Browsing Tag

Ambil semula pemberian

Ambil semula pemberian
Gaya Hidup,

Ibarat memakan semula muntahnya, kata hadis Nabi kepada orang yang ambil semula pemberiannya

IBARAT orang yang memakan semula muntahnya. Itulah perumpamaan yang digambarkan dalam hadis apabila seseorang ambil semula pemberian yang pernah dilakukan sebelum ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Maka wajarlah apabila masyarakat Melayu melabelkan individu berkenaan sebagai buruk siku! Ternyata sememangnya ia ada asasnya.

Baca juga 7 adab yang diajar Islam saat terima hadiah

Dalam Islam, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, asal bagi akad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya mu’awadhat (pertukaran).

Jika melibatkan hal kebajikan, sudah tentulah tidak berlakunya pertukaran barangan sebagaimana urusan jual beli dan lain-lain.

“Andai sempurna rukun-rukun (pemberi dan penerima, ijab dan kabul serta barangan yang dihibah atau dihadiahkan) dan syarat-syaratnya, maka sempurnalah penerimaan hadiah atau hibah tersebut.

Ambil semula pemberian

PEMBERI tidak dibenarkan sama sekali meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikan kecuali apabila seorang ayah meminta semula harta yang sudah diberikan kepada anaknya. -Foto: Canva

“Jelaslah ia merupakan hak milik si penerima tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli,” katanya sebagaimana dipetik daripada artikel Al-Kafi #1614: Hukum Meminta Semula Hadiah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, pemberi tidak dibenarkan sama sekali untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikan.

Namun begitu, andai seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau seseorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran, maka dibenarkan untuk berbuat demikian.

Baca juga Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

Ia berdasarkan kepada hadis yang dinyatakan tadi, selain satu lagi riwayat lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melihat kedua-dua ungkapan hadis berkenaan, jelaslah betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian tersebut.

Ambil semula pemberian

MENURUT Dr Wahbah al-Zuhaili, perbuatan meminta semula hadiah atau hibah yang diberikan adalah sikap yang buruk dan ia bukan akhlak seorang Muslim. -Foto: Canva

Ia dikuatkan lagi dengan hujah Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i yang menyatakan: “Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah/ hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.”

Disebabkan itu, tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, haram hukumnya meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.

“Nasihat kami, jauhkanlah diri daripada bersikap sedemikian iaitu meminta semula hadiah kerana ia merupakan perbuatan buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Baca juga Ruginya Hidup Kerana Mengungkit

“Semoga ALLAH SWT letakkan keikhlasan dalam diri kita berkaitan hal kebajikan dan murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan,” nasihatnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva