Browsing Category

Iqtisad

Tadabbur ayat-ayat faraid
Faraid, Iqtisad,

Disarankan untuk kita tadabbur ayat-ayat faraid pada Ramadan ini, berikut perinciannya

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

RAMADAN dan al-Quran tidak boleh dipisahkan. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan bulan ini menjadi platform memperbanyakkan amalan termasuk menjadikan al-Quran sebagai rutin bacaan harian.

Firman ALLAH SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 185: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Saranan tadabbur ayat faraid pada Ramadan kali ini sangat penting seiring fasa endemik yang mula dilalui. Bilangan kematian mungkin berkurang, tetapi pengajaran ilmu faraid yang dikaitkan dengan kematian harus diperkasakan.

Tiga ayat panjang menjadi punca kuasa pensyariatan hukum faraid berada di dalam surah an-Nisa’ iaitu ayat 11, 12 dan 176. Ketiga-tiga ayat ini adalah sebahagian catatan hukum terperinci (al-ahkam al-tafsiliyyah) di dalam al-Quran dengan fokus kepada waris yang layak. Tulisan kali ini mengutarakan ayat 11 dan ayat 12 surah an-Nisa’.

AYAT 11 : Jaminan untuk anak dan ibu bapa

Firman ALLAH di dalam Surah al-Nisa’, ayat 11, menerangkan bahagian faraid untuk anak-anak yang diperoleh daripada ibu dan bapa yang meninggal dunia. Selain itu, bahagian faraid untuk ibu dan bapa juga turut diperincikan daripada anak-anak yang meninggal dunia lebih dahulu daripada ibu bapa.

Baca juga Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid

Pangkal ayat ini menyatakan bahagian faraid kepada anak-anak si mati sebagai jaminan untuk mereka peroleh habuan daripada harta ibu dan bapa yang dijemput Ilahi. Anak perempuan menjadi waris ‘asabah ketika si mati (ibu atau bapanya) meninggalkan anak lelaki iaitu adik beradik lelakinya. Ini bermakna, keturunan si mati akan memperolehi pusaka secara bersama dengan nisbah mereka ialah anak perempuan akan mendapat satu bahagian dan anak lelaki mendapat dua bahagian.

Tadabbur ayat-ayat faraid

ANAK mendapat habuan faraid apabila ibu bapanya meninggal dunia.

Anak perempuan bertukar untuk mendapat habuan tetap iaitu secara pecahan sebanyak satu perdua (1/2) dan dua pertiga (2/3). Satu perdua diberikan kepada anak perempuan jika bilangannya seorang sahaja dan si mati iaitu bapa atau ibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan yang lain (adik-beradiknya). Namun jika bilangan anak perempuan si mati melebihi seorang maka mereka layak mewarisi dua pertiga.

Seterusnya ayat ini menggariskan bahagian kepada ibu dan bapa yang anaknya meninggal dunia terlebih dahulu. Bahagian faraid kepada ibu si mati terdiri daripada dua iaitu satu pertiga (1/3) dan satu perenam (1/6). Satu pertiga diberikan kepada ibu ketika si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah atau tidak meninggalkan lebih daripada seorang adik-beradik sama ada adikberadik kandung, sebapa atau seibu. Manakala bahagian dikurangkan kepada satu perenam sahaja apabila syarat yang diperolehi berlawanan dengan situasi sebelumnya iaitu si mati meninggalkan keturunan ke bawah atau mempunyai lebih daripada seorang adik-beradik.

Bahagian bapa ditentukan dalam dua bentuk iaitu satu perenam (1/6) dan secara lebihan baki (‘asabah). Bapa si mati mendapat satu perenam jika si mati meninggalkan zuriat. Namun jika anaknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat sama ada lelaki atau perempuan, maka bapa mewarisi secara lebihan baki (‘asabah).

Ayat ini turut menegaskan agihan faraid hanya berlaku apabila dua tanggungjawab sebelumnya diselesaikan iaitu melunaskan hutang dan pemberian wasiat si mati. Walaupun wasiat didahulukan dalam ayat ini berbanding hutang, ia bukan menafikan hukum wajib melunaskan hutang dalam hierarki utama pengurusan harta si mati. Kewajaran wasiat disebut lebih awal kerana menjadi suatu galakan umat Islam untuk berwasiat yang mungkin terlepas pandang tentang kepentingannya kerana hukum asal pensyariatannya hanyalah sunat semata-mata.

AYAT 12 : Bahagian untuk isteri dan suami

Surah al-Nisa’, ayat 12 memberi tumpuan kepada empat orang waris iaitu suami, isteri, saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu. Bagi suami yang kematian isterinya, dua habuan faraid telah ditentukan iaitu satu perdua (1/2) dan satu perempat (1/4). Jika isterinya yang meninggal dunia mempunyai zuriat maka suami tersebut hanya layak untuk mendapat bahagian faraid sebanyak satu perempat (1/4) sahaja. Namun jika si mati tidak meninggalkan sebarang zuriat, maka duda akan memperoleh bahagian yang lebih banyak iaitu satu perdua (1/2).

