Browsing Tag

ajal dan maut

FOTO: BERNAMA & SINAR HARIAN
Berita Semasa,

Ajal dan maut sudah ditentukan, pesawat terhempas hanyalah asbab

SEJAK semalam negara digemparkan dengan kejadian sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 dilaporkan terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elimina Seksyen U16, Sungai Buloh, pada Khamis.

Dilaporkan seramai lapan orang yang maut dalam kejadian tragis itu terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Pastinya antara yang paling terkesan dengan peristiwa itu adalah keluarga terdekat mangsa nahas.

Beberapa tangkap layar sempat diambil oleh media memaparkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir di lokasi kejadian pesawat terhempas itu.

Baca Juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

Bersedih adalah normal kerana hakikatnya sebagai manusia kita tidak akan mampu mengelak perasaan yang hadir itu kerana para Nabi juga pernah bersedih ketika ada ahli keluarga yang meninggal.

Perkara ini sebagaimana dikongsi oleh Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan l’jaz al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ustaz Dr Mohd Sukki Othman ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Jumaat.

Ujarnya, sedih itu normal tetapi kita dilarang untuk meratap, maksudnya seseorang itu tidak menerima ketentuan dan takdir ALLAH SWT.

AHLI keluarga tidak dapat menahan sebak berikutan tragedi nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam yang menyebabkan 10 orang maut. 

“Sebagaimana yang kita tahu ajal dan maut itu sudah ALLAH tentukan kerana setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian.

“Dan ALLAH menyebut juga bila sampai ajal mereka, maka tidak akan berganjak sedetik sekalipun, jadi jatuh pesawat itu hanyalah sebab musabab sahaja kerana apabila sudah sampai ajalnya dia akan mati juga.

“Ketentuan ALLAH itu tiada siapa yang tahu, pelbagai tragedi kematian yang hari ini kita dapat lihat, ada yang sedang berehat, tidur, bersukan tetapi tiba-tiba sahaja rebah dan meninggal dunia, ketahuilah itu hanyalah sebab musabab sahaja kerana kematian itu sudah ditentukan ALLAH sejak azali,” katanya.

Baca Juga Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

Turut Disyorkan Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin

Menurut Ustaz Sukki lagi, atas hakikat itu kita harus menerima takdir ALLAH, namun bukan bermakna kita tidak bersedih atas kejadian yang menimpa. Dalam al-Quran ALLAH ada menyebut seseorang itu tidak akan pernah tahu di mana dia meninggal.

“..Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati.” (Surah al-Luqman ayat 34)

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.” (Surah al-A’raf ayat 34)

“Dan cara bersedih yang terbaik adalah dengan memperbanyakkan doa kepada arwah, semoga dengan sebab kematian mereka yang tragis itu mendapat pahala.

MENURUT kronologi yang dikongsikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pesawat terbabit membawa dua kru kapal dan empat penumpang.

“Jadi sebagai hamba-NYA kita harus menerima segala ketentuan yang sudah ditakdirkan, walaupun bukan di atas pesawat sekalipun jika sudah ajal mereka pasti akan mati juga dan kita harus yakin setiap ketentuan-NYA tersembunyi hikmah sebaliknya.

“Kita berharap ahli keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas ini banyakkan bersabar dan menganggap ini satu ujian dari ALLAH,” titipnya.

Baca Juga Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

Beliau turut mengigatkan, janganlah sesekali kita menolak takdir ALLAH kerana itulah ketetapan yang sudah ditentukan, sebagai manusia kita tidak akan pernah tahu cara kematian kita di mana dan bagaimana pengakhirannya.

Sinar Islam Plus merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa korban dalam nahas tersebut.

Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada mereka, diterima amal soleh, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن.

الفاتحة.