Browsing Tag

al-ghamamah

Aidilfitri
Berita Semasa,

Telusuri sejarah Aidilfitri dirasmikan menjadi perayaan Muslimin

AIDILFITRI adalah hari raya bagi umat Islam. Hari raya ini juga digelar dengan panggilan hari raya puasa atau hari lebaran. Pada hari ini, umat Islam telah sinonim dengan menyucikan jiwa, membersihkan dosa dengan saling bermaafan dan bersilaturahim.

Memetik artikel tzkrh, secara bahasa (harfiyah), ‘Aidilfitri’ bermaksud ‘kembali kepada fitrah; iaitu, kembali kepada asal kejadian manusia yang suci, bersih dari dosa, seperti keadaan bayi baru lahir.

Kata ‘fitrah’ dari kata futhur bererti ‘kembali makan pagi (sarapan)’. Jadi, pada hari Aidilfitri bermakna kembali sarapan, tidak seperti bulan Ramadan yang tiada sarapan dan wajib berpuasa.

Makna tersebut dikaitkan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda “Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala dari ALLAH, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga Ini dia cara Rasulullah SAW sambut Aidilfitri

Aidilfitri

TAHUKAH anda tentang sejarah di sebalik sambutan Aidilfitri? Foto: 123RF & Unsplash

Baca juga Ziarah kubur di hari raya, kenapa Islam anggap Bidaah?

Kali pertama dirai setelah menang perang

Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah Arab telah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan.

Kedua-dua perayaan tersebut merupakan tradisi yang berasal dari zaman Parsi Kuno.

Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian, seperti tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi dan memakan makanan enak dan minuman memabukkan.

SEBELUM kedatangan Islam, kaum Arab Jahiliyah sudah ada hari raya mereka tersendiri. Foto: Google

Setelah itu, turunnya kewajiban untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun 2Hijrah. Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya ALLAH mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, yakni Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasai)

Menurut Ensiklopedia Islam, Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy.

Baca juga Badar Kubra dan Nuzul Quran, antara peristiwa penting mengangkat keagungan Ramadan

BAYANGKAN Rasulullah SAW pernah berperang sambil berpuasa. Foto: 123RF

Baca juga Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

Jadi pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan, iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menakluk hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

Dari sinilah lahirnya ungkapan ‘Minal ‘Aidin wal Faizin’ yang lengkapnya ungkapan doa kaum Muslim saat itu:

‘Allahummaj ‘alna minal ‘aidiin walfaizin’: ‘Ya ALLAH, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang kembali (dari Perang Badar) dan mendapatkan kemenangan’

Diriwayatkan, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri yang pertama dalam keadaan luka-luka yang masih belum pulih dan letih akibat Perang Badar. Dari Jubair bin Nufair, dia berkata, bahawa jika para sahabat Rasulullah SAW pada hari raya Aidilfitri (dan Aidiladha) dan berjumpa satu sama lain, mereka saling mengucapkan:

“Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amal kami dan amal kalian).”

Baca juga Sambutan Hari Raya Aildiladha lebih istimewa, bermakna daripada meraikan Aidilfitri

MASJID al-Ghamamah di Madinah antara kawasan di mana Nabi Muhammad SAW pernah mengadakan solat raya. Foto: Ashraf Alhujaili

Solat Aidilfitri di lapangan terbuka

Menurut Ibnu Katsir, pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Rasulullah SAW pergi meninggalkan masjid menuju ke suatu kawasan lapang dan menunaikan solat Aidilfitri di situ. Sejak itulah, Baginda dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri di lapangan terbuka.

Jadi, Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang ALLAH turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam, bukan sahaja sebagai kemenangan dalam bentuk fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menakluk nafsu dalam bulan Ramadan.

Oleh itu, umat Islam seharusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan membanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada ALLAH SWT bersempena dengan kemuliaan hari kemenangan itu.

Ini bermakna, seseorang muslim itu sangatlah digalakkan dan dituntut agar menghidupkan hari raya dengan segala amalan yang dapat mendekatkan diri kepada ALLAH bagi menjamin hati agar tidak mati dan menjadi hamba yang penuh taqwa.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF, Unsplash & Ashraf Alhujaili