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

Dua bahagian faraid juga ditetapkan kepada isteri yang kematian suaminya iaitu satu perempat (1/4) dan satu perlapan (1/8). Isteri mendapat satu perempat apabila suami yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat keturunan dan ke bawah. Manakala bahagian sebanyak satu perlapan diperoleh apabila suami meninggal dunia dan mempunyai zuriat keturunan ke bawah.

Tadabbur ayat-ayat faraid

FAHAMI bahagian faraid yang diperoleh suami dan isteri apabila pasangan masing-masing meninggal dunia.

Dua waris lain dalam ayat ini ialah saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu iaitu adik-beradik yang bersambung satu ibu dengan si mati. Keduanya akan mendapat habuan yang sama iaitu satu perenam (1/6) dan satu pertiga (1/3). Satu perenam akan diwarisi jika bersendirian sahaja sama ada lelaki atau perempuan dan tidak wujud waris lain yang akan mendindingnya seperti anak dan bapa kepada si mati. Manakala satu pertiga akan diperoleh apabila bilangan mereka ramai sama ada saudara lelaki sahaja, saudara perempuan sahaja atau gabungan kedua-duanya.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Foto: 123rf

Guna kata nista dapatkan hak faraid
Faraid, Iqtisad,

Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

PENSYARIATAN hukum faraid bertujuan merealisasikan kemaslahatan manusia sama ada melibatkan individu, keluarga atau masyarakat.

Hakikatnya, kelebihan yang sebenar hanya diketahui oleh ALLAH SWT yang telah menentukan dan menetapkan hukum tersebut. Kedangkalan pemikiran manusia mungkin tidak mengetahui secara mendalam berkaitan perkara di sebalik pensyariatan faraid mahupun perinciannya yang telah ditetapkan oleh wahyu ILAHI.

Apa yang pasti ALLAH mengingatkan selepas memperincikan bahagian pusaka si mati melalui firman-NYA yang bermaksud: “Ibu bapa kamu dan anakanak kamu tidak mengetahui sesiapa antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Amat Bijaksana. (Surah an-Nisa’, ayat 11)

Waris mungkin mempersoalkan peruntukan bahagian pusaka masing-masing, namun jarang sekali mereka mempersoalkan tentang tanggungjawab yang ditunaikan dalam sesebuah keluarga. Jangan sampai berbalah menuntut harta sehingga silaturahim terabai. Berapa ramai yang mencerca mahupun berkata nista sesama keluarga apabila bahagian yang diperoleh dalam harta pusaka tidak seiring dengan kehendak masing-masing.

Guna kata nista dapatkan hak faraid

Ikuti panduan agihan faraid yang ditentukan dalam Islam dan jangan berbalah sehingga mengabaikan silaturahim.

Dalam agihan faraid, waris harus akur dengan enam pecahan sebagai formula faraid iaitu satu perdua [1/2], satu perempat [1/4], satu perlapan [1/8], dua pertiga [2/3], satu pertiga [1/3] dan satu perenam [1/6]. Setiap waris yang mendapat pecahan-pecahan ini akan digelar dengan waris ashab al-furud iaitu mereka yang memperoleh harta pusaka secara tetap.

Waris ashab al-furud terdiri daripada 12 orang yang meliputi empat orang lelaki dan lapan orang perempuan. Empat orang lelaki ialah bapa, datuk yang sah, saudara lelaki seibu dan suami. Manakala lapan orang perempuan ialah ibu, nenek, anak perempuan, cucu perempuan (anak perempuan daripada anak lelaki), saudara perempuan kandung (seibu sebapa), saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan isteri.

Kesemua maklumat ini merupakan sebahagian pesyariatan faraid yang kadangkala akal manusia tidak mampu menjangkaui hikmah dan logik di sebalik kenapa mereka dan nombor itu sahaja yang ditetapkan.

Persis hukum lain dalam Islam yang bersifat nombor, keperluan untuk taat kepada peraturan faraid adalah sangat penting. Mungkin sehingga kini, kita masih tertanya tentang perbezaan bilangan rakaat dalam solat yang akhirnya kita perlu patuh tentang kewajipan hukum solat tersebut. Dari sudut lain, disitulah keunikan Islam yang bukan bersandarkan logik akal semata-mata, bahkan elemen wahyu sentiasa wujud di sebalik pensyariatan ajaran Islam itu sendiri.

Justeru, etika yang perlu dijaga melibatkan agihan faraid ialah menjaga komunikasi sesama keluarga. Penjelasan maklumat adalah sangat signifikan dalam agihan faraid kerana peraturan tersebut mempunyai syarat dan hukum yang harus dipatuhi oleh waris seperti maklumat berkaitan formula dan waris yang berhak sebelum ini.

Guna kata nista dapatkan hak faraid

BERBINCANGLAH bersama sekiranya ada suatu perkara berbangkit berkaitan perihal agihan faraid.

