Browsing Tag

13 September

Kekacauan 13 September
Aqidah,

Benarkah akan berlaku ‘kekacauan’, ‘kesialan’ pada 13 September?

TULAR video di TikTok tentang ‘kekacauan’ dan ‘kesialan’ yang dikatakan bakal berlaku pada 13 September yang merupakan hari Rabu terakhir dalam bulan Safar.

Jika dihitung, 13 September jatuh pada 27 Safar. Menerusi video berdurasi 1.39 minit itu, seorang ‘wanita’ yang sedang menerima rawatan  mendakwa dari keturunan orang soleh Minangkabau menjelaskan, ada makhluk akan membuat ‘kekacauan’.

‘Mereka’ dikatakan akan berusaha menyesatkan umat Islam di Tanah Bani Melayu pada tarikh berkenaan.

Sebagai persediaan, ‘wanita’ tersebut turut berpesan agar kita perbanyakkan berselawat dan usah meninggalkan solat.

Video itu telah menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana tiada perkataan disclaimer (penafian) dalam paparan berkenaan.

Difahamkan, ia dirakam ketika seorang perawat sedang merawat pesakitnya dan berdialog dengan jin. Tidak lama selepas itu, barulah pusat rawatan berkenaan menulis ‘Jin ni dengar boleh dan percaya jangan’ pada media sosial mereka.

Baca juga ‘Kupu-kupu masuk rumah tanda tetamu datang’, ini contoh ungkapan tathayyur yang dikira syirik kecil

Ketahuilah bahawa semua dakwaan berkaitan ‘kekacauan’ mahupun ‘kesialan’ itu adalah tidak benar. Ini kerana ia bercanggah daripada hadis Nabi Muhammad SAW.

Kekacauan 13 September

‘KEKACAUAN’ mahupun bala yang dikatakan berlaku pada bulan Safar adalah bercanggah dengan hadis daripada Nabi Muhamad SAW dan al-Quran yang menjadi mukjizat agung Baginda. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Perkara itu ditegaskan oleh Muzuza yang juga penulis buku-buku agama dan kerohanian menerusi video di TikTok miliknya.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk), tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan Safar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat nas berkenaan, andai ada yang mendakwa bahawa suatu bala besar akan berlaku pada hari Rabu terakhir dalam bulan Safar itu, maka Muzuza menjelaskan, ia sangat bertentangan dengan sabda Baginda SAW.

Baca juga Peristiwa besar dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Safar

“Maka kita ikutlah saranan al-Quran iaitu apabila seuatu yang mana kita tidak ketahui termasuklah ilmu tentang perkara ghaib iaitu tentang masa hadapan atau perkara-perkara yang bukan dalam pengetahuan kita, maka tidak usahlah untuk berbicara tentangnya,” titipkan.

Ia berpandukan kepada firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (Surah al-Isra’, ayat 36)

Muzuza kemudian menukilkan bait mutiara yang pernah diungkapkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah bahawa usahlah berbicara sesuatu perkara yang mana tidak ada pada kamu ikutan.

“Ikutan di sini bermaksud sumber yang sahih dan ulama yang muktabar,” terangnya.

Dalam pada itu, perawat terbabit sudah membuat penjelasan panjang lebar di TikTok pusat rawatan berkenaan.

Jelas beliau, isu berkaitan 13 September itu ditanyakan oleh penonton dan beliau hanya menyampaikan kepada ‘pesakit’ berkenaan.

Kekacauan 13 September

MENERUSI satu video yang lain, perawat berkenaan menghuraikan panjang lebar tentang video tular berkenaan dan berpesan agar tidak mempercayai apa yang diperkatakan oleh bangsa jin. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

“Namun, saya beritahu di situ ‘Bukan saya nak suruh percaya pasal 13 September tu, kalau boleh, buatlah amal ikut Rasulullah SAW, bukan nak percaya cakap jin’. Sebelum video ini viral, ada lagi isu 13 September ini viral yang mana orang beritahu bahawa akan berlaku bala dan sebagainya.

“Wallahua’lam, ALLAH lebih tahu. Tidak perlulah untuk kita sampaikan benda-benda khurafat dan mengatakan saya ini dukun. Kalau anda berkata demikian, elok datang tempat saya. Que kami 70,000 orang, abang dan ustaz datang, kemudian rawat,” ungkapnya.

Baca juga Jumpa botol kaca dibalut kain hitam tepi pantai, fahami penjelasan Islam perkara khurafat ini

Dalam pada itu, perawat yang dipanggil ustaz itu juga memaparkan video penuh tentang isu 13 September yang tular supaya orang ramai boleh membuat penilaian sendiri.

Lelaki itu juga tidak berhasrat memaafkan individu yang menyelarnya dengan pelbagai cercaan.

“Saya tak pernah komen ‘percayalah cakap jin, jin ini bercakap benar’. Tugas saya, saya Islamkan dia (jin), keluarkan jin dan clearkan pesakit. Pesakit itu balik dalam keadaan tenang dan sihat. Itu saya.

“Saya cuma beritahu ‘apa yang jin itu cakap mengikuti sunnah Rasulullah, ikuti al-Quran dan hadis, kita ikut’. Bukan sebab jin itu, sebab kita ikut sunnah Rasulullah, al-Quran dan hadis,” jelasnya.

***Foto: Freepik