Browsing Tag

Aidilfitri

beraya sebulan
Berita Semasa,

Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

SETELAH sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga, maka pada Hari Raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira sebagai tanda kemenangan.

Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa ketika Nabi SAW sampai ke Madinah dan baginda mendapati penduduk di situ mempunyai dua hari yang mereka bergembira padanya. Lalu baginda bertanya: “Apakah dua hari ini?”. Jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”

“Kemudian, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya ALLAH telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga “Asyik-asyik balik kampung awak saja…”, ketahui pandangan agama tentang ‘perang’ pulang beraya

Manakala, dalam riwayat yang lain, Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Rasulullah SAW dan terlihat dua orang hamba perempuan dari kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as. Lalu Abu Bakar berkata: “Mengapa seruling Syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?” Lalu baginda bersabda, “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW

beraya sebulan

Baca juga Ziarah kubur di hari raya, kenapa Islam anggap Bidaah?

Hari Raya adalah hari bergembira

Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan bahawa menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah antara syiar agama.

Malah cendekiawan Islam, Ibnu Hajar al-Asqalani berkata, agama mengalakkan umat Islam untuk saling memberi dan menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan daripada kepenatan ibadat.

Justeru, para Muslim sangat dianjurkan agar ziarah-menziarahi dan menyambung silaturahim sebagaimana dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi SAW.

beraya sebulan

HARI Raya Aidilfitri bertujuan untuk meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa dan mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Foto: Unsplash

Raya hanya sehari
Pun begitu, keraian Aidilfitri yang diamalkan masyarakat Islam di Malaysia kini tidaklah serupa dengan sambutan Hari Raya sepertimana diraikan zaman Rasulullah.

Umum mengetahui bahawa sambutan Hari Raya di Malaysia boleh dikatakan dirai hampir sebulan penuh Syawal. Sepanjang bulan tersebut, rata-rata umat Islam akan melakukan aktiviti ziarah menziarahi, rumah terbuka dan sebagainya.

Maka tidak hairanlah ada segelintir pihak menganggap amalan itu agak keterlaluan padahal sambutan hari raya yang disyariatkan agama hanyalah sehari sahaja, iaitu pada 1 Syawal.

Baca juga Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah

beraya sebulan

DI sebalik kemeriahan beraya,usah lupa tentang puasa enam Syawal yang sangat dituntut oleh agama. Foto: 123RF

Baca juga Ucapan maaf zahir dan batin bukan budaya bulan Syawal, tetapi ia adalah tuntutan Islam. Masih ramai salah faham tentang perkara ini

Bolehkah raya sebulan?

Dalam portalnya, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hari raya yang disyariatkan sebenarnya hanya pada 1 Syawal.

Namun begitu, pihaknya berkata, tidak salah menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi sepanjang Syawal sebagaimana suasana kebiasaan di Malaysia.

Malah, amalan itu diharuskan dalam Islam kerana menziarahi dan memuliakan tetamu sememangnya dianjurkan oleh Nabi SAW.

Walau bagaimanapun, di sebalik kesibukan meraikan hari istimewa itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak melupakan tentang puasa sunat 6 Syawal.

Portal berkenaan turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF & Unsplash

Orang Melayu Malaysia bersungguh benar beraya sampai sebulan, tapi apa kata Islam?

Aidilfitri
Berita Semasa,

Telusuri sejarah Aidilfitri dirasmikan menjadi perayaan Muslimin

AIDILFITRI adalah hari raya bagi umat Islam. Hari raya ini juga digelar dengan panggilan hari raya puasa atau hari lebaran. Pada hari ini, umat Islam telah sinonim dengan menyucikan jiwa, membersihkan dosa dengan saling bermaafan dan bersilaturahim.

Memetik artikel tzkrh, secara bahasa (harfiyah), ‘Aidilfitri’ bermaksud ‘kembali kepada fitrah; iaitu, kembali kepada asal kejadian manusia yang suci, bersih dari dosa, seperti keadaan bayi baru lahir.

Kata ‘fitrah’ dari kata futhur bererti ‘kembali makan pagi (sarapan)’. Jadi, pada hari Aidilfitri bermakna kembali sarapan, tidak seperti bulan Ramadan yang tiada sarapan dan wajib berpuasa.

Makna tersebut dikaitkan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda “Barangsiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala dari ALLAH, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga Ini dia cara Rasulullah SAW sambut Aidilfitri

Aidilfitri

TAHUKAH anda tentang sejarah di sebalik sambutan Aidilfitri? Foto: 123RF & Unsplash

Baca juga Ziarah kubur di hari raya, kenapa Islam anggap Bidaah?

Kali pertama dirai setelah menang perang

Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah Arab telah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan.

Kedua-dua perayaan tersebut merupakan tradisi yang berasal dari zaman Parsi Kuno.

Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian, seperti tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi dan memakan makanan enak dan minuman memabukkan.