Tidak sepatutnya kata nista mendominasi ahli kelurga demi mendapat hak keatas harta yang ditinggalkan. Al-Quran menggariskan beberapa bentuk komunikasi yang boleh diimplementasikan dalam urusan pengurusan harta keluarga. Dua frasa yang digunakan ialah qawlan ma’rufa dan qawlan sadida digunakan sebelum menceritakan tentang agihan faraid dalam surah al-Nisa’. Kedua-duanya mengandungi elemen yang positif dalam berkomunikasi dari sudut maksud asalnya.

Firman ALLAH dalam ayat ke-8 dan ke-9 Surah an-Nisa’ menyebut dua frasa ini. Qawlan ma’rufa dalam ayat ke-8 merujuk kepada cara komunikasi dengan baik terutama apabila sasaran pendengar terdiri daripada pelbagai kumpulan sasar. Dalam agihan harta berkemungkinan di sana terdapatnya anak yatim, balu, ibu tunggal dan orang miskin yang mendapat habuan sedikit atau tiada langsung peruntukan dalam faraid. Hal ini merupakan sebahagian ketinggian akhlak yang dianjurkan Islam dalam menjaga perhubungan insan.

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

Manakala qaulan sadida dalam ayat ke-9 bagi menunjukkan pendekatan komunikasi dengan menggunakan perkataan yang tepat dan benar, bukannya ayat berjela-jela dan berfalsafah. Hal ini seiring dengan konteks ayat tersebut yang ditujukan kepada pentadbir dan penjaga yang menguruskan pihak yang tidak mampu menguruskan harta dengan sendirinya.

Contohnya, seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu seorang anak lelaki yang masih kecil dan seorang adik kandung lelaki. Sudah pasti dalam agihan faraid, harta pusaka si mati diwarisi sepenuhnya oleh anak lelaki tersebut sebagai waris ‘asabah dan tiada bahagian kepada adik lelaki si mati yang merupakan bapa saudara kepada anak lelaki si mati.

Namun sebagai bapa saudara, adik lelaki tadi berperanan menjaga anak saudaranya (anak lelaki si mati) sehingga mampu menguruskan harta dengan sendirinya. Bahkan kadangkala pengurusan tersebut melibatkan kos yang diambil daripada harta pusaka si mati. Semua kos tersebut perlu direkodkan dengan jelas agar tiada pihak terasa hati dan lebih buruk lagi akan didakwa memakan harta anak yatim.

Guna kata nista dapatkan hak faraid

SEORANG anak yang kehilangan bapa mempunyai hak dalam agihan faraid bagi memastikan masa depannya terjamin dengan harta yang ditinggalkan. -Gambar hiasan

Kedua-dua cara berkomunikasi yang dianjurkan tersebut seharusnya diperhatikan oleh setiap ahli keluarga agar tiada pihak yang terguris dalam agihan harta pusaka. Selain itu, menjaga komunikasi dalam sesebuah keluarga dapat memastikan konflik pusaka dapat dilerai dan memberi hak faraid kepada yang berhak dengan lebih sempurna.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: 123rf, Unsplash & Pexels

Iqtisad, Perbankan Islam,

Beri wang riba kepada fakir miskin untuk bersihkan harta haram, berikut hukumnya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PERBANKAN Islam di Malaysia sudah lama bertapak iaitu mulai 1984 apabila Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mula ditubuhkan. Sebelum itu, rakyat Malaysia tidak ada pilihan apabila ingin menyimpan wang dengan selamat melainkan diperbankan konvensional.

Pada masa tersebut, kesedaran tentang riba masih belum tinggi dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ada kesedaran tentang haramnya riba, tertanya-tanya apa hukum simpanan mereka diperbankan konvensional dalam situasi tiada perbankan Islam.

Dr Muhammad Rawwas Qal‘ahji dalam bukunya yang bertajuk al-Mu‘amalat al-Maliyyah al-Mu‘asarah, menyatakan bahawa dalam situasi ketiadaan perbankan Islam dalam sesebuah negara, maka harus seseorang Muslim menyimpan di bank konvensional.

Cuma duit faedah tetap haram dan tidak boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri. Dia hanya boleh mengambilnya tetapi dia hendaklah menyerahkannya kepada pihak ketiga untuk digunakan bagi kepentingan umum, malah boleh juga diberikan kepada fakir miskin. Beliau membawa satu kaedah fikah yang bermaksud: “Pertukaran sebab pemilikan mengambil tempat pertukaran zat.“

Beri wang haram

WANG haram boleh disucikan dengan memberikannya untuk tujuan maslahah kebajikan umum dan tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau keluarga.

Kaedah tersebut adalah berasaskan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata bahawa “Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah. Pada masa itu, di dapur periuk sedang mendidih. Baginda meminta dibawakan makanan tengahari. Lalu dibawakan kepada baginda sekeping roti dan lauk yang biasa dimakan di rumah itu.

