Browsing Tag

amalan bulan Syaaban

Amalan bulan Syaaban
Ibadah,

Amalan bulan Syaaban bukan bidaah, tapi jangan lakukannya khusus untuk bulan atau hari tertentu sahaja

Amalan bulan Syaaban bukan bidaah, tapi jangan lakukannya khusus untuk bulan atau hari tertentu sahaja

AHLAN wa sahlan Syaaban yang mula membuka tirainya selepas Maghrib ini. Ia menandakan bulan Ramadan kian hampir iaitu tinggal sepurnama lagi.

Ketika ini, ramai mula membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan puasa berkenaan. Ada yang meningkatkan puasa sunat, membaca Surah Yasin pada malam Nisfu Syaaban, solat sunat dan sebagainya.

Meskipun demikian, masih ada suara-suara sumbang yang ‘berbunyi’ apabila terdapat segelintir individu melakukan amalan sunat berkenaan.

Baca juga Tak puasa sunat Rejab ‘tidak mengikut sunah’?

Kelompok berkenaan dengan lantang mengatakan ia merupakan perbuatan bidaah kerana tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, bakal menjebakkan diri ke dalam neraka kerana amalan bidaah dhalalah itu adalah menyesatkan.

Malah, sebilangan mereka pula berhujah bahawa semua amalan tersebut tiada nas yang jelas dalam hadis.

Bagaimanapun harus diingat, semua perkara tersebut sememangnya amalan sunat yang biasa dilakukan meskipun bukan dalam bulan Syaaban.

Mantan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abd Majid Omar pernah memberikan ulasan panjang lebar tentang perkara itu sebelum ini.

ABD MAJID

Merujuk kepada artikel bertajuk Amalan Bulan Syaaban: Sunnah Atau Bidaah yang disiarkan di laman web Jabatan Mufti Negeri Selangor, Abd Majid menjelaskan, sebahagian besar umat Islam di Malaysia menerima pakai saranan dan pengajaran daripada guru-guru serta orang tua mereka supaya memperbanyakkan amalan dalam bulan Syaaban.

Ia bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bulan Rejab adalah bulan ALLAH dan ALLAH telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti halnya kelebihanku atas segala makhluknya, Syaaban itu bulanku dan ALLAH telah melebihkan atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala nabi-nabi, dan Ramadan pula adalah bulan umatku dan ALLAH melebihkan atas segala umat.”

Baca juga Syaaban: Jambatan ke Ramadan

Berdasarkan ungkapan hadis tadi, beliau berkata, jelaslah bahawa masyarakat Islam di negara ini membanyakkan amalan pada tiga bulan berkenaan termasuk Syaaban dengan pelbagai jenis ibadah bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Amalan bulan Syaaban

MASYARAKAT Islam di negara ini membanyakkan amalan pada tiga bulan berkenaan termasuk Syaaban dengan pelbagai jenis ibadah bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. -Foto: Freepik

“Mereka yang sudah sebati dengan amalan tersebut melakukannya kerana melihat pengisian ibadah pada bulan atau hari berkenaan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

“Ketahuilah, semua amalan yang diyakini baik untuk bertaqarrub kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.

Agamawan itu kemudiannya menyenaraikan contoh amalan yang dianggap dan sememangnya menjadi sunnah Rasulullah SAW.

Berikut perinciannya:

1. Berpuasa sunat.

Banyakkan berpuasa sunat sebenarnya mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW yang melakukan sedemikian pada bulan Syaaban.

Baca juga Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

2. Membaca Surah Yasin.

Baginda SAW turut menggalakkan umatnya membaca al-Quran. Surah Yasin merupakan salah satu surah dalam kitabullah tersebut. Malah, setiap huruf yang dialunkan semasa mengaji itu akan diberikan ganjaran pahala berganda.

3. Berdoa.

Sesungguhnya, berdoa itu senjata orang mukmin. Bahkan, ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA supaya berdoa untuk DIA memperkenannya.

Amalan bulan Syaaban

SENTIASA berdoa memohon keampunan dan keredaan ALLAH SWT. -Foto: 123RF

4. Bertahlil.

Walaupun terdapat sebilangan individu yang melabelkan tahlil sebagai bidaah, namun segala bacaan di dalamnya terdiri daripada ayat al-Quran, zikir Lailaha illallah, doa dan beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT terhadap ahli keluarga yang sudah meninggal dunia agar rohnya dicucuri rahmat.

5. Mengadakan majlis kenduri.

Usahlah memandang ia hanya semata-mata sebagai satu majlis sahaja. Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW menggalakkan bersedekah dan mengeratkan silaturahim. Malah, kenduri berkenaan merupakan satu perhimpunan sanak saudara untuk mengeratkan hubungan.

Baca juga Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban

Melihat betapa baiknya amalan tersebut, Abd Majid menegaskan, tiada larangan untuk umat Islam melakukannya dalam bulan Syaaban.

“Suatu perkara yang harus diingati, amalan-amalan tersebut juga tidak disunatkan kerana bulannya, hari atau malamnya, tetapi yang disunatkan adalah kerana ‘kesunnahan’ ibadah berkenaan.