SEBELUM kedatangan Islam, kaum Arab Jahiliyah sudah ada hari raya mereka tersendiri. Foto: Google

Setelah itu, turunnya kewajiban untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun 2Hijrah. Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya ALLAH mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, yakni Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasai)

Menurut Ensiklopedia Islam, Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy.

Baca juga Badar Kubra dan Nuzul Quran, antara peristiwa penting mengangkat keagungan Ramadan

BAYANGKAN Rasulullah SAW pernah berperang sambil berpuasa. Foto: 123RF

Baca juga Kenali dua wirawati Muslimah zaman Rasulullah, rela bermandi darah demi Daulah Islamiyah

Jadi pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan, iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menakluk hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

Dari sinilah lahirnya ungkapan ‘Minal ‘Aidin wal Faizin’ yang lengkapnya ungkapan doa kaum Muslim saat itu:

‘Allahummaj ‘alna minal ‘aidiin walfaizin’: ‘Ya ALLAH, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang kembali (dari Perang Badar) dan mendapatkan kemenangan’

Diriwayatkan, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri yang pertama dalam keadaan luka-luka yang masih belum pulih dan letih akibat Perang Badar. Dari Jubair bin Nufair, dia berkata, bahawa jika para sahabat Rasulullah SAW pada hari raya Aidilfitri (dan Aidiladha) dan berjumpa satu sama lain, mereka saling mengucapkan:

“Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amal kami dan amal kalian).”

Baca juga Sambutan Hari Raya Aildiladha lebih istimewa, bermakna daripada meraikan Aidilfitri

MASJID al-Ghamamah di Madinah antara kawasan di mana Nabi Muhammad SAW pernah mengadakan solat raya. Foto: Ashraf Alhujaili

Solat Aidilfitri di lapangan terbuka

Menurut Ibnu Katsir, pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Rasulullah SAW pergi meninggalkan masjid menuju ke suatu kawasan lapang dan menunaikan solat Aidilfitri di situ. Sejak itulah, Baginda dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri di lapangan terbuka.

Jadi, Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang ALLAH turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam, bukan sahaja sebagai kemenangan dalam bentuk fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menakluk nafsu dalam bulan Ramadan.

Oleh itu, umat Islam seharusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan membanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada ALLAH SWT bersempena dengan kemuliaan hari kemenangan itu.

Ini bermakna, seseorang muslim itu sangatlah digalakkan dan dituntut agar menghidupkan hari raya dengan segala amalan yang dapat mendekatkan diri kepada ALLAH bagi menjamin hati agar tidak mati dan menjadi hamba yang penuh taqwa.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF, Unsplash & Ashraf Alhujaili

Cara sambut Aidilfitri
Gaya Hidup,

Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW

Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW

AIDILFITRI bakal menyusul tidak lama lagi. Sama ada hari Jumaat atau Sabtu ini, sama-samalah kita nantikan pengumuman rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam ini.

Apa yang pasti, kedatangan Syawal itu menandakan bulan Ramadan akan pergi meninggalkan kita.

Jauh dari hati yang paling dalam, terselit perasaan sayu apabila bulan yang sering dinanti-nantikan itu akan berlalu.

Pun demikian, Syawal tetap perlu dirayakan dengan kegembiraan dan penuh kesyukuran sebagai tanda meraikan kemenangan selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa sepurnama lamanya.

Baca juga Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat

Bagi kanak-kanak, lebaran inilah saat yang dinanti-nantikan. Ini kerana mereka dapat memakai pakaian baharu, bertemu sanak saudara dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang bermain mercun dan bunga api sebagai tanda kegembiraan merayakan Aidilfitri.

Meskipun tidak salah berbuat demikian, namun apalah kiranya andai tindak-tanduk atau sambutan yang dibuat itu mendatangkan tambahan ‘saham’ buat kita pada hari akhirat kelak.

Caranya adalah dengan mencontohi atau meneladani sunnah Rasulullah SAW.

Berikut Sinar Islam Plus menyenaraikan cara menyambut Aidilfitri mengikut sunnah Baginda SAW sebagaimana dipetik menerusi laman web iium.edu.my:

1. Bertakbir.

Cara sambut Aidilfitri

SEBAIK sahaja terlihatnya anak bulan dan pengumuman Aidilfitri dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, laungkanlah takbir hari raya. -Foto: Bernama

Laungkanlah takbir pada tarikh 1 Syawal bersempena dengan Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya iaitu ketika imam selesai berkhutbah.

Baca juga Jangan tinggalkan amalan sunah Aidilfitri walau hanya beraya di rumah

Disunatkan juga untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri.

2. Mengucapkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Demikianlah yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam dengan ungkapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’.

Namun, yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi Muhammad SAW adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani Rahimahullah yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair RA, katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalanmu).” (Fath al-Bari)

3. Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah seperti qiam Ramadan, seharusnya ia juga diteruskan pada hari-hari berikutnya.