Rasulullah bersabda: Tidakkah saya melihat periuk sedang mendidih di atas api? Para sahabat menyatakan: Ya Rasulullah, tetapi ia mengandungi daging yang disedekahkan kepada Burayrah dan Burayrah telah menghadiahkannya kepada kami, sedangkan tuan tidak memakan sedekah. Sabda Rasulullah: Daging itu menjadi sedekah kepadanya tetapi menjadi hadiah kepada kita.“ (Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib 

Dalam hadis berkenaan, Rasulullah telah menjelaskan bahawa makanan yang dihidangkan itu tidak menjadi haram untuk dimakan oleh baginda walaupun daging itu pada asalnya disedekahkan kepada Burayrah. Ini kerana apabila Burayrah telah menghadiahkan daging tersebut kepada para sahabat, ia sudah bertukar status daripada daging sedekah kepada daging hadiah. Atas asas itu, Rasulullah menyatakan kepada para sahabat bahawa dia boleh memakan daging yang telah dimasak tersebut.

Hadis ini memberikan satu dasar atau kaedah penting tentang bagaimana pertukaran cara pemilikan telah mengubah status barang berkenaan.

Sebenarnya banyak lagi contoh lain yang membuktikan bahawa cara atau kaedah pemilikan sesuatu itu akan mengubah status barang yang dimiliki. Antaranya ialah pendapatan lebihan yang diperolehi melalui kontrak pinjaman (qard) adalah haram statusnya, tetapi jika pendapatan lebihan diperoleh melalui akad jual beli atau sewa (ijarah) atau mana-mana kontrak lain selain qard adalah halal apabila segala rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Baca juga Kaedah Yang Betul Urus Harta Haram

Oleh itu, pada pandangan saya, wang riba atau apa-apa pendapatan tidak halal yang diterima oleh seseorang Muslim adalah haram untuk dimanfaatkan olehnya sendiri. Namun, jika dia memberikannya kepada pihak ketiga, wang haram tersebut menjadi halal kepada pihak ketiga. Ini kerana pihak ketiga memperolehinya melalui kaedah hadiah atau hibah dan bukannya melalui simpanan dalam perbankan konvensional atau melalui pelaburan haram.

Beri harta haram

BERTUKARLAH akaun konvensional kepada produk kewangan Islam kerana ia termasuk dalam kategori membantu dalam amalan kebajikan.

Namun, perlu diambil perhatian bahawa cara pembersihan harta haram ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kekal dalam produk kewangan konvensional ketika adanya pilihan produk kewangan Islam. Bertukarlah kepada produk kewangan Islam kerana ia termasuk dalam kategori bantu membantu dalam amalan kebajikan yang disarankan dalam Surah al-Maidah, ayat 2. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: 123rf

Hak faraid wanita
Faraid, Iqtisad,

Ketahui hak faraid bagi wanita, waris dominan dalam senarai ‘ashab al-furud’

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

TANGGAL 8 Mac lalu memperlihatkan sambutan Hari Wanita Sedunia yang menuntut kesedaran hak terutama dalam mendepani cabaran kehidupan dunia pasca pandemik. Harapan dan sokongan kepada golongan wanita perlu diambil perhatian kerana mereka selalunya dilabel sebagai komuniti lemah.

Hak wanita melalui perundangan faraid dalam Islam telah dimartabatkan sebagaimana firman ALLAH SWT: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh ALLAH).” (Surah an-Nisa, ayat 7)

Islam membawa banyak perubahan terutama berkaitan bentuk pewarisan yang diamal oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Kesannya satu sistem yang lebih tersusun dapat diperkenalkan. Pewarisan yang hanya diberikan kepada lelaki pada zaman Jahiliyyah telah dimansuhkan. Islam telah membawa perubahan dengan memberi hak kepada kedua-dua jantina untuk menjadi penerima harta pusaka si mati.

Perebutan harta pusaka tetap akan berlaku sama ada waris itu lelaki atau wanita. Namun dengan kefahaman jitu mampu menyelamatkan konflik urusan harta keluarga si mati. Justeru, wanita perlu sedar akan hak dalam faraid dan bersedia mendepani cabaran urus harta keluarga.

Hak faraid wanita

KAUM Hawa dan semua orang perlu memahami hak faraid serta pengurusannya.

Tiada beza jantina

Semua prosedur asas berkaitan faraid iaitu wujudnya rukun, syarat, sebab dan ketiadaan penghalang terpakai kepada lelaki dan wanita. Sebagai contoh dalam syarat sesuatu agihan faraid tidak diletakkan jantina sebagai asas untuk pembahagian harta pusaka Islam.

Peraturan yang hanya diletakkan berkaitan syarat faraid ialah kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan. Jadi, mana-mana waris yang dipastikan hidup layak untuk menerima harta pusaka. Perbezaan jantina bukan syarat menerima faraid.

