Browsing Tag

amalan

Hina Rasulullah
Gaya Hidup,

Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

APABILA melihat orang lain mendermakan sejumlah wang yang besar, terasa diri begitu kerdil kerana tidak dapat mengeluarkan duit atau kebaikan sebanyak itu.

Begitu juga tatkala melihat individu lain menyantuni ibu bapa dan ahli keluarganya dengan memberikan wang saku, membelanja makan, hadiah serta seumpamanya.

Sebenarnya, apa sahaja perbuatan yang dilakukan untuk menyenangkan hati, memudahkan urusan dan sebarang perkara yang mendatangkan manfaat kepada orang lain merupakan perilaku yang mulia.

Mudah kata, kebaikan tidak semestinya hanya dengan wang ringgit. Boleh jadi ia datang dalam bentuk yang lain selagi ia memberi faedah kepada sesiapa pun.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyarankan masyarakat agar melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil-kecil perkara.

MUHAMMAD FAHMI

“Jangan pula kita melakukan keburukan walaupun dengan hanya sekecil-kecil perkara,” katanya.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT menerusi kalam-NYA yang bermaksud: “Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Baca juga Jangan Remehkan Atau Kecam Usaha Kebajikan Orang Lain

Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, orang yang masuk syurga bukanlah mereka yang tiada dosa.

“Sebaliknya, mereka ialah golongan yang mana setelah ditimbang pahala dan dosanya, pahalanya lebih berat. Maka masuklah dia ke dalam syurga.

“Begitu juga halnya dengan orang yang masuk ke dalam neraka. Bukannya mereka tiada pahala, tetapi setelah dihitung, dosanya lebih berat. Akhirnya dia dihumban ke neraka,” ungkapnya.

Ketahuilah bahawa terdapat tiga peringkat kebaikan sebagaimana menurut al-Syinqithi menerusi karyanya, Adhwa al-Bayan yang dilaporkan dalam web uin-antasari.ac.id.

Berikut merupakan perinciannya:

i. Tahap terendah (al-hadd al-adna).

Berbuat baik atau melaksanakan tanggungjawab hanya sekadar melepaskan kewajiban seperti membayar zakat.

Selain itu, bersedekah sunat juga termasuk dalam pengertian itu. Sebagai contoh bersedekah dengan sebiji kurma.

Kebaikan kecil

BERBUAT baiklah kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.

ii. Tahap pertengahan (al-hadd al-awsath).

Bermaksud berbuat kebaikan atau melaksanakan kewajipan dengan kadar yang mencukupi. Dengan kata lain, ia sekadar boleh menggugurkan kewajipan dan berkongsi dengan kepentingan sendiri.

Ia sebagaimana yang digambarkan oleh anjuran dalam al-Quran iaitu berkelakukan sederhana (tidak berlebih-lebihan) termasuk dalam perihal amal.

iii. Tahap yang tinggi (al-hadd al-aqsa).

Peringkat tertinggi itu adalah melibatkan perbuatan berbuat baik atau melaksanakan kewajipan kepada orang lain walaupun diri sendiri memerlukannya.

Lihat bagaimana sifat yang ditonjolkan oleh kaum Ansar demi kemaslahatan orang Muhajirin ketika mereka berhijrah ke Madinah.

Sesungguhnya, kebaikan yang ditunjangi keikhlasan dan ketulusan hati membuahkan hasil hasil yang begitu manis sepertimana yang digambarkan oleh ALLAH SWT menerusi ayat 7 dan 8, Surah al-Zalzalah.

Malah, keimanan seseorang itu juga dinilai berdasarkan ilmu dan amal yang dilakukannya, lapor portal terkemuka di Indonesia, Republika.

Kebaikan kecil

ALLAH SWT menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang melakukan sedemikian.

Dalam hadis Rasulullah SAW, ada menyatakan bahawa iman mempunyai lebih 70 cabang. Cabang iman yang paling tinggi adalah ucapan Lailaha illallah, manakala yang terendah pula adalah menghilangkan gangguan walaupun duri dari jalan.

Maka disebabkan itulah kita tidak boleh memandang remeh suatu kebaikan walaupun nampak kecil oleh kebanyakan manusia.

“Boleh jadi ALLAH SWT akan membalas amalan yang dilakukan dengan ikhlas dengan pahala yang berkali ganda.

“Ia sepertimana kisah anjing kehausan berkeliaran di sekitar perigi untuk mendapatkan air. Bayangkan haiwan ini dalam keadaan menyedihkan dan hampir mati.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

“Namun begitu, seorang wanita dari Bani Israel kasihan melihatnya. Lalu, dia menanggalkan kasutnya untuk mengambil air dari perigi tersebut dan memberikannya kepada anjing tadi,” katanya dipetik daripada portal berkenaan.

Asbab amal soleh yang dilakukan, maka ALLAH SWT mengampunkan segala dosa yang dilakukan. Meskipun anjing ialah haiwan bernajis bagi umat Islam, tetapi membantunya yang sedang nazak merupakan suatu kebajikan.

Kisah tersebut memberi gambaran bahawa setiap umat Islam hendaklah melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Kebaikan kecil

AMALAN kebaikan tidak semestinya dengan hanya bersedekah, tetapi banyak konteks lain lagi antaranya dengan membuang duri di jalanan dan mengukirkan senyuman kepada orang lain.