4. Mandi pada pagi hari raya.

Kita disunatkan berbuat demikian sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Cara sambut Aidilfitri

JAMAHLAH walaupun sedikit makanan sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. -Foto: 123rf

Perkara itu juga sunnah dilakukan. Ia bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.

Kebiasaannya, Rasulullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, kita bebas memakan apa sahaja, cuma mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya.

6. Memakai pakaian yang indah.

Baca juga Usah Bermewah-mewah, Melaram Dan Berlebih-lebihan Ketika Sambut Aidilfitri

Umat Islam disunatkan menghiasi diri dnegan pakaian yang indah-indah pada Aidilfitri mengikut kemampuan diri.

7. Berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri.

Jika rumah jauh dengan surau atau masjid, dibolehkan untuk menggunakan kenderaan, cuma lebiuh afdal jika berjalan kaki.

8. Mengikut jalan berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat Aidilfitri.

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Nabi Muhammad SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Cara sambut Aidilfitri

JIKA berkemampuan, berjalan kakilah ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. -Gambar hiasan/Foto: Unsplash

9. Tempat pelaksanaan solat Hari Raya Aidilfitri.

Sunnah untuk mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin).

10. Mengerjakan solat Aidilfitri.

Ia merupakan antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri.

Baca juga Solat sunat Aidilfitri di rumah? Ketahui hukum-hakam dan panduan mudah untuk tunaikannya

11. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri.

Islam agama yang begitu praktikal dan munasabah. Selepas sebulan menumpukan ibadah kepada ALLAH, maka inilah masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.

Oleh sebab itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan dalam keluarga masing-masing pada Syawal adalah sebahagian daripada syiar Islam.

Cara sambut Aidilfitri

KETAHUILAH, apa jua usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan dalam keluarga masing-masing pada Syawal adalah sebahagian daripada syiar Islam. -Foto: 123rf

12. Mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Baca juga Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti enam hari bulan Syawal, seolah berpuasa sepanjang tahun

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, lalu diiringi dengan puasa ena hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ayuh semarakkan Syawal kita dengan amalan-amalan sunnah tersebut. Semoga raya kita nanti akan diberkati oleh-NYA.

zakat
Hukum,

Meninggal dunia pada Ramadan masih wajib bayar zakat fitrah, tapi siapa yang perlu bertanggungjawab?

UNTUK pengetahuan, hukum membayar zakat fitrah adalah wajib ke atas Muslim dengan syarat tertentu dan tempohnya pembayarannya bermula pada bulan Ramadan sehinggalah sebelum terbenam matahari satu Syawal.

Malah, setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, pasti kelihatan kaunter-kaunter pembayaran zakat tersebut dibuka di beberapa tempat termasuk di masjid dan tapak bazaar Ramadan.

Namun, bagaimana pula dengan hukum zakat fitrah ke atas orang yang telah meninggal dunia ketika bulan Ramadan, adakah ia masih wajib untuk dilaksanakan atau tidak?

Baca juga Ini kadar zakat fitrah setiap negeri pada tahun 2023

zakat

Baca juga Terlupa bayar zakat fitrah, ini yang perlu kita tahu

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sama ada zakat fitrah perlu dibayar atau tidak bagi pihak si mati adalah bergantung kepada dua situasi ini.

Pertama, jika seseorang itu meninggal dunia setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka hukum wajib zakat fitrah pada si mati tidak gugur dan perlu dibayar bahkan pelaksanaannya wajib diuruskan oleh warisnya yang masih hidup.

Perkara itu termaktub dalam nas syarak melalui hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA yang berkata,

Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada orang yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

zakat

ZAKAT fitrah perlu dilunaskan sebelum terbenamnya matahari 1 Syawal. Foto: Unsplash

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

Ulama Islam terkemuka, Imam an-Nawawi pula menjelaskan bahawa wajib seseorang mengeluarkan zakat setelah terbenamnya matahari dan masuknya sebahagian malam Aidilfitri.

Dalam erti kata lain, jika seseorang itu hidup sepanjang bulan Ramadan dan sempat melalui malam satu Syawal sebelum meninggal dunia, maka waris perlu membayar zakat fitrah ke atas pihaknya.

Bagi menguatkan lagi penerangan berkenaan situasi ini, dikongsikan kenyataan daripada cendekiawan As-Syafie, al-Qadhi Abu Syuja’:

“Zakat fitrah wajib dikeluarkan ke atas sesiapa yang mati selepas terbenamnya matahari, namun tidak wajib ke atas yang lahir selepas itu” (Rujuk Fath al-Qarib al-Mujib: 131)

Kedua adalah situasi di mana jika umat Islam itu meninggal sebelum terbenamnya matahari pada akhir Ramadan (sebelum masuk malam 1 Syawal) maka tidak diwajibkan zakat fitrah.