Baca juga Hak faraid bagi balu dan duda yang wajib kita tahu

Dari aspek lain, perbahasan berkenaan penghalang faraid juga terpakai kepada kedua-dua jantina. Salah satu contoh penghalang faraid ialah tindakan membunuh menyebabkan pembunuh tidak mendapat harta pusaka mangsa yang mempunyai hubungan sebab pewarisan dengan pembunuh tersebut. Isteri yang membunuh suaminya akan dihalang untuk memperoleh harta pusaka suaminya yang meninggal dunia sama keadaannya seperti suami yang membunuh isterinya.

Kelompok majoriti waris Ashab al-Furud

Dalam hierarki agihan harta pusaka Islam, waris ashab al-furud merupakan penerima utama yang perlu disenaraikan apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga Muslim. Waris ashab al-furud ialah ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak. Mereka terdiri daripada 12 orang waris (Jadual 1).

Hak faraid wanita

Menariknya, wanita merupakan waris paling dominan dalam senarai waris ashab al-furud. Martabat wanita dalam perundangan faraid dihargai dengan penentuan pecahan yang tetap disebabkan berhubung dengan si mati atas hubungan nasab keluarga atau perkahwinan. Isteri adalah waris yang dijamin mendapat harta pusaka suaminya yang meninggal dunia atas hubungan perkahwinan.

Manakala tujuh yang lain merupakan wanita yang ada nasab keluarga dengan si mati iaitu anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu) ke bawah, ibu, nenek yang sah, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara perempuan seibu. Kesemua lapan wanita tersebut ditentukan bahagian faraid mengikut situasi masing-masing dan layak mendapat harta pusaka selagi tidak dihalangi oleh waris yang lebih kuat.

Habuan yang lebih dalam setengah pengiraan

Dalam beberapa situasi pengiraan, wanita mendapat bahagian faraid melebihi waris lelaki yang wujud dalam kes faraid tersebut. Sekali lagi martabat wanita diraikan dalam Islam yang menunjukkan bahawa tidak semua situasi wanita mendapat bahagian yang sedikit dalam faraid. Sekadar menyebut tiga kes sebagai contoh yang menunjukkan wanita dihargai dengan habuan faraid yang lebih untuk pemahaman seperti Jadual 2.

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita

Dalam ketiga-tiga kes ini, waris wanita yang diwakili oleh anak perempuan memperoleh bahagian faraid yang banyak berbanding waris lelaki. Anak perempuan dalam kes pertama memperolehi 1/2 (menyamai 6/12) daripada si mati iaitu ibunya yang meninggal dunia.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Bahagian ini merupakan nilaian yang banyak berbanding waris lain dalam kes tersebut iaitu suami dan bapa. Dalam kes kedua, anak perempuan memperoleh sebanyak 1/2 (menyamai 2/4) iaitu bahagian yang banyak berbanding suami dan saudara lelaki seibu sebapa. Anak-anak perempuan dalam kes ketiga juga memperolehi bahagian yang banyak berbanding bapa si mati iaitu berpangkat datuk kepada mereka.

Ibu dalam kes ketiga memperoleh bahagian sama dengan bapa iaitu sebanyak 1/6 sahaja. Ini menunjukkan wanita punya hak sama rata dengan waris lelaki yang lain.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: Freepik & Pexels

Akaun Shariah KWSP
Iqtisad, Perbankan Islam,

Peri pentingnya Muslim tukar ke Akaun Shariah KWSP, ini sebab-sebabnya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditubuhkan pada 1951. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk membantu tenaga kerja Malaysia menabung bagi simpanan hari tua mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Pada pandangan saya, tidak dinafikan bahawa tujuan penubuhan KWSP ini menepati maqasid syariah (objektif syariah). Dari aspek pemeliharaan harta, memang jelas sekali kerana dengan wujudnya KWSP, harta ahlinya dilindungi oleh Akta KWSP 1991.

Apatah lagi dengan peraturan yang ditetapkan berkaitan dengan pengeluaran simpanan ini banyak memberi manfaat kepada ahlinya. Bayangkan jika simpanan di KWSP ini diberi kebebasan kepada ahlinya untuk mengeluarkannya pada bila-bila masa, tentu sekali ia tidak berfungsi untuk membantu mereka dari segi kewangan apabila mereka mencapai hari tua. Malah, simpanan ini juga dapat membantu waris ahli sekiranya berlaku kematian ahli.

Walaupun jika dinilai dari segi tujuannya, penubuhan KWSP dilihat selari dengan Maqasid Syariah, namun ada satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan iaitu semenjak KWSP ditubuhkan, semua akaun ahlinya adalah tidak patuh syariah.

Pelaburan bercampur

Ini kerana wang caruman ahli akan dilaburkan dalam pelaburan yang bukan 100 peratus patuh syariah. Apabila pelaburan yang dibuat melibatkan pelaburan yang tidak patuh syariah, maka dividen tahunan yang diberi juga tentu sekali tidak patuh syariah juga. Hanya dividen daripada pelaburan yang patuh syariah sahaja yang halal dimiliki oleh ahli berkenaan.

