Browsing Category

Pilihan Editor

Daily Telegraph
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Bintang Ragbi Muslim, Sonny Bill Williams Kecam Penentangan Pembinaan Masjid di Sydney

no comment

BINTANG ragbi dunia, Sonny Bill Williams mengecam tindakan pelaku ‘ketakutan rasis’ yang cuba menghalang pembinaan masjid baharu yang ingin dibina di selatan Sydney.

Tapak masjid yang bakal dibina dalam kawasan perumahan bangunan lama Carlton telah kelihatan tanda-tanda awal protes oleh penduduk tempatan dengan alasan rumah ibadah itu akan membawa kesesakan lalu lintas yang tinggi.

Namun Williams yang memeluk Islam pada tahun 2009 percaya aduan penduduk itu hanya kerana perkauman dan ketaksuban semata.

“Rasisme hidup dengan baik di Botany St, Carlton Sydney. Insya-ALLAH kami akan solat 365 hari, 5 kali setiap hari di Masjid baharu kami tidak lama lagi. Semoga perkauman dapat dihindari daripada masyarakat kita,” kata Williams, 36, menerusi laman Instagramnya di samping gambarnya duduk bersebelahan papan tanda di hadapan tapak pembinaan masjid.

Williams dan rakan pasukan Ofa Tuungafasi meluangkan masa untuk berdoa sebelum perlawanan Ragbi Piala Dunia antara New Zealand All Blacks menentang Ireland pada 2019.

Williams yang bermain bersama pasukan All Blacks serta liga dengan Canterbury Bulldogs dan Sydney Roosters mengatakan bahawa pengalamannya tinggal dan bekerja dalam komuniti Islam selama empat musim bersama Bulldogs antara faktor dia memeluk Islam.

Williams bersama isterinya Alana dan anaknya, Imaan, 5, Aisha, 3, dan Zaid, 2, percaya bahawa aduan penduduk tempatan terhadap masjid itu adalah berdasarkan perkauman dan ketaksuban.

Ibunya, Lee dan saudara lelakinya, John termasuk isterinya yang juga model popular, Alana, 28, juga telah memeluk Islam.

“Saya dibesarkan sebagai orang Kristian dan jujur saya selalu merasa sedikit tidak selesa. Umat Islam adalah orang yang sama seperti kita, mereka manusia tetapi agama Islam, apabila anda benar-benar memandangnya ia sesuatu yang indah,” katanya yang mengakui dalam sebuah podcast Islam dua tahun lalu.

Menurutnya, adalah perkara yang sukar untuk membicarakan berkaitan isu perkauman dan kebencian kerana banyak negara Barat dilahirkan atas rasa perkauman dan kebencian.

Williams yang tinggal di daerah Carlton, mengatakan perancangan pembinaan masjid di kawasan itu sudah lama tertangguh untuk komuniti Muslim tempatan. Sebelum ini dia dan masyarakat Islam lain terpaksa melakukan perjalanan jauh ke seberang kota untuk bersolat.

Masjid ini juga akan menjadi pusat penjagaan warga emas dan mampu menampung 120 orang untuk solat bermula jam 5 pagi hingga 10.30 malam dalam tujuh hari seminggu.

Dia menolak tuntutan penduduk mengenai peningkatan lalu lintas dengan mengatakan bahawa sudah ada sekolah di jalan yang sama dan kemudahan yang lain berdekatan.

Williams sering bersama komuniti Islam di kawasan kejiranannya. Gambar: NZ Herald

“Ada ribuan keluarga Muslim di daerah ini dan kami tidak memiliki tempat untuk pergi beribadah, sayangnya ini adalah ketakutan sahaja.

“Masyarakat Islam telah berada di kawasan Carlton sejak tahun 1950-an dan tidak pernah mempunyai masjid.

“Dalam masa yang sama semakin banyak tempat ibadat lain seperti gereja Kristian, rumah ibadat Yahudi dibina. Dengan adanya masjid di kawasan itu dapat membuat saya rasa gembira kerana saya tahu orang-orang diajar moral dan etika yang baik,” kata Williams kepada Daily Telegraph.

Presiden Persatuan Sungai Georges Benjamin Wang, menafikan penentangan penduduk tempatan terhadap masjid itu bersifat perkauman.

“Kami tidak mengemukakan bantahan ini atas dasar bangsa atau agama. Hujah kami berkisar pada isu-isu teknikal yang menunjukkan tempat ibadat awam berada di lokasi yang tidak sesuai dan bukan untuk kepentingan masyarakat,” katanya ketika rancangan itu dibuat di hadapan Majlis Georges River.

Bagaimanapun, laporan dewan mendapati terdapat kekurangan tempat ibadat Muslim di kawasan Carlton.

“Masjid yang diusulkan itu menyediakan kemudahan yang sangat diperlukan bagi masyarakat Islam tempatan untuk menjalankan amalan agama,” menurut laporan itu.

Sumber: Daily Mail

Haniyeh Taliban
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Hamas Ucap Tahniah Kepada Taliban Atas Pembebasan Afghanistan

no comment

KETUA Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mengucapkan tahniah kepada Taliban atas pembebasan Afghanistan daripada penjajahan Amerika Syarikat, kata kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menerusi panggilan telefon bersama Ketua Biro Politik Taliban, Mulla Abdul-Ghani Bradar, Haniyeh mengatakan dia menganggap penghapusan penjajahan dari Afghanistan sebagai permulaan untuk penghapusan penindasan kepada seluruh dunia terutama penjajahan Israel.

Ismail Haniyeh memuji perjuangan kepimpinan Taliban. Gambar: Middle East Monitor

Pemimpin tertinggi Hamas berharap agar Afghanistan muncul sebagai negara ‘bersatu, kuat dan makmur’ setelah berakhirnya penjajahan ini.

Sementara itu, Mulla Abdul-Ghani mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Haniyeh diatas panggilan telefon itu dan berharap agar rakyat Palestin yang ‘tertindas’ mengalahkan penjajah mereka dengan sokongan ALLAH dan berusaha diatas penentangan mereka.

Mulla Abdul-Ghani juga memuji perjuangan Palestin kerana sentiasa berusaha dan berkorban dengan pelbagai cara demi membebaskan negara mereka daripada penjajahan Israel.