Jadi, walaupun perkara nampak mudah, janganlah sesekali anda ambil ringan kerana ia merupakan tanggungjawab kita sebagai waris sekiranya ada kematian saudara terdekat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels & Unsplash

Aidilfitri
Berita Semasa,

Aidilfitri 2023 mungkin jatuh pada Sabtu

HARI Raya Aidilfitri mungkin jatuh pada Sabtu disebabkan tiada kemungkinan untuk melihat anak bulan Syawal pada Khamis ini, demikian menurut Pusat Astronomi Antarabangsa (IAC) sebagaimana dilaporkan portal berita Saudi Gazette semalam.

Badan astronomi yang berpangkalan di Abu Dhabi itu dalam satu kenyataan di akaun Twitter, berkata ramalan tersebut adalah berdasarkan maklumat astronomi, namun tarikh sebenar Aidilfitri hanya akan disahkan oleh pihak berkuasa selepas melihat anak bulan.

Baca juga Mengapa proses cerapan perlu dalam menentukan tarikh mula berpuasa dan hari raya?

Aidilfitri

Baca juga JAKIM nafi hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang lalu tidak sah dan terbatal

Jelas IAC, melihat anak bulan adalah sukar dan memerlukan keadaan tertentu seperti teleskop yang tepat, pemauntau profesional dan keadaan cuaca yang bagus.

“Negara-negara dunia Islam akan melihat anak bulan Syawal (Aidilfitri 1444 Hijrah) pada Khamis, 20 April 2023 Masihi. Melihat anak bulan pada Khamis ini adalah mustahil dengan menggunakan mata kasar dari mana-mana sahaja tempat di dunia Arab dan Islam.

Baca juga “Asyik-asyik balik kampung awak saja…”, ketahui pandangan agama tentang ‘perang’ pulang beraya

Aidilfitri

DI Malaysia, kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah digunakan untuk mencerap anak bulan. Foto: @getaranmy

Baca juga Zakat fitrah, di rumah atau di tempat kerja?

“Penampakannya masih sangat sukar dan memerlukan teleskop yang tepat, pemantau profesional dan cuaca yang luar biasa. Bagaimanapun, gabungan faktor ini jarang berlaku. Justeru, adalah tidak dijangka anak bulan akan kelihatan pada hari berkenaan walaupun menggunakan teleskop di kebanyakan negara Arab,” tulis IAC di laman sosial miliknya.

Bagaimanapun, pihaknya berkata, masih terdapat kemungkinan anak bulan dapat dilihat di beberapa negara Islam lain. Justeru, dijangkakan negara-negara tersebut akan mengumumkan permulaan bulan Syawal pada hari Jumaat.

Bagi negara yang menggunakan kaedah melihat anak bulan melalui mata kasar atau teleskop tempatan, rakyatnya dijangka akan berpuasa selama 30 hari, manakala Hari Raya Aidilfitri akan jatuh pada hari Sabtu.

Sumber: Zawya

Foto: getaran.my & unsplash

Rumah terbuka
Gaya Hidup,

Jadikan rumah terbuka sebagai platform ibadah? Berikut cara-caranya

BIARPUN bukanlah suatu kewajipan, namun program rumah terbuka sebenarnya merupakan sunah Rasulullah SAW. Ini kerana, menjamu orang makan adalah hadiah dan amalan yang paling bernilai.

Disebabkan itu, pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, kita digalakkan untuk mengadakan majlis sebegitu sempena Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, terlalu banyak kelebihan jika kita menganjurkannya. Antaranya ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim.

“Apabila kita mengadakan rumah terbuka, ramai yang akan berkunjung seperti adik-beradik, sanak saudara, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya.

“Paling penting, niat kita mengadakan majlis sedemikian adalah semata-mata kerana ALLAH SWT, bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. Itu yang dikatakan ibadah,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Syawal pengikat mahabbah sesama insan, tetapi usah terlampau seronok sangat

USTAZ WAN AKASHAH

Dalam pada itu, Ustaz Wan Akashah menitipkan pesan agar tuan rumah menyediakan hidangan terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

“Usahlah terlalu bermewah-mewah sehinggakan terpaksa berhutang dan berlaku pembaziran. Kelak, amalan yang sepatutnya menjadi ibadah akhirnya mengikuti jejak syaitan.

“Pada masa sama, jangan pula mengadakan ‘jamuan terlarang’ baik dari segi makanan mahupun minuman. Kemudian, biarlah majlis yang bakal dianjurkan itu mempunyai ruangan mencukupi untuk kaum lelaki dan perempuan,” pesannya sambil mengingatkan supaya kita tidak bertanyakan perkara sensitif dan hal peribadi semasa bertemu.

Baca juga Jangan Curi-Curi Pandang Keadaan Rumah Tuan Rumah Ketika Datang Ziarah

Seperkara lagi, pendakwah itu mengingatkan supaya tuan rumah memilih waktu yang sesuai untuk menganjurkan rumah terbuka supaya mereka ada kesempatan untuk menunaikan solat dan sebagainya.