Baca juga Fahami konsep pelaburan atau perniagaan berasaskan perkongsian untung rugi

Oleh itu, meskipun tujuannya menepati maqasid syariah, tetapi jika caranya menyalahi hukum-hakam syariah, maka ia tetap tidak halal kerana niat/tujuan tidak menghalalkan cara.

Akaun Shariah KWSP

MAJORITI ahli KWSP yang beragama Islam masih lagi tidak bertukar ke Akaun Shariah.

Namun, pada 8 Ogos 2016, ahli yang beragama Islam mula ada pilihan untuk menukar akaun mereka kepada Akaun Shariah dan mulai 1 Januari 2017, berkuatkuasalah Akaun Shariah bagi mereka yang telah berbuat demikian.

Kewujudan Akaun Shariah KWSP ini merupakan satu rahmat kepada ahli KWSP beragama Islam di Malaysia. Ini kerana mereka tidak lagi perlu risau tentang pulangan dalam bentuk dividen yang tidak patuh syariah kerana kesemua caruman dalam akaun syariah hanya dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah sahaja. Oleh itu, dividen yang diterima kesemuanya halal.

Sebaliknya, apabila pelaburan yang dilakukan itu bercampur antara yang patuh syariah dan yang tidak patuh syariah, maka tentu sekali bahagian dividen yang tidak patuh syariah itu perlu dibersihkan oleh ahlinya yang beragama Islam dengan cara memberinya kepada pihak ketiga seperti badan kebajikan misalnya.

Bayangkan jika peratus pelaburan yang tidak patuh syariah lebih tinggi berbanding yang patuh syariah, maka sudah tentu jumlah dividen yang perlu dibersihkan juga lebih besar. Bukankah itu satu kerugian besar berbanding mereka yang memilih Akaun Shariah?

Namun, adakah semua umat Islam yang mencarum di KWSP perihatin tentang isu tersebut? Saya berani mengatakan bahawa tidak ramai yang ambil kisah tentang status tidak patuh syariah pada sebahagian dividen yang diterima. Ini terbukti apabila diberitakan bahawa sebahagian besar daripada ahli KWSP yang beragama Islam masih lagi tidak bertukar ke Akaun Shariah walaupun sudah lima tahun lebih akaun syariah diperkenalkan.

Memandangkan masih ramai lagi yang belum beralih kepada akaun syariah, kempen dan saranan supaya umat Islam bertukar kepada akaun syariah perlu dipertingkatkan lagi. Para penceramah di masjid dan surau sewajarnya menekankan juga tentang perkara ini kerana ia melibatkan soal hukum. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Sinar Harian & Freepik

Faraid balu dan duda
Faraid, Iqtisad,

Hak faraid bagi balu dan duda yang wajib kita tahu

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

PERKAHWINAN dalam Islam adalah sesuatu yang suci kerana dibina atas dasar kasih sayang dan kerahmatan. Janji suci antara pasangan yang berkahwin ini diberi keistimewaan termasuklah bahagian untuk mewarisi sekiranya salah seorang pergi lebih awal bertemu ILAHI. Berbahagialah seorang suami atau isteri jika perkongsian hidup bersama pasangan tercinta berakhir dengan kematian pasangan tersebut. Inilah manifestasi kepada frasa ‘cinta hingga hujung nyawa’ atau ‘#tilljannah’.

Duda dan balu tidak harus selamanya pilu, bahkan dijamin haknya melalui hukum faraid yang jitu. Perkongsian hidup suami-isteri sehingga diakhiri kematian menyebabkan kedua-duanya berhak saling mewarisi antara satu sama lain.

Namun, ikatan perkahwinan yang diperakui sebagai satu sebab faraid ialah hubungan lelaki -perempuan yang dibina di atas akad yang sah. Hubungan tersebut juga masih berkekalan ketika salah seorang meninggal dunia walaupun mereka belum melakukan persetubuhan.

Balu khususnya, berhak mendapat harta pusaka suaminya yang meninggal dunia ketika dia masih bergelar isteri atau sedang berada dalam tempoh idah talak raj’i (talak yang masih boleh dirujuk). Keraian ini dilihat sebagai satu keistimewaan yang diberikan oleh Islam atas hubungan perkahwinan yang suci.

Pada masa sama, ahli keluarga suami yang meninggal dunia tidak seharusnya menafikan hak balu tersebut. Ini bererti, keharmonian ipar-duai mahupun menantu-mertua seharusnya berkekalan walaupun selepas berlakunya kematian suami balu.

Sandaran hukum kepada bahagian duda dan balu ialah firman ALLAH SWT dalam ayat 12 surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Dan bagimu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu, jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu beroleh seperempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula seperempat daripada harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu ada mempunyai anak, maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutang kamu”.

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

Habuan faraid kepada duda

Duda yang bercerai mati dengan isterinya layak memperoleh dua bahagian faraid iaitu satu perdua (1/2) dan satu perempat (1/4). Perbezaan bahagian ini bergantung sama si mati iaitu isteri kepada duda tersebut meninggalkan zuriat atau pun tidak.

