Browsing Tag

albania

al-Quran terkecil
Antarabangsa,

Al-Quran terkecil di dunia ini pernah melalui perang dan peristiwa bersejarah

Al-Quran terkecil di dunia ini pernah melalui perang dan peristiwa bersejarah

SEPERTI biasa, Mario Prushi akan mengambil wuduk dengan penuh cermat, sesudah itu beliau mencium senaskhah al-Quran kecil.

Menurut penyelidik, kitab suci ALLAH yang dipegang oleh warga Albania berusia 45 tahun itu merupakan salah satu al-Quran terkecil pernah direkodkan dalam sejarah.

Kepada agensi berita AFP, Mario berkata, kitab suci itu telah dijaga oleh keluarganya dari generasi ke generasi dengan penuh dedikasi.

Baca juga 6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya 

Baca juga Unik dan eksklusif, Royal Mint keluarkan bar emas Ramadan berukiran Kaabah

Antara al-Quran terkecil dunia

Melihat kepada fizikal kalamullah tersebut, ia lebih kecil berbanding telapak tangan Mario dengan hanya selebar dua sentimeter dan memiliki ketebalan sekitar satu sentimeter.

Tambahan, al-Quran itu terpelihara dalam sebuah bekas perak kecil yang sudah usang dimakan usia dan hanya boleh dibaca menggunakan sebuah kanta membaca yang tersemat bersama kotak itu.

Penyelidik dalam bidang kajian al-Quran di Universiti Beder dekat Tirana, Elton Kajar memberitahu, sukar untuk menentukan tarikh pembuatan al-Quran lama tanpa bantuan analisis saintifik, Namun, beliau percaya bahawa al-Quran kecil yang mempunyai 900 halaman tersebut telah wujud sejak abad ke-19 lagi.

“Al-Quran itu dicetak dalam format yang sangat kecil, malah ia antara yang terkecil di dunia. Melalui rupa fizikalnya, kelihatan kitab suci tersebut diterbitkan pada penghujung abad ke-19.

“Ia merupakan satu karya yang sangat luar biasa dan berharga. Hebatnya. salinan ini dijumpai di Albania,” kata Karaj.

Namun, siapa sangka ada sejarah mengagumkan tersembunyi di sebaliknya.

Turut disyorkan Polis Jerman pisahkan kanak-kanak lelaki Muslim daripada keluarga

al-Quran terkecil

MARIO Prushi mencium al-Quran kecil itu di kampung halaman dekat Tirana, Albania. Foto: Adnan Beci/AFP

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Al-Quran punca peluk Islam

Kata Mario, kehadiran al-Quran tersebut menjadi penyebab keluarga Prushi berubah daripada menganut agama Katolik kepada memeluk Islam.

“Ketika sedang menggali tanah untuk membina rumah di wilayah Djakovica, Kosovo, nenek moyang saya menemui mayat lelaki dalam keadaan masih elok. Di dadanya, ada al-Quran kecil itu.

Jelasnya, keluarga moyangnya ketika itu menganggap penemuan tersebut sebagai suatu petunjuk daripada Tuhan dan mengambil keputusan memeluk Islam. Bahkan, setiap malam, datuknya yang merupakan pegawai tentera Raja Zog Albania pada tahun 1930-an dan fasih dalam bahasa Arab, akan menjemput rakan-rakan ke rumah untuk membaca ayat-ayat terkandung dalam kitab suci berkenaan.

al-Quran terkecil

BEKAS di mana al-Quran itu tersimpan turut dilengkapi kanta membaca untuk membantu si pembaca melihat ayat-ayat suci tersebut. Foto: Adnan Beci/AFP

Baca juga Masjid di India muncul selepas ditenggelami air selama 30 tahun.

Al-Quran kecil, tetapi besar sejarahnya

Kata Mario lagi, bertahun-tahun selepas itu, al-Quran kecil itu sekali lagi terselamat melalui peristiwa bersejarah semasa berlakunya pemerintahan diktator komunis Enver Hoxha.

“Pada waktu itu, segala bentuk ajaran agama diharamkan dan sesiapa yang ddapati menganut agama akan dihumban ke penjara. Ada orang telah melaporkan kepada pihak polis bahawa kami menyimpan al-Quran di rumah.

“Pegawai polis cuba pelbagai cara untuk mencari al-Quran itu, nama tidak menemuinya. Disebabkan saiz yang kecil, bapa saya berjaya menyembunyikannya,” ujar Mario.

Susulan kejadian itu, bapa Prushi, Skender telah mengamanahkan rakan-rakannya di negara jiran Kosovo untuk menjaga al-Quran kecil itu. Lantas, ia telah diseludup ke sana dengan disembunyikan dalam lori penuh arang batu.

Skender hanya memperoleh al-Quran itu semula selepas perang di Kosovo pada tahun 1999 setelah ia ditanam agar selamat daripada pertempuran.

Baca juga Ini kisah mengapa kopi diharamkan ulama Makkah suatu ketika dahulu

SUKAR untuk menentukan tarikh pembuatan bagi al-Quran lama tanpa bantuan analisis saintifik. Foto: Adnan Beci/AFP

Baca juga Pol Abu Bakar, pembantu jurulatih Kelantan FC kongsi pengalaman puasa dan raya kali pertama sebagai Muslim

Mario kemudiannya mewarisi al-Quran tersebut sejurus sebelum kematian bapanya pada 2012.

“Buku kecil ini membawa begitu banyak kisah, rahmat dan keajaiban. Ia begitu berharga bagi saya,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga Mario telah menerima banyak tawaran daripada pelbagai pihak, termasuk muzium, yang berminat untuk membeli al-Quran berkenaan.

Pun begitu, Mario tidak berhasrat untuk menjualnya kerana al-Quran tersebut merupakan khazanah penting milik keluarganya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjualnya. Al-Quran ini adalah milik keluarga kami dan ia akan sentiasa bersama kami,” ujarnya.

Foto & Sumber: AFP