“Bukan apa, bimbang jika tuan rumah solat entah ke mana. Begitu juga dengan tetamu.

“Kalau boleh, biarlah majlis yang kita mahu adakan itu tidak mengganggu tetangga kita. Jangan lupa pula untuk menjemput mereka sekali,” titipnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Wan Akashah menjawab: “Andai kita ingin majlis rumah terbuka yang diadakan itu diberkati, mulakanlah dengan bacaan doa selamat terlebih dahulu.

“Di samping itu, jangan mengudang jemputan berdasarkan pangkat. Sebaliknya, jemputlah semua tetamu tanpa mengira status ekonominya. Ingatlah, majlis tidak akan diberkati oleh ALLAH SWT seandainya kita memilih untuk menjemput kelompok yang kaya-raya saja.”

Foto: Freepik

Sedih
Isu, Pilihan Editor,

Kawal Nafsu Ketika Makan, Bersantap Berlebih-lebihan Ibarat Orang Kafir Makan Dengan 7 Perut!

no comment

MELIHAT aneka juadah Aidilfitri terhidang di depan mata membuatkan sesiapa sahaja terliur. Apatah lagi jika kita sememangnya dalam keadaan lapar. Tidak semena-mena nafsu makan tiba-tiba sahaja bangkit.

Ya, demikianlah situasi yang acap kali dialami oleh kebanyakan daripada kita setiap kali menyambut lebaran. Walaupun sejak tahun lalu, suasana rumah terbuka dan kunjung-mengunjung sudah tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya dek penangan Covid-19, tetapi nafsu makan ketika Aidilfitri sememangnya sukar ditepis.

Contoh paling terdekat, perbualan dalam grup WhatsApp penduduk di kawasan perumahan penulis. Ramai antara mereka telah membuat pesanan awal dengan menempah juadah Hari Raya sejak bulan Ramadan lagi. Semuanya demi memeriahkan Syawal meskipun tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Tidak kiralah sama ada kuih raya, ketupat, lemang, nasi impit, rendang, kuah kacang, wajik dan dodol, boleh dikatakan hampir setiap jiran penulis tidak mahu terlepas peluang untuk mendapatkannya.

Pun begitu, Islam mengajar kita agar berpada-pada ketika makan dan minum, selain tidak gelojoh serta membazir.

Apakah adab makan dan minum yang dianjurkan oleh syariat? Benarkah jika makan berlebihlebihan, kita ibarat seperti orang kafir yang makan dengan tujuh perut?

Natijah

Ketika dilontarkan persoalan tersebut, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersikap bersederhana dan tidak melampau.

SHARIFAH FADYLAWATY

“Begitu juga halnya apabila membabitkan soal makan. Jangan tamak, sebaliknya ambil makanan yang diperlukan sahaja dan dalam kadar yang sedikit supaya tidak membazir.

“Bersikap gelojoh adalah tidak baik kerana ia mencerminkan perilaku negatif kita di hadapan orang lain,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Beliau turut menitipkan nasihat yang pernah disampaikan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya iaitu: “Wahai anakku, apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran) dan anggota badan pun terasa berat daripada ibadah.”

Bukan itu sahaja, ujar pensyarah berkenaan, sebenarnya terdapat banyak keburukan apabila perut seseorang terlampau penuh.

Seperti analogi Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa perut yang kenyang ibarat pohon yang disirami dengan air secara berlebihan sehingga akhirnya merosakkan batang dan akarnya (menjadi rapuh dan reput).

“Apabila perut terlalu kenyang, ia menyebabkan otak kita menjadi lemah dan malas untuk melakukan perkara lain termasuk beribadah,” jelasnya.

Nafsu makan

BERSIKAP sederhana dan tidak berlebih-lebihan ketika menjamah hidangan kerana ia mendatangkan natijah yang tidak baik kepada diri kita kelak.

Menyambung hujahnya, Sharifah Fadylawaty kemudiannya memetik pandangan Sheikh Abu Sulaiman al-Darani yang menyatakan, terdapat enam ‘penyakit’ yang bakal dihadapi apabila seseorang itu terlalu kenyang.

Ia melibatkan hilang kemanisan beribadah, sukar menghafal, kurang rasa simpati pada orang lain, malas beribadah, meningkatkan hawa nafsu dan kerap ke tandas.

Ujar ahli akademik itu lagi, Islam mengajar umatnya tentang perihal menjaga adab makan dan minum. Antaranya membasuh tangan sebelum dan setelah makan; membaca bismillah dan doa sebelum makan; tidak mencela; tidak makan dengan tergopoh-gapah serta mengucapkan rasa syukur kepada ALLAH SWT atas kurniaan nikmat makanan yang diberikan.