Jika isterinya yang meninggal dunia mempunyai zuriat maka duda tersebut hanya layak mendapat bahagian faraid sebanyak satu perempat. Namun jika si mati tidak meninggalkan zuriat, maka duda akan memperoleh bahagian yang lebih banyak iaitu satu perdua (1/2).
Dalam hal ini, tidak disyaratkan zuriat itu hasil perkongsian rumahtangga dengan duda tersebut atau hasil perkahwinan sebelumnya bagi si mati tersebut. Contoh penyelesaian kes faraid yang melibatkan duda boleh diringkaskan dalam jadual (1):

Faraid balu dan duda

Faraid balu dan duda

Faraid balu dan duda

HAK faraid bagi golongan duda.

Tiga contoh kes ini melibatkan tiga Jumlah 8/8 situasi ringkas berkaitan bahagian faraid seorang duda atau suami yang kematian isterinya. Dalam kes pertama, apabila si mati tidak meninggalkan zuriat, maka duda akan memperolehi habuan faraid yang besar iaitu sebanyak satu perdua.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Dalam contoh kes kedua dan ketiga, duda tersebut akan memperoleh bahagian yang sama iaitu satu perempat kerana keutamaan akan diberi kepada zuriat si mati. Yang membezakan dalam kedua kes tersebut ialah anak lelaki akan mendapat semua lebihan iaitu sebanyak tiga perempat dalam kes kedua. Manakala seorang anak perempuan hanya layak sebanyak satu perdua (menyamai 2/4) dalam kes ketiga.

Habuan faraid kepada balu

Bahagian faraid isteri si mati yang bergelar balu terbahagi kepada dua, iaitu: satu perempat (1/4) dan satu perlapan (1/8). Balu mendapat satu perempat apabila suami yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat keturunan dan kebawah.

Manakala bahagian sebanyak satu perlapan diperoleh apabila suami meninggal dunia dan mempunyai zuriat keturunan ke bawah. Dalam hal ini, balu wajib tahu bahawa tidak disyaratkan zuriat tersebut merupakan hasil perkongsian bersama balu tersebut atau suami yang meninggal dunia tadi mempunyai zuriat daripada perkahwinan terdahulu atau hasil perkongsian poligami dengan isteri-isteri yang lain. Apa yang penting, zuriat tersebut bersambung kepada suaminya yang meninggal dunia.

Contoh penyelesaian kes yang melibatkan balu si mati boleh digambarkan dalam jadual (2):

Faraid balu dan duda

Faraid balu dan duda

Faraid balu dan duda

HAK faraid bagi gologan balu.

Berdasarkan jadual (1), balu dijamin untuk mendapat faraid antara nilai terbanyak iaitu sebanyak satu perempat dan nilai terendah iaitu sebanyak satu perlapan.

Perbezaan bahagian tersebut dipengaruhi oleh kewujudan zuriat si mati iaitu suami balu tersebut. Jika si mati meninggalkan beberapa orang balu, maka mereka akan berkongsi bahagian faraid yang sama.

Dalam situasi kes pertama, balu mendapat satu perempat kerana si mati tidak meninggalkan zuriat. Manakala lebihan harta pusaka yang berbaki perlu diserahkan ke baitulmal kerana si mati tidak meninggalkan waris lain. Kes kedua pula memperlihatkan waris si mati terdiri daripada isteri (balu) dan seorang anak lelaki.

Menurut peraturan faraid, balu hanya layak mendapat satu perlapan manakala baki harta pusaka akan dimiliki oleh anak lelaki sebagai waris ‘asabah. Dalam kes ketiga, balu tetap memperolehi nilaian sama iaitu satu perempat daripada harta pusaka. Yang membezakan hanyalah seorang anak perempuan si mati hanya layak memperolehi satu perdua sahaja. Lebihan harta pusaka dalam kes ketiga perlu diserah ke baitulmal.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: Pexels & Unsplash

Faraid, Iqtisad,

Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Oleh Dr Fatin Afiqah Md Azmi
Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Harta Tanah,
Fakulti Alam Bina dan Ukur,
Universiti Teknologi Malaysia

MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak.

Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya.

Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.

Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak.

Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.

 

Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis.

Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.

Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat, permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.

Hak

Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:

i) Hak barangan.
ii) Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
iii) Hak melangsaikan hutang.
iv) Hak melaksanakan wasiat.
v) Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.

 

Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.

Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.

Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati.

Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.

Susunan ketiga: Melangsaikan hutang si mati. Ia perlu dilunaskan daripada harta peninggalannya dan menjadi kewajipan ahli waris untuk menjelaskannya.
Hutang terbahagi kepada dua iaitu hutang ALLAH (zakat, kaffarah, nazar, dan fardhu haji) dan hutang sesama manusia (termasuk harta sepencarian).

Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati.
Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.

Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.

Kesimpulannya, apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti.

Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.

Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.

Foto: Kuncheek/Pexels

pexels-pixabay-164688
Berita Semasa, Iqtisad, Perbankan Islam,

Jauhkan diri daripada riba. Sama-samalah kita sokong perkhidmatan kewangan, produk berkonsepkan Islam

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TAHUN 1984 melakar sejarah baharu buat Malaysia. Ketika itu, institusi perbankan Islam pertama di negara ini ditubuhkan yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad.

Pun demikian, orang awam masih lagi sama-samar dengan penubuhannya pada masa itu. Boleh dikatakan tidak ramai yang jelas tentang perbankan Islam apalagi kewangan Islam dalam konteks yang lebih luas.

Ditambah pula, pakar dalam bidang kewangan Islam terhad. Masakan tidak, ketika itu, belum ada lagi program dalam bidang kewangan Islam ditawarkan baik di kolej ataupun di universiti.

Kini, selepas hampir empat dekad berlalu, saya yakin sudah ramai yang mempunyai pengetahuan tentang kewangan Islam termasuk kewujudan perbankan Islam, takaful dan pasaran modal berasaskan agama suci ini.

Malah, banyak institusi pendidikan tinggi menawarkan program berkaitan dengan kewangan Islam. Begitu juga dengan institusiinstitusi yang menawarkan pelbagai latihan dan kursus berkaitan.

Dari segi produk yang bersifat Islamik pula, memang diakui tidak banyak bank yang menawarkan produk sebegitu waima syarikat takaful sendiri. Apalagi produk-produk pasaran modal Islam yang terhad. Namun begitu, semua yang kelihatan canggung pada suatu masa dahulu, tetapi tidak lagi pada masa kini. Sudah ada banyak pilihan di depan mata.

Bahkan, bilangan pakar bidang kewangan Islam pun semakin bertambah tahun demi tahun. Rata-rata kepakaran individu hebat dalam bidang berkenaan sejak tahun 1980-an lagi banyak menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam di Malaysia.

Alhamdulillah, pada hari ini kita sudah boleh menarik nafas lega kerana berupaya memilih sama ada hendak beralih kepada kewangan Islam atau untuk kekal setia dengan kewangan konvensional.

Produk kewangan Islam

Malaysia memang mengamalkan dwisistem kewangan iaitu kewangan Islam dan kewangan bukan Islam berjalan serentak. Disebabkan itu, masih ada sebilangan umat Islam di Malaysia yang masih kekal dengan perbankan konvensional.

Barangkali mereka malas untuk menukar akaun simpanan atau pelaburan masingmasing kepada akaun perbankan Islam. Ia mungkin kerana sudah selesa dengan apa yang sudah menjadi kebiasaan mereka selama ini.

Pada pandangan saya, kita sebagai umat Islam wajib berpegang kepada apa yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tentang pengharaman riba. Jangan sesekali ambil mudah tentang riba.

Sewajarnya kita sama-sama memberi sumbangan untuk mengembang dan membangunkan lagi perbankan Islam di Malaysia dengan cara membuka akaun di institusi kewangan Islam.

Pada mata kasar, mungkin sumbangan kita itu dianggap kecil, tetapi sokongan daripada semua umat Islam di Malaysia sangat bernilai sebenarnya.

Bayangkan jika seluruh umat Islam di Malaysia memberi dukungan padu kepada produk perbankan Islam, produk takaful dan pasaran modal Islam. Saya yakin suatu hari nanti kewangan Islam akan menguasai pasaran kewangan di Malaysia. Ia merupakan satu jihad yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam di negara ini.

Ketahuilah, jihad itu tidak terhad kepada medan peperangan sahaja. Bahkan, menyelamatkan diri dan seluruh umat Islam daripada sistem riba juga dikira sebagai satu jihad. Sekecil mana pun sumbangan kita, saya yakin, ada imbalan yang bakal ALLAH SWT kurniakan kepada hamba-hamba-NYA.

Produk kewangan Islam

JAUHI riba dan bertukarlah kepada produk dan perkhidmatan berteraskan Islam yang pastinya berteraskan al-Quran serta as-Sunnah.

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha sedaya upaya untuk memberi sokongan kepada produk-produk kewangan Islam. Sekurangkurangnya kita bermula dengan membuka akaun simpanan atau akaun pelaburan dalam institusi kewangan Islam yang sudah banyak bertapak di Malaysia sekarang.

Misalnya, jika ingin membeli kereta atau rumah dan sebagainya, pastikan kita mengambil takaful dan bukannya insurans konvensional bagi melindungi aset kita apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Jika kita ingin melabur pula, pilihlah pelaburan berkonsepkan Islamik.

Semoga sokongan kita kepada produk dan perkhidmatan kewangan Islam itu akan menpercepatkan lagi penguasaan kewangan Islam terhadap pasaran kewangan di Malaysia.

***Dr Shamsiah Mohamad ialah Ahli Jawatankuasa Syariah Persatuan Institusi Perbankan Malaysia, Panel Penilai Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia & Ahli Jawatankuasa Syariah Bursa Malaysia

Foto: Freepik, Bernama & Pexels