Dalam hal itu, terdapat sebuah hadis masyhur yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Jangan sekali-kali kamu meremehkan sedikit kebaikan atau kamu mengosongkan bekas airmu untuk mengisinya dengan orang yang sedang mencari air, atau kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.” (Hadis Riwayat Muslim)

Renungkanlah hadis itu sedalamnya supaya ia melorongkan kita untuk melakukan perbuatan baik pada bila-bila masa dan di mana sahaja tidak kiralah dalam hal yang besar mahupun sekecil-kecil pahala.

Foto: Pexels

Untitled design
Gaya Hidup,

Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB

AL-QURAN yang diturunkan sekitar 1,400 tahun lalu kepada Nabi Muhammad SAW merupakan sebuah hadiah yang amat istimewa daripada ALLAH SWT kepada seluruh manusia di muka bumi ini.

Kitab suci al-Quran telah sekian lama menjadi rujukan utama kita. Ia menepati naluri fitrah manusiawi dan kekal relevan dalam seluruh aspek kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Justeru, segala saranan yang disebutkan-NYA di dalam kalamullah wajar dan wajib untuk kita perhalusi dan mengamalkannya dengan sepenuh hati.

Antara perkara yang kerap kali diulang dalam al-Quran adalah sentiasa berzikir kepada YANG MAHA ESA dalam setiap keadaan, tidak terikat dengan syarat, malah sangat digalakkan untuk memperbanyakkannya.

Baca juga Begitu Hebatnya Nabi Idris Berzikir Sehingga Malaikat Suarakan Keinginan Bersahabat Dengan Baginda

Pastinya banyak kelebihan yang bakal diperoleh oleh sesiapa yang berbuat demikian. Terdapat banyak rahsia dan keistimewaan di sebalik amalan mulia itu.

Dekatkan diri dengan-NYA

Dari segi definisi, zikir bermaksud sebut dan ingat, manakala dalam sudut istilah yang difahami umum adalah sebutan yang berulang-ulang tentang nama-nama ALLAH dan juga sifat-sifat-NYA. Zikir yang biasa dilakukan secara umum oleh umat Islam merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca al-Quran dan sebagainya. Namun, inti pati kepada semua zikir tersebut adalah ingatan yang sebenar-benarnya kepada ALLAH YANG MAHA BESAR.

Zikir

ZIKIR menjadi talian terus kita kepada ALLAH SWT.

Ketahuilah, sesungguhnya, zikir menjadi talian terus kita untuk mengadu, merayu dan berhubung terus kepada ALLAH YANG MAHA BERKUASA.

Sebagai seorang Mukmin, jika kita sentiasa mengingati-NYA, maka DIA juga akan ingat pada kita. Kegagalan dalam memastikan hati sentiasa bersama-NYA merupakan antara punca utama kepada perbuatan mungkar, maksiat dan juga kerosakan di atas muka bumi ini.

Apabila ALLAH tiada di dalam sanubari kita, pastinya segala perbuatan akan dilakukan tanpa bimbingan-NYA dan menjadi semakin parah apabila hasutan syaitan menguasai diri.

Perintah ALLAH kepada orang yang beriman supaya berzikir dengan banyak boleh dilihat di dalam firman-NYA yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama ALLAH dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 41).

Daripada ayat tersebut, dapat difahami bahawa zikir boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu berzikir dengan sebutan (zikir lisan) dan juga berzikir dengan ingatan (zikir hati).

Namun yang pasti, kedua-duanya mampu mendekatkan diri seorang Mukmin kepada Tuhan dengan sehampir-hampirnya.

Baca juga Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kehebatan Zikir Fatimah

Tulus ikhlas

Meskipun demikian, tidak keterlaluan untuk disebut, ramai di antara kita yang memandang remeh perbuatan berzikir, sedangkan kedudukannya sangat tinggi dan agung berbanding amalan-amalan lain yang disyariatkan dalam Islam.

Malah, zikrullah sangat diutamakan oleh malaikat, wali-wali ALLAH SWT, para ulama dan juga para pejuang di jalan-NYA.

Ketinggian dan keagungannya dijelaskan secara nyata dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mengingati ALLAH adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Zikir

LAZIMKAN diri untuk mengalunkan zikrullah tidak kiralah sama ada secara lisan mahupun di dalam hati.

Zikir juga adalah ingatan tulus kita kepada ALLAH SWT yang boleh dicapai melalui sebutan yang diungkapkan oleh mulut atau ingatan yang mendalam di dalam minda dan pemikiran.

Justeru, tumpuan yang mendalam harus diberikan ketika berzikir agar matlamat meletakkan diri hampir dengan-NYA dapat dicapai. Firman ALLAH SWT bermaksud: “Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadahmu) kepadanya dengan sebulat-bulat tumpuan.” (Surah al-Muzammil, ayat 8)

Dalam realiti dunia yang penuh dengan rintangan ini, maka perlu bagi setiap orang Islam berusaha mempertahankan diri daripada hanyut di dalam arus songsang yang sentiasa mengajak manusia ke arah kebinasaan.

Justeru, setiap daripada kita harus memiliki hati yang kuat agar mampu menangani segala cabaran mendatang. Pada masa sama, membantu umat Islam yang lain daripada terpesong dari landasan agama Islam yang benar.

