Browsing Tag

amalan penghapus dosa ringan

dosa
Ibadah,

Ini cara menghapuskan dosa seminggu pada hari Jumaat

SUDAHKAH kita meminta ampun daripada ALLAH SWT atas dosa-dosa yang dilakukan hari ini? Bagaimana pula kesilapan semalam, seminggu lepas atau masa-masa lampau?

Sebagai manusia biasa, hari-hari kita dipenuhi dosa kecil yang dilakukan tanpa kita sedari. Mungkin hari ini kita ada bercakap buruk tentang seseorang di tempat kerja. Atau gara-gara terlalu stres dengan tuntutan hidup, barangkali kita menaikkan suara tanpa sengaja kepada pasangan sehingga mengguriskan hati mereka.

Apa pun yang dilakukan, ketahuilah dosa yang terkumpul itu perlu disucikan dengan taubat agar ia tidak menjadi barah menghitamkan sanubari.

Mujur ada banyak cara mudah untuk kita bertaubat serta menyucikan diri daripada kesilapan yang dilakukan menunjukkan betapa pemurahnya ALLAH kepada manusia.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah mengajarkan kita bagaimana untuk menghapuskan dosa kecil tiap kali menjelang hari Jumaat.

Sabda Nabi: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya (Jumaat saat ini) dan juga hari jumaat yang sebelumnya, serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis berikut sebenarnya dikhususkan untuk orang yang menghadiri masjid pada hari Jumaat bagi menunaikan solat Jumaat.

Dengan melakukan beberapa perkara ini, iaitu mengambil wuduk sebaiknya untuk solat kemudian duduk diam mendengar khutbah dengan teliti tanpa melakukan perkara lain, itu sudah memadai menghapuskan dosa kecil untuk beberapa hari dalam minggu ini.

Sebaliknya jika anda termasuk kaum hawa yang tidak berpeluang melaksanakan solat Jumaat atau pada hari selain Jumaat, Nabi SAW pernah menitipkan beberapa amalan mudah ini supaya diampunkan dosa lalu.

Amalan mudah penghapus dosa ringan
1. Baca doa lepas makan.

Sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang makan dan kemudian dia membaca doa ini:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنِيْ هَذَا الطَّعَام، وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرٍ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ

Maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

2. Baca doa memakai pakaian.
Sabda baginda Nabi “Barangsiapa yang memakai pakaian dan dia membaca doa ini:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ كَسَانِيْ هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرٍ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ

Maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Menyempurnakan wuduk.
Selain itu, Rasulullah mengingatkan bahawa wuduk yang sempurna juga dapat menghapuskan dosa. Sabda Nabi SAW:

Barangsiapa yang mengambil wuduk dan menyempurnakan wuduknya. Maka akan keluarlah dosa-dosanya dari tubuhnya sehingga dari celah-celah jarinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Zikir selepas menunaikan solat.
Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang mengucapkan:

(33 kali) الله اَكْبَر
(33 kali) اَلْحَمْدُ لِلّه
(33 kali) سُبْحَانَ الله

Kemudian dicukupkan jumlah 100 dengan ungkapan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maka akan dihapuskan dosanya sekalipun dosanya banyak seperti buih di lautan.””(Hadis Riwayat Muslim)

Demikian ALLAH memberi peluang demi peluang untuk kita menyucikan diri daripada dosa hanya dengan amalan yang mudah dilakukan, tidak perlu bersusah payah melibatkan tenaga atau masa yang lama.