Browsing Tag

acuan Islam

Ibu bapa
Isu,

Gagalkah ibu bapa jika anak tak ikut acuan Islam?

SERING kali ibu bapa dipersalahkan dan dilabel sebagai gagal andai anak yang dipertanggungjawabkan kepada mereka tidak mengikut acuan Islam dengan sempurna.

Tidak kurang juga ada yang tergamak melabelkan emak dan ayah ‘derhaka’ dan seumpamanya.

Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Kamarul Azmi Jasmi menegaskan, tiada istilah ibu bapa derhaka kepada anak dalam Islam.

Baca juga Elak jadi ibu bapa ‘derhaka’, jauhi sikap seperti ini

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kedua-dua orang tua hanya boleh dikatakan tidak melaksanakan amanah dengan sempurna.

DR KAMARUL AZMI

“Jika ibu bapa tidak betul sekalipun, Islam mengajar anak untuk beradab dengan orang tua masing-masing. Antaranya dengan meminta si anak untuk menegur dan menasihati emak atau ayah mereka melalui orang yang sedarjat atau insan lebih tinggi (pangkatnya).

“Bagaimanapun, anak dikira sebagai tidak beradab jika mereka menegur ibu dan ayah masing-masing yang tidak betul,” ungkapnya.

Dr Kamarul Azmi kemudian menyambung hujahnya dengan menyenaraikan tanggungjawab ibu bapa dalam memberi didikan terbaik kepada cahaya hati masing-masing.

Jelas beliau, banyak kajian membuktikan bahawa hampir 70 peratus pengaruh ibu bapa dalam beragama berbanding dengan peranan guru, rakan dan media.

Sebagai orang tua, katanya, menjadi kewajiban utama mereka untuk memberi pendidikan solat dan al-Quran kepada anak-anak.

“Agama yang diamalkan oleh ibu dan ayah hanya sebagai ikutan. Selain itu, kedua-dua orang tua wajib menasihati dan menegur amalan wajib untuk dilaksanakan, sedangkan bagi amalan sunat pula, hanya galakkan si anak lakukannya.

Baca juga Jika kasihkan anak, bimbing dan tegurlah kesilapan mereka

“Andai sudah ditegur, tetapi anak masih tidak mahu mengamalkan Islam, maka tanggungjawab mereka (ibu bapa) sudah selesai,” katanya.

Ibu bapa

KETIKA anak masih kecil, didik dan bimbinglah mereka dengan ilmu agama dan nilai-nilai Islam supaya mereka boleh menerapkannya dalam kehidupannya kelak. -Foto: 123rf

Ini kerana, katanya, setiap anak yang sudah akil baligh perlu bertanggungjawab untuk mengamalkan Islam sekalipun ibu bapa mahupun insan di sekeliling tidak menyokongnya.

Oleh sebab itu, tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada ibu bapa atas kegagalan anak mengamalkan agama suci itu dengan sempurna.

Namun begitu, emak dan ayah mungkin boleh dipersalahkan kerana tidak mengajar tanggungan mereka dengan baik.

“Jika seseorang anaknya mencuri atau membunuh, diri mereka sendiri yang perlu bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan. Ibu bapa tidak boleh dipersalahkan mahupun dihukum atas kekhilafan dilakukan oleh keturunan mereka.

“Begitu juga halnya dalam perihal Rukun Islam kedua. Jika anak meninggalkan solat, sedangkan sudah baligh, maka yang berhutang kepada ALLAH kerana meninggalkan kewajiban itu adalah anak tersebut.

Baca juga Ibu bapa tanggung dosa anak-anak tinggalkan solat?

“Ibu bapanya diwajibkan menegur dengan lembut, tetapi mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan selepas nasihat diberikan,” ujarnya.

Kelemahan iman

Menyambung hujahnya, Dr Kamarul Azmi menjelaskan, rata-rata umat Islam pada hari ini sudah mengetahui ilmu agama dengan baik secara umumnya.

Ibu bapa

WALAUPUN ramai yang celik ilmu agama, tetapi kelemahan iman menjadi punca mengapa ada yang tidak dapat mengamalkan Islam dalam seluruh kehidupannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bagaimanapun, jelas beliau, mereka tidak mempu mempraktikkannya dengan sempurna kesan daripada kelemahan tahap iman.

“Pada akhir zaman sekarang, untuk mengamalkan Islam sudah tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia perlu dilaksanakan secara berkumpulan akibat kelemahan tahap iman.

“Kekuatan iman itu hanya boleh diperoleh melalui susah payah untuk memperjuangkan agama dalam diri dan masyarakat,” ungkapnya.

Ekoran faktor itulah yang menyebabkan emak dan ayah pada hari ini tidak mampu melaksanakan amanah dengan baik.

“Bahkan, ada anak tidak boleh menjadi baik, isteri yang sempurna dan suami atau ayah yang elok,” katanya.-SI+