Maka, di sinilah zikir berperanan besar dalam membantu kita untuk memiliki hati yang kukuh imannya, cekal menghadapi pancaroba dan mampu membimbing diri sendiri dan juga orang lain agar kembali kepada-NYA.

Amat rugi sekiranya umat Islam memandang rendah dan meremehkan amalan berzikir kerana sesungguhnya zikrullah adalah asas kekuatan peribadi seorang Muslim dan Muslimah.

***Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob ialah Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Panduan,

Bukan saja kena bersih daripada kekotoran, tetapi hati juga kena bersih. Itu cerminan orang bertakwa

SETIAP orang mempunyai ‘prinsip’ kebersihan sendiri. Sebagai contoh, segelintir daripada kita tidak sanggup melihat sedikit debu pun pada papan pemuka kenderaan.

Namun, bagi sesetengah individu, mereka tidak kisah pun kalau sampah berupa plastik makanan, botol minuman atau resit tol bertimbun di dalam kereta.

Kadangkala, disebabkan terlalu malas, mereka sanggup membuangnya di merata-rata tempat. Meskipun semua itu nampak remeh, tetapi realitinya, hal tersebut memang kerap berlaku.

Dalam situasi yang lain, ada di antara kita yang sangat mementingkan kebersihan saat mahu melakukan ibadah, namun tidak pada perkara lain.

Rukun asas pembinaan masyarakat

Sinar Islam Plus menemubual pendakwah Abu Bakar Ali As-Sudani untuk berbicara lanjut mengenai topik tersebut.

ABU BAKAR ALI

Jelas beliau, Islam sebagai agama yang suci sememangnya sangat menitikberatkan perihal kebersihan. Bahkan, ia merupakan satu kewajiban syariat dan jalan untuk memelihara umatnya daripada kekotoran.

Walaupun perkara itu kelihatan remeh pada tanggapan segelintir masyarakat, namun beliau menegaskan, kebersihan adalah satu rukun asas dalam pembinaan masyarakat secara keseluruhannya.

Malah dalam Islam, katanya, perilaku mulia itu sebenarnya mencakupi dua aspek yang signifikan iaitu luaran (zahir) dan dalaman (batin).

“Dari segi luaran bermaksud bersih daripada kekotoran dan sifat-sifat atau perangai zahir yang keji.

“Bagi kebersihan batin pula, ia merangkumi sifat bersih daripada segala kekotoran dalaman, selain sifat-sifat terkeji yang dimiliki oleh manusia seperti riak, ujub dan seumpamanya,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Dalam satu riwayat hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas Abu Bakar, terlalu banyak hadis yang memerihalkan betapa pentingnya menjaga kebersihan.

Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh kita menghilangkan perkara-perkara yang mengganggu seperti kekotoran. Bahkan, baginda juga seorang yang pembersih.

“Maka tidak hairanlah mengapa nabi menyuruh umatnya membersihkan segala anggota badan termasuklah memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan seumpamanya.

“Malah, ada di antara amalan tersebut digalakkan dilakukan pada hari-hari tertentu seperti hari Jumaat dan Hari Raya.

“Begitu juga halnya apabila kita diwajibkan untuk mandi wajib bagi sesiapa yang patut melakukannya, selain digalakkan mandi sunat,” jelasnya.

Sifat orang bertakwa

Menyambung hujah, Abu Bakar menjelaskan, Rasulullah SAW juga memberi amaran betapa pedihnya azab bagi orang yang tidak menjaga kebersihan.

Antaranya ancaman azab kubur bagi sesiapa yang tidak membersihkan kemaluannya daripada air kencing sebagaimana yang termaktub dalam hadis masyhur.

“Demikianlah juga nabi menyarankan kepada kita supaya membersihkan jiwa daripada sifat-sifat dan akhlak-akhlak tidak elok seperti bersangka buruk, dengki, riak, bangga diri dan sebagainya.

“Semua perangai tercela itu, selain sifat luaran yang tidak elok seperti bercakap kasar dan sebagainya perlu dihindari.

“Dalam erti kata lain, setiap tindak-tanduk manusia mestilah bersih zahir dan batin,” jelasnya.

Mengapa kebersihan itu sering kali dikaitkan dengan sifat orang bertakwa? Menjawab persoalan itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, ini kerana seseorang yang mendapat tasawur (gambaran) Islam yang jelas, mereka pasti akan sedaya upaya menjaga kebersihan.

DA’I FUAD

Masakan tidak, terasa malu sekiranya seseorang itu menyatakan dirinya seorang penganut agama Islam, tetapi masih tidak berpakaian kemas, penampilan kusut-masai dan tidak menjaga jambangnya dengan baik, terang beliau.

“Sama juga halnya dengan orang yang mengaku beragama Islam, tetapi tidak berusaha menyucikan diri mereka. Sedangkan, Islam itu sebenarnya kehidupan kita. Bahkan, kebersihan itu termasuk daripada pucuk-pucuk keimanan kita kepada ALLAH SWT.

“Jadi seandainya seseorang itu mempunyai sifat syukur kepada ALLAH SWT, maka golongan itu akan memahami pengertian kebersihan dalam erti kata sebenar. Maka tidak hairanlah mengapa mereka mendapat panduan dan sokongan daripada-NYA.

“Ingatlah kebersihan fizikal dan rohani saling berkait rapat antara satu sama lain. Bayangkan apabila kita hendak bertemu ALLAH SWT pada suatu hari nanti, wajib bagi kita untuk bersuci.