“Selain itu, kita juga dididik supaya mendahulukan seseorang yang lebih tua atau lebih soleh mengambil makanan, ambil makanan yang terdekat dan tidak meniup hidangan yang panas.

“Pada masa sama, kita tidak digalakkan untuk bercakap-cakap ketika makan, berpada-pada ketika menyantap hidangan dan berterima kasih serta mendoakan kebaikan kepada tuan rumah,” katanya.

Baca juga Usah Bermewah-mewah, Melaram Dan Berlebih-lebihan Ketika Sambut Aidilfitri

Perut punca penyakit

Benarkah perut punca segala penyakit? Menjawab persoalan itu, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, kesihatan manusia sebenarnya amat berkait rapat dengan pemakanan.

Katanya, jika kita tidak menjaga pemakanan dengan baik, badan kita mudah terdedah kepada pelbagai risiko penyakit.

Ia bertepatan dengan satu hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya.” (Riwayat Ahmad)

Sementara itu, pendakwah, Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, kita disunatkan untuk menjamu orang makan pada hari raya.

MOHD FAUZI

“Apabila orang bertandang ke rumah kita, juadah mesti disediakan dan pastikan ia tidak membazir. Buat anggaran berapa ramai yang akan datang ke rumah kita.

“Meskipun mahu elakkan pembaziran, jangan pula sampai langsung tidak sediakan makanan. Kemudian, pastikan ia (makanan) daripada sumber halal dan paling penting, ikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.

Apabila menjadi tetamu pula, Mohd Fauzi berpesan agar kita menangkis godaan nafsu makan dengan beberapa cara.

Antaranya, kita disarankan supaya menjamah sedikit makanan di rumah terlebih dulu sebelum bertandang ke rumah orang lain.

“Selain itu, biasakan diri untuk makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Pada masa sama, pilihlah pinggan yang kecil dan ambil makanan setakat yang muat dalam pinggan.

“Satu lagi cara adalah dengan banyakkan bertanya khabar dan berbual dengan tuan rumah. Tidaklah kita fokus pada makanan sahaja,” sarannya.

Gembirakan hati

Kepada satu soalan, Mohd Fauzi menjawab: “Kita tidak boleh menolak atau langsung tidak menjamah juadah yang sudah disediakan oleh tuan rumah.”

Beliau memetik sebuah hadis yang mana seorang lelaki bertanya kepada baginda SAW: “Perbuatan apa yang terbaik di dalam Islam?” Nabi Muhammad SAW menjawab: “Kamu memberi makan kepada orang lain.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “(Amalan yang paling baik ialah) apabila engkau menggembirakan orang mukmin yang lain…” (Riwayat al-Tabarani)

Nafsu makan

SEBAGAI tetamu, jamahlah walaupun sedikit hidangan yang dijamu oleh tuan rumah untuk menggembirakan mereka yang berpenat lelah menyiapkan juadah untuk kita.

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Mohd Fauzi, apabila tuan rumah sudah melakukan yang terbaik iaitu menghidangkan makanan, kita sebagai tetamu juga perlu membuat perkara sama.

“Caranya adalah dengan menceriakan hati mereka dengan menjamah walaupun sedikit makanan yang telah dijamu. Ambillah mana yang kita berkenan dalam kuantiti yang sedikit.

“Jika sudah kenyang, mohon maaf dan berterus terang dengan tuan rumah bahawa kita sudah pergi beraya tiga buah rumah sebelumnya dan hanya mampu makan sedikit sahaja,” katanya.

Ketika menikmati hidangan pula, Mohd Fauzi mengingatkan umat Islam supaya mengawal porsi makan.

Baca juga Puasa Enam Tampung Kekurangan Puasa Ramadan

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Agamawan itu turut mengingatkan agar kita tidak makan secara berlebih-lebihan yang disifatkan menyerupai orang kafir yang makan dengan tujuh perut.

Sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut; sedangkan orang kafir itu makan dengan menggunakan tujuh buah perut.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebelum mengakhiri perbualan, Mohd Fauzi meninggalkan pesanan buat semua umat Islam agar menjaga kesihatan walaupun gembira menyambut lebaran dan ‘merayakan’ makanan.

“Kita minta ALLAH SWT kurniakan kesihatan yang baik setiap kali solat iaitu ketika sedang duduk antara dua sujud dan pada saat kita membaca doa qunut. Pada dua tempat tersebut, kita meminta agar diberi kesihatan yang baik.

“Namun, apabila beraya, kita pula yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat sehingga mengundang penyakit. Ingatlah bahawa apa sahaja yang dituturkan oleh mulut mestilah selari dengan tindak-tanduk kita,” pesannya.

Contohi cara Rasulullah SAW

DALAM apa jua aspek tindakan yang dilakukan, Rasulullah SAW menjadi sebaik-baik contoh teladan kepada umat Islam.

