi sajian berbuka puasa disusun untuk orang Islam yang berada di Masjid Jama, India.

Dalam masa yang sama, orang ramai berpusu-pusu ke gerai-gerai makan sekitar Masjid Jama di New Delhi, India. Di sana, puasa kadangkala dibuka dengan buah-buahan, roti manis, bubur lambuk dan nasi briyani.

Aktiviti berbuka puasa di Afghanistan pula dilihat lebih tenang berikutan isu Taliban yang mengambil tampuk pemerintahan daripada pihak Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Juadah berbuka puasa paling terkenal antara umat Islam di negara berkenaan adalah kabuli pulao iaitu hidangan nasi bercampur buah-buahan kering, kismis dan safron serta jalebi, sejenis manisan bergoreng.

KELIHATAN orang ramai yang sedang membeli makanan pada 2 April yang lalu di Kabul, Afghanistan.

Meskipun kelihatan meriah, ramai yang terpaksa berjimat-cermat dalam pembelian pada Ramadan kali ini disebabkan kekurangan bahan mentah di kebanyakan negara.

Tempias perang Ukraine yang sedang berlaku juga menyebabkan kenaikan harga barangan di beberapa negara termasuk Bangladesh.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: New Straits Times & Arab News

Antarabangsa,

Pelarian Muslim Ukraine disambut dengan tangan terbuka oleh komuniti Islam Jerman

SEJAK bermulanya konflik Russia-Ukraine dua minggu lalu, bilangan pelarian yang melarikan diri dari Ukraine sudah mencecah 2 juta orang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di Jerman, stesen keretapi Berlin sesak dengan ribuan pelarian Ukraine yang tiba dari negara jiran Poland. Berlin menjadi hab utama bagi sesetengah pelarian yang ingin bergerak ke kawasan Eropah yang lebih jauh apabila pengendali keretapi utama Jerman, Deutsche Bahn menawarkan tiket perjalanan percuma kepada mereka.

Menurut Menteri Dalam Negeri Jerman, lebih 50 ribu pelarian Ukraine kini berada di negara itu. Mereka disambut baik oleh sukarelawan tempatan yang menawarkan makanan, bekalan perubatan dan penginapan.

TRT World melaporkan komuniti Muslim di Jerman antara sukarelawan yang aktif membantu pelarian beragama Islam. Masjid serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Muslim telah diseru oleh Majlis Pusat Umat Islam di Jerman (The Central Council of Muslims in Germany) untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Di Masjid Baru di Spandau Berlin, keadaan lebih riuh daripada biasa. Anak-anak muda biasanya mengisi waktu senggang di ruang belajar masjid yang dipenuhi dengan tilam. Manakala, di tempat makan masjid pula kelihatan beberapa keluarga yang sedang menjamu selera.

MASJID Baru di Spandau, Berlin antara masjid yang aktif membantu pelarian beragama Islam dari Ukraine. Seluruh kawasan masjid telah ditukarkan menjadi tempat perlindungan.

Apabila pegawainya diberitahu tentang pelarian Muslim dari Ukraine yang terkandas di stesen keretapi hampir 20 jam tanpa arah tuju, kawasan masjid serta-merta ditukarkan menjadi tempat perlindungan yang mampu menempatkan hampir 50 pelarian.

Khadija Sofi dan keluarganya yang berasal dari Afghanistan adalah antara pelarian yang sedang berlindung di masjid itu. Mereka yang baru sahaja ingin membina hidup baharu di Ukraine akhirnya terpaksa melarikan diri disebabkan peperangan tersebut.

Dengan hanya berbekalkan beberapa helai baju, dokumen serta dua ekor kucing, mereka telah bermusafir selama tujuh hari, menyeberangi Ukraine dan Poland untuk sampai ke Jerman. Khadija Sofi meluahkan rasa syukur diberikan tempat tinggal di masjid tersebut.

“Kami telah berjumpa dengan ramai orang baik dan menemui kawan baru jadi kami berasa selamat dan kami dalam keadaan baik sekarang,” ujar Khadijah.

Selain menyediakan tempat tinggal, ahli-ahli Masjid Baru juga membantu pelarian Ukraine dalam pelbagai urusan lain seperti membeli tiket keretapi untuk mereka yang ingin ke negara Eropah lain. Bagi yang memilih untuk tinggal di Jerman pula, mereka dibantu dalam urusan permohonan suaka.

Menurut salah seorang ahli Lembaga Masjid Baru, Kenan Yilar, pertolongan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk fizikal seperti makanan dan pakaian, malah termasuk sokongan mental.

“Pelarian-pelarian ini datang dari jauh. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan mental. Oleh itu, imam-iman di sini juga bersedia untuk membantu mereka dari segi itu.” kata Yilar kepada TRT World.

RAMAI pelarian Muslim dari Ukraine asalnya merupakan pelarian dari negara-negara Arab yang berpindah ke Ukraine untuk membina kehidupan baru.

Tatkala timbul isu pilih kasih antara negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikatakan hanya sudi menerima pelarian Ukraine berbangsa putih ke dalam negara masing-masing, komuniti Islam di Jerman hadir dengan tangan terbuka untuk menerima pelarian beragama Islam.

Semangat ukhuwah dan silaturrahim sering ditekankan dalam agama Islam. Ini bererti Muslim tidak perlu gentar ke mana sahaja mereka bermusafir kerana pasti akan disambut baik oleh saudara Islam yang lain.

Foto: TRT World, Michael Sohn/AP