“Apabila seseorang itu mengingati prinsip asas itu, nescaya dia pasti akan bersuci jika berjumpa dengan makhluk ciptaan ALLAH SWT yang lain.

“Orang yang beriman pasti akan bersuci, sementelah orang yang bersuci itu, insya-ALLAH beriman sekiranya dirinya melakukannya atas nama-NYA,” katanya.

Konsep kebersihan sebenar

Dalam pada itu, Da’i Fuad menegur sikap sebilangan masyarakat yang begitu menjaga kebersihan dari segi luaran, tetapi kurang menitikberatkan dari aspek dalaman. Contohnya, menyimpan hasad dengki dengan orang lain.

Ujar beliau, jelas sekali individu tersebut tidak mengaplikasikan konsep kebersihan yang sebenar mengikut pandangan agama.

Apatah lagi gagal untuk meluruskan hati mereka dengan menyimpan perasaan benci di dalam hatinya.

“Jika diteliti, hasad dengki bermaksud bercita-cita supaya nikmat yang dikurniakan kepada orang dibenci itu hilang. Ini menunjukkan betapa keruhnya hati dan perasaan mereka. Ketahuilah, ini bukan maksud pembersih yang benar.

“Andai kita berhasrat untuk menyucikan tubuh badan masing-masing, niatkanlah sekali untuk menyucikan juga seluruh hati kita,” katanya.

Membicarakan tentang topik kebersihan juga, pendakwah berkenaan mengajak umat Islam untuk mencontohi perilaku Imam al-Ghazali, .

Katanya, ulama tasawuf yang agung itu telah berpesan, ketika kita membasuh kepala dan muka, mintalah kepada-NYA; ‘Ya ALLAH, kalau ada dosa dari mata dan mulutku, ENGKAU alirkanlah dosa itu sepertimana mengalirnya air ini, ya ALLAH’.

“Bukan itu sahaja, Imam al-Ghazali waima ketika mandi harus ataupun sunat pasti akan meminta kepada ALLAH SWT agar membersihkan hatinya sepertimana bersihnya jasadnya apabila air melalui pada bahagian tubuhnya. Pada masa sama, ilmuan hebat tersebut juga meminta agar setiap laluan air tadi diampunkan oleh ALLAH SWT.

“Sewajarnya, kita perlu beri perhatian dalam soal kebersihan yang begitu signifikan dalam agama suci ini. Bayangkan membuang sampah merata-rata itu pun dikira sebagai dosa kecil, apatah lagi tidak menghargai alam dan merosakkan pelbagai jenis tumbuhan dan kawasan semula jadi.

“Oleh itu, fahamilah perkara ini secara dasar agar kita sentiasa memelihara diri dan tubuh serta memastikan keseluruhan kehidupan kita berada dalam keadaan baik lagi mulia,” katanya.

Seperkara lagi, Da’i Fuad turut mengingatkan bahawa soal kebersihan dan kesucian, bukan sahaja berkait dengan perihal ibadah semata-mata.

Tidak kurang juga pentingnya adalah perkara yang berkaitan tentang tempat dan ruang ibadah, pakaian serta segenap perkara yang digunakan berkaitan dengannya.

Baca juga ‘Contohi Rasululullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

“Seandainya kain atau seluar mereka gunakan terkena percikan air kencing, maka ia menjadi najis dan tidak sah dibawa dalam solat.

“Oleh sebab itu, pembersihan terhadap ruang ibadah dan pakaian yang dipakai menjadi keperluan utama untuk memastikan bahawa ibadah kita diterima oleh ALLAH SWT.

“Bahkan, pada awal ibadah fardu lagi, diwajibkan untuk kita berwuduk. Wuduk itu bukan sahaja bertujuan membersihkan diri, malah sebagai persiapan yang suci bagi menghadap ILAHI,” ujarnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: NEOSiAM 2021/Pexels

BBC
Gaya Hidup,

Islam Tuntut Umat Hidup Dalam Suasana Bersih

Oleh Norliza Abdullah
lizzabdullah81@um.edu.my

 

TANPA kita sedari hampir kebanyakan jangkitan penyakit sama ada berpunca daripada virus mahupun bakteria sering dikaitkan dengan cara hidup tidak sihat dengan mengabaikan elemen kebersihan dalam amalan kehidupan harian.

Umum seolah-olah lupa akan tuntutan Islam yang mengingatkan mereka mengenai pentingnya menjaga kebersihan. ALLAH SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya ALLAH S..WT mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersihkan dirinya (Surah Al-Baqarah ayat 222).

Amalan gaya hidup bersih ini juga sebahagian daripada Sabda Rasullah SAW yang bermaksud “Kebersihan adalah separuh daripada iman” Hadis Riwayat Muslim.

Berhadapan cabaran serangan virus yang semakin kompleks kini, semua pihak berada dalam situasi kalut menghadapi kes virus corona (Covid-19), ramai pihak terlepas pandang akan bahaya yang lebih serius iaitu virus denggi yang sudah sekian lama bertapak.

Dua virus ini memberi kesan kepada sistem badan manusia secara sistematik dan kini sudah pun berada dalam komuniti terutama denggi berbanding Covid-19 baharu sahaja ditemui sekitar September 2019.

Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi,

Menyedari bahaya sarangan kedua-dua penyakit berkenaan, Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, berkata apabila virus sudah berada dalam komuniti, menjadi tanggungjawab semua pihak membanterasnya menerusi pembabitan serius masyarakat.