Dia menyeru agar semua negara dan semua orang berdiri di samping Palestin dan rakyatnya.

Taliban kembali menawan semula Afghanistan selepas 20 tahun dijajah oleh Amerika Syarikat. Kemenangan Taliban terhadap negara ‘Uncle Sam’ itu dibuat secara berperingkat bermula sejak 6 Ogos dengan menguasai bandar Nimrooz, Sherbeganz, Sarepul, Kunduz, Talqan, Aybak sehingga la Jalalabad dan Kandahar.

Ramai diplomat luar telah meninggalkan Kabul sejak penutupan pangkalan tentera Amerika Syarikat untuk pulang ke negara asal.

Mulla Abdul-Ghani turut mendoakan Palestin bebas dari penjajahan Zionis.

Ketua Perunding yang juga Ketua Biro Politik Taliban, Mulla Abdul-Ghani Bradar telah mengisytihar kemenangan Taliban menawan semula Afghanistan daripada kuasa asing secara rasmi pada 15 Ogos lalu.

Sebelum ini, Pemimpin Jamaat-e-Islami (JI), Ameer Sirajul Haq telah memuji kepimpinan Taliban kerana mahukan perdamaian, tidak membalas dendam terhadap lawan, melindungi diplomat dan orang asing tanpa pertumpahan darah bagi amnesti yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam dunia tamadun moden.

Malah Taliban juga memberi jaminan bahawa hak-hak wanita Afghanistan akan dilindungi dengan membenarkan mereka untuk meninggalkan rumah bagi mendapatkan akses pendidikan, persekolahan serta boleh bekerja dengan bebas serta diwajibkan untuk memakai jilbab seperti yang dituntut oleh Islam serta akan melaksanakan undang-undang berlandaskan Syariah Islam.

 

Sumber: Middle East Monitor

Ecd4vpuWsAAJssa
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Pemberontakan Senyap Yahudi AS Terhadap Regim Zionis Israel Petanda Baik Buat Palestin

no comment

PERBINCANGAN mengenai Israel dan Palestin sering berlaku di kalangan kolonialisme Israel dan usaha Palestin untuk mendapatkan pembebasan. Walaupun perbincangan itu dilihat janggal dan sukar tetapi situasi itu sudah lama berlaku antara Yahudi Amerika Syarikat (AS) dan hubungan mereka dengan Israel serta komitmen mereka terhadap ideologi Zionisnya.

Selama bertahun-tahun, Israel dan penyokong Yahudi dengan senang hati memanggil orang Yahudi yang tidak menyokong negara itu atau lebih buruk lagi menyokong kebebasan Palestin sebagai ‘membenci diri sendiri’.

Istilah itu digunakan untuk menggambarkan orang Yahudi anti-Zionis yang tidak setuju dengan tuduhan ‘anti-Semitisme’ yang dibuat terhadap orang bukan Yahudi termasuk orang Arab Semitik yang berani mengkritik Israel. Pendekatan seperti itu, bagaimanapun tidak lagi efektif seperti dulu.

Beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan dengan tegas bahawa terdapat pemberontakan secara senyap di kalangan komuniti Yahudi AS. Pemberontakan anti-Israel ini telah lama berkembang, tetapi baru-baru ini munculnya fenomena baru di mana orang Yahudi AS, terutama generasi muda, secara terbuka tidak setuju dengan cara Yahudi yang menyokong hal berkaitan Israel kerana mengagungkan Zionisme. Situasi itu telah membimbangkan pelbagai institusi Zionis di AS dan di Israel sendiri.

Kini golongan muda Yahudi AS semakin terbuka mengutuk tindakan Israel terhadap penindasan rakyat Palestin. Gambar: BBC

Yahudi AS semakin jauh dari Israel

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan kesimpulan yang tidak dapat dielakkan bahawa hubungan emosi dan politik antara Israel dan Yahudi AS semakin lemah. Kaji selidik pendapat yang diterbitkan oleh Laszlo Strategies bagi organisasi bukan untung di Jerusalem pada Ogos 2013, menyimpulkan bahawa 87 peratus orang Yahudi AS berusia lebih dari 50 tahun sangat setuju bahawa mengambil berat tentang Israel adalah bahagian yang sangat penting daripada menjadi Yahudi. Sementara 66 peratus orang muda Yahudi di AS yang berumur antara 18 hingga 29 tahun merasakan hal yang sama.

Tinjauan lain juga menunjukkan kesimpulan yang serupa bahawa jumlah pemuda Yahudi yang sangat menyokong Israel terus menurun. Satu tinjauan yang sangat menarik dan penting adalah mengenai Jawatankuasa Yahudi Amerika pada bulan Jun 2018. Itulah masa ketika pakatan AS-Israel mencapai puncaknya di bawah pemerintahan Donald Trump dan Benjamin Netanyahu.

Walaupun 77 peratus daripada semua orang Israel bersetuju hubungan AS-Israel oleh pemerintah AS, hanya 34 peratus orang Yahudi AS yang melakukannya. Sebenarnya, 57 peratus lagi orang Yahudi AS tidak bersetuju sepenuhnya kebijakan Trump yang pada dasarnya memberikan Israel semua yang diinginkannya.

Penyelidikan yang diterbitkan pada Mei tahun ini oleh Pew menunjukkan bahawa satu daripada lima orang Yahudi AS percaya bahawa AS terlalu menyokong Israel. Mereka yang berpegang pada kepercayaan itu terdiri daripada 22 peratus dari populasi Yahudi AS dan telah meningkat dua kali ganda sejak tinjauan sebelumnya dikeluarkan pada tahun 2013.

Ramai pemuda Yahudi AS semakin terbuka mengadakan tunjuk perasaan mengecam tindakan Israel terhadap penindasan Palestin. Gambar: Arab News.

Pengumpulan data untuk tinjauan di atas walaupun dikeluarkan semasa serangan Israel ke atas Gaza pada 10 hingga 21 Mei, sebenarnya dilakukan pada tahun 2019 dan 2020. Jumlah orang Yahudi AS yang tidak menyokong pasti meningkat sejak itu seolah-olah ada korelasi yang jelas antara perang Israel yang mengakibatkan korban orang awam yang besar dan perpecahan yang berterusan antara Yahudi AS dan Israel.

