Browsing Tag

amalan mudah

Amalan simple dijamin masuk syurga
Ibadah,

Konsisten buat 4 amalan ‘simple’ ini, insya-ALLAH dijamin syurga

Konsisten buat 4 amalan ‘simple’ ini , insya-ALLAH dijamin syurga

SEKADAR ‘meratib’ mahu masuk syurga sahaja tiada gunanya andai kita langsung tidak berusaha untuk melakukan perkara yang melayakkan diri ke jannah.

Benar, tiada rezeki yang datang bergolek. Sama juga sepertimana impian kita mahu memasuki syurga ALLAH SWT.

Sudah tentu bekalan amalan yang disemai melalui ibadah dan kebaikan serta tindak-tanduk dilakukan menjadi taruhannya.

Semakin banyak timbangan amal, maka jalan kita menuju ke syurga akan semakin luas.

Baca juga 6 amalan membawa ke syurga. Mungkin anda pernah lakukan tanpa sedar

Tidak semestinya kita perlu bersedekah dalam jumlah yang besar atau solat berjemaah di masjid saban waktu, banyak cara lain lagi untuk kita mudah meraih ganjaran pahala.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsikan amalan ‘simple’ yang dijamin oleh ALLAH dan Rasul-NYA masuk ke jannah.

DR AHMAD SANUSI

Beliau menyenaraikan empat amalan ringkas berikut sebagaimana dikongsikan dalam laman sosial Facebook miliknya:

1. Baca doa selepas berwuduk.

Baca juga Terbentang luas jalan ke Jannah kerana istiqamah jaga doa selepas berwuduk

Ramai yang meremehkan hal itu, sedangkan rugi andai kita meninggalkannya.

Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang mengambil wuduk, dan kemudian dia membaca ‘Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh’, maka ALLAH akan membuka baginya lapan pintu syurga dan dia boleh memilih untuk memasukinya dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Menjawab setiap lafaz azan.

Baca juga Makruh tak jawab azan lebih-lebih lagi bila kita dengar dengan jelas

Barangkali ada yang mendengar azan, tetapi langsung tidak berusaha untuk menyahutnya. Hanya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Amalan 'simple'

SAMA-SAMA kita berusaha menjawab azan apabila mendengar seruan itu yang menjadi antara amalan ‘simple’ dijamin masuk syurga. -Foto: 123rf

Selepas ini, apa kata kita berusahalah untuk menjawab seruan mulia itu ketika ia dilaungkan oleh muazin. Ini kerana perkara tersebut ada diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dalam sebuah hadis yang panjang.

Pada akhir hadis berkenaan, Baginda SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat demikian: “Maka telah pasti ke atas dirinya syurga.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

3. Membaca ayat Kursi selepas solat.

Baca juga Ayat Kursi Paling Agung Dalam Al-Quran, Rugi Jika Kita Tidak Amalkannya

Usai mendirikan solat, usah cepat-cepat beredar dari tikar sembahyang. Sebaliknya, bacalah ayat Kursi terlebih dahulu.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

4. Beri salam apabila masuk rumah.

Amalan simple

BERI salam ketika hendak masuk rumah merupakan antara amalan ‘simple’ dijamin masuk syurga. -Foto: Freepik

Sekalipun tiada orang di dalam rumah, berilah salam sebelum kita memasuki kediaman berkenaan.

Sabda Baginda SAW: “Terdapat tiga golongan yang dijamin oleh ALLAH sekiranya dia hidup, dia akan diberikan rezeki dan kecukupan, dan sekiranya dia meninggal, ALLAH akan memasukkan dia ke dalam syurga. Yang pertama: Sesiapa yang memasuki rumah dan memberi salam kepada ahli keluarganya, maka ALLAH memberi jaminan baginya…” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Baca juga Beri salam bila masuk rumah walaupun tak ada orang. Ini sebab-sebabnya…

Lihat, betapa mudahnya amalan yang disarankan tersebut. Bergantung kepada kita untuk melakukannya atau tidak.

Tidak salah membuatnya perlahan-lahan, lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan rutin kita selepas ini.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.