“Menghidupkan bulan Syaaban dengan amalan yang disebutkan tadi adalah ibadah yang baik bagi mendekatkan diri ke hadrat ALLAH SWT.

“Apa yang menjadi pertikaian pihak-pihak tertentu hanyalah pengkhususan bulan atau hari untuk satu-satu ibadah, bukannya pada pengisian mahupun aktiviti amalan yang dilakukan,” katanya sambil menukilkan pandangan Imam Syafie bahawa amalan yang membawa kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariah adalah bidaah hasanah.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva

Syaaban
Gaya Hidup, Isu,

Syaaban: Jambatan ke Ramadan

no comment

MASA berlalu begitu pantas. Pejam celik, pejam celik, kita sudah memasuki bulan Syaaban. Ia menandakan bulan Ramadan al-Mubarak bakal tiba tidak lama lagi.

Jika pada bulan Rejab tempoh hari kita sudah mula bertatih untuk mempersiapkan diri menuju ke bulan Ramadan, pastinya momentum itu akan terus ditingkatkan lagi.

Antara amalan lazim yang sering kali dilakukan oleh kebanyakan umat Islam adalah dengan meningkatkan puasa sunat.

Syaaban

BERPUASA sunat menjadi amalan lazim yang dilakukan oleh kebanyakan masyarakat kita pada bulan Syaaban.

Sesungguhnya, bulan Syaaban mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengejar sebanyak mungkin latihan dan pahala sebelum masuk ke bulan Ramadan yang begitu dinanti-nantikan oleh umat Islam seantero dunia.

Memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-52: Kelebihan Bulan Syaaban yang pernah disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada beberapa hadis sahih yang memerihalkan kelebihan bulan Syaaban.

Antaranya daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban?

Nabi Muhammad SAW lantas bersabda: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan-bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (ALLAH SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Nasa’ie)

Melihat ungkapan hadis itu, jelaslah bahawa Rasulullah SAW begitu gemar jika amalannya diangkat ketika baginda dalam keadaan berpuasa.

Syaaban

RASULULLAH SAW juga berpuasa pada bulan Syaaban.

Malah, Syaaban dikatakan menjadi bulan yang sering kali manusia lalai disebabkan oleh kedudukannya yang terletak di antara dua bulan yang mulia iaitu Ramadan dan Rejab (salah satu daripada bulan-bulan haram).

Artikel berkenaan turut menukilkan pandangan yang pernah dikemukakan oleh Ibn al-Qayyim RA bahawa: “Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT: Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis”. [Lihat: Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313]

Dalam sebuah lagi hadis pernah diriwayatkan oleh Aishah RA, beliau berkata: “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Baca juga Perjalanan Israk Mikraj yang penuh hikmah

Berdasarkan hadis berkenaan, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kita dituntut untuk berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Ia sebagai persediaan untuk menghadapi bulan Ramadan.

Namun, ia bukanlah bermakna kita berpuasa penuh. Sebaliknya, contohilah cara Rasulullah SAW yang mana baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban kecuali pada bulan Ramadan.

Fakta berkenaan turut disokong oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Ujar beliau, amalan berpuasa pada bulan Syaaban adalah sunah yang sabit daripada Rasulullah SAW.

DR MOHD ASRI

“Bahkan, amalan sebahagian masyarakat yang gemar berpuasa pada bulan berkenaan juga adalah amalan yang soleh,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Kesahihan Amalan dan Fadilat Syaaban yang disiarkan oleh laman web rasmi Jabatn Mufti Negeri Perlis.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ada antara amalan pada bulan Syaaban yang sinonim dengan masyarakat adalah tidak sabit.

“Terdapat amalan-amalan bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu hanya ikutan dan tidak mempunyai apa-apa sumber.

“Umpamanya, amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas bulan Syaaban dan seumpamanya,” jelas beliau.

Begitupun, ada segelintir masyarakat yang masih keliru tetang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban kerana ada pandangan yang menyatakan tidak boleh berbuat demikian.

Ketika pertanyaan itu diajukan kepada Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Mustafar Mohd Suki menjelaskan, memang ada riwayat yang menyatakan tentang perkara itu.

MUSTAFAR

Namun begitu, katanya, status hadis berkenaan ada perselisihan para ulama.

“Imam al-Tirmizi menyatakan, hadis itu hasan sahih. Sementelah, Imam Ahmad menyatakan, hadis itu munkar (diriwayatkan oleh perawi yang lemah, bersalahan dan perawi yang terpercaya atau perawi yang fasik dan sering melakukan kesilapan),” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Dalam hal itu, beliau menambah, Mazhab Syafie menyatakan bahawa hukum berpuasa selepas separuh bulan Syaaban adalah dilarang (makruh) melainkan bagi sesiapa yang melazimi puasa sunat hari Isnin dan Khamis serta puasa hari putih, selain puasa ganti.

“Ia disebabkan ada hadis dalam Sahih Muslim yang mana Saidatina Aisyah menyatakan, Nabi Muhammad SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban,” jelasnya.

Foto: Freepik