Browsing Tag

Aminah

Aminah
Aqidah,

Aminah mengandungkan Nabi Muhammad SAW pada bulan Rejab, tahu dirinya hamil menerusi mimpi

BULAN Rejab melakar peristiwa penting yang mana Sayyidah Aminah binti Wahb mula mengandungkan Nabi Muhammad SAW pada waktu itu.

Tidak seperti wanita hamil lain, bonda junjungan besar kita tidak mengalami gangguan atau kesukaran sepanjang tempoh mengandung.

Demikian fakta yang ditulis dalam kitab Membaca Sirah Nabi Muhammad, karya Prof Quraish Shihab sebagaimana dilaporkan oleh laman web Kalam Sindonews.

Suatu fakta menarik yang mungkin tidak diketahui ramai, menurut buku bertajuk Kisah Hikayat Siti Aminah Ibunda Rasulullah SAW karya Muhammad Vandestra, Aminah sebenarnya tahu dirinya mengandungkan makhluk paling mulia menerusi mimpi yang menakjubkan.

Bayangkan dalam mimpinya itu, Aminah bagaikan ternampak cahaya terang mengelilinginya. Beliau juga diperlihatkan istana-istana di Basrah dan Syam serta mendengar suara yang ditujukan kepadanya: “Kamu telah hamil dan akan melahirkan seorang manusia yang paling mulia di antara umat ini!”

Baca juga Nabi Muhammad SAW insan pertama dibangkitkan pada Hari Akhirat

Memetik artikel yang disiarkan portal berita CNN Indonesia, Imam Ibn Kathir meriwayatkan dalam kitabnya Qishashul Anbiyya bahawa dalam mimpinya itu, Aminah kerap didatangi para nabi terdahulu dari bulan pertama kehamilannya iaitu Rejab sehinggalah Rabiulawal, bulan kelahiran Rasulullah SAW.

Aminah

AMINAH tahu dirinya mengandungkan makhluk paling mulia menerusi mimpi yang menakjubkan.-FOTO: CANVA

Sesungguhnya, Aminah memang seorang wanita berhati cekal. Dalam keadaan berbadan dua itu, beliau terpaksa ‘berpisah’ dengan suaminya, Abdullah bin Abdul Muthalib yang menyertai kafilah Quraisy untuk berdagang di Gaza dan Syam.

“Sepanjang ketiadaan suaminya, Aminah tinggal bersama dua wanita Bani Hasyim dan Bani Zuhrah.

“Akan tetapi Abdullah dikatakan jatuh sakit setelah selesai berniaga dan akhirnya meninggal dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi cnnindonesia.com.

Kesedihan Aminah

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Barangkali itulah perumpamaan sesuai untuk menggambarkan situasi Aminah saat mendengar perkhabaran duka tersebut.

Masakan tidak, suami yang selama ini menjadi ketua keluarga dan harapan kebahagiaan hidupnya sudah pergi menemui Sang Pencipta.

Menurut Kalam Sindonews, Abdullah sempat mewasiatkan lima ekor unta, sekawan kambing dan seorang hamba perempuan bernama Ummu Ayman.

“Tidak lama kemudian, Aminah melahirkan seorang anak lelaki dan Abdul Muthalib menyambut kelahiran cucunya dengan gembira. Malah, beliau menganggap kehadiran putera itu sebagai pengganti Abdullah.

Baca juga Nabi Muhammad tidak menguap, ini keistimewaan yang ada pada baginda 

“Beliau mengangkat bayi itu dan membawanya ke Kaabah sebelum diberi nama Muhammad. Walaupun nama itu tidak biasa digunakan dalam kalangan orang Arab, tetapi ia begitu terkenal,” katanya.

Aminah

ABDUL MUTHALIB menyambut kelahiran cucunya dengan penuh kegembiraan. -FOTO: PEXELS

Berdasarkan riwayat yang masyhur, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 29 Ogos 580 Masihi, kata portal kalamsindonews.com.

Pada hari ketujuh kelahiran baginda, Abdul Muthalib meminta seekor unta untuk disembelih dan beliau kemudiannya mengajak orang Quraisy makan.

Apabila mengetahui bayi tersebut bernama Muhammad, kaum itu tertanya-tanya mengapa ia tidak dinamakan dengan nama nenek moyangnya.

Begitupun, Abdul Muthalib tenang menjawab: “Mudah-mudahan dia menjadi orang yang terpuji bagi ALLAH di langit dan bagi makhluk-NYA di bumi.”

Benarlah, Nabi Muhammad SAW sememangnya nabi dan rasul terakhir yang membawa risalah Islam ke seluruh alam sehingga dunia menemui titik penamatnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.