Wakil Presiden untuk penglibatan orang ramai di New Israel Fund, Libby Lenkinski, mengatakan kepada majalah Rolling Stone bahawa dia melihat perubahan ketara dalam persepsi Amerika terhadap Palestin dan Israel sejak perang Israel terhadap Gaza pada tahun 2014. Perang yang mengorbankan lebih dari 2,200 orang Palestin. Namun, bagi Lenkinski persepsi Yahudi AS harus mengikuti etika paradigma, ‘Ini adalah masalah moral. Betul atau salah?’.

Sentimen serupa muncul setelah perang Mei 2021, ketika lebih 260 penduduk Palestin terbunuh, termasuk ramai wanita dan kanak-kanak. Dalam artikel baru-baru ini, penulis Yahudi Amerika, Marisa Kabas menjelaskan dilema yang dirasakan oleh ramai orang dalam komuniti Yahudi AS mengenai Israel.

“Oleh kerana konflik ini sering terjadi terhadap anda yang menyokong Israel atau menyokong kehancurannya, bagi kebanyakan kita merasa seperti pengkhianatan untuk mempertimbangkan pihak lain, akibatnya perubahan yang jelas dalam persepsi dan hubungan Yahudi AS dengan Israel,” katanya.

Tambahnya, walaupun lebih banyak ruang terbuka untuk membantah Yahudi AS, perbincangan di Israel masih terbatas dan hampir tidak berkaitan dengan etika dan moral.

“Baru-baru ini, pemahaman bahawa Israel kehilangan sokongan Yahudi AS telah diterima oleh parti-parti politik utama negara itu, dengan perselisihan yang difokuskan pada siapa yang harus disalahkan atas pergeseran ini.

“Netanyahu sering dianggap bertanggungjawab untuk menjadikan Israel sebagai isu politik Amerika yang berpihak melalui perikatannya dengan Trump dan Parti Republik hingga mengorbankan hubungan Israel dengan Demokrat.

Netanyahu dan Trump mempunyai agenda yang sama terhadap Palestin. Gambar: The Guardian

“Namun, hubungan ‘cinta’ Netanyahu-Trump tidak begitu rumit seperti yang ingin dipercayai oleh pengkritik Netanyahu. Sesungguhnya, idea Israel telah berubah dalam masyarakat Amerika. Gagasan bahawa Israel adalah sebuah negara kecil yang seharusnya rentan menghadapi ancaman eksistensial oleh musuh-musuh Arab yang berkembang di masa lalu, menjadi hampir sama sekali tidak relevan,” katanya.

Konsep baru Israel, yang merupakan titik penjualan utama Tel Aviv di Amerika, adalah konsep Israel yang alkitabiah, tempat ramalan dan keselamatan rohani yang paling menarik bagi kelompok Kristian Evangelis sayap kanan. Golongan muda Yahudi yang kebanyakannya menyokong Black Lives Matter dan bahkan gerakan boikot Palestin, mempunyai sedikit persamaan dengan penyokong Israel di kalangan orang-orang yang bersemangat kristian Amerika.

 

Sumber: Middle East Monitor

2775031-1929506542
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Al-Bazan Stesen Minuman dan Wuduk Moden Dilancar di Jeddah

no comment

EMPAT stesen air minumam dan berwuduk yang mengambil inspirasi kaedah penyediaan air bersejarah di bandar itu dilancarkan Wakaf Raja Abdul Aziz Ain Al-Aziziah, semalam.

Stesen air Al-Bazan diterjemahkan sebagai tangki air, berdasarkan sistem pengedaran air Jeddah sebelumnya.

Stesen air itu disediakan di bandar Jeddah untuk sumber bekalan air utama bagi penduduk Jeddah.

Al-Bazan lengkapi ciri moden dengan kaedah penyahgaraman air laut.

Sebelum Al-Bazen yang dibina daripada dana wakaf, penduduk Jeddah menerima air mereka daripada seorang lelaki yang disebut ‘saggah’ (lelaki air) yang mengambilnya dari luar kota dan mengedarnya ke setiap daerah di Jeddah.

Ketua Hubungan Masyarakat, Wakaf Raja Abdul Aziz Ain Al-Aziziah, Sakhr Al-Asmari, berkata idea utama di sebalik projek ini adalah membekalkan air kepada masyarakat dan mengingatkan mereka akan transformasi luar biasa yang telah dilalui kota itu.

“Wakaf itu mengutamakan beberapa tempat penting di Jeddah termasuklah di tepi laut dan akan ada lebih banyak lagi stesen air akan dibina di masa akan datang.

“Al-Bazan dengan ciri moden berada di kawasan berlainan yang akan menyediakan air bersih untuk minuman dan berwuduk kepada orang ramai. Ia dibina dengan ciri moden bertujuan memperindahkan kawasan kemudahan awam yang menyerupai saluran paip utama dari lembah.

“Wakaf tersebut berperanan untuk menyediakan air minum percuma dan bersih kepada penduduk Jeddah. Infrastrukturnya dilengkapi dengan ciri moden bagi penyahgaraman air laut sebagai sumber utama untuk dibekalkan ke beberapa wilayah di Arab Saudi.

“Wakaf ini juga dibina secara menyeluruh dengan melalui beberapa proses, ia seperti mencari stesen penyiraman daripada sumber air untuk penyahgaraman dan akan melalui ke desa-desa terpencil di seluruh wilayah. Ia dilaksanakan untuk mencapai tujuan bagi memenuhi salah satu komponen Wawasan 2030 yang dihasratkan oleh pengasasnya, Raja Abdul Aziz,” kata, Al-Asmari.

 

Sumber: Arab News

 

The World
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Cendekiawan Wanita UK Bidas Media Barat Salah Tafsir Pendirian Taliban Mengenai Hak Wanita

no comment

PELBAGAI cara dilakukan media barat sejak dulu dalam memainkan propaganda untuk menjatuhkan imej pejuang Taliban.

Malah terbaharu sejak Gerakan Islam itu menguasai pemerintahan Afghanistan, banyak laporan media barat yang mengatakan keadaan di negara itu semakin buruk selepas Taliban merampas pentadbiran di Kabul, meskipun Gerakan itu telah berikrar untuk memberikan semua hak wanita Afghanistan sesuai mengikut undang-undang Syariah.

Khola Hasan bidas media barat. Gambar: BBC

Seorang Sarjana Majlis Syariah Islam, United Kingdom (UK), Khola Hasan, berkata jika negara-negara Barat boleh memberi mereka bantuan, mereka mampu untuk maju.

“Media barat sering membuat tafsiran yang salah terhadap pegangan Taliban mengenai hak wanita. Namun ia hanyalah sekadar alasan kerana perubahan yang ketara di lakukan Taliban adalah sesuatu permulaan yang baik.

“Setiap orang Muslim yang saya kenal, baik sebagai rakan mahupun menerusi di media sosial, saya tidak tahu mereka secara peribadi, namun kita harus meraikan mereka dan tidak mengatakan mereka sebagai militan,” kata ulamak itu ketika di wawancara bersama BBC Radio 4, baru-baru ini.

Seorang pejuang Taliban berjalan melewati sebuah salon kecantikan dengan gambar wanita dicacatkan menggunakan cat semburan di Shar-e-Naw di Kabul. Gambar: Daily Advent

Ketika diminta untuk memberi maklum balas terhadap laporan mengenai wanita dan kanak-kanak dipukul serta disebat ketika melewati pos pemeriksaan Afghanistan, Hasan menjelaskan Afghanistan memilik masyarakat dengan pelbagai suku dengan dan kesetiaan terhadap suku mereka.

“Mereka hidup di tengah-tengah kepelbagaian suku sudah tentu banyak keganasan berlaku dalam masyarakat selama puluhan tahun hidup bersama,” tambahnya.

Hasan mendesak masyarakat antarabangsa untuk berhati-hati dalam menilai kejadian kecil agar tidak menjadikannya ia sesuatu yang besar.

Sarjana itu berpendapat bahawa, media barat sering memberi gambaran yang salah terhadap umat Islam yang disiarkan dengan pelbagai Bahasa mengenai Taliban.

Pejuang Taliban melakukan rondaan di kawasan Wazir Akbar Khan di kota Kabul, Afghanistan. Gambar: The Washington Post

“Antara propaganda yang dimainkan media barat adalah, sejak Taliban mengambil alih pentadbiran di Kabul, akan berlaku perang saudara, mereka akan menyembelih orang, wanita miskin akan kembali ke zaman kuno dan banyak lagi.

“Mereka telah memberitahu kepada seluruh dunia dengan janji-janji, mereka tidak akan menganiaya wanita dan mereka belum melakukannya kerana Taliban kini telah dewasa.

“Mereka tidak terdedah kepada dunia moden, jadi apa yang mereka katakan 20 tahun yang lalu oleh sebuah organisasi kecil yang terisolasi, tinggal di pergunungan, buta huruf, tidak berpendidikan, bukan hanya mengenai dunia tetapi lebih kepada pegangan mengenai Islam itu sendiri,” kata Ahli Majlis Syariah Islam UK itu lagi.

Sejak kejatuhan Kabul pada 15 Ogos lalu, Taliban berjanji tidak akan melakukan kekerasan terhadap wanita dan mereka tidak akan membalas dendam terhadap mereka yang menentang mereka selama 20 tahun perang di Afghanistan.

 

Sumber: Sputniknews.com

masjid
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Jerman Biayai Masjid Afghanistan Jadi Pusat Radikalisme

no comment

SEBUAH masjid akan dibina di Afghanistan melalui dana yang disalurkan Kementerian Luar Jerman bukan sahaja untuk beribadah tetapi bertujuan untuk membuka rumah radikal dan sentimen anti-barat.

Menurut pakar keganasan Jerman, Rolf Tophoven, berkata sebuah masjid akan dibangunkan di sebuah desa negara bergolak itu.

Menurutnya, pembinaan masjid dengan niat yang baik sering kali membawa akibat yang tidak diingini kerana ketidakpedulian Barat. Dia mengatakan bahawa mungkin kegagalan terbesar negara Barat adalah bahawa ia tidak memahami sepenuhnya kemahuan rakyat Afghanistan dan dengan cepat menolak demokrasi di sana.

“Ahli politik Barat tidak pernah memahami negara ini. Bagi mereka, itu hanyalah tanggungjawab kerajaan berbuat demikian. Dengan tergesa-gesa, mereka ingin menegakkan demokrasi dan hak asasi manusia di sana. Mentaliti orang Afghanistan tidak difahami.

“Nilai-nilai Barat tidak boleh dipaksakan pada negara seperti Afghanistan dan tentunya tidak mungkin membangunkan demokrasi dalam sekelip mata, ini adalah penilaian yang salah,”kata Tophoven.

Taliban meraikan kemenangan. Gambar: The New Arab

Mengapa Afghanistan jatuh begitu cepat?

Tophoven mengatakan ada beberapa sebab mengapa kerajaan Afghanistan menyerah kepada Taliban dengan begitu cepat walaupun masih mendapat sokongan kuat dari sekutu Barat.

“Mereka tidak memiliki motivasi yang baik dan tidak memiliki keinginan untuk berjuang,” kata Tophoven.

Tentera Afghanistan dianggotai daripada pelbagai etnik. Ramai tentera dikerahkan untuk berjauhan dengan keluarga mereka dan sesetengah mereka tidak mempunyai keluarga menyebabkan semangat mereka lumpuh.

“Mereka sering tidak mendapat gaji dan pegawai tentera yang korup tidak peduli dengan nasib tentera Afghanistan.

“Walaupun berlatih, tentera Afghanistan tidak memiliki kemampuan untuk berjuang di medan perang. Mereka bergantung pada Amerika Syarikat (AS) terutama dalam operasi udara, ”kata Tophoven.

Selain itu, menurutnya, Taliban mengubah dan memperbaiki taktik pertempuran.

“Setelah Taliban kehilangan pangkalan terakhirnya di Afghanistan pada Oktober 2001, mereka beralih ke taktik perang gerila,” katanya.

Menurutnya lagi, generasi pejuang baharu Taliban telah dilahirkan dengan mempelajari banyak berkaitan perang gerila dan perang kecil daripada tentera AS.

“Perang gerila telah menjadi lebih besar bagi Taliban dan dilatih secara profesional serta tidak dapat dikalahkan dengan cara ketenteraan konvensional,” tambahnya.

Kebangkitan Taliban di Afghanistan dan peranan masa depannya mengenai keganasan antarabangsa masih belum diketahui. Persoalannya ialah apakah Afghanistan akan menjadi pusat pengganas seperti sebelum 2001.

 

Sumbar: Remix News

e7f578eb-75a9-4326-a4e0-d88ce5b8b567
Berita Semasa, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Pengisian Hari Kemerdekaan Menerusi Surah Al-Mulk dan Tujuh Surah Musabbihat dalam Malaysia #QuranHour

no comment

SEMPENA sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-64 pada 31 Ogos ini, penganjuran Malaysia #QuranHour bagi edisi ke-7 akan dianjurkan dengan pengisian yang lebih bermotivasi bertemakan Formula Malaysia & Berbudi Penyayang.

Program Malaysia #QuranHour atau bacaan al-Quran secara serentak seluruh negara akan diadakan pada 30 Ogos depan bersamaan 21 Muharam 1443H selama sejam bermula 12 tengah hari hingga 1 petang di lokasi tersendiri atau kediaman masing-masing.

Malaysia #QuranHour yang diasaskan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), kali ini mengajak orang ramai untuk membaca dan mendalami tujuh formula kejayaan dari surah Musabbihat dan tiga motivasi dari surah Al-Mulk untuk difahami dan diamal bersama.

Antara tujuh surah itu seperti Al-Isra; Al-Hadid; Al-Hasyr; Al-Saff; Al-Jumuah; Al-Taghabun dan Al-A’la yang setiap satu memiliki syafaat dalam formula atau resolusi untuk kejayaan akhir zaman. Ia seperti syafaat untuk diri, keluarga, komuniti, organisasi, negara dan dunia.

Bagi orang ramai yang ingin turut serta dalam majlis itu, mereka boleh mendaftar hotspot bit.ly/MGH1443H.

Peserta juga boleh berkongsi gambar-gambar ketika penyertaan majlis itu dan dimuatnaik ke dalam media sosial Facebook peribadi dengan meletakkan tanda pagar MALAYSIA#QURANHOUR. Gambar yang dimuatnaik haruslah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan penjarakkan fizikal dan menggunakan pelitup muka).

Sporcle
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Taliban Minta Imam Sampaikan Khutbah Jumaat Halang Rakyat Lari dari Afghanistan

no comment

PADA khutbah Jumaat pertama hari ini selepas mengambil alih kepimpinan di Afghanistan, Taliban memohon para imam untuk menyampaikan pesanan positif berkaitan kumpulan itu agar rakyat tidak lagi cuba melarikan diri dari negaranya.

Taliban juga meminta imam di setiap masjid di Afghanistan menyangkal laporan negatif kumpulan itu dan menggesa puluhan ribu rakyatnya yang cuba untuk melarikan diri sejak gerakkan Islam menawan Kabul pada Ahad lalu tidak berbuat begitu.

Beberapa pemimpin Taliban memohon imam untuk menyampaikan pesanan positif kepada rakyat. Gambar: VOI

Taliban mengatakan bahawa mereka berharap para imam di seluruh negara dapat mempromosikan manfaat sistem Islam dan menggesa kesatuan.

Semalam, Taliban menyampaikan pesanan kepada para imam agar dapat membantu kepimpinan mereka untuk bekerja bagi membangunkan semula negara dan bukan berusaha untuk meninggalkannya disebabkan propaganda negatif musuh.

Mesej itu disampaikan ketika penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan di Kabul dan seluruh bandar Afghanistan untuk menentang pentadbiran Taliban di kota timur Asadabad.

Ramai rakyat Afghanistan berusaha meninggalkan negara itu ketika pemerintah negara runtuh pada Ahad lalu dan mereka bergegas ke lapangan terbang untuk melarikan diri. Ia dilakukan kerana mereka takut akan kekejaman Taliban berulang seperti yang berlaku sebelum ini.

Taliban telah menunjukkan wajah yang lebih moderat, mengatakan mereka menginginkan perdamaian, tidak akan membalas dendam terhadap musuh lama dan akan menghormati hak wanita dalam kerangka undang-undang Islam.

Solat Jumaat pertama. Gambar: Al Arabiya

Jika dulu mereka telah menyekat hak wanita, melancarkan hukuman mati dan meletupkan patung Buddha kuno ketika berkuasa dari tahun 1996 hingga 2001. Mereka digulingkan dalam serangan yang dipimpin Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2001.

Dari laporan sebuah kumpulan perisik Norway mengatakan bahawa Taliban telah mengumpul sebahagian rakyat Afghanistan yang berada dalam senarai hitam ketika bekerja dengan pentadbiran Afghanistan sebelumnya, termasuk beberapa pasukan pimpinan AS untuk membantunya.

“Taliban giat memburu semua individu yang pernah bekerjasama dengan rejim sebelumnya dan jika tidak berjaya, mereka akan menangkap anggota keluarga dan menghukum mereka mengikut tafsiran mereka sendiri. Terutama mereka yang berada pada posisi pusat di unit tentera, polis dan penyiasat,” menurut laporan yang disusun oleh RHIPTO Norwegian Center for Analisis Global.

Seorang anggota parlimen AS juga mengatakan Taliban menggunakan fail dari Direktorat Keselamatan Nasional dan Agensi Perisikan Afghanistan untuk mengenal pasti orang Afghanistan yang bekerja bersama AS.

 

Sumber: The Hindustan Times

Surah al-Maidah
Isu, Pilihan Editor,

Amalkan surah al-Maidah pada waktu duha, ada 45 nasihat bernilai terkandung di dalamnya

APABILA berbicara tentang Surah al-Maidah, barangkali ramai yang masih samar-samar dengan fadilat, mahupun manfaat yang terkandung di dalamnya.

Masakan tidak, surah tersebut tidak begitu menonjol bagi sesetengah individu jika dibandingkan dengan surah-surah terkemuka lain seperti Yasin, al-Mulk dan al-Waqiah.

Kepada mereka yang beranggapan sedemikian, nyahkan jauh-jauh pandangan tersebut. Ingatlah bahawa setiap bait-bait kalam ALLAH SWT itu begitu berharga dan tersemat hikmahnya tersendiri untuk dijadikan pedoman hidup kita sepanjang zaman.

Sesungguhnya, Surah al-Maidah sarat dengan panduan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita di bumi yang fana ini.

Apakah inti pati dan pengajaran yang boleh diambil daripada Surah al-Maidah? Benarkah ia merupakan surah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW?

45 nasihat bernilai

Sebagai tanda pengenalan, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom mengajak kita menyelami latar belakang Surah al-Maidah.

DR MOHD NASIR

Jelas beliau, surah kelima dalam al-Quran itu dikategorikan sebagai surah Madaniyyah iaitu diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, katanya, terdapat pandangan menyatakan, Madaniyyah bermaksud surah berkenaan diturunkan di Madinah.

“Dinamakan sebagai al-Maidah (hidangan) kerana pada ayat 112 dalam surah berkenaan, terdapat kisah Nabi Isa AS dan para pengikutnya yang mendapat nikmat hidangan makanan.

“Sajian itu diturunkan oleh ALLAH SWT sebagai rezeki kepada mereka dan sebagai bukti kenabian Nabi Isa AS,” katanya baru-baru ini.

Begitu istimewanya Surah al-Maidah itu apabila ia diturunkan sebanyak 120 ayat sekali gus, ungkapnya.

Perkara tersebut, dijelaskan dalam Kitab Tafsir al-Quran Ibn Kathir yang mana terdapat riwayat daripada Asma’ binti Yazid mengatakan: “Pada ketika aku sedang memegang tali ikatan unta Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba turun kepada baginda Surah al-Maidah secara keseluruhan. Kerana beratnya surah ini, sehingga berdetak kaki hadapan unta tersebut.”

Jelas ahli akademik berkenaan, riwayat itu mengambarkan bahawa betapa beratnya wahyu yang diturunkan kepada baginda SAW sehingga unta yang ditunggangi berjalan dalam keadaan yang payah.

“Hal yang demikian kerana surah ini mengandungi 120 ayat yang agak panjang setiap satunya. Selain itu, mesej-mesej yang terkandung di dalam setiap ayatnya juga mempunyai pelbagai tema dan tajuk yang utama dan penting yang perlu diambil berat mengenainya,” katanya.

Surah al-Maidah

CARILAH guru yang benar-benar muktabar dan faqih dalam bidangnya apabila kita ingin menuntut ilmu berkaitan dengan al-Quran.

Dalam Hadis Riwayat al-Hakim, Aisyah RA berkata bahawa: “Surah al-Maidah adalah surah yang terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammmad SAW. Apa sahaja yang kalian temukan dari yang halal, maka halalkanlah. Dan apa sahaja yang kalian temukan dari yang haram, maka haramkanlah.”

Berdasarkan hadis itu, Dr Mohd Nasir menjelaskan, sebahagian ulama berpendapat, ia merupakan surah terakhir diturunkan kepada baginda SAW yang melengkapkan kesempurnaan Islam.

“Begitupun, terdapat pandangan lain mengatakan bahawa surah terakhir diturunkan ialah Surah at-Taubah atau Surah an-Nasr,” katanya.

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

Amalan ayat tertentu

Sesungguhnya, kelebihan al-Quran sebagai mukjizat agung dan wahyu daripada ALLAH SWT memang tidak dapat disangkal lagi.

Surah al-Maidah


AMALKANLAH membaca Surah al-Maidah yang mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadikan kita manusia yang tidak tergelincir daripada cara hidup Islam.

Jelas pensyarah itu, kitab paling suci tersebut terkandung pelbagai fadilat dan kurniaan yang tidak terhingga.

“Kalamullah itu antaranya memberitahu kepada semua hamba-NYA, untuk kita hampir kepada ALLAH adalah dengan cara berdoa, ruqyah dan mengamalkan ayat-ayat tertentu.

“Malah, mengamalkan bait-bait suci itu juga sebenarnya termasuk dalam amal ibadah dan zikir yang dituntut dalam Islam. Ketahuilah bahawa zikir dan doa daripada al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri. Ia boleh memberikan ketenangan jiwa kepada mereka yang melazimkannya,” terangnya.

Begitupun, Dr Mohd Nasir memberi peringatan mesra dalam hal itu. Sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa dan ruqyah, rujuk dahulu kepada sumber serta dalil yang sahih.

“Semua itu perlu dirujuk kepada ahlinya iaitu mereka yang kuat akidahnya, sahsiah, akhlak dan amalan yang selari dengan Islam. Ia bagi mengelakkan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan dan cara yang salah walaupun kelihatan seperti baik dan betul.

“Secara umumnya, umat Islam diharuskan untuk mengguna dan mengamalkan ayat-ayat al-Quran sebagai doa dan ruqyah. Terdapat banyak dalil yang menjelaskan tentangnya,” tegasnya.

Sementara itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, menurut Tafsir Ibn Kathir, istimewanya Surah al-Maidah apabila ia mengandungi 45 nasihat berbeza yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu daripada ALLAH SWT.

DA’I FUAD

Ia termasuklah perintah ALLAH SWT yang menyuruh hamba-hamba-NYA agar tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan bertakwa kepada-NYA, ungkapnya.

Terdapat juga ayat-ayat yang mengandungi jawapan ALLAH SWT kepada ahli kitab apabila mereka mendustai Nabi Muhammad SAW.

“Antara isi pentingnya merujuk tentang larangan pembunuhan, merompak waima mengambil hak orang lain termasuk nyawa dan menjaga maqasid syariah.

“Apa yang kita dapat lihat daripada keseluruhan kandungan dalam Surah al-Maidah adalah ia banyak berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia, hubungan dengan haiwan, sesama insan, kewajipan dalam menjalankan tanggungjawab, membersihkan harta dengan melakukan infak serta larangan berlaku zalim kepada manusia lain,” katanya.

Sempurnakan perjanjian

Mengapakah Surah al-Maidah begitu sinonim dengan nama lain iaitu al-Uqud yang bermaksud perjanjian?

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, kalimah al-Uqud disebut pada ayat pertama surah berkenaan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatangbinatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya ALLAH menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Mengulas mengenai firman berkenaan, Dai’e Fuad berkata, sebagai seorang manusia yang berpegang kepada sesuatu perjanjian, ingatlah ia merupakan satu indikator besar untuk menafikan diri kita daripada menjadi orang munafik.

“Justeru, wajib kita melunaskan janji yang dibuat sepenuhnya. Tidak kiralah janji sebagai seorang ayah dan ibu, walaupun hanya sekadar janji membelikan manisan untuk anak-anak.

“Begitu juga dengan janji daripada pemimpin kepada orang pimpinannya dan orang bawahan ataupun rakyat terhadap kesetiaan kepada para pemimpin dan juga negaranya,” katanya.

Surah al-Maidah


ANTARA inti pati penting Surah al-Maidah, ia berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia, hubungannya terhadap haiwan, sesama insan, kewajipan dalam menjalankan tanggungjawab membersihkan harta dengan melakukan infak serta larangan berlaku zalim kepada manusia lain.

Pun demikian, ujar pendakwah itu, janji yang paling besar bagi umat Islam adalah janji yang sering kali diucapkan tatkala membaca doa iftitah ketika solat.

“Itu merupakan janji kita kepada ALLAH SWT. Bayangkan sekurang-kurangnya lima kali sehari kita melafazkan ungkapan ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk-MU serta tidak mensyirikkan-MU, ya ALLAH’. Justeru, perjanjian itu mesti ditunaikan dengan sedaya upaya,” katanya.

Kepada satu soalan, Da’i Fuad menjawab: “Mengamalkan ayat 114, Surah al-Maidah (agar rezeki tidak akan pernah habis) sebenarnya merupakan amalan para alim ulama, tetapi ia bukanlah datang melalui dalil yang khusus.

“Sebaliknya, ia diambil dari sudut mujarrabat iaitu kemujaraban yang diamalkan oleh para alim ulama yang mana ia dapat mengambil kelebihan daripadanya.”

Meskipun tiada nas yang menyatakan waktu tertentu untuk membaca Surah al-Maidah, namun Da’i Fuad menyarankan agar kita mengamalkannya pada waktu duha.

“Ia berdasarkan kepada kesesuaian pesanan dan kandungan surah berkenaan yang membawa kepada turunnya rezeki daripada ALLAH SWT, nasihat tentang pekerjaan dan hubungan tentang keimanan.

“Kepada mereka yang mahu menyusun atur jadual harian masing-masing, boleh selitkan bacaan Surah al-Maidah pada waktu duha. Semoga kita beroleh manfaat dengan mengamalkannya,” katanya.

Wuduk didik umat Islam ke arah sifat mahmudah, gugurkan dosa

DALAM Surah al-Maidah terkandung pensyariatan berwuduk menerusi ayat keenam. Ia merupakan satu cara untuk bersuci dan membersihkan manusia daripada kekotoran sebelum menghadap ALLAH SWT dan melakukan apa sahaja jenis ibadah.

Dari segi istilahnya, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, wuduk bermaksud membasuh dan menyapu anggota-anggota tertentu dengan niat tertentu.

MOHD FAUZI

“Terdapat bahagian anggota tubuh yang kita sapu saja, basuh atau gosok. Semuanya dilakukan dengan niat-niat tertentu sama ada untuk menunaikan solat, membaca al-Quran, tawaf dan seumpamanya.

“Mudah kata, dalam bab amal ibadah, kita diwajibkan untuk berwuduk supaya diri berada dalam keadaan elok dan bersih. Kajian saintifik menyatakan, manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran terutama pada anggota wuduk.

“Justeru, apabila anggota-anggota wuduk seperti muka, tangan, kaki dibasuh, ia membersihkan bahagian tersebut. Seterusnya mengelakkan jangkitan kuman bukan sahaja kepada diri, malah orang yang menunaikan ibadah berhampiran kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, agamawan itu menambah, dari segi manfaatnya kepada rohani, mengambil air sembahyang sebenarnya berupaya menggugurkan dosa-dosa kita menerusi anggota wuduk.

“Ulama tasawuf berkata, anggota wuduk hakikatnya merupakan zon ataupun daerah yang sering berdosa. Umpamanya, tangan banyak memegang, mengambil rasuah dan seumpamanya.

“Apabila kita mencucinya dengan wuduk, maka keluarlah dosa-dosa kita melaluinya. Begitu juga dengan anggota wuduk yang lainnya. Malah, ada seorang ulama tafsir menyatakan bahawa wuduk mendidik kita dengan sifat mahmudah.

“Maka sebab itulah Nabi Muhammad SAW menyuruh kita berwuduk apabila sedang marah kerana ia mampu menangkis sifat berkenaan,” jelasnya.

Kepada satu soalan, Mohd Fauzi menjawab: “Wuduk merupakan satu terapi terbaik untuk kesihatan manusia waima dari segi jasmani dan rohani.

“Dalam satu kajian di Arab Saudi yang dilakukan untuk menguji sampel bekas basuhan air wuduk, hasilnya mendapati air berkenaan terdapat kandungan bakteria kolon yang tinggi. Asbab berwuduk menyebabkan gugurnya bakteria berkenaan.

“Bahkan, dalam perubatan akupuntur dan kaedah urutan yang dilakukan oleh masyarakat kita, kebanyakannya menggunakan titik rawatan pada bahagian anggota wuduk seperti kaki dan bahagian wajah.”

ANEKDOT

IBRAH daripada Surah al-Maidah

Surah al-Maidah

JANGAN pernah sesekali meninggalkan al-Quran yang menjadi mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW.

– Surah al-Maidah mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana mengandungi pelbagai tema dan tajuk.

– Antara tema yang terkandung dalam surah itu adalah berkaitan dengan hukum-hakam makanan, kisah para anbia dan umat terdahulu, hari kiamat, larangan bersikap berlebihan (ghuluww) serta perihal akidah.

– Banyak pengajaran dan ibrah yang dapat diambil daripada surah tersebut. Antaranya adalah mengenai larangan minum arak, berjudi, menyembelih haiwan untuk berhala dan menenung nasib.

– Kisah al-Maidah itu sendiri mempunyai banyak pengajarannya. Disebutkan dalam ayat ke-112 bahawa para pengikut Nabi Isa AS telah meminta untuk mendapatkan makanan daripada ALLAH SWT dengan menurunkannya dari langit bagi memenuhi keperluan mereka akibat kemiskinan.

– Seterusnya dengan makanan itu juga, mereka mempunyai tenaga untuk terus beribadah kepada ALLAH SWT.

– Namun Nabi Isa AS meminta agar mereka bertawakal kepada-NYA ketika mencari rezeki jika benar-benar beriman kepada-NYA.