Pendakwah, Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, meskipun kehidupan kita penuh dengan pelbagai juadah yang enak, namun kita harus mengawal gaya pemakanan agar ia tidak memudaratkan tubuh badan pada masa hadapan.

DA’I SYAFIQAH

“Terdapat batas bahagian yang diperlukan untuk tubuh badan kita agar sentiasa menjadi seorang yang tidak berlebih-lebihan dalam menikmati makanan.

“Terapkan konsep berhenti makan sebelum kenyang kerana ia boleh membawa kepada sikap malas dan mungkin akan mengganggu kelancaran kehidupan seharian kita,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Da’i Syafiqah turut menyenaraikan adab yang boleh kita teladani daripada Nabi Muhammad SAW ketika baginda makan dan minum.

Selain mencuci tangan dan membaca bismillah sebelum makan, jelas beliau, baginda SAW juga makan dengan tiga jari tangan kanan untuk mengecilkan saiz suapan supaya makanan dapat dikunyah dengan sempurna.

“Bahkan, baginda duduk dengan baik, tegap dan tidak bersandar; bersikap sederhana dan tidak berlebihan ketika makan serta mulakan makan daripada hidangan atau bahagian yang terdekat.

“Pada masa sama, kita juga diajar supaya tidak memenuhkan mulut dengan makanan yang terlalu banyak dan jangan banyak bercakap ketika sedang makan bagi mengelakkan makanan daripada terkeluar dan menampakkan sikap tidak sopan.

“Seperkara lagi, jangan kita menyisakan makanan pada pinggan atau membazir dan adab-adab yang lain yang mana penting untuk kita ikuti supaya kehidupan kita berjalan dengan lancar,” katanya.

Nafsu makan

KAWAL diri kita daripada bersikap gelojoh dan melampau-lampau ketika menjamah hidangan pada Hari Raya Aidilfitri dan ikutilah saranan agama yang dianjurkan.

Dalam pada itu, Da’i Syafiqah turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang tergamak mengkritik makanan yang dihidangkan jika tidak menepati selera masing-masing.

Ketahuilah, perbuatan itu tidak pernah sama sekali dilakukan oleh Rasulullah SAW, bahkan baginda hanya meninggalkan makanan tersebut tanpa mencelanya.

“Suka untuk saya ingatkan, cacian terhadap makanan boleh mengurangkan keberkatan yang ALLAH SWT berikan dalam makanan tersebut dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan tubuh sekiranya ia dimakan.

“Sebaiknya, kita ambil makanan yang sesuai dengan selera, merasa sedikit makanan yang telah dihidangkan sebagai tanda menghormati tuan rumah dan bersikap ramah dengan memuji juadah yang telah dihidangkan agar tuan rumah berasa gembira,” katanya.

ANEKDOT

CARA pemakanan selari dengan saranan agama

i. Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.

ii. Makan dengan perlahan-lahan dan tidak gopoh atau gelojoh.

iii. Menetapkan saiz hidangan makanan supaya tidak makan berlebihan.

Nafsu makan

MENJAMU makan orang lain adalah disunatkan apatah lagi buat tetamu yang bertandang ke rumah kita ketika Hari Raya Aidilfitri.

iv. Pilih makanan yang seimbang dan rendah kalori.

v. Elakkan makanan berlemak dan tinggi kandungan gula.

vi. Dalam Thibbun Nabawi karya Ibnul Qayyim rahimahullah (751 Hijrah), beliau menjelaskan bahawa pengambilan makanan perlulah pada kadar yang betul.

Ini penting bagi mengelakkan beberapa masalah sekiranya pemakanan tidak dikawal. Antaranya:

  1. Menyukarkan proses penghadaman.
  2. Menyempitkan pernafasan dan akan menjadi faktor terganggunya fungsi tubuh dan jantung.
  3. Kekenyangan yang melampau akan mengurangkan daya tubuh.
  4. Menaikkan berat badan.

Sumber: Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: Freepik & 123rf

photo-1467810563316-b5476525c0f9
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ramadan Diingati Kemenangan Dirai

no comment

Adakah ini Ramadan terakhir kita? Apakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadan akan datang? Segala persoalan bermain dalam fikiran umat Islam apabila bulan yang penuh keberkatan itu akan meninggalkan kita.

Berdoalah moga dipertemukan Ramadan akan datang.

Perasaan sayu, sebak, sedih antara emosi yang sangat dirasai menjelang terbenamnya mentari petang ini, namun Allah tetap mahu menggembirakan umat Islam yang berpuasa dengan menggantikan bulan itu dengan 1 Syawal, bulan kemenangan atau Aidilfitri.

Kira-kira dua billion umat Islam dari seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan keampunan, Ramadan Al Mubarak.

Dalam keadaan biasa, Aidilfitri dimulakan dengan solat Aidilfitri, makan bersama ahli keluarga dan ziarah sesama Islam dan bermaaf-maafan.