Katanya, kedua-dua jangkitan ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat, penjagaan kebersihan asas dalam kehidupan harian dilihat seolah-olah tidak penting.

“Mengapa Islam begitu menggalakkan kebersihan? Sudah pastinya mahukan umatnya terhidar daripada sebarang mudarat yang boleh mengancam nyawa.

“Islam menyarankan umatnya menjaga kebersihan. Amalan berwuduk itu juga sebahagian daripada cara menghindarkan jangkitan. Ketika mengambil air sembahyang, anda membasuh kedua-dua belah tangan dan anggota badan yang lain.

Memasukkan sedikit air ke dalam hidung ketika berwuduk juga sebagai ikhtiar membersihkan saluran pernafasan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Dr Mohd Zaqrul Razmal yang juga Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Mawar Seremban, berkata berhadapn situasi ini, berkata jangkitan denggi juga disebabkan oleh keadaan persekitaran yang kotor. Air bertakung memudahkan jentik-jentik membiak.

Virus Corona yang kini ditakuti seluruh dunia. Gambar: Anadolu Agency

Beliau berkata, dalam usaha menghindari jangkitan kedua-dua virus ini perlukan pendekatan khusus. Covid-19 boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan memakai topeng muka. Elak tempat sesak dan jaga penjarakkan sosial bertujuan mengurangkan jangkitan.

Bagi menangani denggi pula katanya, beberapa amalan penting perlu diterapkan dalam kehidupan iaitu menjaga kebersihan persekitaran rumah dan buang air bertakung bagi mengelak aedes membiak.

Pemeriksaan mendapati premis kediaman yang tidak dihuni menjadi lokasi tumpuan pembiakan nyamuk aedes.

Mengulas lanjut pandemik covid ini, katanya jika sebelum covid-19 hanya menyerang sebahagian besar warga emas selain individu berpenyakit kronik antaranya masalah sistem pernafasan, kencing manis dan kanser, berikutan sistem imun badan mereka lemah.

Namun sejak kebelakangan ini, kes membabitkan kanak-kanak juga meningkat.

Peningkatan itu katanya, disebabkan oleh kanak-kanak semakin terdedah kepada risiko jangkitan disebabkan sifat Covid-19 itu sendiri yang begitu konsisten menyerang sistem badan manusia.

Pemerhatian mendapati, kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid-19 seperti orang dewasa. Namun tahap serangan pula berbeza bergantung kepada kekuatan sistem imum badan.

Sebagai contoh jika beberapa orang kanak-kanak diserang denggi mahupun Covid-19 tahap serangan bergantung kepada kekuatan sistem badan melawan penyakit.

“Bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imun badan yang tinggi, proses penyembuhan lebih cepat dan tidak terlalu serius hingga terpaksa diberikan bantuan pernafasan.

“Malah jika keadaan mereka stabil dan tidak ada sebarang gejala seperti demam batuk mahupun selesema, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin hanya dinasihat berada di rumah dengan menjalani amalan pengasingan kendiri.

Nyamuk aedes membawa kepada penyakit denggi yang boleh membawa maut.

“Berbeza denggi di mana gejalanya jelas, pesakit mengalami demam beberapa hari, sakit sendi dan lesu selain kesan ruam seluruh badan. Ujian darah pula mengesahkan jangkitan virus berkenaan” katanya.

Mengulas perbezaan sistem imun badan, beliau ketika sesi temu bual secara dalam talian baru-baru ini, berkata perlu diingat bahawa kekuatan sistem pertahanan badan setiap kanak-kanak itu bergantung kepada pelbagai faktor.

Kanak-kanak yang mengambil vaksin seperti disarankan kerajaan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan sudah pasti mempunyai sistem pertahanan badan lebih kuat.

“Kajian klinikal membuktikan pengambilan vaksin secara berjadual seperti disaran pakar sangat berkesan dalam menangkis serangan virus berbanding kanak-kanak yang tidak berbuat demikian. Namun ada segelintir ibu bapa yang masih mempertikai fakta ini,” katanya.

Mengulas sesi persekolahan secara bersemuka pula, Dr Mohd Zaqrul Razmal, berkata berhadapn situasi ini, sistem pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka masih boleh dilaksanakan seperti biasa.

Namun katanya, pelaksanaanya perlulah mengikut prosedur operasi standard ditetapkan dengan mengehadkan jumlah yang kecil dalam satu bilik darjah selain menjaga kebersihan, patuhi jarak sosial dan memakai pelitup muka. Namun jika ada kes di sesebuah sekolah dan bagi memutuskan rantaian jangkitan wajar ditutup.

Menandangkan Covid-19 itu sendiri sudah berada di dalam komuniti menjadi tanggungjawab semua pihak dengan memainkan peranan menguruskan diri dan mengurangkan risiko dijangkiti.

“Semua pihak memainkan peranan. Kerajaan dan orang ramai perlu bekerjasama dalam menanganai kedua-dua virus yang sudah memberi impak kepada struktur ekonomi negara.

Fakta Denggi

– Demam denggi disebabkan jangkitan virus yang merabak melalui gigitan nyamuk aedes aegypti yang sudah dijangkiti.

– Individu yang tinggal di kawasan jangkitan boleh dijangkiti lebih sekali sepanjang hayat.