– Akhirnya, ALLAH SWT menurunkan makanan dari langit sebagai bukti kenabian dan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Isa AS.

Sumber: Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom

Foto Sinar Harian & 123rf

Meminta-minta jawatan
Isu, Pilihan Editor,

Meminta-minta jawatan. Ini hukumnya yang perlu kita tahu

LAZIMNYA suatu jawatan dalam mana-mana organisasi akan diberikan kepada individu yang benar-benar layak untuk memikulnya. Kebiasaannya, ia dibuat secara lantikan.

Jarang sekali kita mendengar orang meminta-minta jawatan. Apatah lagi, semakin besar suatu posisi dalam organisasi itu, maka semakin beratlah tanggungjawab yang perlu digalasnya.

Namun begitu, senario pada hari ini pula sebaliknya kerana terdapat segelintir orang yang meminta-minta jawatan. Barangkali individu itu merasakan dirinya mampu dan layak untuk memikul amanah yang bakal dipertanggungjawabkan kepadanya.

Pun demikian, ada yang berpandangan umat Islam dilarang meminta-meminta jawatan. Mana satukah pernyataan yang betul?

Memetik artikel Bayan Linnas Siri ke-241: Hukum Meminta Jawatan yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada hari ini, agama Islam sudah meletakkan garis panduan dalam bab memegang amanah dan meminta jawatan.

“Tidak sewenang-wenangnya kita terus mendapat sesuatu jawatan mahupun kedudukan begitu sahaja tanpa ilmu yang benar,” katanya.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW memberi amaran tentang bahaya meminta jawatan.

Baca juga Rasulullah SAW Pernah Beri Amaran Tentang Kelompok Manusia Yang Gila Kuasa

Baginda SAW bersabda: “Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat.” (Riwayat al-Bukhari)

Meminta-minta jawatan

TANGGUNGJAWAB besar menanti mereka yang berjawatan tinggi.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta akan jawatan. Jika engkau meminta permasalahan (jawatan), maka engkau akan menanggung beban itu sendiri. Tetapi jika engkau diberi permasalahan (jawatan) tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya (oleh ALLAH SWT).” (Riwayat Abu Daud)

Menjelaskan tentang hadis berkenaan, Kitab ‘Aun al-Ma’bud, sebuah karya yang mensyarahkan Sunan Abu Daud menyatakan, nas berkenaan hanya menjelaskan berkenaan akibat meminta-minta jawatan.

“Jika seseorang itu meminta jawatan, maka akan diberi kepadanya permintaan itu tanpa pertolongan (ALLAH SWT) dalam menyelesaikan kerja (jawatan) tersebut. Disimpulkan juga bahawa hukum meminta-minta yang berkaitan dengan kekuasaan seperti pemerintahan, penguasaan dan apa yang berkaitan dengannya adalah makruh,” katanya sebagaimana dipetik dalam kitab berkenaan.

Begitupun, tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hadis-hadis di atas bukanlah bersifat pengharaman yang melarang terus kita daripada meminta jawatan.

“Sebaliknya, ia memberi peringatan tentang bahayanya sesuatu amanah dan tanggungjawab tanpa persediaan atau sekadar inginkan habuan dunia.

“Bahkan, bagi individu yang mempunyai kekuatan dan mampu memegang amanah adalah dibenarkan serta layak untuk meminta jawatan tersebut,” katanya.

Dalam hal itu, kitab suci al-Quran ada menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf AS meminta jawatan sebagai menteri di Mesir.

Firman ALLAH SWT: “Yusuf berkata: “Jadikan daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” (Surah Yusuf, ayat 55)

Dalam tafsirnya, Prof Dr Wahbah az-Zuhaili menyatakan bahawa kalamullah tersebut memberi maklum balas tentang hadis larangan meminta jawatan dan tatacara kepada umat Islam jika menginginkan jawatan.

Berdasarkan hadis dan ayat al-Quran tersebut, dapat disimpulkan bahawa:

Meminta-minta jawatan

TERDAPAT beberapa syarat yang ditetapkan dalam Islam jika seseorang menginginkan jawatan.

– Individu yang tidak mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin seperti lemah, tua umurnya atau sekadar mementingkan diri sendiri sahaja, dilarang daripada meminta jawatan atau kekuasaan kerana tidak kompeten.

– Diharuskan bagi seseorang untuk meminta jawatan dan menunjukkan kesediaannya jika tujuan untuk memperkenalkan diri.

– Orang yang meminta jawatan perlu mempunyai ciri-ciri seperti boleh dipercayai (tsiqah), kuat pengetahuan agama dan sangat kompeten dalam hal kekuasaan.

– Diharuskan juga bagi seorang yang alim untuk bekerja di bawah seorang yang fasik ataupun raja yang kafir jika tiada jalan lain lagi untuk menegakkan kebenaran kecuali melalui dua jalan tersebut. Akan tetapi, jika pendapat dan keputusan orang alim tersebut seperti membenarkan hawa nafsu dan keinginan mereka, maka ia tidak boleh.

– Seseorang boleh mempromosikan dirinya kepada orang lain tentang ilmu, kehebatannya serta kemampuannya mengikut keadaan; seperti mencari pekerjaan dan yang sejenisnya.

– Dialog sesama manusia menjadi perkara yang penting dalam mengenali antara satu sama lain, maka orang yang mahu akan jawatan juga harus pandai dalam berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Munir: 13/11)(3)

Berdasarkan perbahasan tersebut, sekali lagi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, hukum meminta-minta jawatan adalah diharuskan. Ia dengan syarat yang ketat iaitu mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam bidang yang diminta dan keadaan semasa serta kuat dalam kepimpinannya.

“Sebaliknya, seandainya individu tersebut lemah dan uzur, maka tidak dibolehkannya untuk meminta jawatan.

“Seperkara lagi, jangan dilupakan perihal tentang akibat jika meminta jawatan iaitu ancaman api neraka pada hari akhirat kelak. Ancaman itu sebenarnya sebagai peringatan keras kepada mereka yang tidak memberikan hak sepatutnya kepada orang di bawah pimpinannya dan tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam mentadbir urus kerana mementingkan habuan dunia dan diri sendiri,” tegasnya.

Foto: Unsplash