Maswood Ahmed

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pendidikan, Majlis Muslim Britain, Maswood Ahmed, berkata Aidilfitri adalah perayaan besar yang dianugerahkan kepada umat Islam setelah berjaya melaksanakan salah satu dugaan paling besar buat manusia iaitu mengawal segala hawa nafsu dan berpuasa dari menahan diri dari lapar dan dahaga.

“Kemenangan ini dirai umat Islam untuk lebih mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam, meluangkan masa bersama keluarga, saudara-mara, jiran tertangga dan rakan taulan.

“Kita akan dapat saksikan ramai umat Islam akan berpelukan di jalan sebagai sebahagian daripada perayaan lebaran. Lelaki akan memeluk lelaki lain sebagai tanda persahabatan dan wanita akan melakukan hal yang sama dengan sesama wanita.

Bermaaf-maafan amat dituntut oleh Islam.

“Sekiranya anda keluar di jalan, orang asing atau siapa sahaja yang mereka temui, mereka akan memeluk tanda persahabatan dan bermaaf-maafan. Syawal adalah waktu untuk mencuba dan mewujudkan perasaan yang baik, segala perasaan permusuhan akan dimaafkan,” katanya.

Walaupun terdapat banyak perkara yang akan dilakukan setiap orang pada hari lebaran, dengan kira-kira 2 bilion umat Islam di seluruh dunia, tidak menghairankan bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri merayakan perayaan suci ini.

close up view of traditional turkish baklava with pistachio on a black board

Sebahagian besar di negara timur tengah menganggap Syawal adalah ‘Pesta Gula’ di mana kebanyakkan sajian yang dihidangkan untuk tetamu adalah menu pencuci mulut.
Namun setiap negara di dunia mempunyai kegemaran yang berbeza seperti Turki terkenal dengan gula-gula Turki seperti baklava, kunafa dan pelbagai lagi untuk diberikan kepada rakan, keluarga dan jiran sebagai hadiah semasa lebaran.

Jika negara Iraq dan Arab Saudi, kurma adalah menu yang sangat penting sepanjang Ramadan dan Syawal yang boleh dimakan pada bila-bila waktu siang dan malam hari. Di kedua negara ini kuih tradisi mereka adalah Kleichas yang merupakan biskut berperisa mawar dan berisi kacang serta kurma. Mereka menganggap Kleichas adalah biskut kebangsaan mereka.

Kleichas berinti kacang dan kurma

Di Yaman, kuih tradisi mereka adalah Bint al sahn atau disebut sebagai kek madu. Ia dihiasi dengan biji habbatussauda dan sangat disukai pelbagai golongan masyarakat Yaman.

Berbeza di Rusia, masyarakatnya akan membuat kiuh tradisional yang dikenali sebagai manti yang sangat popular pada Aidilfitri. Manti biasanya diisi dengan sejenis daging ayam, kambing atau lembu yang disalut dengan lapisan kulit diperbuat dari tepung dan dikukus.

Makanan tradisi Islam Rusia, Manti berinti daging dimakan pada pagi Syawal.

Manakala di Malaysia, Aidilfitri tidak akan meriah tanpa lemang, ketupat, rendang ayam dan daging serta pelbagai biskut manis dengan pelbagai perisa. Jika dulu sebelum pandemik Covid-19, aktiviti memasak lemang, ketupat atau mengacau dodol akan dilakukan secara bergotong-royong, acara ini dilakukan bagi mengeratkan hubungan sesama Islam baik keluarga, saudara-mara, jiran tetangga mahupun kenalan baik.

Tidak meriah Aidilfitri tanpa lemang.

Tidak lupa masyarakat Islam China meraikan Aidilfitri dengan makanan tradisi mereka iaitu You Xiang yang diperbuat dari tepung, air dan roti ragi yang digoreng dalam minyak. Ia diberikan sebagai hadiah atau dimakan pada pagi 1 Syawal.

Ucapan lebaran juga adalah salah satu perkara yang paling umum kita mendengarnya, di negara timur tengah kebiasaannya menyebut ‘Eid Mubarak’ yang bermaksud ‘Idul Fitri’ atau ‘yang diberkati’ dan merupakan cara untuk menyatakan ucapan perayaan. Anda mungkin juga mendengar ‘Eid sa’id’ yang bererti ‘Selamat Hari Raya’.

Negara-negara lain mempunyai ucapan yang berbeza. Di Nigeria, masyarakatnya cenderung mengucap ‘Balla da Sallah’. Di Malaysia, Aidilfitri disebut sebagai Selamat Hari Raya.

Tradisi lain juga yang agak unik dirai masyarakat Islam di dunia seperti di Afghanistan. Aidilfitri disambut berbeza di mana masyarakatnya akan melukis telur rebus dan berlawan sesama mereka. Permainan ini dikenali sebagai Tokhm-Jangi. Semua orang akan terlibat dan tujuannya adalah untuk memecahkan telur lawan sambil memastikan telur sendiri tidak pecah.