Sumber Kementerian Kesihatan

· Sejumlah 90,304 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun 2020 berbanding 130,101 kes pada tahun 2019.

· Jumlah kematian akibat denggi menurun tahun lalu kepada 145 kematian berbanding 182 kematian pada 2019.

Gejala awal demam denggi

· Sakit kepala
· Sakit tulang belakang
· Sakit sendi-sendi
· Loya dan muntah-muntah
· Sakit biji mata
· Ruam

Fakta Covid-19

· Sejenis virus yang menyebabkan gangguan sistem pernafasan.
· Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merujuk virus ini sebagai novel bermaksud baharu.
· Menular menerusi rembesan pernafasan yang berada di udara apabila orang yang dijangkiti bersin atau batuk.

Gejala awal

· Demam
· Batuk
· Sesak nafas
· Tiada deria rasa

Gejala muncul dalam tempoh 14 hari selepas terdedah kepada virus yang juga tempoh inkubasi.

Peluh di akhirat
Gaya Hidup,

Ada manusia yang akan tenggelam di dalam peluhnya sendiri di akhirat kelak, semuanya bergantung kepada amalan di dunia

DI dunia sahaja kita sudah mengeluh kepanasan akibat bahang cahaya matahari sehinggakan badan berpeluh-peluh. Walhal kedudukan matahari begitu jauh iaitu ratusan ribu kilometer daripada kita.

Bayangkan apabila kita berada di alam akhirat yang kekal abadi kelak. Pada masa itu, jarak matahari dengan kepala manusia hanyalah sejengkal sahaja.

Ya, begitulah keadaannya kelak. Apatah lagi, pada hari berkenaan, segala amalan kita akan dihitung dengan seadil-adilnya. Tiada satu pun yang tertinggal.

Ketahuilah bahawa peluh manusia di akhirat nanti akan bergantung kepada amalannya saat di dunia yang menjadi tempat persinggahan sementara ini.

Perkara itu dikongsikan oleh pendakwah Asma’ Harun menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

ASMA’

Dalam satu riwayat daripada al-Miqdad bin al-Aswad RA, beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Manusia itu akan berada di dalam peluh mengikut tahap amalan mereka. Ada di antaranya yang peluhnya sehingga ke tumit, ada di antaranya juga yang peluhnya sehingga ke lutut, ada di anataranya yang peluhnya sehingga ke pinggang dan ada yang tenggelam di dalam peluhnya. Al-Miqdad berkata lagi bahawa Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan tangan baginda ke mulutnya.” (Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Asma’, ia menjelaskan bahawa peluh yang menitis pada hari akhirat kelak boleh menenggelamkan tuannya mengikut amalan tuannya ketika berada di dunia.

“Ada yang peluhnya sehingga ke tumit, ada juga sehingga ke lutut, ada juga sehingga ke pinggang, malah ada yang tenggelam terus di dalam peluhnya.

“Allahuakbar, ini baru hari kiamat, belum lagi perjalanan seterusnya saat dihisab dan diazab.

“Sewaktu saya mendengar perkongsian hadis ini, terlintas di fikiran bagaimanakah amalan kita nanti? Adakah amalan kita yang tidak seberapa ini mampu untuk melepasi ujian pada hari kiamat?,” soalnya.

Peluh di akhirat

PELUH yang menitis pada hari akhirat kelak boleh menenggelamkan tuannya mengikut amalan mereka ketika hayatnya di dunia.

Justeru, beliau menitipkan pesanan agar kita berpeluh dan bersusah payahlah saat masih bernafas di muka bumi ini.

“Tidak kiralah dalam urusan mencari rezeki, mendirikan solat, membaca al-Quran dan sebagainya.

“Walaupun mungkin peluh itu tidak keluar atau hanya setitis dua, namun teruslah berusaha dan bersusah payah untuk melakukan amal soleh di dunia. Kerahlah keringat mencari rezeki yang halal untuk dihulurkan ke jalan ALLAH.

“Seperkara lagi, banyakkanlah bersedekah. Jangan pula kita banyak membazirkan harta pada perkara yang tidak membawa pulangan di akhirat sehingga mengurangkan kemampuan untuk bersedekah. Sedangkan kita sebenarnya sudah serba ada dan serba lengkap,” nasihatnya.

Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar

Sementara itu, dalam sebuah hadis yang lain, Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Manusia akan berpeluh pada hari kiamat sehingga peluh mereka di bumi setinggi 70 hasta dan sehingga menenggelamkan mereka sampai ke telinga.” (Riwayat al-Bukhari)

Peluh di akhirat

LAKUKAN sebanyak mungkin amal soleh agar ia menjadi ladang pahala buat kita di akhirat kelak.

Memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-392: Berendam Di Dalam Peluh Pada Hari Kiamat yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Qustholani ketika mensyarahkan hadis itu bahawa isyarat sampai ke kedua telinga adalah menunjukkan tahap yang tertinggi sampainya air dan tidak dinafikan bahawa air juga sampai pada tahap-tahap yang lain.

