Browsing Tag

Amalan pada hujung dan awal tahun

Amalan pada hujung dan awal tahun
Ibadah,

Amalan pada hujung dan awal tahun Hijrah tiada dalil? Berikut penjelasannya

Amalan pada hujung dan awal tahun Hijrah tiada dalil? Berikut penjelasannya

BIARPUN Maal Hijrah baharu sahaja bermula, namun ada kata-kata kurang enak didengari berkaitan amalan pada awal dan hujung tahun yang dikatakan tiada dalil.

Malah, ada yang sanggup melabelkan pendakwah atau agamawan berbohong atas nama Nabi Muhammad SAW gara-gara menyebarkan amalan berkenaan.

Semuanya disebabkan alasan tiada nas berkaitan amalan-amalan yang dilakukan pada hujung tahun dan awal tahun.

Lazimnya, masyarakat kita akan membaca doa hujung dan awal tahun. Bahkan, ada juga yang membaca Yasin dan melakukan amalan seumpamanya untuk menutup tahun serta membuka tirai tahun baharu dengan perkara-perkara yang baik.

Baca juga Usah lepaskan peluang baca doa akhir tahun dan awal tahun petang ini

Dek kerana isu berbangkit itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman memberi pencerahan lanjut tentang perkara tersebut di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

PU SALMAN

Beliau memulakan dengan petikan hadis Riwayat Imam at-Tirmizi yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua (malaikat) penjaga naik menghadap ALLAH, baik di waktu siang mahupun malam, lalu ALLAH mendapati di awal catatan mahupun di akhir catatan, satu kebaikan kecuali ALLAH SWT berkata kepada keduanya: ‘AKU bersaksi atas kalian bahawa AKU telah mengampuni hamba-KU, semua yang dia buat di antara awal dan akhir buku catatan.”

Walaupun hadis berkenaan bersifat umum dan bukan merujuk khusus pada tahun Hijriah yang bermula dari zaman Khalifah Umar al-Khattab, namun PU Salman ada hujahnya tersendiri.

“Para ulama seperti Ibn Rajab menyatakan, sunat mengakhiri dan memulakan tahun baharu dengan amal baik.

“Malah, Ibn Rajab merupakan ulama yang membawakan hadis tersebut bagi menyatakan dengan jelas kelebihan awal dan akhir tahun,” ungkapnya.

Baca juga Ini kelebihan bulan Muharam yang perlu kita tahu

PU Salman kemudian menukilkan pandangan ulama tersohor itu iaitu: “Oleh kerana bulan-bulan haram adalah sebaik bulan selepas Ramadan atau sebaik-baik bulan secara mutlak, sebahagian puasanya adalah pembuka tahun hijrah (bulan Zulhijah) dan sebahagian puasanya (puasa bulan Muharam). Maka sesiapa yang puasa bulan Zulhijah (kecuali hari diharamkan berpuasa) dan berpuasa pada bulan Muharam, sesungguhnya dia telah menutup tahun dengan ketaatan dan membuka tahun baharu dengan ketaatan. Maka diharap kebaikan akan dicatat seluruh kebaikan sepanjang tahun. Maka sesungguhnya siapa yang awalnya kebaikan dan akhirnya kebaikan, maka dia telah menghabiskan dengan kebaikan di antara dua amal (awal dan hujung.” (Lataiful Maarif)

Sementara itu, pendakwah Ustazah Asmak Hussin menjelaskan, sekalipun fadilat doa awal mahupun akhir tahun tidak disebutkan secara khusus, tetapi tidak salah kita berbuat demikian.

USTAZAH ASMAK

“Tidak mengapa kita membaca doa-doa tersebut. Ini kerana berdoa merupakan perkara sunat dan digalakkan.

“Namun begitu, doa tersebut tidak seharusnya dijadikan suatu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baharu. Apatah lagi mengaitkannya dengan fadilat-fadilat tertentu,” katanya.