Jelas Imam al-Qustholani lagi: “Hal ini sepertimana di dalam hadis Uqbah Ibn ‘Amir yang mana ia diriwayatkan secara marfu’ bahawa di antara manusia ada yang air peluhnya sampai ke buku lalinya. Ada juga yang air peluhnya sampai ke pertengahan betisnya, ada yang air peluhnya sampai ke lututnya, ada yang air peluhnya sampai ke pahanya, ada yang air peluhnya sampai ke pinggangnya, ada yang air peluhnya sampai ke mulutnya dan ada yang air peluhnya menenggelamkannya serta tangannya memukul di atas kepalanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hakim.” (Isyad al-Sari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 9/310)

Justeru, benarlah memang ada manusia yang akan tenggelam di dalam peluhnya sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis-hadis sahih.

Sesungguhnya, setiap dalam kalangan kita akan berbeza-beza keadaannya pada hari akhirat kelak. Segalanya adalah mengikut amalan yang dikerjakan sepanjang hayat semasa di dunia.

Masih belum terlambat lagi untuk kita memperbetul dan membanyakkan amalan soleh agar ia bukan sahaja menjadi ladang pahala buat kita di akhirat kelak, tetapi juga memberikan kita kebahagiaan di alam yang kekal abadi.

Foto: Unsplash & Freepik

Nisfu Syaaban
Gaya Hidup, Isu,

[Video] Amalan Nisfu Syaaban : Antara Sunah Dan Bidaah

no comment

Setiap kali tibanya Nisfu Syaaban, pertikaian tentang amalan-amalan lazim yang dilakukan akan timbul. Ada segelintir umat Islam yang mengaitkannya sebagai bidaah kerana tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Hakikatnya, Islam tidak meletakkan suatu amalan khusus yang boleh dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai sunah untuk diamalkan pada malam Nisfu Syaaban. Begitupun, ia bukanlah penghalang untuk kita merebut peluang dengan melakukan banyak amal soleh.

Ikuti video yang disediakan untuk mengetahui antara antara amalan yang boleh dilakukan pada Nisfu Syaaban.

8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat
Berita Semasa,

8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat 

8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat.

ESOK merupakan hari Jumaat ketiga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Meskipun solat Jumaat ditiadakan sepanjang tempoh itu untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan digantikan dengan solat Zuhur, namun ketahuilah ada banyak amalan lain yang kita boleh lakukan.

Lebih manis lagi, apabila ia dilaksanakan bersama keluarga yang tersayang. Kan seronok apabila ia dapat dilakukan secara berjemaah.

Baca juga Keistimewaan hari Jumaat yang perlu anda ketahui

Jom kita lihat apakah amalan berkenaan:

1. Membaca Surah al-Kahfi

Ia boleh dilakukan pada malam Jumaat dan hari Jumaat. Banyak kelebihan apabila kita membacanya.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Kaabah.” (Riwayat al-Darimi)

Dalam sebuah lagi hadis, baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Riwayat al-Baihaqi)

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

BACALAH Surah al-Kahfi, al-Sajadah dan al-Insan pada hari Jumaat.

2. Membaca Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan

Dianjurkan untuk kita membacanya ketika solat Subuh pada hari Jumaat.

Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

3. Bersihkan diri pada hari Jumaat

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

MEMOTONG kuku antara amalan lazim yang sering kita lakukan terutama pada hari Jumaat.

Masyarakat kita begitu sinonim dengan perkara ini. Antara perkara lazim yang sering kita lakukan adalah memotong kuku.

Imam Nawawi menyatakan: “Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafi’iyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut-rambut di badan (kumis dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1:287)

Bagaimanapun, dalam perihal memotong kuku, tiada hari-hari tertentu ditetapkan dengan kaifiat tertentu. Ini kerana tiada nas yang jelas tentang perkara itu menurut pandangan Imam al-Sakhawi dan selainnya.

Baca juga Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

4. Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

SENTIASA basahkan lidah dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya, kita juga digalakkan untuk berselawat pada hari lain. Tidak semestinya pada hari Jumaat.

Selawat yang kita baca tadi akan dibentangkan di hadapan Nabi Muhammad pada setiap hari Jumaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).” (Riwayat al-Baihaqi)

Baca juga Apabila nama Rasulullah SAW disebut, jangan lokek untuk selawat dan salam ke atas baginda

5. Lakukan solat duha

Solat ini antara ibadah yang disunatkan untuk kita melakukannya. Tidak kiralah sama ada hari Jumaat atau hari lain.

Alangkah indahnya jika kita dapat menunaikan solat duha bersama-sama orang tersayang.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada pagi hari, setiap ruas tulang salah seorang di antara kalian itu ada sedekahnya. Maka, setiap tasbih (ucapan Subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (ucapan Lailaha illallah) adalah sedekah, setiap takbir (ucapan Allahu akbar) adalah sedekah), memerintahkan kepada kebaikan adalah sedekah, melarang daripada kemungkaran adalah sedekah dan yang mencukupkan daripada semua itu adalah dua rakaat solat duha.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Tunaikan solat duha akan diberi ganjaran emas? Berikut penjelasannya

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

JADIKAN solat sunat sebagai rutin jika kita mampu berbuat demikian.

6. Lakukan sunat sunat qabliah dan ba’diah Zuhur

Sebelum menunaikan solat Zuhur, bolehlah kita dahulukan dengan solat sunat qabliah. Usai solat fardu Zuhur, sudahinya dengan solat sunat ba’diah.

Bahkan, perkara itu seringkali dilazimi oleh Rasulullah SAW.

Daripada Aisyah RA, beliau menyatakan: “Nabi Muhammad SAW biasa melakukan solat qabliah Zuhur empat rakaat di rumahnya. Kemudian baginda keluar, lalu solat mengimami orang-orang, lalu masuk ke rumahku, kemudian melakukan solat dua rakaat ba’diah…” (Riwayat Muslim)

Baca juga Rugi tinggalkan solat sunat Isyak kerana ia lebih afdal dari solat tarawih.

7. Berdoa pada hari Jumaat

Amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat

BERDOALAH memohon kepada ALLAH agar kita diberikan keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

ALLAH SWT telah meletakkan satu tempoh istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hamba-NYA akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang Muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada ALLAH SWT, pasti ALLAH SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. (Riwayat al-Bukhari)

Waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat, para ulama berbeza pandangan mengenainya.

Namun begitu, sebahagian ulama cenderung bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas Asar hinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana banyak dalil yang menjurus ke arah itu. Bahkan, para sahabat dan salaf menunjukkan bahawa mereka mementingkan waktu tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA.

Baca juga Jangan lepaskan peluang berdoa pada hari Jumaat, ini sebabnya

8. Peruntukan waktu untuk beribadah pada hari Jumaat

Semua sedia maklum Jumaat ialah hari mulia dan ada keistimewaan tersendiri berbanding dengan hari-hari yang lain. Justeru, luangkan sedikit masa kita untuk melakukan amal ibadah.

Walaupun tak boleh ke masjid atau surau, namun kita masih boleh berbuat pahala di rumah.

Jom kita sama-sama amalkan. Jika tak dapat buat semua, lakukanlah mana-mana amalan yang kita mampu sahaja dan istiqamahlah.

Baca juga Bersedekah pada hari Jumaat sangat dianjurkan Islam, tetapi jangan bertangguh untuk lakukan amalan mulia itu pada hari lain

(Sumber: Rumaysho.com, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Ustaz Mustafar Mohd Suki)

Gaya Hidup,

Ini sebenarnya 10 cara Rasulullah amalkan sebelum, ketika dan selepas tidur

INI sebenarnya 10 cara Rasulullah amalkan sebelum, ketika dan selepas tidur.

Apabila rasa kantuk mula menguasai diri, kita seakan tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.

Apatah lagi ketika itu ternampak pula bantal berhampiran, lantas diambil dan dijadikan alas kepala untuk tidur.

Jika terlalu mengantuk dan penat, lantai pun boleh jadi tempat untuk tidur.

Perasan atau tidak, ramai dalam kalangan kita yang memandang remeh tentang tempat tidur.

Baca juga Mengapa tidak boleh tidur selepas Asar? Ini penjelasannya

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW memberi panduan dengan sunnahnya sebelum, ketika dan selepas tidur supaya ia boleh dijadikan rujukan untuk kita.

Apakah sunnah baginda SAW? Ayuh kita telusuri satu persatu:

1. Membaca doa sebelum dan selepas tidur.
– Ramai orang yang mengabaikan doa selepas tidur. Sesungguhnya, ALLAH SWT menjanjikan syurga kepada orang yang rajin mengamalkan doa masnun (doa harian).

2. Jangan tidur dalam keadaan kaki menghadap ke kiblat.
– Keadaan ini hanyalah untuk orang yang baru meninggal dunia sebelum dikebumikan.

3. Baca tasbih Fatimah iaitu Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar iaitu masing-masing sebanyak 33 kali.
– Andai kata ditakdirkan kita meninggal dunia ketika tidur, ia dikira sebagai mati syahid.

Sunah tidur Rasulullah

 IKUTI sunah Rasulullah SAW sebelum, ketika dan selepas tidur seperti yang dilazimi oleh baginda.

4. Membaca empat qul, lalu meniupkan pada tapak tangan dan sapukan ke seluruh badan untuk menghindarkan sihir serta perbuatan jahat manusia.

5. Niat untuk bangun menunaikan solat tahajud.
– Seandainya kita tidak terjaga, ALLAH akan mengira seolah-olah kita bertahajud sepanjang malam.

6. Mengambil wuduk sebelum tidur dan menunaikan solat taubat.

7. Maafkan semua kesalahan orang lain kepada kita dan halalkan hutang piutang orang kepada kita.

Baca juga Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu 

8. Amalkan posisi tidur Rasulullah SAW iaitu mengiring badan ke kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

9. Tutup lampu.
– Mengikut kajian moden, menutup lampu ketika tidur dapat mencegah penyakit seperti kanser.

10. Solat sunat taubat dua rakaat berserta witir.
– Semoga segala dosa-dosa kita diampunkan seandainya dijemput YANG MAHA ESA.

Seperkara, Rasulullah SAW turut mengingatkan kita agar jangan tidur secara meniarap terutama lelaki.

Baca juga Sunnah kibas tilam sebelum tidur. Ini sebabnya

Rupanya, ini 10 cara Rasulullah amalkan sebelum, ketika dan selepas tidur. Apa pun, jagalah aurat dengan sempurna ketika tidur. Ini disebabkan jika kita tidur tanpa menutup aurat dengan sempurna, ia akan menghindarkan malaikat untuk mendoakan kita.

Jom sama-sama kita cuba amalkan. Siapa lagi yang hendak praktikkan kalau bukan kita umat Nabi Muhammad SAW, bukan?

Sumber: 100 Amalan Sunnah Rasulullah, Muhd Nasruddin Dasuki

Foto: Freepik